HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Januari 2022

Segerakan letak SPRM bawah Parlimen – Pemuda Umno

MALAYSIA POST

Segerakan letak SPRM bawah Parlimen – Pemuda Umno

PEMUDA Umno menuntut disegerakan agenda pembaharuan institusi dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembaharuan itu antara lain memberikan kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci ‘due deligence’ dijalankan dan dicadangkan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

“Ini juga bagi mengelakkan wujud campurtangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Dengan pembaruan ini juga bermakna perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik.

“Ia sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terdahulu apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya dilantik hanya selepas Perdana Menteri kelapan daripada PH mengambil alih kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata Pemuda Umno berpandangan hanya dengan menyegerakan agenda pembaharuan institusi, meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mengelak sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi pelabur pada negara.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata ternyata kenyataan hasil siasatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azman Baki bahawa akaun dagangan miliknya digunakan adiknya untuk memperoleh jutaan saham, tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

“Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: