HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Januari 2022

Bukan hasrat Umno Kelantan serah diri, disembelih PAS

AMRI

Bukan hasrat Umno Kelantan serah diri, disembelih PAS

VETERAN Umno Negeri Kelantan kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang mendakwa Umno negeri itu cuba mengikat PAS dengan memberi kata dua sama ada memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perhubungan Veteran Umno Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Abdullah berkata kenyataan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu menunjukkan PAS masih menyalahkan Umno dan cuba menegakkan benang basah.

“Umno sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan telah meminta PAS buat pilihan sama ada mahu bersama BN atau kekal dengan PN. Ternyata PAS memilih PN walaupun BN sedia memperuntuk lima kerusi DUN untuk PAS.

“Jadinya tidak timbul Umno Kelantan mahu mengikat PAS kerana PAS sudah membuat pilihan. Bagi Umno, pilihan PAS dalam PRN Melaka itu akan menjadi pilihannya dalam PRU15 nanti,” katanya menerusi kenyataan.

Kamarudin berkata Umno Kelantan sudah pasti akur dengan keputusan usul bahagian-bahagan yang diluluskan dalam persidangan mereka pada 18 Disember 2021 lalu yang mahukan Umno dan Barisan Nasional (BN) bertanding solo.

Menurutnya, bukanlah hasrat Umno Kelantan untuk menyerah diri untuk disembelih oleh PAS, cuma mungkin hasrat murni kepimpinan Umno negeri yang mahu mencari titik persamaan dalam konteks politik Kelantan.

“Bagaimanapun, Veteran berharap Umno Kelantan tidak akan terperangkap dengan helah seribu PAS dalam pertemuan itu.

“Adalah lebih baik sekiranya pertemuan itu sekadar untuk memberitahu PAS keputusan bahagian yang mahu Umno bertanding solo seperti sebelum ini,” katanya.

Terdahulu Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS dilaporkan berkata Umno Kelantan tidak boleh mengikat parti itu untuk membuat pilihan antara Bersatu atau Umno.

Katanya, syarat melibatkan pilihan yang dikemukakan Umno itu tidak betul pada pandangannya.

Sebelum ini, Umno Kelantan mengutus surat kepada Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk mengadakan pertemuan, antara lain bertujuan menentukan pendirian politik PAS sama ada kekal dalam PN atau bersama MN.

Kedua-dua parti bersetuju pertemuan itu ditetapkan pada 22 Januari ini. – Malaysiapost

Tiada ulasan: