HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Januari 2022

Selepas digugur, Khairuddin ingatkan pimpinan perpaduan ahli dua parti Melayu

Mohd Khairuddin Aman Razali .

SELANG beberapa jam selepas berita pelucutannya daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat disahkan, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan pemimpin mengenai tanggungjawab memperkasa dan menyuburkan perpaduan dalam Muafakat Nasional.

Menerusi Facebook beliau, Dr Khairuddin berkata, Muafakat Nasional yang dimenterai pada 14 September 2019 telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam Melayu yang “berperang” lebih 41 tahun kerana politik.

Sambil memuat naik kembali gambar peristiwa berkenaan, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini.

Tambah beliau, ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing.

“Menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina ini kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi 4 juta ahli ini pada hukum Syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.

“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” katanya.

Kenyataan itu adalah hantaran pertama beliau di media sosial selepas disahkan digugurkan daripada AJK Pas Pusat seperti dimaklumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Tanpa memberikan jawapan spesifik, namun Khairuddin diketahui umum sebagai antara segelintir pimpinan Pas yang lebih cenderung kepada permuafakatan dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional.

Ini berbeza dengan pucuk pimpinan Pas yang memutuskan untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN), bersama Bersatu dan beberapa parti komponen lain.

Tiada ulasan: