HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Januari 2022

Selepas kalah teruk dua PRN, PH Johor gesa PRN tidak diadakan

AGENDA DAILY

Susulan dua kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak lepas, Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa supaya sebarang hasrat untuk mengadakan PRN di negeri tersebut ditangguhkan sementara waktu.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan memberi alasan keadaan ketika ini tidak sesuai bagi PRN dijalankan ia memandangkan rakyat ketika ini masih berdepan cabaran Covid-19 dan sepatutnya fokus ditumpukan kepada pemulihan ekonomi serta kebajikan orang ramai yang terjejas akibat kesan pandemik.

“PH Johor tidak mahu PRN diadakan dalam keadaan rakyat dan ekonomi negeri belum stabil kerana ia akan menyebabkan kemarahan rakyat lebih besar dan beri persepsi buruk terhadap semua parti dan ahli politik. Fokus dan keutamaan kita seharusnya kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negeri selain Covid-19 sehinggalah cukup penggal nanti.

“Ketika itu semua pihak terutama rakyat sudah bersedia dan tidak marah jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya dipetik laporan BH.

Aminolhuda yang juga Ketua Pembangkang Johor juga berharap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad supaya menangani sebarang kemelut politik daripada melanda pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpinnya ketika ini.

“Maklum balas Menteri Besar mengenai sama ada PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seolah berdolak-dalik sedangkan desas-desus bertiup kencang ini bermula dari parti mereka juga (UMNO). Jadi ‘gentleman’, umumkan tarikhnya jika PRN mahu diadakan.

“Ia bagi membolehkan politiking keterlaluan ketika ini dapat dihentikan, sekali gus semua fokus dapat diberikan kepada rakyat yang terjejas dan pemulihan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, jika PRN dijalankan dalam keadaan tergesa-gesa ia akan menyebabkan usaha kerajaan negeri dalam membantu rakyat akan terjejas.

“Desas-desus mengenai PRN ini juga menyebabkan fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat ketika ini beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.

“Keadaan ini amat tidak produktif kerana mampu menyebabkan pelabur yang mahu melabur di negeri ini bimbang, sekali gus menjejaskan ekonomi negeri,” katanya.

Terdahulu, Hasni dilapor menafikan akan membuat pengumuman mengadakan PRN dalam tempoh terdekat dan menegaskan sokongan Bersatu dan PAS kepada kerajaan negeri goyah. Namun, beliau mengakui ‘tidak suka’ dengan majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki gabungan yang membentuk kerajaan negeri ketika ini.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN dari blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang. Namun Ahad lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas.

Untuk rekod, dua PRN lalu menyaksikan PH tersungkur dan ditolak rakyat di Melaka dan Sarawak.

Tiada ulasan: