Seorang Menteri UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal berdepan tindakan disiplin, sementara keputusan rayuan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bakal diputuskan esok.
Sumber dalaman Agenda Daily mendedahkan Shahidan yang sebelum ini antara yang lantang dan berbeza pendapat dengan ketetapan parti khususnya semasa kemelut politik sebelum ini bakal diambil tindakan disiplin selepas terdapat aduan dibuat terhadap Ketua UMNO bahagian Arau tersebut.
“Berkemungkinan keputusan bersabit pelanggaran disiplin Shahidan akan diumumkan esok, ia selepas pucuk pimpinan parti mendapati terdapat tindakan yang dilakukannya sebelum ini melanggar peraturan parti,” kata sumber.
Berhubung bentuk hukuman yang bakal dihadapi Menteri Wilayah Persekutuan tersebut, berkemungkinan parti akan menggantung keahliannya seperti tindakan yang diambil sebelum ini terhadap Tun Faisal.
Tun Faisal sebelum ini digantung keahliannya selama enam tahun dan sedang dalam proses rayuannya yang juga akan diketahui esok.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menghantar surat kepada Setiausaha Agung, Datuk Ahmad Maslan menggesa supaya Shahidan dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Syed Atif mendakwa, pelanggaran disiplin berlaku ketika Shahidan hadir pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar, Perlis pada 17 OKtober lalu.
Antara kesalahan tersebut ialah mengibarkan bendera Bersatu bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Arau.
Selain itu, Shahidan turut didakwa mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan, malah membuat ucapan yang bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan.
Untuk rekod, Shahidan sebelum ini berada dalam kem Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak bersama dalam satu kem lagi yang dikepalai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, rayuan yang dikemukakan Tun Faisal sebelum ini juga bakal diputuskan Panel Rayuan UMNO hari ini (Rabu).
Beliau dipanggil untuk memberi sebarang pembelaan dan membuat penerangan berhubung rayuan yang dibuatnya sebelum ini, dijangka keputusan berhubung rayuan juga akan diputuskan pada hari ini.
Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, digantung keahlian UMNO selama enam tahun, malah semua manfaat sebagai ahli UMNO juga dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu.
Pada 19 Februari 2021 lalu, beliau diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Zahid.
Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu itu bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya.
Tun Faisal sebelum itu mendakwa Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti kerana mengerakkan jajaran politik baharu bersama PKR dan DAP walaupun ia bertentangan dengan dasar parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan