MALAYSIA POST
SIKAP PAS yang tidak pernah ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan parti lain membuatkan pakatan yang dibina sering tersasar, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata, PAS mempunyai banyak sejarah buruk dalam menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain dengan mangsa pertama parti Islam itu adalah Semangat 46 yang ditubuhkan pada awal 1990-an bagi menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Selepas berjaya menubuhkan kerajaan bersama Semangat 46 di Kelantan di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, PAS semakin lama semakin besar kepala.
“Pakatan itu hanya mampu kekal sepenggal sahaja apabila PAS didakwa terlalu mahu mendominasi politik dan pentadbiran di Kelantan sehingga mengenepikan Semangat 46.
“PAS selalu mahu jadi ‘Abang Besar’ dalam kerjasama politik dan mereka tak pernah ikhlas pun. Sebab tu semua pakatan yang dibuat bersama mereka tak kekal lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nur Jazlan berkata, cita-cita Pas untuk berkuasa di peringkat Pusat membuatkan mereka mencari lagi pakatan baharu sebelum tertubuhnya Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2008) yang turut melibatkan PKR dan DAP
Ketua Umno Bahagian Pulai itu mendakwa, biarpun bersama dua parti yang dominan dalam PR, PAS masih mahu menunjukkan kuasanya dan ingin menjadi ‘King Maker’ dalam kedua-dua pakatan politik itu.
“Lama kelamaan PKR dan DAP mula bosan dengan perangai PAS yang dilihat mahu mengetuai BA dan PR hingga pakatan itu juga berkubur pada 2015. PAS memang suka mengambil kesempatan atas semua kerjasama atau pakatan politik disertai mereka.
“Ini kerana matlamat utama mereka bukanlah membela rakyat. Natijahnya semua pakatan itu gagal namun PAS tetap menuding jari kepada orang lain atas kegagalan itu,” ujarnya.
Nur Jazlan berkata, skrip sama juga berlaku dalam Muafakat Nasional (MN) apabila PAS bermain politik selepas berjaya mendapat habuan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, PAS mula mengenepikan Umno dan lebih memberi muka kepada Bersatu semata-mata kerana ingin kekal berkuasa.
“Jadi tak hairanlah MN pun gagal dilaksanakan seperti yang dibincangkan bersama selepas PRU14 lalu. Sebab itulah MN ini gagal dan PAS pula salahkan Umno kononnya menolak agenda perpaduan ummah.
“Saya tak hairan dengan kecurangan pemimpin PAS yang terbukti berakhir dengan perceraian pakatan politik selama berpuluh tahun ini,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan