MALAYSIA POSI
EMPAT Ahli Parlimen PKR hari ini membuat laporan polis berhubung isu saham dimiliki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Laporan polis itu dibuat oleh Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) serta Akmal Nasir (Johor Bahru) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara.
Menerusi kenyataan, mereka meminta PDRM menyiasat sekiranya telah berlaku pelanggaran berkait Seksyen 25, 25A dan 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 berhubung milikan akaun saham.
Selain itu, mereka mahu polis menyiasat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, berhubung Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam, termasuk Seksyen 23 dan 24 di dalam pekeliling tersebut.
“Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berhubung pemunyaan harta; dan Sumber dana yang digunakan untuk pembelian sejumlah saham dan/atau waran oleh Azam seperti dimaksudkan dalam kenyataan beliau,” katanya.
Menurut empat Ahli Parlimen tersebut, SPRM tidak boleh menyiasat dirinya sendiri.
“Ini sebabnya kami mohon PDRM lakukan siasatan menyeluruh dan segera. SPRM juga sewajarnya diletakkan di bawah Parlimen Malaysia, bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan