HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Januari 2022

Sidang media khas MB Johor esok. Umum PRN?

AGENDA DAILY

Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad dilaporkan akan mengadakan sidang media khas esok, tatkala khabar angin Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

Persiapan bagi sidang media yang dijangka turut dihadiri semua 26 Ketua UMNO Bahagian di Johor sedang dibuat, lapor BH yang memetik sumber dalaman UMNO.

Menurut laporan itu Badan Perhubungan UMNO Johor akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan secara lanjut mengenai PRN, termasuk menyenaraikan nama-nama calon.

“Kesemua 26 ketua bahagian UMNO Johor akan hadir mesyuarat esok dan selepas itu satu sidang media khas dijangka diadakan.

“Setakat ini masih tiada tarikh sebenar pembubaran DUN Johor seperti yang didakwa sebuah portal semalam, namun ia memang ke arah itu dalam masa terdekat.

“Hanya Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor boleh menjawab berkenaan tarikh pembubaran DUN dan mungkin ia akan terjawab esok,” kata sumber dipetik BH.

Semalam, media mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Hasni telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, namun beliau menafikan menerimanya, tetapi meminta supaya menunggu sehingga Ahad.

Laporan itu yang memetik sumber UMNO turut mendakwa, DUN Johor akan dibubar pada Ahad ini, selepas permohonan untuk pembubaran DUN mendapat perkenan Istana Johor.

Semalam, Hasni ketika berucap pada sebuah majlis di Iskandar Puteri memberi isyarat PRN Johor, mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, turut memberi jaminan, jika DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN dalam waktu terdekat itu, ia tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber itu turut memaklumkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka berada di Johor Bahru, Selasa ini, bagi mengadakan mesyuarat dengan UMNO Johor berhubung PRN negeri.

Tiada ulasan: