HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Januari 2022

Umno menyampaikan kehendak rakyat, bukan bermotifkan politik – Zahid

MALAYSIA POST

Umno menyampaikan kehendak rakyat, bukan bermotifkan politik – Zahid

TINDAKAN Umno yang terus berjuang menuntut pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar dikeluarkan buat kali terakhir telah disalah erti musuh politiknya.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai tohmahan dilempar terhadap Umno disebabkan parti itu sentiasa memahami kesusahan rakyat yang amat memerlukan pengeluaran wang akaun KWSP untuk memulihkan kelangsungan hidup mereka.

“Permintaan itu dituduh oleh seorang menteri kanan sebagai menghasut, manakala pemimpin pembangkang menuduh Umno mahu menghancurkan KWSP.

“Fahamilah permintaan itu bukan permintaan politik Umno, tetapi semata-mata berlandaskan permohonan dan keperluan semasa rakyat.

“Sila baca komen rakyat Malaysia di media sosial berhubung perkara itu. Apakah Umno menyuarakan permintaan rakyat dikatakan sebagai politik?,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, tuntutan pengeluaran wang simpanan i-Citra RM10,000 ini bukan bermotifkan politik, sebaliknya Umno memenuhi tanggungjawab untuk membela nasib rakyat yang dilanda kesusahan ketika ini.

“Kewajaran permintaan itu juga sudah banyak kali diperjelaskan, malah Ketua Pemuda Umno paling lantang menerangkannya.

“Maka tidak benar Umno dituduh mahu mengambil kesempatan sedangkan jika permintaan itu dipenuhi, menteri bertanggungjawab juga mengaut pujian.

“Jika dibahas tentang mainan politik dalam perkara ini, menteri berkaitan juga boleh dikaitkan dengan motif politik seperti yang banyak pihak andaikan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Umno sebagai parti politik milik rakyat telah menyampaikan kehendak rakyat, namun ianya terletak kepada keputusan sebuah kerajaan campuran yang boleh bersetuju atau menidakkannya.

“Bagi parti politik keramat agama, bangsa dan negara akan terus sedaya upaya berusaha membantu rakyat dengan apa sahaja saluran atau sumber yang ada.

“Keazaman Umno untuk menjamin dan memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah terhenti kerana itulah kesalasilahan parti ini.

“Namun yang pasti keadaan adalah lebih mudah jika Umno masih menjadi teras kerajaan, justeru jadikan segala yang disaksikan sebagai pedoman masa depan,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: