KUALA LUMPUR – UMNO juga tidak boleh membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keseorangan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti tidak boleh membiarkan dilema yang dihadapi Perdana Menteri berterusan.
Ini kerana tidak mahu kebencian rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menjatuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.
“Beliau (Ismail Sabri) adalah wakil UMNO dan beliau sepatutnya menjadi suara UMNO. Kalau beliau gagal, UMNO yang dituduh gagal. PM pasti mengerti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jadi, menurut Mohamed Khaled, parti sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar dari kemelut ini.
“Tetapi buat masa sekarang, dilema UMNO ini akan berterusan,” ujarnya.
Menurutnya, UMNO kini berada dalam dilema dan kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Perdana Menteri dari UMNO tetapi UMNO tidak menguasai kerajaan. Bila desakan untuk Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet, saya sangat bersimpati dengan kedudukan beliau.
“Siapa lagi yang beliau boleh lantik menggantikan ahli jemaah menterinya yang gagal. Beliau bukan mempunyai banyak pilihan pun dari ahli Parlimen yang sedia ada,” katanya.
Umum, menurutnya tahu Ismail Sabri mewarisi jemaah menteri dari kerajaan PN yang tumbang dan hampir semua penyumbang kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaannya.
“Hendak dibuang siapa dan siapa gantinya sangat tertakluk kepada sokongan parti masing-masing. Silap perhitungan, mereka akan menarik sokongan terhadap PM.
“Menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara kerajaan sekarang amatlah senang tetapi jika kita berada dalam kedudukan beliau, mungkin kita juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan,” ujarnya.
Perdana Menteri, menurutnya, bukan tidak mengerti betapa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun drastik tetapi kedudukan beliau yang sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang sangat menyukarkannya.
“Yang terpukul ialah UMNO kerana setiap kelemahan kerajaan, UMNO yang akan menerima bukan sekadar tempias tetapi the hurricane of people’s anger,” katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan