HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Azalina tetap kata soalan derma RM2.6b subjudis

MALAYSIAKINI




Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terus enggan melayan sebarang soalan yang berkaiatan kontroversi dan skandal RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan ia adalah subjudis.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, beliau menolak soalan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) yang meminta perdana menteri menyatakan sebab sebenar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkannya daripada sebarang salah laku kerana menerima wang RM2.6 bilion dari penderma dan RM42 juta dari SRC International.

Hanipa juga ingin tahu di mana baki RM570 juta selepas Najib mendakwa telah mengembalikan RM2.03 bilion 'derma' yang diterimanya itu.

Azalina tetap memberi alasan ‘subjudis di sebalik amaran Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia minggu lalu supaya tidak mendahului kuasanya berhubung halangan soalan berkaitan RM2.6 bilion tidak boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Azalina, bagaimanapun, tidak menyebut mengenai Perintah Tetap dalam jawapannya kepada Hanipa.

Azalina sebelum ini menangkis soalan ahli parlimen pembangkang dengan berkata soalan berhubung ‘derma politik’ RM2.6 bilion tidak lagi boleh dibangkitkan berikutan semakan kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia terhadap Apandi.

Badan Peguam mengheret Peguam Negara ke mahkamah kerana keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib dan ‘membersihkan’ perdana menteri.

Najib telah berulang-kali menafikan sebarang salah laku berikutan dakwaan itu, dan berkata percubaan tersebut adalah plot untuk menjatuhkannya.


Saman Mahathir akhirnya diserah pada peguam Najib

Hafiz Yatim

 




Saman RM2.6 bilion oleh Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak akhirnya disampaikan kepada peguam perdana menteri hari ini.

Pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Erry Shariman Nor Aripin ditetapkan pada 20 April.
Peguam Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla mengesahkan bahawa salinan writ saman, pernyataan tuntutan dan notis menghadiri pengurusan kes diterima oleh tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Dua hari lalu, peguam Mohd Hafarizam Harun mengesahkan kepada pemberita bahawa beliau diarahkan mewakili Najib dalam isu itu.

Mahathir dan dua yang lain pada 23 Mac lalu memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah laku tort misfeasance dalam jawatan awam.

Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno dengan niat jahat menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.


Tiada lagi soalan RM2.6b, Pandikar kata ia subjudis

MALAYSIAKINI




Soalan berhubungan dengan sumbangan atau derma RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah subjudis, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ini secara langsung bermakna bahawa soalan mengenai skandal itu tidak lagi akan dibenarkan disoal atau dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Dalam satu nota kepada ahli parlimen, Pandikar berkata semakan kehakiman yang difailkan oleh Majlis Peguam ke atas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana membersihkan Najib daripada sebarang adalah subjudis mengikut Peraturan Mesyuarat 23 (1) (g) .

Ia menyatakan bahawa "soalan tidak boleh dibuat kerana ia mungkin menjadi subjudis kepada kes yang dibicarakan atau disoal dalam bentuk yang subjudis".

Pandikar berkata saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad juga menimbulkan persoalan subjudis di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (2).

"Saya dapati bahawa kepentingan mereka yang terlibat dalam writ itu akan terjejas," kata Pandikar dalam notanya.

Minggu lalu, Pandikar berkata tidak akan ada larangan menyeluruh terhadap ‘derma’ RM2.6 bilion dan sama ada soalan berkenaan adalah subjudis akan diputuskan berdasarkan kes demi kes.

Minggu lalu, Pandikar memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said supaya tidak mendahului kuasanya berhubung halangan soalan berkaitan RM2.6 bilion itu kerana ia cubaan memikul kuasanya.

Ahmad Bashah tidak berkecil hati 'diboo' WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

Ahmad Bashah tidak berkecil hati 'diboo'
Ahmad Bashah (duduk, tengah) bergambar bersama wakil lapan kelab penyokong bolasepak dan pengurusan tertinggi KFA.
 
 
SAMBUTAN kurang memuaskan yang diterima oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 1 Mac lalu oleh sebahagian penyokong di Stadium Darul Aman langsung tidak membuatkan dirinya berkecil hati.

Hadir atas kapasiti pemimpin nombor satu negeri untuk menonton perlawanan Liga Super Kelantan dan Kedah sebelum dilantik sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada 24 Mac lalu, katanya, beliau memahami perasaan penyokong ketika itu.

Sebelum ini, beberapa portal berita laman sosial melaporkan, Ahmad Bashah 'diboo' semasa perlawanan berlangsung dan rakaman video turut dimuatnaik di beberapa laman facebook.

Beliau berkata demikian semasa sesi ramah mesra bersama lapan kelab penyokong Kedah pada program santai di Dewan Sri Mentaloon, Anak Bukit, malam tadi.

Menurutnya, beliau sudah melalui pelbagai pengalaman serta ragam manusia dan pada usia 66 tahun ketika ini juga, beliau sudah langli dengan kritikan dan cemuhan.

Sebelum ini, beberapa portal berita laman sosial melaporkan, Ahmad Bashah 'diboo' semasa perlawanan berlangsung dan rakaman video turut dimuatnaik di beberapa laman facebook.


Pegawai KBS nafi salah guna kuasa

Pegawai KBS nafi salah guna kuasa
Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan, Othman Arshad (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi 32 pertuduhan menerima rasuah lebih RM38 juta di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 32 pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan lebih RM38 juta, empat tahun lalu.

Otman Arsahd, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Otman didakwa dengan 15 pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara untuk membuat bayaran berjumlah RM2,161,000 kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd untuk program KBS yang mana anak- anaknya iaitu Arif Azuan  dan Arif Azmin mempunyai kepentingan tersebut.

Dia juga didakwa dengan 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu Surat Pembayaran Melalui Kementerian Di Majlis Sukan Negara bagi pembiayaan program-program dan pembekalan peralatan kursus kementerian itu berjumlah RM36,310,400  yang mana kerja- kerja tersebut tidak dilakukan dengan pengetahuannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di sini antara 28 Februari 2012 dan 18 November 2015.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Amir Nasaruddin mengikut Seksyen 18(a) dan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Amir mencadangkan jaminan RM1 juta bagi kesemua pertuduhan.

Peguam, Iszam Kamal Ismail memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan rendah kerana anak guamnya tiada sumber kewangan setelah akaun dibekukan.

"Anak guam saya hanya bergantung kepada bantuan keluarga dan rakan sahaja," katanya.

Menurutnya, keluarga anak guamnya hanya mempunyai wang tunai RM100,000 dan sekeping geran tanah.

Hakim, Allaudeen Ismail membenarkan jaminan RM250,000 dan geran tanah 1.09 hektar dengan dua penjamin selain memerintahkan pasport diserahkan.

Mahkamah menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.

Selain petugas media, galeri awan hari ini dipenuhi dengan keluarga lelaki berkenaan.

Pada 19 Mac lalu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki pada sidang media berkata, modus operandi sindiket ialah mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket bagi mewujudkan program tetapi kerja-kerja tidak pernah dilaksanakan

Tiada dana 1MDB masuk ke akaun PM

SINAR HARIAN


Najib
Najib


KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menegaskan bahawa syarikat milik kerajaan itu tidak menyalurkan sebarang dana ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan hari ini, 1MDB berkata, susulan siasatan yang menyeluruh, ini telah disokong oleh pelbagai pihak berkuasa, yang telah mengesahkan bahawa dana ini dari Arab Saudi.  

Katanya walaupun demikian, Wall Street Journal terus mengulangi dakwaan yang sama, tanpa memberi sebarang bukti kukuh untuk mewajarkan dakwaan tersebut.  

"Kami mempersoalkan masa serangan baharu ini, timbul hanya beberapa hari selepas 1MDB mengumumkan ia berjaya menyelesaikan penjualan saham dan perjanjian pembelian untuk Edra Global Energy Bhd," katanya.

‪Selain itu, 1MDB mengesahkan hasratnya untuk membayar balik hutangnya sebanyak RM6 bilion dalam beberapa minggu akan datang, yang membawa kepada semua hutang jangka pendek dikeluarkan daripada lembaran imbangan syarikat itu, katanya.  

"Langkah ini mencerminkan kejayaan besar 1MDB melalui pelan rasionalisasinya, dan kami kekal komited untuk memastikan proses ini selesai walaupun serangan berulang terhadap syarikat," katanya. - Bernama


Lima kes strok haba di Negeri Sembilan

Lima kes strok haba di Negeri Sembilan
Gambar hiasan.


SEREMBAN - Sepanjang dua minggu lalu, lima kes strok haba dilaporkan di Negeri Sembilan berikutan cuaca panas yang melanda negara.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata, tiga kes keletihan haba dan satu kes kekejangan otot turut dilaporkan sejak 16 Mac lalu hingga semalam.

“Sembilan kes ini membabitkan empat lelaki dan dua wanita yang berumur dari 18 hingga 26 tahun.

“Bagi kes strok haba, mangsa terdiri daripada anggota tentera dari Kem Sirajuddin Gemas dan Kem Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti di luar bangunan bagi mengelakkan cuaca panas.

“Ketika cuaca panas ini, saya menasihatkan orang ramai agar tidak berada di kawasan terdedah dengan cahaya matahari.

“Banyakkan minum air bagi mengelak tubuh dehidrasi yang boleh menyebabkan berlakunya strok haba dan keletihan haba,” katanya.

Abdul Rahim berkata, antara simptom strok haba ialah pening kepala, muntah, pengsan dan lemah otot serta keletihan.

“Saya harap orang ramai dapat berwaspada dengan simptom ini kerana strok haba akibat kepanasan melampau boleh menyebabkan maut dan hilang keupayaan kekal,” katanya.

Lagi bangkai penyu agar ditemui

Lagi bangkai penyu agar ditemui
Wakil dari Pejabat Perikanan Rompin sedang memeriksa bangkai penyu agar.
 
 
ROMPIN - Lagi bangkai seekor penyu spesies agar ditemui di pantai Mempisang, di sini, hari ini oleh penduduk yang bersiar-siar di pantai itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Adnan Hussain, berkata, saiz bangkai penyu yang ditemui itu lebih kurang sama dengan yang ditemui pada Selasa lalu.

Menurutnya, jarak bangkai penyu yang baru ditemui itu tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai penyu sebelumnya di pantai Sungai Lumpur dengan jarak kira-kira 2km sahaja.

"Hasil siasatan ia juga merupakan penyu spesies agar dengan panjang 1.10 meter, lebar 0.55 meter dan berat 30kg manakala berusia sekitar 25 tahun.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas fizikal bangkai haiwan berkenaan tidak menemui sebarang kesan kecederaan," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penyu usia 30 tahun dipercayai mati terkena kipas bot]

Akhbar ini Rabu lalu melaporkan bangkai seekor penyu tidak sengaja ditemui beberapa penduduk di pantai Sungai Lumpur, di sini, ketika mereka bersiar-siar untuk melihat aktiviti memukat udang di pantai itu.

Penyu berkenaan merupakan spesies agar dianggarkan berusia 30 tahun dengan berat kira-kira 50kg, ukuran panjang 1.2 meter dan lebar 0.7 meter serta dipercayai mati akibat terkena kipas bot sebelum dihanyutkan ombak ke pantai.

Menurut Adnan, berdasarkan bangkai yang mulai reput, ia dianggarkan telah mati seminggu lalu namun organ dalaman masih elok.

"Bangkai penyu berkenaan telah ditanam oleh pegawai Pejabat Perikanan Rompin berhampiran kawasan ia ditemui," katanya.


BOLEHKAH PERDANA MENTERI YANG ADA BERIBU-RIBU JUTA DALAM AKAUN PERIBADI DIKEKALKAN LAGI?

shahbudindotcom


 
 
Najib Razak hanya mula menjadi Perdana Menteri sejak 2009 atau kira-kira lebih enam tahun sehingga hari ini, tetapi barangkali rekodnya sukar ditandingi oleh mana-mana ketua negara dalam dunia ini dari segi kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Dalam hal yang satu itu, Najib bukan saja dianggap "juara" di antara semua Perdana Menteri Malaysia yang ada, bahkan boleh dinobatkan juga sebagai yang "terbaik" di peringkat dunia dan antarabangsa.

Jika sebelum ini,  kita mengetahui hanya RM2,600 juta yang diterimanya, konon dalam bentuk derma, namun hasil siasaan media antarabangsa menunjukkan jumlah yang lebih besar daripada itu.

Angka terbaru oleh ABC News menunjukkan jumlah yang dipercayai telah masuk ke akaun peribadi Najib sudah mencecah RM4,200 juta.

Wang itu pula bukan mula mengalir masuk pada 2013, tetapi sejak 2011 lagi iaitu tidak sampai pun dua tahun beliau memanaskan kerusi Perdana Menteri.

Pernahkah kita mendengar mana-mana Perdana Menteri ada rekod kemampuan seperti itu?

Sepanjang dunia ini wujud, sudah tentu Najiblah penerima derma tunggal terbesar yang pernah ada. Tidak pernah ada sebelum ini dan tidak mungkin ada selepasnya.

Itu, kalau kita mahu menerima bulat-bulat wang itu sebagai derma, bagaimana kalau ia bukan derma?

Oleh itu, bolehkah kita bayangkan jika Najib lebih lama menjadi Perdana Menteri atau terus kekal lagi selepas pilihanraya 2018 nanti?

Dengan wang yang sebegitu banyak, laporan terbaru media antarabangsa juga menyebut Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk percutian, membeli belah dan barang kemas mewah yang dibelinya di Amerika Syarikat, Malaysia, Italy dan berbagai negara lain lagi.

Kalau pun benar semua wang yang diterimanya itu sebagai derma dan penderma turut memberi kebebasan untuknya berbelanja sesuka hati, bukankah disebut juga bahawa wang itu untuk kesederhanaan Islam dan memerangi keganasan antarabangsa?
 
 
 
 
Maka, kenapa sehingga RM60 juta digunakan untuk bercuti, membeli belah dan barang kemas? 

Tidakkah itu menunjukkan adanya elemen keganasan dalam membeli belah dan bermewah dalam diri Najib sendiri?

Secara moralnya, baik disudut Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak beretika masa sekali bagi seorang Perdana Menteri memiliki wang sebanyak itu, baik sama ada ia derma atau apa jenis sekali pun.

Ia akan menimbulkan keraguan tentang sumber wang itu diperolehi serta keperluan memilikinya, apatah lagi jika didapati ia turut dibelanjakan untuk bermewah dan bermegah.

Sebab itu, dari segi penerimaan umum, prestasi Najib boleh dikatakan sudah musnah di kalangan rakyat biasa. Semakin sedikit yang menilainya sebagai pemimpin yang baik dan boleh diharapkan untuk masa depan negara ini.

Yang mempertahankan Najib bukan lagi kerana kepentingan negara dan rakyat, tetapi lebih kerana dedak sebagai upahnya. Dengan wang sebanyak RM4,200 juta yang dimilikinya, sudah tentu apa gred dedak sekali pun mampu dibekalkan, asalkan sedia menurut perintahnya.

Dan itulah yang dilakukan Najib. "Cash telah menjadikannya King".

Untungnya Najib ialah kerana rakyat negara ini terdiri daripada berbagai kaum dengan majoritinya pula adalah Melayu. Dengan itu, sentimen Melayu dan perkauman bila-bila masa boleh dimainkan atau dimanipulasi untuk menyelamatkannya.

Jika tidak, jangankan sehingga RM4,200 juta dalam akaun peribadi, diketahui memiliki sebanyak RM42 juta pun sudah lama membuatkan Najib terpelanting daripada kedudukannya.

Atas hakikat tersebut, mungkin lebih masa dan kekuatan diperlukan untuk menolak Najib yang akaun peribadinya bertambah RM4,200 juta hanya dalam tempoh enam tahun duduk di kerusi Perdana Menteri kerana di samping kesedaran kepada rakyat harus dipertingkatkan, beliau dan jentera-jenteranya dalam masa yang sama tidak putus-putus sedang berusaha melencongkannya ke arah lain.


Ahli Umno bukan bisu, pekak dan buta tetapi totok, Mahathir?

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Nampaknya Tun Mahathir semakin tertekan dan resah apabila mendapati tidaklah begitu mudah untuk menaikkan shahwat politik rakyat, terutama ahli-ahli Umno supaya melakukan reformasi.
 
Umumnya, kempen yang digerakkan atas nama Selamatkan Malaysia tidak mendapat reaksi rakyat yang dihajatinya. Meskipun sebelum ini beliau sudah cuba berjinak dengan kempen Bersih 4, namun reaksi rakyat masih agak suram.
 
Maka beliau pun melampiaskan kekecewaannya terhadap ahli-ahli Umno yang disifatkan buta, pekak dan bisu kerana tidak menyahut gendang perang yang dipalunya untuk bangkit menjatuhkan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak. 
 
Keresahan Mahathir terhadap sikap Umno yang tidak peka akan perjuangannya itu mendapat reaksi sinis daripada satu-satunya ahli Umno yang pernah mencabar hegemoni politiknya dalam parti itu – Tengku Razaleigh Hamzah.
 
Dengan berseloroh Tengku Razalegih menyindir apakah baru sekarang Mahathir sedar bahawa ahli-ahli Umno itu bisu, pekak dan buta? 
 
“Bukan sekarang. Sejak dulu lagi ahli Umno memang bersikap begitu,” katanya dengan bersulam senyum sinis. 
 
Tengku Razaleigh memang arif soal sikap ahli Umno. Pada tahun 1987, beliau mencabar kedudukan Mahathir sebagai presiden Umno. Banyak isu – jambatan Pulau Pinang, Bangunan Dayabumi dan projek Proton – dibangkitkannya.
 
Projek-projek mewah ini dirumuskan sebagai pembaziran wang rakyat. Natijahnya ramai pula pemimpin kanan Umno menyertai Razaleigh.
 
Tokoh seperti Musa Hitam, Abdullah Badawi, Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad masuk kem Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Team B ketika itu. Namun dek kerana sikap buta, bisu dan pekak ahli-ahli Umno, Team B gagal.
 
Sebenarnya istilah yang digunakan oleh Mahathir terhadap apa yang dianggap sikap-sikap negatif ahli Umno itu kurang wajar dan kurang adil. Ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh, Mahathir amat perlukan sokongan ahli Umno. 
 
Mahathir ketika itu tidak pula menganggap ahli Umno seperti Anwar Ibrahim, Najib Razak, Megat Junid Megat Ayob dan ramai lagi pemimpin Umno ketika itu sebagai buta, pekak, dan bisu. 
 
Bagi Mahathir mereka itu adalah pengikut setianya. Dalam menghadapi cabaran beliau amat memerlukan kesetiaan. Beliau sedar bahawa kesetiaan lahir bukan kerana beliau semata-mata sebagai presiden. 
 
Faktor lain seperti sayangkan parti dan perjuangannya, mahu perpecahan itu dihentikan segera dan juga sikap mengutamakan pemimpin atau sedikit fahaman feudal berbaur menjadi benteng pertahanan Mahathir. 
 
Mahathir kini dilanda kifarah 
 
Kini keadaan sebaliknya berlaku. Mahathir keluar Umno kerana menganggap ia sudah jadi parti Najib. Maka beliau mahu semua ahli Umno yakin kata-katanya bahawa Najib itu berbahaya pada Umno. 
 
Mahathir juga mahu ahli Umno yakin bahawa Umno akan ditimpa mudarat yang besar jika Najib terus memimpin Umno. Sebab itu, agaknya, Mahathir amat kecewa dengan ahli Umno kerana tidak melihat, mendengar dan yakin kata-katanya.
 
Lantas dirumuskan bahawa ahli Umno itu pekak, bisu dan buta. 
 
Mahathir silap perhitungan. Jika benar apa yang didakwanya bahawa Umno akan rebah jika terus dipimpin oleh Najib, beliau mesti ingat bahawa Umno masih wujud dalam gelanggang politik walaupun beliau pernah meramalkan Umno akan pupus jika terus dipimpin oleh Abdullah Badawi. 
 
Mungkin yang gagal melihat, mendengar dan memahami keadaan ialah Mahathir sendiri. Atau, lebih buruk lagi ialah beliau bersikap demikian kerana semakin lemas ditelan egonya sendiri. 
 
Dalam 22 tahun memerintah negara, Mahathir mungkin berasa beliau tiada berbuat kesalahan besar. Bacaan politiknya baik dan hampir semuanya tepat. Apa yang diajukan kepada ahli Umno diterima dengan senang hati. 
 
Ini membayangkan betapa Mahathir tidak faham pada konsep kesetiaan yang cuba diajukan oleh Timbalan Presiden Umno hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau adalah ahli Umno totok. 
 
Sebagai ahli Umno totok, Muhyiddin mahu buruk-baik Umno diselesaikan dalam Umno. Itulah sebabnya beliau masih keberatan meninggalkan Umno walaupu tidak bersetuju dengan Najib. 
 
Maka salahlah Mahathir bila beliau merumuskan ahli Umno itu buta, pekak dan bisu. 
 
Atau, mungkinkah Mahathir sengaja menyimpulkan demikian kerana mahu mengambil hati kawan-kawan politik barunya. Mungkin pada congakannya parti-parti pembangkang akan gembira jika ahli Umno diremehkan sedemikian.
 
Sikap sinis Mahathir hanya tingkatkan azam ahli untuk pertahan Umno
 
Kini beliau bukan ahli Umno. Justeru,  jika sebagai mantan presiden Umno, Mahathir merendah-rendahkan citra ahli Umno, beliau mungkin berkira, itu akan amat menggembirakan rakan-rakan pembangkangnya.
 
Benarkah demikian? Yang pasti ialah, oleh kerana nafsunya untuk mengkuburkan Umno, Mahathir kini memilih untuk bermulut celupar dan mengenepikan soal kenegarawanannya dan amalan politik budiman.
 
Semakin kuat beliau mempersendakan Umno dan ahli-ahlinya, semakin marak pula azam parti itu untuk menentangnya. Perkara ini pernah dialami oleh Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Rais Yatim dan mungkin Ibrahim Ali.
 
Oleh itu, berhentilah Mahathir berpolitik cara perempuan berkelahi dan menghamburkan apa sahaja yang boleh dikira akan menyakitkan hati lawan. 
 
Belajarlah daripada mesej yang baru sahaja disampaikan oleh bekas orang kepercayaan dan yang kini menjadi saingan nombor satunya – Anwar Ibrahim.
 
Kata Anwar, menjatuhkan Najib bukan anak kunci perubahan kepada kebaikan bagi negara ini. Yang penting usaha reformasi kerajaan dan institusi kehakiman serta memugar institusi lain harus dilipatkan-gandakan. 
 
Apakah Tun tidak faham maksud Anwar yang menegaskan perjuangan sekarang ialah melakukan reformasi untuk Malaysia yang bermula pada tahun 1998 apabila beliau cuba memadamkan kehadiran Anwar dalam politik negara.
 
Tidak ingatkah Mahathir bahawa ketika itu beliaulah yang bertindak mencemarkan wibawa pelbagai institusi negara kerana “masih bercawat ekor” sebab mahu terus kekal berkuasa.
 
Kini bila mencabar kuasa dan kepimpinan Najib, Tun Mahathir sebenarnya bukan berhadapan dengan ahli Umno yang lemah, buta, pekak dan bisu tetapi totok. Mereka adalah seberani, sedegil dan sesetia Anwar Ibrahim ketika mempertahankan Tun.