HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 November 2017

Kerjasama Umno-PAS beri manfaat kepada penyatuan ummah

AKHBAR RAKYAT



KERJASAMA antara Umno dan PAS sekiranya dimaterialisasi akan memberi manfaat kepada penyatuan ummah, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penyatuan di kalangan pimpinan politik beragama Islam, penting dalam memastikan kelangsungan Islam dan dasar berkaitannya di dalam negara boleh dicapai.

Bagaimanapun, beliau berkata hal mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu, terutamanya dalam pilihan raya, terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Setakat ini kita tak nampak pergaduhan antara Umno dan PAS, kalau benar boleh kita bekerjasama dengan lebih jauh, saya kira itu baik kerana kita bercakap tentang penyatuan ummah.

“Daripada kita bergaduh lebih baik kita bersatu,” katanya semasa menjadi panel kluster politik di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas soalan daripada peserta konvensyen yang mahu tahu sama ada Umno dan PAS perlu ada kerjasama politik. – Bernama 

Masalah sikap punca graduan sukar dapat kerja?

Oleh Rahman Imuda


Saya berpeluang menghadiri sebuah forum membincangkan perniagaan pertanian yang berkiblatkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Panel forum tersebut terdiri daripada seorang ahli akademik, seorang usahawan tani dan seorang politikus.

Saya tidak ada masalah dengan hujah ahli akademik dan ahli perniagaan pada forum kali ini, rasa tidak puas hati saya lebih tertumpu kepada hujah dikeluarkan politikus berkenaan topik yang diberikan.

Sepanjang forum, beliau kerap mengkritik masalah sikap yang ada pada masyarakat bumiputera dan graduan yang dikatakan tidak mengambil peluang atau berfikiran simplistik untuk “makan gaji” berbanding memulakan perniagaan.

Hujah ini dimainkan berulang-ulang sehingga saya terfikir kita nak ubah sikap macam mana lagi? Kita memang sedang menghadapi banyak masalah, dan tidak adil jika kita salahkan “sikap” semata-mata.

Sikap menjadi kambing hitam

Hujah “menyalahkan sikap” ini mengingatkan saya kepada satu forum di RTM berkenaan Bajet 2018, seorang ahli akademik “dikelaskan” pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkenaan “kontrak sosial” penyediaan universiti.

Ahli akademik itu juga konsisten menyalahkan sikap graduan yang didakwa “kurang kemahiran insaniah” dan memberi prespektif kerajaan tidak boleh disalahkan, jika negara menghadapi peluang pekerjaan yang kurang.

Sebenarnya sikap siapa yang ada masalah? Melalui forum ini juga politikus tersebut menyatakan contoh graduan yang memilih kerja sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) sebagai contoh “masalah sikap ingin makan gaji” yang kita hadapi.

Saya berpandangan hukuman seperti ini tidak adil, ramai graduan memilih untuk bekerja pada kadar gaji lebih rendah daripada kelayakan mereka bukan sebab masalah “sikap”, tetapi peluang pekerjaan yang kurang.

Seharusnya sebelum kita berbicara tentang sikap, kita harus melihat realiti yang sedang berlaku pada hari ini.

Bukan sikap graduan atau anak muda yang salah semata-mata, tetapi sikap mereka yang mempunyai kuasa juga harus dipersalahkan. Sikap menafikan “tekanan-tekanan” yang menyebabkan graduan/anak muda berkelakuan di luar norma.

Revolusi Industri 4.0

Saya ingin bertanya berkenaan peranan kerajaan dalam menyediakan petani/pengusaha produk berasaskan pertanian menghadapi Revolusi Industri 4.0 pada forum ini, malangnya masa tidak mengizinkan.

Pada hemat saya, sewajarnya isu inilah yang menjadi topik utama forum kerana ia melibatkan satu sudut pandang yang jauh ke depan, seiring TN50.

Apabila kita berkata tentang TN50 dan industri pertanian, sepatutnya sudah banyak instrumen yang sejajar Revolusi Industri 4.0 untuk membolehkan produk pertanian diniagakan dengan lebih laris.

Saya tidak nafikan instrumennya sudah ada, sebagai contoh Agro Bazar. Namun, perlu juga difikirkan untuk peniaga di kampung atau kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada internet atau teknologi.

Saya fikir daripada kita asyik memetik masalah sikap dalam mengeneralisasikan punca masalah, lebih baik kita menyediakan platform atau polisi untuk menghadapi masalah tersebut.

Platform dan polisi yang ditawarkan pula sepatutnya “up-to-date” dengan generasi TN50, dengan cara ini, ia akan menarik minat golongan muda yang didakwa menghadapi masalah sikap.

Adakah kita serius mengubah sikap?

Katakanlah kita bersetuju dengan kelompok yang mengatakan kebanyakan graduan dan anak muda menghadapi masalah sikap dan kurang kemahiran insaniah, seserius mana kita ingin menangani masalah ini? Dan dari peringkat mana kita ingin mendidik rakyat untuk menghindari masalah sikap dan kekurangan kemahiran insaniah ini?

Sebagai contoh, apabila profesor pendidikan yang dijemput RTM untuk membincangkan Bajet 2018 berkata, graduan ada masalah kemahiran insaniah (soft skill), sebab itu mereka sukar mendapat pekerjaan.

Adakah beliau boleh lepas tangan begitu sahaja tanpa mengakui institusi di bawah seliaan beliau juga menyumbang kepada kegagalan untuk menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi? Atau perlukah kita pergi ke bawah lagi; sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika? Soalan-soalan seperti itu harus dijawab dengan konkrit.

Jika kita ingin menjelang 2050 majoriti rakyat Malaysia bebas daripada masalah “sikap”, kita harus meneliti pada peringkat mana “sikap baik” itu harus dipupuk.

Wajib juga kita bertanya adakah sistem pendidikan kita (bermula dari prasekolah sehingga pendidikan tinggi) berada pada landasan betul untuk membentuk sikap didambakan.

Memberi teguran tentang sikap segelintir masyarakat kita tidak salah, tetapi memukul rata tanpa melihat kondisi sebenar adalah satu tindakan terburu-buru dan tidak adil. Umpama seseorang yang sedang tidur di atas timbunan beras menghukum pencuri yang kelaparan.

Saintis ramal gempa bumi meningkat tahun depan


NEW YORK: Jumlah gempa bumi kuat mungkin meningkat secara mendadak pada 2018 berikutan putaran bumi semakin perlahan secara berkala, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan satu kajian baharu.

Perubahan dalam kelajuan putaran bumi mungkin mencetuskan aktiviti seismik kuat tahun depan, terutama di rantau tropika yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, menurut kajian itu yang disiarkan dalam jurnal akademik Amerika Syarikat, Geophysical Research Letters

Bumi mengalami putaran semakin perlahan secara berkala yang mampu mengubah panjang masa sehari dengan satu milisaat, dan tempoh itu biasanya berlangsung selama kira-kira 5 tahun.

Ketika menganalisis rekod seismik bumi bagi tempoh 100 tahun lepas, penyelidik dari Universiti Colorado dan Universiti Montana mendapati tempoh menyaksikan putaran bumi perlahan sering diikuti oleh tempoh yang menyaksikan peningkatan ketara insiden gempa bumi kuat.

“Sepanjang tempoh ini, terdapat antara 25 hingga 30 gempa bumi kuat setahun. Selebihnya angka purata ialah kira-kira 15 gempa bumi kuat setahun,” kata Roger Bilham, antara penulis utama kajian itu

Tahun ini merupakan penghujung bagi tempoh 5 tahun bumi berputar secara perlahan sekali gus menandakan gempa bumi bermagnitud 7 atau lebih bakal berlaku.

“Bumi memberikan kita amaran lima tahun lebih awal berkaitan insiden gempa bumi yang bakal berlaku, dan ini adalah sesuatu luar biasa,” kata Bilham


Khatan Perdana: Kehadiran Jamal dibantah ibu bapa pelajar, dakwa Adun Pas

 
Khatan Perdana: Kehadiran Jamal dibantah ibu bapa pelajar, dakwa Adun Pas


Ibubapa dari sebuah Sekolah Kebangsaan Pandan Indah didakwa tidak menyenangi kehadiran Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini.

Jamal hadir untuk merasmikan program Khatan Perdana 2017 anjuran Pemuda Umno Bahagian Pandan.

Iskandar Abdul Samad
Datuk Iskandar Samad

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka Datuk Iskandar Samad berkata, ibubapa pelajar mempertikaikan kesesuaian Jamal untuk satu program di dalam sebuah sekolah kebangsaan dan berinteraksi dengan pelajar-pelajar memandangkan reputasi Jamal yang banyak terlibat dengan pelbagai kontroversi.

“Dengan itu beliau bukan satu contoh yang baik bagi generasi muda.

“Sebelum ini beliau terlibat dengan tindakan-tindakan ganas seperti memecahkan botol-botol di tempat awam iaitu di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Beliau juga telah melakukan demonstrasi membawa kereta-kereta jenazah dan mengusung katil-katil di hadapan bangunan tersebut mengkibatkan orang ramai tidak dapat berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan di situ.

Selain dari itu beliau juga mengadakan demonstrasi di situ dengan hanya bertuala.

“Maka wajar para ibubapa membantah kehadiran Jamal di sekolah tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Iskandar turut mempertikaikan keputusan untuk membenarkan Pemuda Umno Bahagian Pandan menganjurkan program di sekolah itu.

“Sebelum ini kami menerima laporan bahawa seorang guru telah diberikan surat tunjuk sebab kerana kononnya membawa pemimpin kerajaan negeri ke dalam sekolah.

“Kementerian dan Jabatan yang terlibat perlu adil. Jika Umno dibenarkan menganjurkan program di sekolah kebangsaan maka parti-parti lain seperti Pas dan PKR juga perlu dibenarkan.

“Sikap pilih kasih dan “double standard” ini tidak sepatutnya dimiliki oleh kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab ke atas generasi yang menjadi harapan negara di masa akan datang.

“Saya juga ingin bertanya kepada mereka, “Adakah pelajar-pelajar sekarang akan diajar untuk memecahkan botol-botol di tempat awam atau memakai hanya tuala di khalayak ramai?Mungkin ini wawasan baru Kementerian Pendidikan,” katanya.

Milik siapa RM11 juta?


 
Milik siapa RM11 juta?

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dilapor menemui wang tunai dianggar mencecah RM11 juta dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Kota Kinabalu kira-kira jam 1 pagi hari ini.

Serbuan Op Gegar di sebuah hotel dan pangsapuri sekitar ibu negeri Sabah itu hasil maklumat berhubung kegiatan pelacuran di lokasi terbabit.

“Semua wang tunai itu dianggarkan bernilai kira-kira RM11 juta dan proses pengiraan masih dilakukan setakat ini,” kata sumber dipetik dari Astro Awani.

Tahun lalu, Sabah turut menyaksikan rampasan wang tunai dalam kuantiti yang menggemparkan hasil operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jumlah wang yang ditemui di beberapa lokasi itu dikatakan sebagai terbesar pernah disita oleh SPRM berkaitan kes rasuah.

Sehubungan itu, bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan dua lagi berhadapan dengan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM61.48 juta serta memiliki barang mewah daripada aktiviti haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, 11 Ogos lalu menangguhkan perbicaraan kes tersebut dan menetapkan 17 hari perbicaraan antara 5 Februari dan 22 Mac tahun depan.

Hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan, Terengganu esok


Hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan, Terengganu esok


Hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan dan Terengganu sehingga esok, menurut Jabatan Meteorologi.

Menurut kenyataan di laman sesawang jabatan itu, hujan lebat juga dijangka berlaku di daerah Kuantan; Pekan; Rompin; Jerantut dan Maran di Pahang serta daerah Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Dalam pada itu, jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori kedua) di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga Isnin ini.

Katanya, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj selain ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan berkenaan serta berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Tiga beradik Tionghua curi tumpuan berkhatan beramai-ramai


 
 Tiga beradik Tionghua curi tumpuan berkhatan beramai-ramai



Majlis berkhatan anjuran Rukun Tetangga (KRT) Taman Mahsuri dekat Jitr,Kedah mencuri tumpuan dengan kehadiran tiga beradik berketurunan Tionghua untuk dikhatankan di Dewan Orang Ramai Taman Mahsuri, hari ini.

Lee You Jin, 4;Lee You Quan, 7 dan Lee Ming Xuan, 10 dikhatankan bersama-sama 57 peserta lain berusia empat hingga 11 tahun.

Menurut bapa mereka Lee Kaw Seng, 40 , keputusan untuk mengkhatankan tiga anaknya itu dibuat selepas mendapat pelawaan daripada rakan-rakannya yang berbangsa Melayu.

“Saya tak paksa mereka tetapi mereka yang nak berkhatan dalam majlis itu kerana kami tahu kebaikan berkhatanan dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang daripada anaknya, Ming Xuan berkata pada mulanya dia berasa takut, namun selepas mendapat kata-kata semangat dari rakan-rakan Melayu perasaan itu hilang.

“Seronok, sakit sikit saja… saya lega dah selamat bersunat dengan kawan-kawan lain dan selepas ini boleh bermain seperti biasa,” katanya.

Lee Ming Xuan, 10 (kiri), Lee You Quan, tujuh (dua kiri) dan Lee You Jin, empat (tiga, kiri) turut menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Kawasan Rukun Tetangga Taman Mahsuri di Dewan Taman Mahsuri hari ini. -Foto Bernama.

Nenek mereka,Bok Yat Choo, 59, berkata amalan berkhatan tidaklah asing bagi kaum mereka malah dia turut membuat persiapan termasuklah mengenal pasti makanan pantang agar mereka cepat sembuh.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Mahsuri, Ahmad Shaker Ahmad berkata majlis yang julung kali diadakan berkenaan mendapat sambutan luar biasa dengan 60 peserta berbanding sasaran hanya 50 orang.

Terdahulu, kanak- kanak tersebut diraikan dengan pancutan air jentera bomba dan dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda daerah Kubang Pasu Jerlun (KPJ) mengelilingi sekitar taman tersebut.

Anggota polis dipercayai tembak ahli perniagaan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Seorang ahli perniagaan cedera leher akibat ditembak tiga penyamun di kediamannya dekat Jaya Gading, di sini, pagi tadi.
 
Dalam kejadian jam 5.58 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini bagi rawatan lanjut.
 
Memetik sumber yang dilaporkan BH Online, suspek yang melihat mangsa terbaring atas lantai bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta PERODUA Axia.
 
"Seorang daripada suspek tercicir dompet, namun hasil semakan lanjut mendapati dia dipercayai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes mengikuti Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
 
 

Bom Mesir: Tiada rakyat Malaysia terlibat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden serangan di Masjid Al Rawdah, yang terletak antara Bandar Bir Al Abed dan Al Arish, Sinai Utara, Mesir, semalam.
 
Kementerian itu dalam satu kenyataan, berkata Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku ketika solat Jumaat itu yang sehingga kini mengorbankan 235 nyawa dan mencederakan 109 yang lain.
 
Katanya, kerajaan turut merakamkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Republik Arab Mesir selain keluarga serta mangsa yang terbabit dengan insiden itu.
 
"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan terus memantau perkembangan berhubung serangan itu.
 
"Rakyat Malaysia yang berada di Mesir diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka," kata kenyataan itu.
 
Maklumat lanjut, hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +2023761 0013 atau +2 012 0027 6388 atau e-mel ke mwcairo@kln.gov.my.
 
Dalam kejadian semalam, sebutir bom meledak di Masjid Al Rawdah di Wilayah Sinai utara, Mesir dan ia diikuti serangan bersenjata oleh beberapa penyerang ke arah jemaah yang melarikan diri.
 
Masjid yang terletak kira-kira 40 kilometer di barat ibu kota Sinai di Utara El-Arish itu, sering dikunjungi penganut Sufi yang dianggap kumpulan Daesh dan Islam lain sebagai sesat.
 
 

Kukuhkan jentera penerangan Umno, kata Annuar Musa

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula pada 5 Disember ini dilihat akan menjadi 'push factor' kepada rangkaian jentera penerangan Umno untuk lebih agresif, kreatif dan inovatif.
 
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata fikiran yang terkehadapan dari seteru politik lain amat penting ketika ini sebagai persediaan pergerakan jentera penerangan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa sahaja.
 
Beliau berkata, buat pertama kali sempena PAU tahun ini, satu Konvensyen Penerangan dan Media akan diadakan pada 5 Disember ini dan dijangka membabitkan penyertaan lebih 1,500 pemimpin kanan jentera penerangan Umno seluruh negara.
 
"Konvensyen khas itu bakal dirasmikan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sebelah pagi.
 
"Pada petang pula, jentera penerangan yang hadir seramai 4,000 orang merangkumi tenaga kerja parti dari peringkat akar umbi termasuk pemimpin biro politik dan sebagainya akan mendengar taklimat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Konvensyen ini sebagai satu 'kick-off' kepada jentera penerangan Umno selain membentuk mood kesiapsiagaan sekali gus mewujudkan mentaliti menang sebagai persediaan rapi menempuhi PRU akan datang," katanya dipetik BH Online.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jentera Ketua Penerangan Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sudah mengarahkan sebanyak 133,580 ketua penerangan dan setiausaha di seluruh negara untuk pertingkatkan intensiti pergerakan jentera penerangan parti melalui pelbagai program di kawasan masing-masing.
 
Katanya, jentera ini digerakkan serta-merta dan bukan sahaja terbabit secara langsung dalam ceramah, malah pelbagai program lain lagi dalam usaha menarik minat rakyat.
 
"Jentera penerangan Umno diminta berfikir lebih kreatif dan inovatif supaya tidak terlalu bergantung sepenuhnya terhadap kaedah ceramah secara konvensional.
 
"Justeru, penerangan Umno akan terus menumpukan kepada program 'Perjuangan For All' di mana sehingga kini sebanyak 17 siri telah diadakan dan program dalam talian 'Anda Tanya, Kita Jawab menerusi portal Umno online. "
 
Selain itu, kita wujudkan satu lagi pendekatan baharu iaitu jelajah 'Mobile LED'. Pelbagai jenis program dan aktiviti boleh diadakan secara santai dan fleksibel di mana sahaja menggunakan trak sebagai pentas," katanya.
 
Ditanya sejauh manakah keberkesanan program penerangan Umno, beliau berkata sudah ramai rakyat Malaysia dapat memahami setiap penjelasan yang dibuat terutama membabitkan penjelasan daripada isu yang sengaja dibangkitkan puak pembangkang.