HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Januari 2018

Mahfuz hanya beri alasan - Takiyuddin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata apa sahaja alasan yang diberikan Datuk Mahfuz Omar untuk meninggalkan parti semalam adalah semata-mata menutup tindakan yang sudah lama ingin dilakukannya.
 
"Alasan yang diberikan Datuk Mahfuz Omar untuk meninggalkan Pas adalah tidak munasabah," katanya.
 
Takiyuddin memaklumkan menerima surat keluar parti dari Mahfuz pada jam 5.04 petang semalam dan mengesahkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu bukan lagi ahli PAS selepas jam 11.59 malam semalam.
 
Mahfuz yang bersama dengan parti tersebut sejak 34 tahun lalu mengumumkan keluar daripada PAS dalam satu sidang akhbar berkuat kuasa tengah malam semalam.
 
Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum putuskan untuk menyertai sebarang parti politik sehingga selesai tempoh bertenang bagi dirinya.
 
Mahfuz sebelum ini dilihat cenderung kepada Amanah apabila kerap kali hadir menyokong program yang dianjurkan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
 
Malah Mahfuz pernah menyatakan kesediaan mewakili PH berbanding kekal bersama PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar berkata, beliau percaya Mahfuz dan mereka yang sejenis dengannya akan tinggal sejarah dalam politik tanah air.
 
 

Orang Ampang kenal saya, kata Zuraida Kamaruddin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Rakyat Ampang kenal saya', kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin selain yakin isu lama atau dakwaan skandal membabitkannya tidak akan menjejaskan kepercayaan pengundi kawasan itu.
 
Beliau juga yakin pengundi akan kekal setia menyokongnya jika diberi peluang untuk sekali lagi bertanding di kerusi Parlimen itu.
 
“Oleh itu, rakyat akan terus sokong kami,” katanya di petik portal FMT, hari ini.
 
Zuraidah sebelum ini dituduh hidup mewah dan mempunyai sembilan buah kenderaan.
 
Perkara itu dinafikan Zuraida sebaliknya menjelaskan beliau hanya memiliki tujuh kereta dan sebuah motosikal yang didaftarkan di bawah namanya, namun hanya sebuah daripada kenderaan itu digunakannya sendiri.
 
Jelasnya, tiga kenderaan lain digunakan ahli keluarganya dan baki tiga lagi untuk kegunaan parti yang masing-masing dibiayai individu atau pihak yang menggunakannya.
 
Zuraida dalam pada itu berkata PKR perlu memastikan semua kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas dipertahankan sebelum mengintai untuk turut bertanding di kerusi lain termasuk milik PAS.
 
“Kami akan menjalankan kajian prestasi dan pilih calon sesuai untuk bertanding di kerusi PAS di Selangor.
 
“Kami perlu mengekalkan kerusi Bukit Antarabangsa dan cuba mendapatkan Lembah Jaya, yang kini dipegang wakil PAS.
 
“Kami perlu mengekalkan apa yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu dan berjuang untuk merampas kerusi lain.
 
“Kali ini, ia benar-benar penting untuk kami mempertahankan Ampang bersama kami kerana kami berikrar mahu menawan Putrajaya," katanya.
 
Zuraida ialah ahli Parlimen selama 2 penggal daripada PKR. Pada PRU lalu, beliau menang dengan 41,969 undi menewaskan Rozaidah Talib daripada Umno yang meraih 28,691 undi.
 
Pada 2008, beliau memenangi kerusi itu dengan 26,995 undi mengalahkan wakil Umno, Azman Wahid yang memperoleh 23,319 undi.
 
Walaupun kemungkinan besar berlaku pertandingan tiga penjuru, Zuraida berkata, peluang PKR menang adalah tinggi.
 
“Kami sentiada dalam ‘mood’ berkempen. Kami rapat dengan rakyat di peringkat akar umbi.
 
“Kami hanya menghadapi masalah tertentu berkaitan dasar kerajaan persekutuan terhadap warga asing.
 
“Saya sudah bangkitkan isu ini kepada kerajaan persekutuan di Parlimen supaya mereka boleh menubuhkan sebuah badan mengenainya, tetapi belum ada respons lagi,” katannya lagi.
 
 

Lebuhraya Persekutuan bebas tol

 
Pemansuhan Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga bertujuan mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
 
 
noh-tol-2

SHAH ALAM: Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga di sini ditamatkan secara rasmi tepat 12 tengah malam tadi dengan palang tol di kedua-dua plaza berkenaan diangkat sambil diiringi sorakan orang ramai.

Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan bermula 15 November 1993 dan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Pemansuhan itu dirai dalam satu majlis kesyukuran ringkas di Plaza Tol Sungai Rasau dengan kehadiran Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh.

noh-tol-1

Pada majlis berkenaan, PLUS yang diwakili Pengarah Urusan Datuk Azman Ismail menyerahkan secara rasmi surat serah kuasa pembatalan tol kepada Ismail.

Pemansuhan kutipan tol itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 270,000 penduduk Shah Alam dan Klang yang akan menikmati penjimatan antara RM48.40 dan RM126 sebulan.

Susulan pemansuhan tol itu, operasi dan penyenggaraan jajaran Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya.

LIHAT VIDEO DI SINI

PAS tak perlu pertikai permohonan maaf Tun M, kata Mukhriz

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu mempertikai permohonan maaf yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengaitkan ia dengan adat Melayu dan tuntutan Islam.
 
Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mengulas kenyataan Hadi terhadap permohonan maaf Pengerusi PPBM itu, Sabtu lalu.
 
"Kita anggap (adab) Melayu itu Islam. Yang mana baik dalam adat kita tentunya berpunca dari Islam. Apabila beliau kata sebagai orang Melayu, itulah yang kita buat. Jika ia tak bertentangan malah sebahagian amalan orang Islam, maka tak perlu pertikai. 
 
"Lainlah jika bertentangan adat Melayu apa yang diajar oleh agama, itu menjadi masalah. Jika sama, mengapa hendak timbulkan isu?," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Hadi pada semalam berkata Dr Mahathir memohon maaf tetapi tidak mengakui kesalahannya yang dilakukan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.
 
Ahli Parlimen Marang itu juag mempertikai pendirian Dr Mahathir bahawa permohonan maafnya itu dilakukan atas dasar adat Melayu, sebaliknya kata Hadi, ia perlu dibuat berpaksikan konsep Islam.
 
Terdahulu Dr Mahathir, ketika berucap di pentas Mesyuarat Agung tahunan (AGM) PPBM 30 Disember lalu, memohon maaf atas kesalahan lampaunya, namun tidak memperincikan butirannya.
 
"Itu memang adat orang Melayu, jika telah menyinggung perasaan mana-mana pihak atas kenyataan atau tindakan kita. 
 
"Kita mohon maaf secara am, umum. Tak perlulah disebut satu per satu apa kesalahan kita, itu mengaibkan diri pula," kata Mukhriz lagi.
 
Pengerusi PPBM itu kerap didesak untuk memohon maaf di atas rekod pemerintahannya yang dicalar dengan penangkapan musuh-musuh politik termasuk pemimpin PKR dan DAP di bawah Ops Lalang. 
 
Beliau juga dituduh bertanggungjawab di atas penahanan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 selepas memecatnya daripada kerajaan dan Umno, selain didesak oleh penyokong pembangkang untuk akur dan memohon maaf di atas tindakan-tindakannya sebelum ini yang mengekang kebebasan kehakiman, hak asasi manusia serta pembaziran, pemborosan dan politik wang  semasa pemerintahannya. 
 
PAS juga sebelum ini meminta Dr Mahathir bertanggungjawab dan meminta maaf atas peristiwa Memali yang terjadi pada 1985 yang telah mengorbankan 17 nyawa penduduk dan annota keselamatan.
 
Mengulas lanjut Mukhriz kemudiannya bertanyakan apakah Hadi sendiri mahu meminta maaf atas Amanat Hadi yang didakwa mencetuskan tragedi berdarah Memali.
 
"Jika Hadi bercakap begitu, bila pula Hadi hendak meminta maaf mengenai Amanat Hadi yang mencetuskan polemik antara yang beragama Islam selama ini? Sampai ke hari ini saya tak pernah dengar dia menarik balik atau memohon maaf atas amanatnya itu. Walaupun orang yang dikafirkan ketika itu menjadi sahabat baiknya iaitu Umno.
 
"Bayangkan apa perasaan orang Melayu-Islam yang mengikuti Amanat Hadi yang solat dua imam, ada bercerai berai, hubungan antara keluarga pun retak, kerana Amanat Hadi itu," katanya. 
 
Sementara itu, Mukhriz turut menafikan tindakan berdiam diri golongan mufti terhadap Amanat Hadi disebabkan campur tangan politik di dalam pentadbiran, sebagaimana didakwa Hadi, semalam.
 
"Jika kita fikirkan logik di sebalik kenyataan Hadi, ia seolah-olah tak masuk akal. Bagimana amanat yang dikeluarkan pemimpin pembangkang tak boleh disanggah oleh ketua-ketua agama, khususnya mufti di peringkat negeri? Walhal mufti itu berkait dengan kerajaan, bukan pembangkang.
 
"Jika tidak ketua-ketua kerajaan akan paksa mereka mengeluarkan fatwa mengenai Amanat Hadi dan tentunya akan beri kesan," katanya.
 
Hadi berkata tindakan berdiam diri golongan agama terhadap Amanat Hadi yang dikaitkan dengan peristiwa Memali disebabkan tiada pemisahan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman.
 
Respon itu menyusul selepas Dr Mahathir mempersoal mengapa tiada kenyataan dikeluarkan oleh golongan agama atas isu kafir-mengkafir sesiapa yang tidak menyertai PAS.
 
 

DAP: Mahfuz keluar PAS kerana perjuangan politik yang sesat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGETOWN: DAP berkata keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar parti itu pada semalam, disebabkan perjuangan PAS yang semakin sesat.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata tindakan itu diambil Mahfuz kerana kecewa PAS kini dilihat mesra berdampingan dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Jelas di sini bahawa Mahfuz hendak memastikan ada satu pakatan pembangkang yang kuat untuk melawan BN. 
 
"Kerana, sudah nampak dari segi politik perjuangannya, politik PAS sesat. Sesat sampai dipuji oleh Umno.
 
"Kalau anda dari politik ini, di mana pembangkang dipuji baik oleh parti pemerintah, maka lingkuplah," kata Lim pada satu sidang media hari ini selepas majlis penyerahan cek kepada Hospital Kanser Mount Miriam di Komtar.
 
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Mahfuz yang mengambil langkah meninggalkan parti berteraskan Islam itu kerana mahu sebuah pakatan pembangkang yang kuat menentang BN dalam PRU14 akan datang.
 
Terdahulu Mahfuz, pada semalam mengumumkan keluar parti berkuatkuasa 11.59 malam tadi kerana kecewa usaha untuk menarik PAS bekerjasama dengan gagasan pembangkang menemui kegagalan.
 
Bekas Ketua Penerangan PAS itu bagaimanapun tidak mengumumkan parti mana yang akan disertainya selepas ini.
 
 

Jemaah umrah dijangkiti MERS-CoV selepas sentuh unta, minum susu mentah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang selesai mengerjakan umrah dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) selepas didapati eminum susu unta mentah dan bersentuhan dengan unta ketika melawat ladang haiwan berkenaan ketika di Tanah Suci.
 
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan berkata pesakit terbabit berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.
 
Mangsa berusia 55 tahun berasal dari Selangor dan tiba di Malaysia pada 23 Disember lalu.
 
"Pada keesokan harinya, beliau mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki. Pesakit seterusnya mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran rumahnya dan beliau menerima rawatan sebagai kes demam.
 
"Pada lewat malam 28 Disember, beliau datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
 
"Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali dari menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember dan ujian pengesahan seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember mendapati positif sindrom berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak rapat pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat yang dinaiki pesakit.
 
Malah, amalan pencegahan dan kawalan infeksi dalam kalangan anggota kesihatan turut dipertingkatkan di semua peringkat selain pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terbabit dalam mengendalikan kes berkaitan.
 
Beliau menjelaskan, merujuk kepada laporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga kini punca dan cara jangkitan sebenar MERS-CoV masih belum dikenal pasti.
 
 

‘PAS boleh menang di kubu kuat, tetapi bukan di seluruh negara’

 
Penganalisis politik berkata, sukar untuk PAS yang berjuang bersendirian merampas kerusi Parlimen di negeri lain di luar Kelantan dan Terengganu kerana komposisi demografi berbeza.


pas


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik meramalkan PAS tidak dapat memenangi lebih banyak kerusi di seluruh negara berbanding kerusi bermajoriti Melayu yang dimenanginya selama ini, khasnya di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kubu kuat parti Islam itu berada di pantai timur, di mana lebih 80% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

Oleh itu, sukar untuk parti itu menjangkau pengundi di negeri lain yang mempunyai pengundi berbilang kaum.

“Bagi PAS, kekuatan akar umbinya terletak kepada orang Melayu di utara dan bahagian timur utara Semenanjung Malaysia, khasnya di kawasan luar bandar.

“Parti itu memaparkan cara Islam untuk menarik perhatian orang Melayu di kawasan berkenaan. Ini permainan mereka sejak permulaan, jadi sukar untuk mereka bertanding di peringkat nasional,” katanya kepada FMT.

PAS memerintah Kelantan mulai 1959 hingga 1977 dan sejak 1990 sehingga kini, manakala Terengganu pula dari 1959 hingga 1962 dan 1999 hingga 2004.

Ia turut mengetuai kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah dari 2008 hingga 2013.

Ketika pilihan raya umum lalu pada Mei 2013, parti itu berjaya memenangi kerusi Parlimen di 6 negeri. Ia memenangi 9 kerusi di Kelantan, masing-masing 4 di Terengganu dan Selangor, 2 di Perak dan masing-masing 1 di Kedah serta Pahang.

Fauzi berkata, untuk berjaya di peringkat nasional, sesebuah parti politik itu perlu mengambil kira kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, mana-mana parti yang berhasrat memerintah di peringkat persekutuan, bukan hanya di peringkat negeri, perlu menjadi sebahagian daripada sebuah gabungan yang mewakili pengundi berbilang kaum.

“Jika anda tidak berada dalam gabungan yang terdiri daripada orang berbilang kaum, maka anda perlu mengehadkan diri kepada kubu kuat anda. Kejayaan pilihan raya tidak boleh dicapai secara bersendirian.

“Jika PAS hendak memperluaskan pengaruhnya melangkaui orang Melayu, maka beberapa bentuk perjanjian politik perlu dicapai,” katanya.

Fauzi berkata, PAS perlu mengumpul pendapat daripada NGO berasaskan penyelidikan atau badan pemikir, jika ia mahu melebarkan sayapnya ke negeri lain yang bukan sebahagian daripada kubu kuatnya.

Beliau mempersoalkan jika parti itu sudah melakukan kajian profesional diperlukan, yang berbeza daripada kenyataan rambang yang disiarkan media.

“Jika PAS tidak mendapatkan data berasaskan kajian yang memberikan maklumat itu, ia adalah sukar (untuk mereka).”

Katanya, PAS juga perlu menunjukkan pemimpinnya ialah pemikir berwibawa yang boleh menterjemahkan visi politik Islam mereka sebagai realiti baik yang mampu menarik perhatian rakyat berbilang bangsa dan agama

Zuraida yakin pengundi Ampang terus sokong PKR

 
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, pengundi akan setia kepada PKR kerana beliau berkhidmat dengan baik dan masyarakat setempat berpuas hati dengan khidmatnya. 


zuraida-pkr


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang selama 2 penggal, Zuraida Kamaruddin percaya pengundi akan kekal setia kepada PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita PKR itu percaya khidmat yang diberikannya akan memuaskan hati penduduk Ampang.
“Oleh itu, rakyat akan terus sokong kami.”

Katanya, beliau sentiasa bersedia untuk bertanding semula di Ampang atau kawasan lain, yang merupakan satu penghormatan untuk berbuat demikian.

“Kali ini, ia benar-benar penting untuk kami mempertahankan Ampang bersama kami kerana kami berikrar mahu menawan Putrajaya.

“Kami perlu mengekalkan apa yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu dan berjuang untuk merampas kerusi lain.

“Kami perlu mengekalkan kerusi Bukit Antarabangsa dan cuba mendapatkan Lembah Jaya, yang kini dipegang wakil PAS.

“Kami akan menjalankan kajian prestasi dan pilih calon sesuai untuk bertanding di kerusi PAS di Selangor,” katanya.

Zuraida ialah ahli Parlimen selama 2 penggal daripada PKR. Pada PRU lalu, beliau menang dengan 41,969 undi menewaskan Rozaidah Talib daripada Umno yang meraih 28,691 undi.

Pada 2008, beliau memenangi kerusi itu dengan 26,995 undi mengalahkan wakil Umno, Azman Wahid yang memperoleh 23,319 undi.

Walaupun kemungkinan besar berlaku pertandingan 3 penjuru, Zuraida berkata, peluang PKR menang adalah tinggi.

“Kami sentiada dalam ‘mood’ berkempen. Kami rapat dengan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kami hanya menghadapi masalah tertentu berkaitan dasar kerajaan persekutuan terhadap warga asing.

“Di Lembah Jaya khasnya, terlalu ramai pekerja asing, termasuk Rohingya, Indonesia dan Iran.
“Ada dasar tidak jelas mengenai perumahan dan asrama untuk pekerja asing ini.

“Saya sudah bangkitkan isu ini kepada kerajaan persekutuan di Parlimen supaya mereka boleh menubuhkan sebuah badan mengenainya, tetapi belum ada respons lagi.”

Zuraida berkata, pengundi di Ampang mengenalinya dan beliau yakin sebarang isu lama atau skandal membabitkannya tidak akan menjejaskan peluang PH menang pada PRU14.


Salah guna ajaran Islam punca perpecahan umat Islam’

 
Pensyarah UUM itu menyokong kenyataan Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad mengenai kegagalan mufti bertindak terhadap fatwa yang menggelar orang tidak menyertai PAS sebagai kafir.


Mohamad-Faisol-Keling-2


PETALING JAYA: Islam sering disalahgunakan parti politik demi kepentingan peribadi, kata seorang ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Prof Madya Mohamad Faisol Keling, pensyarah di Kolej Undang-undanga, Pengajian Antarabangsa dan Kerajaan UUM mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung pertama parti itu, Sabtu lalu.

Bekas perdana menteri itu mempersoalkan tindakan mufti mendiamkan diri dalam beberapa isu penting suatu ketika dahulu, termasuk tragedi Memali pada 1985 yang menyaksikan 18 orang terkorban di Baling, Kedah.

Beliau yang merupakan perdana menteri ketika itu berkata, jika mufti bersuara dan campur tangan, tragedi berdarah itu mungkin dapat dielakkan.

“Mufti terbabit sememangnya gagal bertindak terhadap pengeluaran fatwa ekstrem pada 1980-an. Oleh itu, berlaku pertumpahan darah dalam kejadian Memali pada 1985.

“Ia jelas bertentangan ajaran Islam dan menyebabkan kehilangan nyawa dan perpecahan di kalangan umat Islam,” kata Faisol mengimbau kejadian itu.

Dr Mahathir turut mempersoalkan hak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa mereka yang tidak menyertai PAS sebagai kafir.

“Kenapa mufti yang merupakan penasihat raja-raja tidak memperbetulkan kenyataan mereka (PAS) mengenai individu tidak menyertai PAS sebagai kafir?

“Dalam konteks ini, saya lihat pandangan sesetengah ahli politik yang mendakwa satu sama lain sebagai kafir atau ekstremis bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Faisol kepada FMT.

Beliau turut memetik ayat al-Quran yang menekankan kepentingan perpaduan, menghormati dan melarang tindakan ekstrem melalui cara salah.

“Jadi, menuduh satu sama lain sebagai kafir jelas dilarang agama dan Tuhan,” katanya sambil menambah usaha mufti dan ulama menggesa perpaduan dan mencegah perpecahan dalam isu menggelar umat Islam sebagai kafir ini, nampaknya tidak berkesan.

Faisol berkata, ini membuktikan agama disalahgunakan ahli politik – melampaui ajaran Islam yang bertentang perintah Tuhan.

“Fatwa dipengaruhi secara negatif oleh politik dan Islam dilihat digunakan untuk kepentingan peribadi.”

Ogos lalu, Dr Mahathir menyalahkan pengikut guru agama yang rapat dengan PAS di Kedah, Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali Ibrahim Libya terlalu taasub dengan “Amanat Hadi” sebagai punca tragedi Memali tercetus pada November 1985.

Dalam tragedi itu, 4 anggota polis dan Ibrahim bersama 13 penyokongnya terkorban dalam operasi menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Hadi di Kampung Banggol, Kuala Terengganu pada 7 April 1981,
ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam amanat itu, Hadi didakwa mengatakan PAS menentang Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

‘Dr M tak faham Johor, kritik Forest City tak bantu pertumbuhan negeri’

 
Menteri besar Johor berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tindakan Dr Mahathir hanya menyerang projek Forest City yang hanya 0.01% meliputi Johor.


khaled-mahathir

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengingatkan rakyat negeri itu supaya tidak terpengaruh dengan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek pembangunan Forest City di Gelang Patah, dekat sini.

Katanya, kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyifatkan Forest City sebagai penjualan tanah kepada orang asing, tidak benar sama sekali.

“Tun Dr Mahathir kalau tidak kritik, itu memang bukan Tun Dr Mahathir. Dia memang hendak cari publisiti.

“Forest City hanyalah 0.01% sahaja meliputi negeri ini, jadi mengapa Tun Dr Mahathir hanya menghalakan perhatian dan fokusnya terhadap projek Forest City?

“Mengapa hanya peratus yang kecil itu diberi perhatian, jadi rakyat khususnya jangan mudah terpengaruh,” katanya selepas majlis pecah tanah Sekolah Agama Bandar Seri Alam 2, di sini.

Khaled berkata, projek Forest City merancakkan pertumbuhan negeri ini memandangkan Johor tidak mempunyai hasil daripada sumber asli penting dan berharga berbanding negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Johor tidak ada sumber asli besar, tidak ada minyak, gas dan kita tidak lagi galakkan penebangan balak. Kita tidak ada hasil. Jadi, kita bangunkan yang kecil (Forest City) untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor kerana kalau tidak ada pertumbuhan ekonomi, kita tidak boleh bangunkan rakyat.

“Johor juga bukan macam Selangor yang terletak di Lembah Klang yang menerima tempias pembangunan kerajaan pusat. Johor kena fikir bagaimana cara hendak bangun sendiri. Jadi, dengan Tun Dr Mahathir mengkritik Forest City, dia tidak membantu, dia tidak faham tentang Johor dan dia hanya faham tentang Lembah Klang,” katanya.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM semasa berucap pada perhimpunan agung pertama parti itu di Shah Alam, Selangor, 2 hari lepas mendakwa Forest City merupakan satu lagi penjualan tanah kepada orang asing yang hasilnya digunakan untuk membayar hutang negara.

Sementara itu, Khaled berkata, kerajaan Johor memperuntukkan RM185.5 juta bagi membina 30 sekolah agama kerajaan Johor di seluruh negeri tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan Johor komited terhadap pemantapan pendidikan agama di negeri ini kerana ia merupakan sebahagian daripada matlamat dan aspirasi kerajaan negeri dalam memastikan sekolah agama terus relevan, selaras peredaran zaman serta teknologi.

Katanya, bagi menarik minat pelajar mengikuti pembelajaran di sekolah agama secara interaktif, kerajaan Johor turut membangunkan aplikasi digital dengan kos RM14 juta yang membolehkan murid mengikuti pembelajaran menerusi iPad.

Sehingga kini, terdapat 4 sekolah agama terlibat dalam projek perintis menggunakan aplikasi digital tersebut, antaranya sekolah menengah agama kerajaan Johor (Maahad) dan sekolah agama bandar di sini.