HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Januari 2018

Pegawai khas timbalan menteri tak bayar sewa rumah?

Manzaidi Mohd Amin
Laporan polis yang dibuat suri rumah berhubung kegagalan pegawai khas Timbalan Menteri menjelaskan bayaran sewa rumah.
 

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah membuat laporan polis ke atas seorang pegawai khas kepada timbalan menteri kerana dikatakan gagal membayar sewa rumah berjumlah RM1,950.

Suri rumah berusia 46 tahun itu turut kecewa dengan sikap pegawai khas berkenaan yang turut gagal menjelaskan bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM2,328.90 dan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) RM5,118.99 sepanjang menyewa rumah itu di Tanjung Chat, Kota Bharu.

Mengikut laporan yang dibuat pada 27 Disember lalu di Balai Polis Nilam Puri, suri rumah itu mendakwa, pegawai khas berkenaan yang berasal dari Pasir Puteh turut mencuri perabut dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Berikutan itu suri rumah berkenaan mendakwa terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 untuk membaiki rumah itu yang dikatakan mengalami kerosakan teruk sepanjang pegawai khas berkenaan menyewa.

Antara kerosakan yang dilaporkan ialah lantai, dinding, siling dan bilik air tetapi rumah itu belum siap dibaiki sepenuhnya.

Menurut suri rumah yang tinggal di Kampung Dewan Beta, dekat Kota Bharu itu, beliau bersama suami pergi ke rumah ibu bapa pegawai khas berkenaan di Pasir Puteh untuk menceritakan masalah dihadapinya. – MalaysiaGazette

Gara-gara mengintai ketika mandi, budak tiga tahun dicabul bapa saudara

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun menjadi mangsa cabul bapa saudaranya dalam satu kejadian malam tadi di sebuah rumah di Jalan Tiong Hua, Sibu.
 
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit memberitahu suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan kira-kira jam 11 malam tadi selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
 
Kejadian berlaku pada jam 8 malam itu disedari ibu mangsa selepas terdengar tangisan anak perempuannya dari dalam bilik bapa saudara mangsa.
 
"Ibu mangsa terus mencari mangsa dan mendapati anaknya berada dalam bilik abangnya (bapa saudara mangsa).
 
"Wanita itu terus mengetuk dan meminta suspek membuka pintu. Tidak lama kemudian, suspek membuka pintu dan mangsa terus lari keluar dari bilik sebelum suspek juga terus keluar dari rumah.
 
"Mangsa yang masih menangis memberitahu bahawa kemaluannya sakit. Pemeriksaan ibunya mendapati ada kesan darah pada kemaluan anaknya sebelum bergegas membuat laporan di Balai Polis Central Sibu malam tadi," katanya laporan Berita Harian.
 
Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan suspek.
 
"Suspek yang bekerja sebagai buruh mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu. Menurut suspek, suspek ternampak kanak-kanak itu mengintai semasa dia sedang mandi.
 
"Suspek kemudian keluar dari bilik air dan membawa kanak-kanak malang itu ke sebuah bilik sebelum membuka seluar mangsa dan cuba merogolnya, namun gagal selepas mangsa menjerit kesakitan dan menangis," katanya.
 
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
 
Suspek dijangka direman pagi ini di Mahkamah Sibu.
 
 

Jangan memandai-mandai ‘direct translation’ atau ‘google translation’

THE MALAYSIAN TIMES
 


IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi ingatan agar sebarang  notis atau pengumuman terutama jika dibuat dalam bahasa Inggeris tidak sewajarnya diterjemah secara langsung atau  menggunakan kemudahan enjin terjemahan di Internet.

Beliau berkata sebarang notis atau pengumuman perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu bagi mengelak kesilapan, terutamanya bagi tujuan penggunaan di peringkat antarabangsa.

“Jangan memandai-mandai ‘direct translation’ atau ‘google translation’,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kubu perlindungan bawah tanah perang dunia kedua binaan tentera British dekat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Sdn Berhad (LTSAS) di sini, hari ini.

Zambry mengulas insiden notis berbahasa Inggeris di pintu masuk Pusat Penerangan Pelancongan Perak di sini minggu lalu yang tular kerana mengandungi banyak kesilapan.

​​Notis tersebut memberitahu orang ramai bahawa itu ditutup pada 30 dan 31 Dis berikutan masalah talian Internet dan penyaman udara, namun hampir kesemua ayat menggunakan tatabahasa bahasa Inggeris yang kurang tepat.​​​​​​​

​​​​​​​Menjelas lanjut, Zambry berkata kesalahan penulisan notis tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada semua kakitangan kerajaan khusunya di negeri itu seterusnya mengelakkan ia daripada berulang.

Beliau berkata walaupun kesalahan itu dianggap kecil, namun ia bukan sahaja menjadi bahan jenaka malah mencerminkan ketidakseriusan dalam membuat arahan rasmi.

“Kepada semua pihak peristiwa ini menjadi ingatan sama ada pihak atasan atau bawahan, bahawa urusan rasmi kerajaan pengumuman adalah dalam bahasa Malaysia,” tegas beliau.

K’jaan Kelantan pertimbang tindakan undang-undang terhadap Husam

THE MALAYSIAN TIMES



KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berhubung tuduhan beliau terhadap penamatan kontrak sebuah syarikat bagi pembinaan Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 kilometer dari Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu di Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk meneliti kandungan ucapan Husam berhubung dakwaan yang dilemparkannya terhadap kerajaan negeri dalam satu majlis baru-baru ini.

“Sebenarnya kita tak tamatkan kontrak dengan syarikat terbabit (sebagaimana didakwa Husam), ia penamatan atas persetujuan bersama. Syarikat terbabit memaklumkan tak dapat nak teruskan kerja-kerja pembinaan kerana tekanan-tekanan tertentu.

Maknanya syarikat terbabit menyerahkan kembali projek berkenaan kepada kerajaan negeri dan kita setuju dengan penyerahan itu dengan syarat-syarat tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanifa berkata antara syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak termasuklah kerajaan negeri perlu membuat bayaran sebanyak RM50 juta kepada syarikat berkenaan berdasarkan kerja-kerja yang telah dibuat oleh syarikat itu sepanjang tempoh lapan bulan mereka melaksanakan kerja di tapak projek.

Beliau juga berkata syarikat berkenaan juga tidak akan membuat sebarang tuntutan tambahan terhadap kerajaan negeri dalam persetujuan berkenaan.

Hanifa berkata kerajaan negeri juga sedang menyiasat mengenai kebocoran dokumen sulit berkaitan projek berkenaan yang turut dikemukakan Husam pada majlis sama.

“Ini dokumen perjanjian penting dan kita sedang teliti kalau dokumen itu dilepaskan dengan apa (jua) cara oleh pihak syarikat atau pegawai-pegawai, maka kita akan ambil tindakan kerana membocorkan maklumat dokumen itu,” katanya.– Bernama

Pujukan 20 minit gagalkan cubaan bunuh diri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 di sebuah kondominium bersebelahan sebuah hospital swasta, di Jalan Raja Dihilir di sini pagi tadi.
 
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memujuk lelaki berkenaan.
 
Terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada jam 7.20 pagi. 
 
Katanya, sembilan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Ipoh dikerahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.
 
"Setibanya jentera bersama anggota di tempat kejadian didapati mangsa seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah peribadi sudah berada di luar pagar balkoni tingkat 12 itu, dipercayai cuba membunuh diri," katanya dipetik Berita Harian.
 
Syed Azrul Hizam berkata, keluarga dan jiran lelaki berkenaan sebelum itu cuba memujuk namun gagal.
 
"Selepas 20 minit, anggota bomba berjaya memujuk lelaki terbabit dan mencapai tangannya," katanya lagi. 
 
Beliau berkata, dua anggota kemudian bertindak membuat ikatan kemas pada lelaki itu sebelum membawanya ke tempat selamat.
 
 

Baik buruk cadangan 2 guru setiap kelas

 
Guru dan pakar pendidikan menyambut baik idea Kementerian Pendidikan itu tetapi mencadangkan beberapa penambahbaikan.


Noor-Azimah-Rahim-cikgu2

PETALING JAYA: Pakar pendidikan, guru, pesara guru dan kumpulan berkepentingan menyambut baik cadangan kerajaan melaksanakan sistem menempatkan 2 guru dalam sesebuah kelas, tetapi mencadangkan beberapa penambahbaikan.

Guru bersara, Siti Alawiah berkata adalah “memenatkan dan memerlukan banyak kesabaran” untuk mengendalikan murid yang begitu ramai.

Bercakap kepada FMT, beliau yang mengalu-alukan cadangan Kementerian Pendidikan berkata langkah yang lebih baik adalah untuk mempunyai program untuk meningkatkan kemahiran pengurusan oleh guru.

“Pengurusan kelas adalah kunci utama. Guru perlu tahu cara menguruskan kelas, tidak kira berapa ramai pelajar yang mereka ajar,” kata Alawiah yang pernah menjadi guru bahasa Arab dan pendidikan Islam, dan mengajar di sekolah dengan lebih 40 murid di dalam kelas.

Seorang guru sekolah menengah yang enggan dinamakan berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut jika kedua-dua guru terbabit mempunyai tahap kemahiran mengajar yang sama.

“Seorang akan berperanan sebagai pembantu guru.

“Untuk mempunyai 2 guru yang mengajar secara aktif di dalam kelas yang sama, ia tidak boleh diterima. Pelajar akan memilih guru kegemaran mereka. Ini akan menyebabkan ketidakpuasan antara guru tersebut,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim pula bersetuju kelas yang besar harus mempunyai guru utama dan pembantu guru, tetapi berkata mereka tidak boleh mempunyai kelayakan sama.

“Kita tidak boleh mempunyai 2 guru yang sama kaliber dalam 1 kelas,” katanya.

Sebaliknya, Azimah mencadangkan kementerian melihat kemungkinan mengurangkan saiz kelas.
“Sekiranya mereka boleh menyediakan seorang lagi guru, maka mereka boleh memecahkan kelas menjadi 2,” katanya.

Beliau turut mencadangkan sekolah tambahan dibina kawasan padat penduduk.

“Penyelesaian jangka panjang adalah membina sekolah lain berdekatan dan memastikan jumlah murid sentiasa kecil, seperti 600 orang. Semakin besar sekolah, semakin sukar untuk dikelola,” katanya.

Seorang pakar pendidikan juga menyambut baik cadangan sistem 2 guru setiap kelas.

“Ini adalah langkah yang baik dan perlu disokong kerana agak sukar bagi seorang guru untuk mengendalikan kelas besar, seperti yang mempunyai 40 murid,” kata Datuk Dr Zakaria Kasa, anggota Majlis Profesor Kebangsaan.

“Pembelajaran boleh berlaku dengan lebih berkesan”, katanya.

“Tetapi ia sangat bergantung kepada sikap dan komitmen guru dan pelajar itu sendiri.”

Beliau berkata banyak masalah disiplin seperti buli, dikaitkan dengan kesukaran menguruskan bilik darjah yang besar.

MERS-CoV: Pengendali umrah dinasihat tidak anjur lawatan ke ladang unta

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah dinasihatkan tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelakkan jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata lawatan ke ladang haiwan itu boleh mendatangkan risiko jangkitan MERS-CoV kepada jemaah umrah kerana jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona disyaki berpunca daripada unta.

Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan pihak kementerian menasihatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) untuk menasihatkan agensi pelancongan agar tidak menyediakan pakej lawatan ke ladang unta.

“Kementerian Kesihatan tidak boleh mengeluarkan larangan, jadi saya meminta kerjasama dua kementerian itu agar perkara ini boleh diumum dan dimaklumkan kepada jemaah umrah agar tidak perlu melawat ladang unta (di Tanah Suci) bagi mengelakkan daripada dijangkiti MERS-CoV,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kementerian itu memberikan respon positif dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan jangkitan MERS-CoV dalam kalangan jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat dapat dicegah.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata seorang lelaki warga Malaysia yang disahkan dijangkiti MERS-CoV telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil serta tidak bergejala.

Beliau berkata sejak 30 Dis lepas, pihaknya telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kontak seramai 70 orang melibatkan anggota keluarga serumah, saudara mara, sahabat handai dan anggota kumpulan pakej umrah yang disertai oleh lelaki berusia 55 tahun itu.

Aktiviti pengesanan turut dijalankan terhadap anggota kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta yang dilawati dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta penumpang-penumpang yang duduk berhampiran dengannya bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Dis lalu, katanya.

Daripada 70 orang itu, sembilan kontak mempunyai gejala ringan dan telah dimasukkan ke dalam wad isolasi serta didapati keputusan sampel mereka adalah negatif MERS-CoV, manakala 41 kontak rapat yang tiada gejala pula diletakkan di bawah arahan pengawasan di rumah iaitu selama dua minggu dari hari terakhir mereka mempunyai kontak dengan pesakit positif MERS-CoV, katanya.

“Bakinya yang tidak ada gejala telah diambil sampel dan kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Berhubung banjir pula, Dr Subramaniam berkata setakat ini tiada kemudahan kesihatan dan hospital di negeri-negeri dilanda banjir yang terjejas.

Beliau berkata pasukan perubatan juga telah ditempatkan di setiap pusat pemindahan di negeri yang terjejas banjir bagi memastikan mangsa menerima makanan dan minuman yang bersih selain mengekang kemungkinan penularan penyakit berjangkit.

“Kita akan terus memantau dan memeriksa di pusat-pusat pemindahan bagi menghindari jangkitan penyakit, wabak dan kes berisiko serta meningkatkan tahap keselamatan mutu air minum dan makanan,” katanya.– Bernama

Tindakan umum calon PM langkah terburu-buru - Syed Husin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Wujud tentangan daripada beberapa pihak berkenaan cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku calon rasmi Perdana Menteri gabungan itu.
 
Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali mempersoal mengapa Pengerusi PH itu terburu-buru untuk menamakan calon perdana menteri yang didakwa akan diumumkan 4 Januari ini. 
 
"Cekdet (Dr Mahathir) kata pada 4hb akan diketahui calon PM Harapan. Kenapa dia terburu-buru nak umumkan namanya?
 
"Lagi awal umum lagi banyak bangkai boleh digali," demikian tulisannya di akaun Twitternya.
 
 
Sebelum ini PH dijangka akan mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri yang rasmi pada konvensyen PH, Ahad ini.
 
Bagaimanapun wujud ura-ura tiada kesepakatan sama ada Dr Mahathir perlu dinamakan sebagai 'perdana menteri sementara' atau tidak.
 
Memetik sumber yang dilaporkan sebuah portal, pengumuman itu didakwa tidak akan diteruskan sekiranya tidak ada konsensus berhubung perkara itu menerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH, esok.
 
Terdahulu, menerusi permukiman PH yang berlangsung selama dua hari pada awal Disember lalu, dikatakan PH mencapai sokongan majoriti untuk menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya gabungan itu menang pada PRU14.
 
Bagaimanapun PKR tidak memberi sebarang kata putus atas cadangan itu kerana dimaklumkan ingin mendapat 'restu' dari Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.
 
 

Jawatan PM: Tun M ikut rakan komponen PH

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mengikut persetujuan kesemua empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bersabit soal penamaan dirinya sebagai calon perdana menteri gabungan itu.
 
Kata beliau, soal dicalonkan sebagai 'perdana menteri sementara' atau sebagainya bukan satu perkara besar memandangkan dirinya sudah berusia. 
 
"Saya berdiri di atas keputusan kesemua empat parti.
 
"Saya kini berusia 92 tahun, tahun ini menjangkau 93 tahun. Ketara sekali saya tak akan jadi apa jua perdana menteri sehingga saya berusia 100 tahun," katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan media sebelum ini, yang mengatakan tiga daripada empat parti komponen PH iaitu DAP, Amanah dan PPBM bersetuju untuk mencalonkannya sebagai perdana menteri jika gabungan itu berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak. 
 
Dilaporkan keputusan itu dicapai dalam pemukiman PH selama dua hari awal Disember lalu.
 
Bagaimanapun PKR tidak memberi sebarang kata putus atas cadangan itu kerana dimaklumkan ingin mendapat 'restu' dari Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.
 
Ditanya sama ada beliau menjangkakan sebarang 'masalah' dengan PKR bersabit pencalonan itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak dimaklumkan mengenainya.
 
"Saya tak tahu, mereka tak beritahu apa-apa," ujarnya ringkas.
   
Malah laporan sebuah portal menyebut PKR lebih cenderung untuk menggunakan istilah 'perdana menteri sementara' mengenai pencalonan Dr Mahathir ke jawatan berkenaan.
 
Ditanya mengenai penggunaan istilah 'sementara' atau interim itu, Pengerusi PPBM itu berkata ia terpulang kepada PH. 
 
"Itu terpulang kepada mereka, kita kumpulan bebas dan boleh gunakan apa jua perkataan pun yang kita mahu," katanya.
 
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata soal sama ada calon perdana menteri akan diumumkan pada Konvensyen PH, Ahad ini, hanya akan diketahui esok ketika PH akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH.
 
"Saya tak boleh kata kerana kami belum putuskannya, mungkin esok, kita akan adakan mesyuarat PH, mungkin kalau mereka mahu, kita akan nyatakannya sama ada nak umum atau tidak (dalam Konvensyen PH). Esok kita tahu," ujarnya lagi. 
  


Selasa, 2 Januari 2018

MP berkecuali dicabar berterus terang dalam kempen PRU


MP berkecuali dicabar berterus terang dalam kempen PRU



Ahli parlimen yang berkecuali dalam isu-isu tertentu melibatkan kepentingan rakyat ketika persidangan dewan rakyat dicabar berterus-terang semasa kempen pilihan raya umum nanti.

Timbalan Ketua AMANAH kawasan Bachok Datuk Ismail Ghani berkata, adalah aneh bila mereka yang dipilih oleh rakyat untuk melawan parti pemerintah bertindak berkecuali.

“Dalam sistem kita hanya ada dua pihak dan di dewan rakyat ahlinya hanya ada dua kategori sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.

Datuk Ismail Ghani berucap di program Dialog Kedai Kopi (DKK) di Kampung Pauh Sembilan, Bachok kelmarin.

“Wakil rakyat bebas pun kalau mereka tidak menyokong kerajaan, diletakkan di bahagian pembangkang,” katanya ketika berucap di program Dialog Kedai Kopi (DKK) di Kampung Pauh Sembilan, Bachok kelmarin.

Datuk Ismail pernah berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jajahan (ADO) dan kemudiannya memegang jawatan Ketua Jajahan (DO) Bachok.

Tugas pembangkang katanya, bercakap bagi pihak rakyat yang teraniaya akibat dasar-dasar kerajaan dan tindakan-tindakan menyeleweng dalam pentadbiran negara.

“Dalam konteks kita sekarang, berlaku penyelewengan dalam pelbagai agensi kerajaan termasuk di peringkat tertinggi.

“Negara kita dikejutkan dengan isu 1MDB yang telah kecoh di seluruh dunia.

“Agensi-agensi utama seperti Tabung Haji, KWSP, Tabung Angkatan Tentera, Kumpulan Wang Pencen dan Felda kini penuh dengan kontroversi.

“Terbaru timbul isu tanah Felda berharga di tengah kota Kuala Lumpur bertukar tangan tanpa perolehan satu sen pun,” katanya.

Di tengah-tengah kemelut seperti ini menurut beliau, boleh wujud wakil-wakil rakyat berkecuali apabila diminta menolak rancangan kerajaan.

“Bagi saya ini satu pengkhianatan kepada rakyat.

“Seperti yang sentiasa saya diajar oleh arwah Tok Guru Nik Aziz, kita mesti membangkang kemungkaran dalam hal penyelewengan dana rakyat.

“Wakil rakyat seperti ini saya cabar bila bertanding dalam pilihan raya nanti berterus terang kepada rakyat bahawa mereka akan berkecuali bila berada dalam dewan rakyat selepas dipilih,” katanya.

Pada persidangan belanjawan akhir tahun lalu, ahli-ahli parlimen Pas dua kali bertindak berkecuali.

Pertama ketika pembangkang membuat keputusan mengundi untuk menolak bajet.

Kali kedua apabila pengundian dibuat untuk menolak perbekalan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNK) yang antara lain bertugas mengawal selia pelaksanaan GST.

Ahli parlilmen Bukit Gantang dan Rantau Panjang telah berkecuali menyebabkan pihak kerajaan menang dengan hanya satu undi.

Turut hadir di majlis itu adalah pengerusi AMANAH negeri Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah serta pimpinan AMANAH kawasan Bachok.