Aktivis
pekerja percaya pengeluar sarung tangan Top Glove mengetepikan
undang-undang buruh “secara tidak beretika” dengan melancarkan skim
membolehkan pekerjanya bekerja sehingga tujuh hari seminggu “secara
sukarela” dengan bayaran yang lebih rendah daripada kadar biasa.
Skim
“Heroes for Covid-19” ditubuhkan awal bulan lepas bagi menggalakkan
pekerja memperuntukkan empat jam daripada hari cuti mereka untuk membuat
bungkusan sarung tangan getah.
Ini bagi memenuhi lonjakan
permintaan daripada petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan lain
dari seluruh dunia dalam berhadadapan dengan pandemik Covid-19.
Bagi
pekerja kilang yang menerima bayaran rendah, ini bermakna, mereka harus
mengorbankan satu-satunya hari cuti mereka dalam seminggu.
Sepatutnya,
majikan perlu membayar 1.5 kali ganda lebih tinggi daripada bayaran per
jam biasa untuk hari cuti. Buat pekerja asing di kilang Top Glove, ini
sepatutnya bersamaan dengan RM11.54 sejam.
Bagaimanapun, pekerja
yang menyertai skim “Heroes for Covid-19” memberitahu Malaysiakini
mereka hanya dibayar RM32 untuk empat jam, atau RM8 sejam.
“Saya
langsung tak rasa macam hero,” kata seorang pekerja, yang akhirnya
mengambil keputusan menarik diri daripada skim itu setelah bekerja untuk
14 hari tanpa henti kerana tidak gembira dengan bayaran diterima.
Malah,
kata pekerja juga, tempoh bekerja pada waktu cuti itu tidak direkodkan
dalam slip gaji mereka, dan mereka turut diarahkan untuk tidak
mendaftarkan kehadiran mereka seperti kelazimannya.
“Tak masuk
akal dan gila untuk buat program ini, apabila pekerja dinampakkan
seolah-olah menjadi hero, tetapi mereka sendiri tak dibayar dengan
sewajarnya.
“Ia satu pemerdayaan, dan pemerdayaan adalah petunjuk
(berlakunya) pemburuhan secara paksa,” kata pengarah kumpulan hak asasi
North South Initiative, Adrian Pereira.
Tambahnya, tidak mengisi maklumat pada slip gaji juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang buruh.
Top Glove: Bukan kerja pada hari cuti, tapi kerja sukarela
Bagaimanapun,
Top Glove berkata waktu kerja dalam skim tersebut tidaklah dianggap
sebagai kerja pada hari cuti. Oleh itu, bayaran diberikan hanyalah
“token” buat “sukarelawan”.
“(Skim) Ini secara keseluruhannya
adalah program sukarela yang digerakkan bagi mendapatkan bantuan
tambahan untuk membuat bungkusan sarung tangan, bagi membantu derma
sarung tangan kepada petugas barisan hadapan dan pertubuhan lain, selain
untuk memenuhi lonjakan permintaan global,” jelas syarikat itu dalam
satu emel.
“Ganjaran RM8 yang diterima sukarelawan adalah token
penghargaan daripada syarikat untuk usaha mereka dan tidak dianggap
sebagai bayaran (gaji).
“Ganjaran RM8 itu juga diterangkan secara jelas sebelum (pekerja) menyertai program sukarela itu,” katanya lagi.
Top Glove menambah bahawa audit terkininya menunjukkan syarikat patuh dengan peraturan waktu kerja dan rehat yang ditetapkan.
Kata
syarikat itu lagi, secara purata, hanya 15 daripada 18,000 pekerja yang
mengambil bahagian dalam skim itu setiap hari, namun perbualan dengan
para pekerja pula memberi gambaran bahawa angka itu sebenarnya mungkin
lebih tinggi.
Di satu kilang, misalnya, seorang pekerja berkata
sekurang-kurangnya 10 pekerja bekerja pada hari cuti mereka untuk dua
minggu berturut-turut. Top Glove mempunyai 44 kilang pengeluaran
(manufacturing facilities).
'Mereka ingat kami tak berpelajaran dan bodoh'
Meskipun
Top Glove berkata “token” itu sudah diterangkan secara jelas,
sesetengah pekerja terkilan kerana ia jauh lebih rendah daripada apa
yang digariskan dalam kontrak yang mereka tandatangani di negara asal
masing-masing.
Sesetengah pekerja berkata mereka ada membangkitkan perkara itu kepada penyelia, tetapi mereka disuruh “diam”.
“Syarikat
ini fikir kami pekerja asing ini tak berpendidikan dan sangat bodoh,
jadi mereka buat banyak tindakan tak betul terhadap kami,” kata seorang
pekerja kepada Malaysiakini, yang tak mahu didedahkan identiti.
Aktivis
bebas hak asasi buruh, Andy Hall berkata layanan yang diterima oleh
para pekerja itu adalah “sangat tidak berperikemanusiaan”.
Meskipun
menganggap para pekerja itu sebagai “sebenar-benar hero” dalam
memerangi Covid-19, kata Andy, mereka masih tidak diberikan upah wajar
seperti yang layak diterima mereka.
“Hero-hero ini maklumkan
kepada saya bahawa mereka rasa terhina ditawarkan (bekerja) oleh
syarikat sarung tangan terbesar di dunia … hanya RM8 sejam untuk bekerja
di satu-satunya hari cuti mereka dalam seminggu.
Susah patuh penjarakan sosial di asrama
Kebanyakan pekerja di kilang Top Glove merupakan pekerja asing.
Dalam
masa beberapa minggu lalu, peningkatan kes jangkitan di asrama pekerja
asing di Singapura menimbulkan kebimbangan tentang keadaan pekerja asing
di Malaysia.
Top Glove memberi jaminan bahawa pekerja mereka
dipantau rapi selain dibekalkan dengan kemudahan penutup mulut dan
hidung serta pensanitasi tangan.
Bagaimanapun, gambar-gambar
pekerja di kilang berkenaan yang dilihat Malaysiakini, menunjukkan
bahawa garis panduan penjarakan sosial dilanggar.
Pekerja turut
mengadu bahawa mereka tidak dapat mengekalkan penjarakan sosial,
termasuklah di asrama yang menempatkan 24 lelaki dalam satu dorm 12
katil.
Kata mereka, keadaan semakin buruk semasa perintah kawalan
pergerakan, kerana pekerja tidak dibenarkan memasak dan tidak
digalakkan meninggalkan premis berkenaan.
“Di situlah kami
memasak, di situlah kami tidur. Tidak mungkin kami dapat kekalkan
penjarakan sosial dalam tempat sebegitu, di mana semua orang memasak,
makan dan tidur dalam satu bilik yang besar,” kata seorang pekerja.
Gambar yang diambil di dalam kilang menunjukkan pekerja turut tidak mengekalkan penjarakan sosial di tempat kerja.
Pekerja
bagaimanapun memberitahu, mereka dibekalkan dengan penutup hidung dan
mulut serta pensanitasi tangan, manakala suhu badan mereka diperiksa
setiap hari ketika memasuki kilang.
Tambah mereka, sesiapa yang
mempunyai suhu tinggi tidak dibenarkan bekerja dan dihantar ke klinik,
serta diminta tinggal di rumah sehingga pulih.
Memandangkan
syarikat tidak dapat menggaji lebih ramai pekerja asing ekoran penutupan
sempadan negara, Top Glove mengambil pekerja tempatan, dengan gaji
pokok ditawarkan sebanyak RM1,400. Ini hanyalah RM200 lebih tinggi
berbanding gaji pekerja asing.
Setakat ini belum ada kes positif
membabitkan pekerja Top Glove, tetapi pekerja asing di situ memberitahu
mereka bimbang dengan pertambahan pekerja tempatan baru.
“Bagi
kami, kami tahu kami cuma pergi kerja dan balik ke asrama. Tapi pekerja
tempatan keluar, pergi kedai, dan berjumpa orang-orang lain.
“Kami bimbang mereka mungkin dijangkiti, dan kemudian jangkiti kami pula,” kata seorang pekerja.