Bekas
menteri besar Negeri Sembilan Mohd Isa Abdul Samad hari ini dijatuhkan
hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas
didapati bersalah dalam sembilan pertuduhan rasuah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Kata Mohd Nazlan pihak pembelaan Mohd Isa gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes yang dibawa pihak pendakwaan.
Isa
sebelum ini dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk
dirinya sendiri. Dia didakwa menerima wang bernilai RM3.09 juta
daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd,
melalui Muhammad Zahid Md Arip.
Habuan berkenaan diberi kepada
Mohd Isa sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan Hotel Merdeka Palace
& Suites berharga RM160 juta.
Hotel yang terletak di Kuching, Sarawak itu dibeli oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mempertikaikan cara kerajaan menguruskan Covid-19 apabila menyifatkan
Malaysia terkebelakang dalam bertindak untuk mendapatkan vaksin.
Membandingkan dengan negara jiran khususnya Indonesia yang telah mula
menerima vaksin sejak Disember tahun lalu kata beliau, sepatutnya
kerajaan melaksanakan strategi proaktif supaya rakyat dapat menerimanya
lebih awal.
Anwar turut mendakwa beberapa isu melibatkan kos, jumlah dan tender vaksin Covid-19 tidak jelas.
“Strategi-strategi tentang vaksin. Sepertimana yang kita tahu ini
juga sangat membimbangkan kerana negara-negara jiran telah pun berjaya
dan kita telah mendengar pelbagai alasan untuk pertahankan keputusan
kerajaan sebelum ini.
“Tapi soalnya, kenapa Indonesia, Singapura lebih jauh lebih berjaya
dapat mengambil tindakan lebih awal dan memulakan suntikan vaksin kepada
ramai rakyat dan ada yang sudah masuk pusingan kedua (dos suntikan
kedua).
“Kita masih terkebelakang. Jadi strategi itu harus jelas bukan hanya
mengumumkan 27 Febuari akan sampai. Untuk siapa? Jumlahnya? Berapa
kosnya? Kontrak dan tender itu diperolehi oleh siapa?” katanya menerusi
Facebook Live sebentar tadi.
Anwar selain itu menyifatkan Covid-19 berkait rapat dengan pengurusan
kerajaan yang patut dilaksanakan dengan baik termasuklah penetapan
Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak untuk semua lapisan
masyarakat yang dianggapnya tidak tetap dan jelas.
“Ada orang kata ini lain urusan kerajaan lain, Covid-19 kita bersama.
Bagaimana boleh kita tetapkan Covid-19 itu tanpa isu pengurusan
kerajaan dan tatakelola.
“Nak beri ubat, bayar barisan hadapan, nak tentukan
peruntukan-peruntukan. Apakah peruntukan itu untuk jabatan politik
mencecah ratusan juta atau untuk dewan-dewan gagah perkasa dalam keadaan
orang kelaparan tidak cukup makan dan katil-katil hospital sudah tidak
cukup, banyak pesakit diminta tunggu di rumah.
“Sekarang ini oleh ada beberapa keputusan dibuat, ada bahagian yang
kita terima, kadang-kadang kita terima keputusan kerajaan dalam
menentukan beberapa peraturan dan mengetatkan peraturan tapi harus
jelas. Biar jelas apa yang boleh apa yang tidak boleh jadi memudahkan
penguatkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Pembangkang itu menyuarakan tentang keperluan untuk
meluaskan ujian calitan Covid-19 selain memberi tumpuan kepada
kluster-kluster yang menyumbang kepada penularan wabak itu. –
MalaysiaGazette
Mohamad Hanafiah Zakaria mahu polis melakukan siasatan terhadap Tommy Thomas atas kesalahan memfitnah.
PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai kanan undang-undang membuat
laporan polis terhadap Tommy Thomas kerana didakwa mencemarkan
reputasinya dengan menuduhnya tidak mampu mendakwa Najib Razak atas
kesalahan rasuah dalam kes SRC International.
Mohamad Hanafiah Zakaria, yang bersara sebagai pegawai penyelidik
kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) pada Ogos,
menggesa polis menyiasat bekas peguam negara itu atas kesalahan
memfitnah.
Dalam laporan dibuat di balai polis Cyberjaya malam tadi,
Hanafiah berkata, polis harus menyiasat Thomas bawah Seksyen 499 Kanun
Keseksaan kerana mencemarkan reputasi pegawai Jabatan Peguam Negara
(AGC) lain dan imej badan itu.
Dia membuat laporan itu selepas Thomas merujuk kepadanya dalam buku
“My Story: Justice in the Wilderness”, yang dilancarkan pada Isnin.
Hanafiah berkata, dia berada dalam perkhidmatan kehakiman dan
perundangan selama 33 tahun, memegang banyak jawatan dan mengendalikan
kes kepentingan awam sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Tuduhan Thomas yang saya tidak mampu mendakwa dalam kes berprofil
tinggi seperti SRC bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya
dalam laporan.
Pada mulanya, Hanafiah mengetuai pasukan pendakwaan ketika Najib
didakwa melakukan rasuah berkaitan dana SRC, tetapi Thomas kemudian
melantik peguam kanan Sulaiman Abdullah dan V Sithambaram.
Pada Julai 2019, Hanafiah dipindahkan ke ILKAP di Bangi dan kekal di sana sehingga persaraannya.
Hanafiah dilantik sebagai peguam cara agung III berikutan
penstrukturan semula Jabatan Peguam Negara pada 2018 selepas Thomas
dilantik sebagai Peguam Negara pada Jun tahun itu.
Dia melapor kepada Thomas dan bertanggungjawab ke atas
sektor litigasi bahagian sivil, pendakwaan dan bahagian rayuan dan
perbicaraan.
Semua pejabat pengarah pendakwaan negeri melapor kepadanya.
Dia muncul dalam berita pada 2018 ketika bertanggungjawab menarik
balik tuduhan rasuah terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan
seorang ahli perniagaan wanita.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah
atas tujuh tuduhan rasuah dalam perbicaraan SRC. Bekas perdana menteri
itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas salah
guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Rayuannya kini dihadapkan ke Mahkamah Rayuan.
Semalam, Najib juga mengeluarkan notis tuntutan kepada Thomas kerana
dituduh memfitnahnya dalam buku itu, berkaitan pembunuhan warga Mongolia
Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, kliennya menuntut permohonan maaf dan wang pampasan RM10 juta daripada Thomas.
Notis itu juga menuntut supaya kenyataan dalam buku Thomas ditarik
balik secara terbuka dengan segera dan tanpa ragu, serta jaminan untuk
tidak mengulangi tuduhan dan komen tersebut.
Najib memberi Thomas hingga Jumaat untuk membalas, sekiranya gagal,
beliau akan memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan.
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Isa Abdul Samad di dapati
bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan
pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan penghakimannya sebentar tadi.
Isa, 71, asalnya didakwa atas satu tuduhan pecah amanah jenayah dan
sembilan tuduhan membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel &
Suites, tetapi mahkamah hanya mengarahkannya membela diri atas tuduhan
rasuah. Sebaliknya dia dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan pecah
amanah.
Isa, menteri besar Negeri Sembilan paling lama memegang jawatan itu
(1982-2004) dan juga menteri persekutuan, didakwa menerima wang sebagai
habuan untuk meluluskan pembelian hotel berkenaan.
Felda Investment Corporation Sdn Bhd membayar RM160 juta pada 2014
bagi pembelian itu, yang dilaporkan sekurang-kurangnya 50% lebih tinggi
daripada nilai sebenar hartanah berkenaan.
Isa didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan lima
kali nilai suapan diterima jika sabit kesalahan.
Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman selepas mendengar hujahan bagi meringankan hukuman.
SELEPAS
bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan
Harapan (PH) adalah angkara dan perbuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad
sepenuhnya, serangan kepada bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu
kembali.
Maka timbullah kembali gelaran Mahafiraun yang
dilabelkan kepada Dr. Mahathir semasa beliau bersama kerajaan Barisan
Nasional (BN) selama 22 tahun.
Gelaran
itu lenyap selepas Dr. Mahathir bersekongkol dengan PH yang terdiri
daripada DAP, Warisan, PKR dan Amanah serta sempat memerintah selama 22
bulan.
Barisan kepimpinan Pakatan Harapan. – Foto dari FB Pakatan Harapan
Bagaimanapun
kerajaan berkenaan tidak dapat bertahan lama, kerana ia ibarat Tidur
sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Cakap Dr. Mahathir sering disanggah,
terutama oleh pemimpin muda DAP.
Mereka seolah-olah melupakan
jasa Dr. Mahathir yang membawa mereka ke tampuk pemerintahan di
Putrajaya buat kali pertama dalam sejarah negara.
Apa boleh buat
kerana terlalu ghairah untuk melakukan perubahan para pemimpin DAP
melanggar segala tatasusila dan ranah sensitif iaitu hak orang Melayu
dan bumiputera.
Orang Melayu dan bumiputera merupakan penduduk
majoriti di negara ini dan mereka dilindungi oleh hak istimewa yang
dijamin oleh Perlembagaan. Dan apabila semua itu mahu dihapuskan sedikit
demi sedikit, mereka telah bergabung kembali dengan UMNO dan Pas bagi
menggerakkan penentangan melalui Muafakat Nasional.
Ia
terbukti berkesan apabila satu demi satu pilihan raya kecil PH telah
kalah dan akhirnya memaksa Dr. Mahathir meletakkan jawatan kerana bukan
sahaja terbukti tidak disokong oleh rakyat, bahkan para pemimpin PH juga
hilang kepercayaan kepada beliau.
Dr. Mahathir berhasrat untuk
menubuhkan kerajaan perpaduan iaitu tiada lagi pembangkang yang ada
hanya barisan pemimpin yang dipilih ke dalam kabinet berdasarkan
kebolehan atau merit.
Namun idea itu murni di atas kertas tetapi
ia tidak digemari oleh orang politik. Pada masa yang sama UMNO, Pas dan
Bersatu telah membuat pakatan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dan
telah mengambil-alih kerajaan.
Kini tinggallah Dr. Mahathir
dengan beberapa kerat pemimpin termasuk anak beliau Datuk Seri Muhkhriz
mengasaskan parti Pejuang, tetapi masih gagal mendaftarnya.
Nampaknya para pemimpih PH telah Berpatah arang berkerat rotan dengan Dr. Mahathir, mereka kembali melaung panggilan Mahafiraun.
Begitulah nasib pemimpin politik, ketika diperlukan mereka disanjung, bagaimanapun apabila tidak diperlukan mereka ditendang.
PILIHAN
RAYA Umum 14 (PRU14) membuktikan bahawa sesebuah kerajaan di Malaysia
di abad 21 akan kehilangan kuasa jika ia terlibat dengan rasuah, skandal
kewangan atau salahguna kuasa.
Ini disebabkan pengundi
Malaysia menyifatkan rasuah sebagai jenayah yang mengancam keselamatan
politik nasional dan kelangsungan sesebuah pemerintahan.
Lantaran
itu, antara pra-syarat utama kelangsungan sesuatu pemerintahan negara
mutakhir ini adalah kesungguhannya dalam membanteras rasuah, skandal
kewangan dan salahguna kuasa.
Namun rasuah bukan hanya melibatkan
ahli politik. Ia juga membabitkan penjawat awam semua sektor, termasuk
penggubal undang-undang, penguatkuasa undang-undang, pentadbir
undang-undang dan lain-lainnya.
Pembanterasan rasuah pula bukan
hanya menerusi sistem tadbir urus yang baik, bahkan menerusi pemupukan
gaya hidup sederhana, penerapan nilai-nilai keagamaan yang jitu serta
penanaman semangat patriotisme yang tinggi.
Kajian saya mengenai
rasuah empat tahun lalu mendapati, sistem tadbir urus yang cekap sahaja
tidak menjamin keadaan sifar rasuah di kalangan perasuah, baik dalam
sektor politik atau awam.
Sebaliknya, rasuah perlu juga
dibanteras menerusi undang-undang yang tegas (dan mungkin juga zalim,
seperti hukum tembak sampai mati yang dikuatkuasakan di China), atau
menerusi undang-undang pencegahan seperti ISA.
Ini kerana jika pengedaran dadah adalah satu jenayah, pengamalan rasuah juga adalah jenayah kepada negara, bangsa dan negara.
Dalam konteks perasuah politik pula, pihak yang terlibat perlu dilucutkan jawatan serta merta sementara menunggu perbicaraan.
Jika sabit kesalahan, pihak terlibat perlu disenarai-hitamkan dan dilarang menyertai mana-mana parti politik di hari muka.
Akhir
kata, rakayat Malaysia perlu dididik supaya tidak bersimpati dengan
kalangan ahli politik yang terpalit dengan tuduhan rasuah sehingga
mereka sudah benar-benar bebas daripada rasuah.—-BebasNews
Dulu masa memerintah tak betul-betul bantu rakyat, sekarang konon sibuk berjuang
BANGI
– Rakyat menempelak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua Ahli
Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon
perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang
Parlimen diadakan secepat mungkin.
Rata-rata pengguna media sosial mendakwa
Ketua Pembangkang itu kemaruk kuasa sehingga sanggup mencabar keputusan
Baginda yang memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat
dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak
COVID-19.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan
(PH) dikritik kerana lebih mementingkan politik daripada membantu
rakyat yang terjejas susulan bencana banjir dan pandemik COVID-19.
Terdahulu, Anwar dilaporkan telah
menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengutuskan warkah
kepada Yang di-Pertuan Agong.
Warkah berkenaan bagi memohon perkenan
Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen
diadakan secepat mungkin.
“Dalam surat terbabit, saya mencadangkan
kepada semua Ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar
segera. Warkah terbabit juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan
mereka atau parti,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan cadangan itu,
netizen dikenali sebagai Nur Azmawani Azmi mempersoalkan sama ada Anwar
yang mencabar keputusan Agong berhubung darurat ini layak memimpin
negara.
“Keputusan Agong pun nak dicabar. Layak
ke memimpin negara? Sedangkan Rukun Negara kedua kesetiaan kepada raja
dan negara,” katanya.
Ahmad Ramdzam pula menggesa Anwar memberi
fokus kepada pandemik COVID-19 termasuk langkah untuk membendung dan
membantu rakyat yang terkesan.
Tegasnya, rakyat tidak hormat pada Ahli Parlimen yang sibuk berpolitik mengejar kuasa semata-mata.
“Masa memerintah dulu tak buat betul-betul nak bantu rakyat sekarang masing-masing sibuk konon berjuang demi rakyat,” katanya.
Sementara bagi Nurhazariah Allaminah, ahli politik seperti Anwar tidak mengambil kisah apa yang terjadi pada rakyat.
“Rakyat susah ke, nak mati ke. Mana
mereka nak peduli. Yang mereka tahu jawatan. Kalau boleh kekalkan
jawatan atau naikkan lagi jawatan.
“Itu belum kalau yang ada kes mahkamah.
Apa kata rakyat pula utus warkah pada YDPA untuk tarik balik pengampunan
dia (Anwar) ini,” katanya.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA:
Rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap
sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan
menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, tidak akan
didengar pada 15 Februari ini.
Seorang peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memaklumkan
pemberita melalui mesej aplikasi WhatsApp bahawa prosiding rayuan yang
ditetapkan pada tarikh itu sebelum ini telah dilapangkan.
Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam dan N.
Kanageswari.
Menurut sumber, pengurusan kes itu akan disambung esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu dan pengemukaan hujah.
Bernama difahamkan prosiding rayuan itu tidak akan diteruskan pada 15
Februari ini berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta
pindaan nota prosiding.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah,
yang juga mewakili Najib, menghadiri prosiding pengurusan kes itu,
manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof
Adrin Kamarul.
Pada 1 Oktober lalu, mahkamah menetapkan 12 hari bermula 15 hingga 18
Februari, 22 hingga 25 Feb dan 1 hingga 4 Mac depan untuk pendengaran
rayuan berkenaan.
Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya supaya beliau dibebaskan daripada tuduhan itu.
Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan
hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi selepas mendapati beliau
bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram
dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.
Dua hari sebelum itu, Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman
penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes CBT dan masing-masing tiga kes
pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta,
jika tidak dipenjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. – BERNAMA
KUALA
LUMPUR: Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa
Abdul Samad bersalah atau tidak atas sembilan pertuduhan menerima rasuah
melebihi RM3 juta, tujuh tahun lalu akan dibuat Mahkamah Tinggi di
sini, esok.
Mohd. Isa, 72, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Disember
2018 sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di
sini bermula 8 Oktober tahun lalu.
Berikut adalah kronologi kes rasuah beliau:
HAKIM: Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali
PENDAKWAAN: Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz
SAKSI PENDAKWAAN: 22 orang
PEMBELAAN: Peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin
SAKSI PEMBELAAN: 6 Orang (Mohd. Isa beri keterangan sebagai saksi pertama pembelaan secara bersumpah)
TERTUDUH: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, 72.
PERTUDUHAN (9 pertuduhan): Bahawa kamu di antara 21 Julai 2014 dan 11
Disember 2015 di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11,
Persiaran KLCC, Kuala Lumpur telah secara rasuah menerima suatu suapan
untuk diri kamu iaitu wang tunai berjumlah RM3,090,000.00 daripada
Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi
Properties Sdn. Bhd. melalui Muhammad Zahid Md. Arip sebagai upah bagi
membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching
Sarawak oleh pihak Syarikat Felda Investment Corporation Sdn. Bhd.,
bernilai RM160 juta.
Dengan itu, kamu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh
dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah
atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit
kesalahan.
SAKSI:
14 Dis. 2018: Didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu
pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah. Mohd.
Isa mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.
4 April 2019: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur benarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
11 April 2019: Sebutan Kali pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
8 Okt. 2019: Perbicaraan bermula.
14 Jan. 2020: Pendakwaan tutup kes. Perbicaraan peringkat pendakwaan berlangsung selama 15 hari.
20 Mei 2020: Hujahan akhir pendakwaan.
16 Jun 2020: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohd. Isa
untuk membela diri atas sembilan pertuduhan rasuah selepas pihak
pendakwaan berjaya membuktikan segala intipati pertuduhan.
Bagaimanapun mahkamah melepas dan membebaskan bekas Menteri Besar
Negeri Sembilan itu daripada pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan
cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak
dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.
17 Ogos 2020: Mohd. Isa mula memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi.
3 Sept. 2020: Pembelaan menutup kes selepas memanggil enam orang saksi.