HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2009

Hasan: Tindakan saya pertikai Selcat adalah wajar

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: Sambil memperoleh mandat daripada Badan Perhubungan Negeri petang tadi, Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali menegaskan, kritikannya terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) adalah satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor di sini.

Ia merupakan pertemuan kedua dalam tempoh 24 oleh pemimpin PAS negeri Selangor. Ia diadakan sehari sebelum Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas tiga penjuru.

Mesyuarat tiga penjuru itu akan berlangsung di sini malam esok.

Hasan berkata, Badan Perhubungan PAS negeri telah meluluskan enam resolusi termasuk yang berkaitan dengan kritikan terhadap cara beliau mempertikaikan tatacara Selcat dua minggu lalu.

Resolusi pertama diluluskan untuk memperakui dan menyokong beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Exco Kerajaan Negeri.

"Kedudukan sebagai Pesurujhaya negeri dibuat oleh Presiden parti manakala jawatan Exco dilantik oleh Menteri Besar," kata beliau sambil menambah, tiada pihak yang harus mempersoalkan kedua-dua jawatan itu.

Kata Hasan, PAS Selangor juga menerima cadangan beliau untuk memperbaiki prosedur-prosedur Selcat.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

Hasan berkata, PAS Selangor akan meminta kerajaan negeri agar mengkaji jentera operasi Selcat untuk menerima penghormatan di kalangan rakyat.

Katanya, PAS negeri juga meluluskan resolusi bahawa ia akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat Selangor.

"Kami tidak akan meninggalkan Pakatan," katanya.

Satu lagi resolusi yang diluluskan berkaitan dengan saraan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kakitangan awam.

"Hubungan antara kerajaan negeri dan pegawai-pegawainya mestilah harmoni sepanjang masa bagi menjamin kelancaran jentera kerajaan negeri," katanya.

Khir cabar Selcat bertindak terhadap Hassan, Iskandar

UTUSAN ONLINE


TANJUNG KARANG - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dicabar mengambil tindakan terhadap dua Exco kerajaan negeri daripada Pas yang mengkritik pelaksanaan jawatankuasa itu.

Cabaran itu dilontarkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kerana katanya, beliau dan empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mengkritik Selcat.

Katanya, kegagalan mengenakan tindakan terhadap pemimpin Pas merangkap Exco negeri, Datuk Dr. Hassan Ali dan Iskandar Abdul Samad yang mengkritik jawatankuasa berkenaan secara terbuka menunjukkan wujudnya tindakan berpilih di pihak Selcat.

"Pada 15 Julai lalu, saya digantung daripada menghadiri sidang DUN selama setahun kerana mengkritik Selcat dan empat yang lain digantung enam bulan. Elaun dan kemudahan kami sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dihentikan sepanjang penggantungan itu.

"Jadi hari ini saya mencabar Selcat bertindak terhadap Hassan dan Iskandar. Jika tidak, ia jelas menunjukkan Selcat hanyalah alat politik pakatan pembangkang dan ia perlu dibubarkan," kata Mohamad Khir kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hassan mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri terhadap pelaksanaan siasatan Selcat yang menyoal para pegawai daerah yang dipanggil menjadi saksi dalam pendengaran awam Selcat mengenai dakwaan salah guna peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Menurut Hassan, cara siasatan Selcat yang dipengerusikan Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim tidak wajar kerana ia mengaibkan pegawai kerajaan negeri malah beliau juga mahu supaya rombakan dilakukan terhadap jawatankuasa itu.

Iskandar turut menyatakan pendiriannya menerusi laman blognya http://iskandar56100.blogspot.com/ yang mempertahankan kenyataan Hassan terhadap Selcat dan mempersoalkan kebebasan bersuara yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Menurut Iskandar, keadaan itu wujud apabila ada pemimpin cuba menyekat Hassan daripada bersuara dan memberikan pandangan dalam sesuatu perkara.

Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga ADUN Sungai Panjang turut memberitahu, kedudukan PKR, DAP dan Pas di Selangor dilihat semakin goyah berikutan wujud percanggahan pendapat dan matlamat.

Katanya, pakatan pembangkang tidak seharusnya bersikap menyalahkan orang lain terutamanya BN dalam setiap masalah dan kesulitan yang berlaku kerana ia berpunca daripada formula perkongsian mereka sendiri.

"Saya fikir adalah lebih baik bubar sahaja DUN dan adakan pilihan raya negeri. Biarkan rakyat beri mandat baru," ujarnya.

Pas Selangor sokong Hassan Ali

Oleh NOR SEDEK ISMAIL


SHAH ALAM - Pas Selangor memutuskan enam ketetapan termasuk menyokong cadangan Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Hassan Ali supaya dilaksanakan penambahbaikan terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung kira-kira tiga jam bagi membincangkan isu tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Hassan berkata, sehubungan itu kerajaan negeri diminta segera mengkaji cadangan menambah baik perjalanan, pelaksanaan dan tatacara Selcat dalam menjamin kewibawaannya dan dihormati oleh rakyat.

Katanya, mesyuarat tersebut juga menerima dan bersetuju bahawa institusi seperti Selcat penting bagi menjaga prinsip keamanan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menguruskan kewangan negeri

''Institusi seperti ini boleh berjalan baik dan teratur seandainya cadangan yang dikemukakan Pas diambil kira,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman.

Menurut Hassan, mesyuarat bersetuju untuk terus mempertahankan kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya Pas negeri dan Exco kerajaan negeri.

''Ini kerana jawatan itu dilantik oleh Presiden parti dan jawatan Exco kerajaan negeri pula oleh ketua eksekutif maka ia tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak,'' katanya.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri turut menegaskan bahawa Pas Selangor akan terus bersama kerajaan pakatan pembangkang.

Katanya, kerajaan negeri mesti menjaga hubungan dengan para pegawainya bagi menjamin kelancaran pembangunan dan pentadbiran negeri serta mempertahankan semangat setiakawan.

Hassan menjelaskan, beliau tidak mempersoalkan polisi Selcat tetapi mengemukakan cadangan untuk memperbaikinya supaya jawatan kuasa itu dipandang sebagai satu organisasi kerajaan yang dihormati rakyat.

Ditanya mengapa cadangan penambahbaikan itu tidak diajukan pada mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, beliau berkata: ''Kita ada hak untuk bercakap kepada umum.

''Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim juga membuat sidang akhbar, satu dunia tahu apabila disiarkan dalam Internet dan akhbar.''

Katanya, cara soal siasat oleh Selcat menyebabkan para pegawai daerah dan ahli keluarga mereka malu dan enggan bertemu orang ramai.

''Saya difahamkan isteri salah seorang pegawai daerah juga sudah tawar hati untuk bertemu masyarakat kerana imejnya tercalar gara-gara tindakan Selcat," katanya.

Sebab itulah katanya, beliau meminta agar satu prosedur yang lebih berperikemanusiaan dan menghormati satu sama lain perlu diwujudkan dalam Selcat.

Pendengaran awam Selcat itu diadakan bagi menjalankan siasatan berhubung wang peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Januari hingga Mac bagi 2008 dan 2009.

Bagaimanapun Hassan mendakwa siasatan yang dijalankan itu menimbulkan aib kepada pegawai daerah yang dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.

Ekoran itu beberapa pemimpin pakatan pembangkang melahirkan kekesalan terhadap Hassan malah ada yang meminta beliau melepaskan jawatan dalam Exco kerajaan negeri dan keluar daripada pakatan tersebut.

Apabila pemandu sedia bayar saman dan 'sedia mati' di jalan raya

UTUSAN ONLINE


MASIH belum terlambat untuk menghulurkan Salam Aidilfitri kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Minggu lalu, ruangan ini tidak muncul kerana cuti hari raya, hari tanpa akhbar. Hari ini masuk hari kesembilan, umat Islam menyambut Aidilfitri.

Semalam (Ahad), bagi mereka yang melakukan ibadah puasa sunat enam hari, juga kembali berhari raya. Bagi yang belum melakukan puasa sunat enam hari, bolehlah berbuat demikian sepanjang Syawal ini. Dan tentunya dalam tempoh sebulan ini, banyak rumah terbuka akan diadakan lebih-lebih lagi pada hujung minggu ini apabila warga kota sudah kembali dari kampung halaman masing-masing.

Syukurlah, ramai daripada kita menjadi insan yang bertuah kerana dapat pulang berhari raya ke kampung dengan selamat dan selamat kembali untuk meneruskan 'perjuangan' hidup kita.

Kekalkan sikap berhati-hati di jalan raya seperti perjalanan ke kampung dan kembali ke tempat kerja. Janganlah kerana Ops Sikap sahaja membuatkan kita lebih berhati-hati.

Ops Sikap Ke-20 yang bermula 12 September lalu berakhir semalam. Hari ini kita akan tahu jumlah sebenar korban di jalan raya. Setakat semalam, angka yang dikeluarkan ialah seramai 238 orang. Berbanding tahun lalu, jumlah kematian yang dicatatkan dalam tempoh Ops Sikap Ke-19 ialah 170 orang.

Ops Sikap kali ini berjaya atau gagal? Tidak perlulah kita membuat kesimpulan berjaya atau gagal kerana yang penting sejauh manakah kesedaran yang wujud di kalangan pemandu apabila mereka berada di jalan raya. Dengan jumlah kenderaan yang saban hari semakin meningkat, jumlah pemandu yang terus bertambah dan jalan raya pula tidak banyak yang berubah, maka sukar untuk mengukur tahap sebenar kejayaan atau kegagalan Ops Sikap ini.

Kemalangan dan kematian di jalan raya akan terus berlaku sama ada Ops Sikap wujud atau tidak.

Adakah kerana jumlah kenderaan meningkat? Mungkin ini salah satu faktornya. Buktinya apabila lebuh raya yang mampu memendekkan tempoh perjalanan terpaksa mengambil masa lebih panjang. Pengguna lebuh raya terpaksa memilih 'jalan lama' kerana lebuh raya sesak. Dan adakah kerana lebih banyak kenderaan melalui jalan bandaran, jalan persekutuan dan jalan negeri menyebabkan kadar kemalangan terus meningkat?

Adakah mereka yang keluar daripada laluan lebuh raya untuk memilih jalan lama dikategorikan sebagai orang yang tidak sabar untuk sampai ke destinasi? Atau mereka tidak sanggup keletihan atau tertekan di lebuh raya yang sesak sehingga menyebabkan risiko kemalangan mungkin lebih tinggi?

Sama ada lebuh raya atau 'jalan lama' pokok pangkalnya kenapa kemalangan terus berlaku. Sudah tentulah kerana undang-undang jalan raya tidak diterima pakai oleh segelintir pengguna. Bagi mereka, undang-undang hanyalah ciptaan manusia dan manusia boleh mengubahnya mengikut selera.

Letaklah hukuman mati sekali pun tetapi seperti kata Ketua Polis Negara, Musa Hassan, mereka tidak kisah walau dihukum mati.

Sebenarnya sesetengah pemandu memang tidak takut mati ketika berada di jalan raya. Inikan pula sekadar membayar saman atau digantung lesen memandu. Saman boleh dibayar dan ramai juga yang sedang memandu tanpa lesen. Tetapi jika mereka ini tergolong dalam golongan orang yang berani mati janganlah sampai menyusahkan kehidupan orang lain. Biarlah mereka yang berani mati di jalan raya ini mati tetapi yang menyedihkan apabila mereka yang tidak takut undang-undang dan bersedia untuk mati kerana melanggar peraturan itu menimbulkan masalah kepada orang lain.

Maksudnya mereka tidak mati tetapi orang lain yang mati. Jika tidak mati pun, ada yang menderita kerana mereka. Orang lain memandu ikut peraturan atau undang-undang tetapi disebabkan kecuaian orang yang berani mati ini, maka ramai yang tidak bersalah menjadi korban atau cacat seumur hidup. Ramai juga menjadi yatim atau yatim piatu akibat kecuaian orang lain.

Begitu juga derita yang ditanggung oleh mangsa nahas angkara orang berani mati ini tetapi terselamat. Sekalipun pemandu berani mati itu mati akibat kecuaian sendiri tetapi orang yang terselamat dalam nahas itu juga menderita kerana terkenangkan kemalangan maut itu. Untuk menghukum mereka akibat kecuaian kemalangan itu sia-sia sahaja kerana mereka telah pun 'dihukum' mati.

Menyelak kembali beberapa kemalangan yang berlaku sama ada sebelum atau semasa Ops Sikap dijalankan, ada di antara mangsa yang terkorban adalah pemandu yang mengikut undang-undang serta peraturan. Ada kenderaan yang tiba-tiba terbabas memasuki laluan pemandu lain menyebabkan orang yang memandu mengikut peraturan menjadi korban. Maka memandu ikut peraturan pun belum pasti selamat kerana sikap manusia yang tidak bertimbang rasa di jalan raya, mahu menunjuk jaguh dan kehebatan seolah-olah merekalah raja jalan raya.

Mungkin Ops Sikap perlu ditukar kepada nama lain. Pendekatan juga perlu dirombak semula supaya pemandu benar-benar mengikut peraturan semasa di jalan raya. Penguatkuasaan dan jumlah penguat kuasa yang mencukupi amat diperlukan supaya setiap pesalah di jalan raya dapat dikesan dan dikenakan tindakan serta merta. Budi bicara anggota polis perlu terbatas kepada kes-kes tertentu sahaja bukannya semua sehingga timbul tanggapan denda boleh dibayar dengan tawaran diskaun.

Mungkinkah sikap tolak ansur polis dalam memberi diskaun ini menyebabkan sikap pemandu tidak pernah berubah? Selain denda yang boleh dijelaskan pada bila-bila masa, carilah kaedah lain yang lebih membantu mengubah sikap pemandu.

Nahas boleh dikurangkan jika pemandu mengikut peraturan pemanduan yang selamat di samping keperluan lain yang diberi perhatian termasuk kenderaan itu sendiri. Mungkin tidaklah sampai kepada 'bersopan santun' di jalan raya sehingga menimbulkan kemarahan pengguna lain. Pemandu di negara kita tidak boleh ditegur. Jika ditegur mungkin maki hamun akan diterima, penumbuk akan dipamerkan, kenderaan anda mungkin dikejar dan dihimpit dan macam-macam lagi.

Justeru, hanya sikap pemandu yang akan membantu mengurangkan kadar kemalangan. Ubahlah sikap. Jangan mengharapkan Ops Sikap mengubah sikap anda.

Ajaran 'Rasul Melayu' belum berkubur

Oleh AZIAN AZIZ


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) percaya ajaran sesat 'Rasul Melayu' masih belum berkubur walaupun pemimpinnya, Abdul Kahar Ahmad, 59, telah diberkas baru-baru ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohamad Hidayat Abdul Rani berkata, Abdul Kahar mempunyai lebih 20 pengikut termasuk seorang anak lelakinya, Zulhilmi yang dipercayai menjadi penyebar utama ajaran sesat itu.

Menurut beliau, Zulhilmi dipercayai bertindak sebagai 'orang kanan' kepada Abdul Kahar dalam kegiatan menyebarkan ajaran yang difatwakan sesat pada 1991 itu dan sering kelihatan mendampingi Abdul Kahar ke mana-mana.

''JAIS sedang berusaha keras untuk memastikan ajaran sesat ini berkubur dengan menahan Zulhilmi pula dalam tempoh terdekat ini atas pertuduhan bersubahat dengan bapanya mengikut kesalahan di bawah enakmen yang bersesuaian.

''Kami mempunyai beberapa bukti kukuh termasuk sebuah laman blog milik Zulhilmi yang dipercayai digunakan dalam menyebar ajaran sesat pimpinan bapanya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada 16 September lalu, Abdul Kahar ditahan penguat kuasa JAIS ketika sedang sarapan sambil menonton televisyen di rumah sewanya di Sungai Long, Kajang dekat sini pada pukul 9.45 pagi.

Abdul Kahar ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tahanan kepadanya sehingga tarikh perbicaraan pada 7 Oktober ini.

Dia turut didakwa atas kesalahan mempersendakan agama Islam.

Dalam pada itu, Mohamad Hidayat menjelaskan, pihaknya sukar mengesan para pengikut 'Rasul Melayu' kerana tidak mengetahui lokasi sebenar pertemuan mereka diadakan.

''Pihak kami akan sentiasa memantau pergerakan mereka. Namun pada masa sama, kami amat berharap supaya pengikut ajaran sesat itu segera bertaubat dan JAIS sedia membimbing serta membetulkan akidah mereka pada bila-bila masa," katanya.

Kata beliau lagi, setakat ini JAIS mendapati masih terdapat enam atau tujuh ajaran sesat yang aktif di negeri itu antaranya ajaran Qadiani, Rufaqa dan Tarikat Islam Jemaah 11 yang dipercayai berasal dari Indonesia.

Katanya, selain kumpulan ajaran sesat tersebut, pihaknya juga sedang mengesan satu lagi kumpulan tarikat yang berpusat di satu kawasan yang dirahsiakan maklumatnya.

Sabah kekurangan doktor

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN


PAPAR - Masalah kekurangan doktor di Sabah pada masa ini berada di tahap kritikal berbanding dengan jumlah penduduk di negeri ini yang semakin bertambah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jawatan doktor yang diisi di negeri ini kini hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan berbanding kadar pengisian nasional sebanyak 53 peratus.

"Sabah adalah antara negeri yang memang kekurangan doktor. Kita menerima hakikat itu dan dengan pengambilalihan Pusat Perubatan Sabah (SMC) dapat membantu memberi galakan kepada doktor untuk berkhidmat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka beliau di Kampung Pengalat Kecil di sini semalam.

Menurut Rosnah, kerajaan sentiasa berusaha menambah bilangan doktor di negara ini selain menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur perubatan.

Katanya, antara langkah yang sedang diambil bagi mengatasi kekurangan doktor adalah dengan mengambil doktor dari luar negara bagi menampung keperluan doktor di negara ini.

"Salah satu langkah lagi yang kita ambil adalah melatih lebih ramai doktor atau membuka lebih banyak ruang atau kuota kepada doktor tempatan untuk dilatih di universiti yang ada di Malaysia.

"Dalam masa yang sama juga kita telah memperkenalkan beberapa skim dalam kementerian bagi membantu doktor dan jururawat mendapat skim gaji yang lebih menarik," katanya.

Dalam pada itu Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan juga giat menjalankan promosi bagi menarik lebih ramai doktor.

Katanya, promosi yang dijalankan bukan sahaja melalui laman web kementerian malah, kerajaan turut mendapatkan khidmat syarikat swasta untuk membantu usaha tersebut.

Kebanjiran PATI meningkat

Oleh ANGELINA SINYANG


KUALA LUMPUR - Malaysia bakal berdepan dengan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang serius jika tindakan pembekuan sementara pembekalan pembantu rumah Indonesia ke negara ini tidak segera dihapuskan.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap (gambar) berkata, statistik menunjukkan terdapat 10,000 wanita Indonesia telah mendaftar dengan agensi-agensi pekerjaan di negara mereka untuk mendapatkan peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Beliau berkata, rakyat Indonesia itu yang benar-benar memerlukan pekerjaan bagi menyara keluarga tidak boleh menunggu terlalu lama untuk memasuki negara ini.

Katanya, dalam keadaan terdesak begini, mereka mudah termakan pujukan tekong-tekong agar memasuki Malaysia secara haram.

"Hampir tiga bulan kerajaan Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah republik itu ke Malaysia.

"Sepanjang tempoh itu, seramai 10,000 wanita Indonesia sudah mendaftar untuk menjadi pembantu rumah di sini dan mereka ini benar-benar memerlukan pekerjaan kerana majoritinya miskin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Zulkepley Dahalan dalam Mingguan Malaysia hari ini bahawa di sebalik pelbagai isu dan kisah penderaan amah yang dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan asing, ia tidak sedikitpun membantutkan niat ribuan wanita republik itu untuk mencari rezeki di negara ini.

Menurut Khairudin, jumlah 4,000 wanita Indonesia yang mendaftar dengan agensi-agensi pekerjaan negara itu untuk mendapatkan peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia seperti didedahkan oleh Zulkepley hanya meliputi Jakarta sahaja.

Beliau berkata, rakyat miskin yang terdesak mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu rumah tidak pernah peduli atau faham tentang memorandum persefahaman (MoU) yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua negara ketika ini.

"Mereka ini 'orang kecil' yang hanya mahu mendapatkan pekerjaan dan wang untuk dikirim kepada keluarga di kampung.

"Kalau dibiarkan lama-lama menunggu, kita bimbang mereka akan datang secara haram ke Malaysia.

"Bila ini terjadi, kerajaan kedua- dua negara harus menyediakan 'kantung' (beg mayat) untuk mangsa lemas semasa dalam perjalanan merentasi perairan Indonesia atau Malaysia," katanya.

Bagi mengelak perkara buruk berlaku, Khairudin berkata, kedua-dua negara harus bertolak-ansur untuk mencapai kesepakatan dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah Indonesia.

Beliau berkata, antara perkara boleh dipertimbangkan ialah Indonesia perlu mengkaji semula penetapan gaji minimum RM800 sebulan untuk pembantu rumah dari republik itu.

Katanya, permintaan tersebut terlalu tinggi kerana jumlah gaji sesuai untuk pembantu rumah Indonesia ialah antara RM650 hingga RM700 sebulan.

Ahad, 27 September 2009

Selcat: Tiada tindakan disiplin ke atas Hasan, kata Timbalan Presiden PAS

Nasharudin: Tidak timbul keperluan dikenakan tindakan disiplin

Oleh G. MANIMARAN


NILAI: PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini tidak bercadang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berhubung isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan iaitu Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor, yang terus dengan pendiriannya mempertikaikan tatacara Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat tahun lalu.

Pendirian ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Malah Nasharudin juga berkata, pandangan beberapa pihak bahawa Hasan harus dikenakan tindakan bukan menunjukkan ada usaha mahu menjatuhkan beliau.

Ia cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat, katanya.

"Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki.

"Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin.

"Penjelasan, ya... kami akan minta penjelasan (daripada Hasan) tentang apa sebenarnya perkara yang berlaku," kata beliau kepada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dekat di sini petang ini.

Dalam PAS, katanya, usaha ke arah diambil tindakan disiplin perlu melalui beberapa proses.

"Dalam konteks ini, saya secara peribadi tidak melihat kepada keperluan untuk diambil tindakan disiplin," katanya.

Sehubungan itu, Nasharudin menambah, beliau telah pun memperoleh maklumat dan penjelasan daripada beberapa pihak termasuk Hasan sendiri.

"Daripada penjelasan tersebut, ingin saya menyatakan bahawa dalam hal yang berlaku dalam isu berkaitan dengan Selcat, tidak timbul sebarang isu hendak keluar daripada Pakatan... kita berpegang teguh kepada keputusan muktamar PAS di Ipoh (tahun lalu) dan di Shah Alam (Jun lalu) untuk memperkukuhkan Pakatan.

"Insya-Allah kita akan berdepan dengan segala isu yang timbul di hadapan kita dengan semangat Pakatan yang telah kita bina sekian lama," katanya.

Ketika pendirian itu diberikan, Hasan pula sedang mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam bermula pukul 3 petang tadi. Malah, malam tadi beliau mempengerusikan mesyuarat tiga jam Dewan Harian PAS Selangor.

Esok Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru bagi membincangkan isu berkenaan.

Selcat adalah satu institusi yang telah ditubuhkan bersama oleh parti komponen Pakatan untuk mengurus tadbir negeri Selangor.

"Apa yang berlaku adalah satu isu disebabkan salah faham... sebenarnya apa yang berlaku hanylah cadangan daripada Datuk Hasan supaya prosedur terhadap perkara-perkara berkaitan dengan Selcat diperbaiki, bukannya beliau cadangkan agar ia dirombak.

"Bagi saya apabila beliau cadangkan agar diperbaiki prosedurnya, bagi saya tidak menjadi masalah.... mungkin caranya digambarkan dalam media menyebabkan demikian rupa," kata Nasharudin lagi.

Nasharudin memberitahu, PAS sentiasa berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan penjawat jawatan awam.

Kata beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat Dewan Harian pusatnya bagi membincangkan isu itu dan pemilihan bakalnya untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Mesyuarat akan diadakan di Seremban.

PENYELEWENGAN UMNO TERHADAP ORANG MELAYU-ISLAM

Oleh: Tun Telanai- Laman M@RHAEN


UMNO berhempas pulas untuk mengekalkan kuasa dengan memperalatkan seluruh institusi-institusi kerajaan dan disokong oleh institusi istana tertentu bukanlah bermatlamatkan untuk membantu rakyat dan negara mengecapi pembangunan selari dengan pembangunan yang dicapai oleh negara-negara lain di dunia ini. Nawaitu utamanya ialah untuk terus berkuasa dan dengan kuasa itu UMNO dan para pemimpinnya [termasuk ahli-ahli keluarga institusi istana tertentu] dapat mengawal, mengepong dan monopoli kekayaan negara ini daripada melimpah keluar yang memboleh rakyat sama-sama berkongsi merasai nikmat kekayaan negara kerana di luar sana masih banyak rakyat dibelenggu dalam lingkaran kemiskinan.

Dalam erti kata lainnya, UMNO akan tetap memastikan kekayaan negara ini hanya beredar disekitar golongan mereka sahaja tidak kepada rakyat. UMNO dan para pemimpinnya tetap mahu menjadi ‘TUAN’ dan rakyat selama-lamanya terus menjadi ‘HAMBA’. Konsep feudalisma masih tebal dianuti dan dihayati oleh UMNO. Oleh itu, UMNO akan terus melaksanakan langkah-langkah membataskan reformasi pengagihan ekonomi yang adil, mengekang perjalanan demokrasi dalam negara ini dan mengawal institusi-institusi keselamatan dan keadilan supaya institusi-institusi tersebut kekal berpihak kepadanya. UMNO mahu rakyat berterusan berada dalam keadaan buta huruf dan berada dalam kemiskinan.

Dua keadaan inilah yang membolehkan UMNO mempertahankan kuasa sehingga kini. Paling disukainya ialah lebih ramai rakyat buta huruf dan berada dalam kedudukan kemiskinan [menjadi peminta sedekah], maka lebih baik baginya kerana dengan kedudukan sedemikian, maka UMNO boleh berlakon menonjolkankan imej baiknya itu dan ia menjadi semakin bernilai dan popular di mata rakyat khususnya dikalangan golongan ini yang agak besar bilangannya yang hidup dipendalaman, luar bandar dan dipinggir bandar di dalam negara ini.

Dua keadaan ini juga memudahkan UMNO untuk memunipulasikan isu-isu besar yang melibatkan penyalahgunaan kuasa, rasuah, pecah amanah dan berbagai perkara buruk lagi yang melingkari UMNO bagi menjadikan pandangan mata golongan ini kabur dan senantiasa berpihak kepadanya. Ini dapat dibuktikan dalam PRU ke-12 lalu, di mana golongan ini telah memberi kemenangan yang besar kepada UMNO sehingga dapat membentuk kerajaan, walaupun tanpa majoriti 2/3.

Orang Melayu-Islam luar bandar, pinggir bandar dan penduduk di pendalaman Sabah dan Serawak tetap memberi sokongan kepada UMNO [baca: BN] kerana UMNO berjaya melakonkan watak begitu realistik dan menyakinkan mereka. Berbeza dengan golongan yang berada di luar dua keadaan ini telah berjaya menghakis kekuasaan mutlak UMNO terhadap rakyat dan dalam sistem pemerintahan negara, tetapi masih tidak berupaya mempengaruhi golongan yang buta huruf dan miskin ini kerana banyak faktor yang menjadi penghalangnya.

Contohnya faktor orang Melayu-Islam [dalam golongan ini] menolak Islam yang dibawa oleh PAS kerana semulajadinya mereka telah dididik dan diasuh oleh UMNO menyatakan politik lain, agama lain. Politik dan agama [Islam] tidak boleh dicampur-adukan. Politik hanya untuk dunia dan Islam untuk hari akhirat kelak. Islam bagi fahaman golongan ini hanyalah ibadah khusus untuk individu mengerjakan fardhu Ain semata-mata dan tidak boleh melibatkan dengan politik yang mementingkan kehidupan duniawi sahaja. Golongan ini juga diasuh oleh para pemimpin UMNO supaya anti kepada pengajian agama [menuntut ilmu] yang diajar di masjid-masjid dan di surau-surau, di samping itu mereka juga digalakkan berhibur dan bergurukan tv, radio dan menjadi media massa yang dikawal oleh UMNO sebagai kitabnya, bukan al-quran yang diajarkan oleh Nabi Mohammad saw.

Sebaliknya, orang bukan Islam menyokong PAS menyebabkan PAS memenangi banyak kerusi di kawasan-kawasan yang taburan pengundinya seimbang di antara Melayu-Islam dan bukan Islam, Melayu-Islam tidak menjadi majoritinya. Bagi kawasan-kawasan majoriti Melayu-Islam melebihi 70 peratus, PAS mengalami kekalahan. Di negeri Kedah contohnya, PAS dan PKR memenangi banyak kerusi di Kedah Tengah dan di Kedah Selatan kerana di kawasan-kawasan ini terdapat ramai penduduk bukan Islam [Cina dan India]. Di Kedah Utara majoritnya Melayu-Islam, PAS mengalami kekalahan. Orang Melayu-Islam menolak PAS dan memilih UMNO yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini kerana fahaman mereka terhadap Islam terlalu cetek akibat ajaran songsang yang dibawa oleh UMNO dan kerana kelalaian PAS sendiri.

Sekiranya kita gagal membenteras penyelewengan yang amat besar yang telah dan sedang dilakukan oleh UMNO terhadap orang Melayu-Islam, maka golongan buta huruf dan miskin ini akan terus memberi sokongan kepada UMNO tanpa memikirkan kesan baik-buruknya terhadap tindakan-tindakan yang dilaksanakan oleh UMNO. Rakyat daripada golongan ini akan merestui apa jua tindakan UMNO lakukan kerana akhirnya mereka akan diberi sedikit habuan dalam berbagai bentuk yang diuruskan oleh badan-badan tertentu yang ditubuhkan oleh kerajaan dan diperalatkan oleh UMNO untuk kepentingannya. Umpamanya seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat yang menyalurkan berbagai bantuan kepada warga emas, OKU, fakir-miskin, ibu tunggal dan sebagainya. Jabatan/agensi kerajaan tertentu juga turut melaksanakan perkara yang sama.

UMNO sudah pun mengakui bahawa semuanya itu adalah datang daripadanya. Rakyat Malaysia telah lama diajar bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Hal ini menyebabkan rakyat menjadi keliru terutama golongan yang kita bicarakan ini. Memang itu matlamat UMNO mahu mengelirukan rakyat sebab itu tercacak diseluruh negara setiap projek pembangunan dengan tulisan yang berbunyi :“ Satu Lagi Projek Barisan Nasional” seolah-olah seluruh rakyat Malaysia ini bodoh belaka boleh ditipu setiap masa. Wang bagi setiap pembangunan yang dilaksanakan adalah datang dari poket seluar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik melalui kutipan pelbagai jenis cukai yang dikenakan ke atas kepala rakyat. UMNO jenis muka tembok tidak pernah tahu malu mengaku wang itu seolah-olah UMNO yang punya, sebaliknya rakyat yang punya.

Mereka adalah golongan ‘daif’ yang tidak mampu berfikir secara matang dan mereka menganggap habuan-habuan tersebut merupakan jasa besar UMNO kepada rakyat, di samping berbagai lagi kemudahan awam yang menjadi kewajiban kerajaan yang memerintah menyediakannya seperti jalan raya, api, air, sekolah, hospital dan sebagainya. Berbanding habuan yang para pemimpin UMNO terima hasil dari khazanah negara yang mereka rompak secara terhormat yang jumlahnya berlipat kali ganda apa yang golongan ini terima. Golongan ini menjadi ‘mangsa keadaan’ dan akan berterusan berada dalam kegelapan.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat yang berada di luar dua keadaan ini wajib bangkit membantu menyedarkan golongan ini. UMNO adalah pengkianat bangsa dan agama. Kaedah yang digunakan oleh UMNO sekarang adalah merupakan satu bentuk penyelewengan yang amat besar terhadap bangsa Melayu-Islam.

Kontroversi: Isu Selcat Di Selangor, Kenapa Harus Melenting Dengan Kenyataan Dato' Dr.Hassan Ali Jika Ia Mungkin Sekadar Satu Teguran Membina !

PAHANG DAILY ONLINE


Nampaknya, dalam kemeriahan meraikan Aidil Fitri dana keghairahan menanti pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak lama lagi, tiba-tiba isu panas kini melanda Pakatan Rakyat di Selangor.

Ia gara-gara kenyataan "panas" yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr.Hassan Ali baru-baru ini. Dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Hassan telah menegaskan pendiriannya mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai yang terlibat dan dapat mengelak daripada diaibkan.

Kenyataan tersebut telah mengundang kontroversi, hingga ada yang mahu supaya beliau meletakkan jawatannya jika tidak mampu untuk berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang ini. Malah beberapa kenyataan terbuka yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat Selangor seperti Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali jelas sekali mengundang kemarahan sesetengan penyokong PAS di negeri itu.

Malah kenyataan balas terhadap Hassan itu turut disuarakan oleh pemimpin PAS sendiri seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ramai lagi yang kononnya kecewa dengan isu ini.

Apa yang berlaku ini sungguh mengejutkan, kerana susulan daripada kenyataan yang dibuat oleh Dr.Hassan Ali menyebabkan seolah-olah akan berlaku sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh puak-puak UMNO dan Barisan Nasional sekarang ini.

Dalam pada itu Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman dalam satu kenyataannya PAS negeri sedia mengkaji secara terperinci cadangan mana-mana wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan mengadakan satu menyuarat tergempar dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut. Soalnya sekarang, apakah krisis pandangan peribadi ini bakal menjadi "bencana besar" buat Pakatan Rakyat di Selangor. Tambahan pula Hassan Ali adalah antara pemimpin yang amat dihormati oleh kawan mahu pun lawan.

Soalnya, kenapa terdapat ramai pemimpin Pakatan Rakyat Selangor yang "melenting" dengan teguran "membina" yang dibuat oleh bekas tokoh Forum Perdana Hal Ehwal Islam RTM itu?. Walhal, beliau hanya memberikan pandangan peribadi selepas mendengar beberapa komen atau maklumat dalam tentang perkara ini.

Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan kaedah yang digunakan oleh Selcat sekarang. Maka itu, Selcat perlu membuat perubahan demi menjaga keharmonian dan tidak mengaibkan sesiapa dalam siasatan yang dilakukan. Apapun kita tunggu apakah agaknya yang akan berlaku dengan senario terbaru ini.

Pegawai Daerah Takut Untuk Berkata Benar

Pihak kami terpanggil untuk memberi pandangan atas apa yang berlaku ini. Malahan kami sempat mengikuti siaran langsung Selcat menerusi TV Antara yang turut disiarkan dalam blog ini.

Pada awalnya, kami merasakan memang amat berpatutsan Selcat dijalankan secara terbuka kerana ia dapat memberi peluang kepada pegawai terbabit untuk memberi kenyataan dengan lebih berhati-hati dan tidak mengelirukan. Namun hasilnya dilihat tetap juga sama, beberapa orang Pegawai Daerah tetap memberikan alasan yang sama dalam meluluskan peruntukan yang dimaksudkan biarpun beberapa kali ditekan oleh jawatankuasa Selcat.

Mereka tidak berani untuk bercakap apa yang mahu "didengar" oleh Selcat iaitu mengaitkan nama mantan MB Selangor, Khir Toyo yang mengarahkan segala peruntukan ADUN terbabit dilepaskan biarpun parlimen sudah dibubarkan.

Kenapa ini berlaku?. Sedangkan semua pegawai berkenaan telah mengangkat sumpah untuk memberi keterangan yang benar melainkan benar belaka. Jawapannya adalah mudah, kerana mereka tidak mahu menanggung risiko kerana mendedahkan nama Khir Toyo kepada Selcat.

Berbagai risiko akan dihadapi kerana biarpun Khir Toyo sudah tidak berkuasa, namun kelibatnya masih menghantui sebahagian besar pegawai kerajaan terbabit. Tambahan pula Khir dilihat begitu beriya-iya benar untuk menjatuhkan semula Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini.

Mereka mungkin takut jika apa yang berlaku di Perak bakal terjadi pula di Selangor. Oleh itulah mereka tetap mempertahankan kenyataan bahawa kelulusan peruntukkan terhadap ADUN-ADUN terbabit dibuat tanpa arahan mana-mana pihak. Malah pemilihan tarikh kelulusan yang seiring dengan pembubaran parlimen juga tidak diketahui puncanya. Bukankah ini jelas menunjukkan yang mereka semua "takut kepada seseorang" untuk berkata benar.

Jawapan Yang Sepatutnya Gagal Untuk Dijawab

Oleh itu, apakah Selcat berjaya mencapai matlamatnya?. Bahkan kami yakin semua Pegawai Daerah di Selangor yang disoal pasti akan memberi jawapan yang sama biarpun didesak oleh jawatankuasa Selcat itu sendiri.

Oleh itu, apakah hasilnya siasat Selcat ini sebenarnya. Bukankah ia akan sekadar membuangkan masa sahaja. Mungkin bagi jawatankuasa Selcat mereka amat berbangga kerana berjaya membongkarkan satu penyelewengan yang berlaku dalam agensi kerajaan. Tetapi mereka juga harus memahami bahawa setiap kakitangan kerajaan tertakluk dengan arahan yang dibuat oleh kerajaan negeri ketika itu.

Adakalanya mereka terpaksa melakukan tugasan yang tidak sepatutnya. Tetapi apakah mereka ini berani untuk menentang? Biarpun mereka tahu perkara itu salah dari segi undang-undang. Bahkan mereka juga boleh dituduh "pecah amanah" kerana membiarkan wang rakyat dirompak begitu sahaja.

Namun, Selcat juga harus sedar bahawa kerajaan negeri ketika itu ialah Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Maka itu, apakah menjadi kesalahan yang terlalu besar bagi mana-mana kakitangan kerajaan yang terpaksa menghormati dan mengikuti arahan yang dibuat oleh pimpinan kerajaan ketika itu.

Memang diatas kertas, parlimen sudah dibubarkan dan mereka sewajarnya tidak boleh meluluskan peruntukan tersebut. Namun, mereka juga mungkin takut dan gusar seandainya BN masih memerintah negeri Selangor selepas pilihanraya, sudah pastilah mereka akan dikenakan tindakan tatatertib kerana engkar dengan arahan kerajaan.

Selcat harus mengkaji semua ini, dari berbagai sudut sebelum membuat penilaian sebenarnya. Pegawai terbabit juga mungkin tidak terfikir bahawa kerajaan BN akan jatuh dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor sekarang.

Selcat Tidak Salah Jika Tiada Siaran Langsung

Kenapa Pegawai Daerah terbabit takut untuk berkata benar biarpun sudah diberikan peluang? Jawapannya cukup mudah, ini kerana mereka tahu Selcat disiarkan secara langsung oleh media alternatif terutamanya TV Antara.

Akibat siaran langsung, menyebabkan kesemua pegawai berkenaan gagal untuk menyatakan kebenaran. Ini kerana mereka takut akan dipersalahkan jika menjadi orang yang mendedahkan penglibatan Khir Toyo dengan isu penyelewengan wang peruntukan ADUN menjelang pilihanraya umum ke-12 lalu.

Memang kita tahu, Kerajaan Negeri Selangor ingin membuktikan kepada dunia bahawa mereka melaksanakan satu tindakan yang betul dengan perlaksanaan Selcat. Pendengaran secara terbuka yang dibuat tidak salah, namun kesalahan besar dalam Selcat itu adalah mengadakan siaran langsung yang disaksikan oleh berjuta-juta orang dari seluruh dunia.

Bukankah ini menakutkan pegawai yang disoal-siasat untuk menjawab setiap soalan yang dikemukakan. Akhirnya mereka terpaksa menjawap setaip soalan berdasarkan apa yang terlintas difikiran masing-masing sahaja. Hingga ada pegawai akauntan yang hanya mengatakan beliau mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Dan ada juga pegawai yang mengatakan mereka tidak tahu bahawa parlimen sudah dibubarkan. Bukankah semua jawapan ini amat memalukan dan menjatuhkan aib mereka. Sedangkan bukanlah itu jawapan yang mahu mereka kemukakan sebenarnya.

Siaran langsung yang dibuat jelas sekali "mengaibkan semua pegawai kerajaan terbabit". Tambahan pula mungkin kesalahan mereka ialah terpaksa akur dengan arahan kerajaan negeri terdahulu, walhal mereka merupakan pekerja cemerlang hingga layak menjadi Pegawai Daerah selepas bertahun-tahun berkhidmat. Bukankah ini semua memainkan peranan utama dalam siasatan Selcat.

Pengerusi Selcat Terlalu Emosi Dan Perlu Diganti

Adalah lebih elok Selcat dibuat secara "terbuka" tetapi bukan "siaran langsung". Inilah kesalahan besar yang sebenarnya. Ia jelas menjatuhkan maruah dan imej semua pegawai yang disoal-siasat itu.

Walhal, jawatankuasa Selcat dan Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya sudah tahu jawapan bahawa semua pegawai berkenaan mendapat tekanan dan terpaksa akur dengan arahan kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Khir Toyo. Kenapa tidak dipanggil sahaja Khir Toyo sebagai saksi dan orang yang dituduh mengarahkan semua peruntukan segera itu diluluskan?. Kenapa harus menekan pegawai kerajaan berkenaan untuk bercakap benar, jika kebenaran itu sudah diketahui mereka.

Dalam Islam sendiri, jika kita mahu mendidik eloklah dengan berhemah dan tidak mengaibkan orang lain. Memang kita tahu bahawa pegawai kerajaan terbabit bersalah. Tetapi sepatutnya Selcat tidak membuat siaran langsung yang menyebabkan mereka yang dipanggil itu takut untuk berkata benar dengan setulus hati dan perasaan mereka.

Jangankan pegawai terbabit, siapa sahaja akan takut untuk mendedahkan sesuatu rahsia besar jika ia didengari dan disaksikan pula oleh semua orang. Selcat boleh dibuat secara terbuka, dalam bilik yang tertutup. Keputusan atau pun maklumat yang diperolehi barulah didedahkan kepada umum selepas itu.

Jika dibuat secara terbuka, tiada siapa yang akan berani sebenarnya untuk membuat pendedahan berani seperti itu. Maka wajarlah Selcat itu dikaji semula, konsepnya pendengarannya jika tidak mahu dipersalahkan.

Cara menyoal juga tidak perlulah terlalu emosi dan melenting seperti yang dilakukan oleh Pengerusi Selcat, Theng Chang Kim itu sendiri sebenarnya. Maka adalah wajar, jika mahu Selcat terus dihormati pengerusinya haruslah diganti dengan mereka yang lebih profesional dan mempunyai rasa hormat sesama sendiri.

Kenapa Melatah Dengan Teguran Hassan Ali

Soalnya sekarang kenapa ada pihak yang melenting dan menuduh yang bukan-bukan terhadap Dato' Dr.Hassan Ali. Kenapa harus meminta beliau meletakkan jawatan, jika kenyataan yang dibuat itu adalah satu teguran yang membina?.

Memang benar Hassan Ali menyuarakan pandangan itu kepada media tanpa merujuk kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Masalahnya itu adalah pandangan peribadi beliau sendiri.

Apakah kerajaan Negeri Pakatan Rakyat langsung tidak boleh ditegur langsung. Selama ini mereka menuduh bahawa kerajaan BN tidak demokrasi kerana tidak boleh ditegur dalam melaksanakan sesuatu projek untuk rakyat. Kini, apakah Hassan Ali mahu dipersalahkan.

Sepatutnya mereka melihat perkara ini dari sudut positif dan tidak terlalu "kebudak-budakkan" hingga memaksa Pesuruhjayta PAS Selangor itu meletakkan jawatannya baru-baru ini. Apakah mereka mahu melihat Pakataan Rakyat Selangor berpecah belah?.

Sewajarnya perkara seperti ini tidak perlu diperbesar-besarkan. Kenapa jawatankuasa Selcat tidak berbincang terlebih dahulu sebelum mengkaji kesan positif dan negatif mengadakan siaran langsung Selcat?. Oleh itu, diharapkan perkara ini dapat ditangani dengan segera tanpa wujudnya perpecahan.

Tambahan pula menjelangnya pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak lama lagi. Sesuai dengan suasana Hari Raya Aidil Fitri sekarang ini, diharapkan semua pimpinan Pakatan Rakyat Selangor dapat duduk semeja untuk berbincang ke arah kebaikan buat semua termasuk rakyat di Negeri Selangor secara keseluruhannya.

[PDO tidak memihak kepada sesiapa dalam hal ini, cuma kami bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan. Adalah lebih elok Selcat tidak diadakan secara "siaran lansgung", tetapi tetap dibuat secara terbuka.

Ini akan lebih menyakinkan pegawai kerajaan yang disiasat untuk meluahkan segala yang terbuku dihati dan perasaan mereka. Bukan semua pegawai terbabit bersetuju dengan apa yang mereka lakukan. Tetapi mereka takut untuk bercakap benar dan mendedahkan siapakah dalang yang telah memaksa mereka, kerana gusar akan mendapat ancaman daripada pihak-pihak terbabit.Tambahan pula, mungkin pihak berkenaan juga menyaksikan siaran langsung tersebut.

Cuma, cara Dato' Dr.Hassan Ali ialah beliau bercakap secara terbuka kepada media tanpa merujuk kepada Selcat terlebih dahulu. Tetapi tidak semestinya kenyataan itu mendapat restu daripada UMNO dan Barisan Nasional sendiri seperti yang dinyatakan oleh setengah pemimpin Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Teruskan usaha dan semangat perjuangan yang lebih besar selepas ini, iaitu bagi mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan pusat dalam pilihanraya umum akan datang].