HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2009

Isu Biro Tata Negara :Tak Relevan Untuk Masa Sekarang

JASIN DAILY


Isu perkauman ekstrem yang ditonjolkan program Biro Tatanegara sudah sekian lama diperdebatkan iaitu sejak 30 tahun lalu, namun ia sering kali dilindungi kerajaan pusat dengan alasan keselamatan negara.

Apabila Selangor dengan berani mengharamkan kakitangan awam dan mahasiswanya dari meyertai BTN, maka pelbagai alasan diberikan malah mencemuh kerajaan negeri dengan alasan banyak dana dilaburkan dalam kursus itu.

Pada tahun ini sahaja sebanyak 74 juta sudah dibelanjakan manakala lebih 200 pekerja tambahan bakal dilantik untuk tahun hadapan.

Bagi penulis, K.J. John beliau melihat BTN sudah menyalahi prinsip negara federalisme apabila hak kepelbagaian kaum dinafikan kerana tenaga pengajar majoriti dimonopoli kaum Melayu.

“Apa yang dilakukan negara perlu melibatkan semua, sepatutnya tenaga pengajar BTN terdiri daripada Iban, Kadazan dan bangsa lain, kalau sekiranya kita tidak merangkumkan mereka, jadi ia perlu dipersoal,” katanya.

Beliau menambah,pada asalnya BTN ditubuhkan pada 1974 sebagai Unit Penyelidikan Belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang ketika itu Tun Abdullah Badawi adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian tersebut.

Menurut John, penubuhan BTN pada ketika itu adalah berpunca daripada tragedi rusuhan kaum 13 Mei dengan tujuan menyatukan semua pemimpin belia persatuan rentetan perpaduan rakyat yang masih rapuh.

Katanya, pada 1981 BTN dipindahkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri yang ketika itu Tun Mahathir Mohamed merupakan Perdana Menteri.

John berkata, bagaimanapun kini peranan BTN tidak lagi relevan malah masih dijalankan dengan cara dan pemikiran yang jauh ketinggalan zaman.

“Bila masa berubah, perkara lama tidak lagi releven, apa yang baru dan perubahan idea adalah sangat releven, macam Nik Nazmi kata tadi, tidak ada seorang yang akan personal kenapa BTN perlu dikekalkan dengan cara lama. Pada mereka yang memahami psikologi ketenteraan dan semua, kaedah pengajarannya releven seperti permulaan Tembok Berlin dan ia mungkin lebih teruk,”katanya.

Kehilangan enjin hasil manusia tidak takut balasan akhirat - Nik Aziz

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan akibat didikan politik Umno terhadap rakyat di negara sejak lebih 52 tahun lalu dengan ajaran 'politik suku, agama suku' menyebabkan pimpinan parti sekular itu mengenepikan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam pemerintahannya sehingga ada yang sanggup mencuri enjin jet pejuang milik megara.

Beliau berkata, sama ada wujud dakwaan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab atau tidak terhadap peristiwa kecurian enjin jet pejuang Malaysia itu, sememangnya Najib bertanggungjawab.

"Sama ada kita suruh dia (Najib) bertanggungjawab atau tidak, dia memang bertanggungjawab, dunia dan akhirat. Itu benda (kedudukannya).

"Saya sebagai Menteri Besar yang menjaga negeri (Kelantan) ini pun, saya bertanggungjawab (terhadap pemerintahan negeri ini), sekadar mana yang termampu, kecuali Allah swt tahu (bahawa) saya tidak mampu, itu apa boleh buat.

"Jadi masalah Perdana Menteri kita ni, dia mengertikah atau tidak tanggungjawab dunia dan akhirat itu atau dia tidak faham, itu saya tidak tahu, tetapi dengan sebab parti dia (Umno adalah) parti sekular, yang tidak mempedulikan dosa pahala, syurga dan neraka, maka terjadilah (seperti peristiwa kecurian enjin jet pejuang itu).

"Dan banyak lagi pada masa hadapan benda (kejadian) yang 'karut maruk' begini berlaku (insya Allah adalah) hasil daripada didikan kerajaan (diterajui Umno-BN) terhadap rakyat dengan ajaran 'agama lain, politik lain'. Itulah penyakit besarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini semalam.

Terdahulu dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahmufz Omar mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib memanggil sidang Khas Parlimen bagi membincangkan peristiwa kehilangan enjin jet pejuang negara itu.

Mahfuz seterusnya bercadang mengemukakan usul pembentukan jawatankuasa siasatan peringkat Parlimen megnenai perkara itu, manakala Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali pula menggesa Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan) semasa berlakunya kecurian enjin jet pejuang negara itu mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

"Bahkan perlu bertanggungjawab juga terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu belum lama dahulu," kata Dr Lo' Lo' sambil mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu oleh kerana ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan sikap Kerajaan dan Kementerian Pertahanan yang mana isu kehilangan enjin jet pejuang itu kini (baru) ditimbulkan sedangkan kejadian itu berlaku sejak 2007 lagi.

Oleh itu, kata Ustaz Idris beliau yakin ianya membabitkan orang yang berkuasa dan perlulah disiasat segera - sambil merujuk kepada indeks rasuah negara yang meningkat dari setahun ke setahun di mana pada 2008 Malaysia berada di tempat 47 manakala indeks 2009 pada angka 56.

Menurut sumber, dua buah enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang itu berharga RM50 juta setiap satunya di mana enjin pertama hilang pada 2007 dan enjin keduanya hilang dua tahun lalu di mana disedari pihak berkenaan pada Mei 2008.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang mempertikaikan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara itu tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008 selaras dengan Seksyen 6 Akta Audit 1957 di mana penguditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk mempastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditnya.

Menurut Tan, Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Mengenai kehilangan enjin jet pejuang itu, beliau berkata Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam. Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya hingga kini?

Selain dari itu, kata Tan, Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.


Dato' Nik Aziz turut mengulas kemenangan tipis (66-63) pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen serta dakwaan wujudnya krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.

"Boleh jadi memang begitu, dan boleh jadi orang Umno ni apabila mereka masuk calon, mereka tidak berasa mereka menjadi ahli politik. Mereka berasa (sebagai) ahli korporat.

"Oleh demikian, apabila bertembung masalah korporat dengan politik, mereka mengambil korporat sama ada (sibuk) mengurus perniagaan dan boleh jadi pergi ke luar negeri menguruskan syarikat," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan dan serentak itu Nik Aziz menyatakan bahawa selaku pimpinan dalam PAS bahawa apabila berada dalam politik merasakan sebagai satu ibadat.

"Sebagaimana sembahyang dan berzikir adalah ibadat, maka berpolitik untuk membetulkan arah pemikiran manusia kepada Allah swt itu pun adalah ibadat. Namun cara kini ialah kita guna parti (bertadning dalam pilihan raya).

"Ini kerana dunia kini menggunakan parti, namun dua puluh tahun akan datang, entah macam mana orang guna (berpolitik), wallahu 'alam," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kemenangan tipis pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 itu menggambarkan kelemahan pimpinan paling ketara dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia, beliau melihat dalam sudut lain.

"Saya tidak hendak pergi ke situ (persoalan itu), tetapi perasaan wakil rakyat Umno-BN ni mereka tidak berasa serupa kita (pemimpin PAS) di mana kita memahami bahawa sembahyang yang ditunaikan dengan tidak sempurna itu adalah berdosa, maka begitu juga dengan berpolitik.

"Sekiranya tidak sempurna politik Islam, maka berdosa termasuk menghadiri sidang Dewan Negeri atau Parlimen. Semasa berkempen, kita berkempen, demikian juga ketika mengundi, kita mengundi.

"Namun Umno dengan sebab mereka tolak Islam, dan mengambil 'kebangsaan' (sebagai dasar parti mereka), mana ada dosa pahala, menyebabkan manusia kini mencuri, (bahkan) mencuri enjin jet pejuang. Perbuatan (tergamak) mencuri enjin itu adalah kerana mereka dididik dengan kemewahan dan hidup berseronok.

"Oleh itu untuk mencapai tahap kemewahan dan keseronokan itu, perlukan wang walau pun (terpaksa) mencuri dan menjual harta kerajaan, sanggup dilakukan asalkan dapat wang," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas Rohani Ibrahim berkata apa pun yang berlaku dan siapa pun pempimpin terbabit, namun beliau bertanggungjawab terhadap peristiwa kehilangan dua enjin jet pejuang negara berhaga RM50 juta setiap satu itu.

"Bagi saya, walau apa pun dan siapa pun dia bahawa waktu berlaku kejadian (kehilangan enjin jet pejuang) itu, maka orang itulah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan, bahkan beliau pada waktu itu adalah Menteri Perhanan.

"Saya bersetuju sangat dengan gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' yang menggesa supaya Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan semasa kecurian enjin jet pejuang negara itu berlaku), beliau mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selain dari perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu belum lama dahulu.

"Dan bersetuju supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu yang membabitkan penyalahguanaan kuasa.

"Isu ini baru dihebohkan, namun ketika peristiwa itu berlaku bahawa orang berkenaan memegang jawatan Menteri Pertahanan dan sekarang orang itu masih ada dengan kapasiti pangkat yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Aenda 21 Majlis Muafakat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama masyarakat di Tanjong Mas dekat sini pagi ini.

"Perlu sangat disiasat peristiwa itu sampai ke akar umbi dan harus bersifat telus," kata Rohani (Kak Ani) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

Kaji semula keselamatan bas dua tingkat-Mahfuz

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR : Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyarankan kerajaan mengkaji semula tahap keselamatan bas dua tingkat yang digunakan untuk perjalanan jarak jauh.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan bas ekspress dua tingkat, penumpang yang duduk di tingkat bawah selalunya menerima kesan yang teruk dan menyebabkan kehilangan nyawa.

"Kemalangan awal pagi semalam membabitkan bas dua tingkat dan boleh dikatakan setiap kali kemalangan berlaku, yang menerima kesan teruk ialah penumpang di bahagian bawah.

"Isunya adakah bas ekspress dua tingkat ini selamat digunakan di lebuh raya di Malaysia ini?Apakah ada jaminan dari segi tahap keselamatannya," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdalily pagi tadi.

Mahfuz turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan bas dua tingkat milik Sani Express Sdn. Bhd. di KM 272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi semalam.

"Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam, dan saya harap semoga keluarga mangsa bersabar dan redha menerima ujian ini," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok sena.

Berikutan kemalangan maut itu, Mahfuz menyarankan agar kerajaan membentuk satu Suruhanjaya Diraja yang diselia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya malaysia (MIROS) dan dianggota pelbagai pihak yang berpengalaman dalam aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam di peringkat antarabangsa.

"Saya cadang kepada kerajaan untuk bentuk satu Suruhanjaa Diraja untuk melihat soal sistem pengangkutan awam di negara ini termasuk infranstruktur jalan dan sebagainya.

"MIROS perlu diberi tanggungjawab untuk menjadi sekretariat kepada suruhanjaya ini untuk mengkaji dengan telus dan mendalam langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.Malah ianya juga perlu dianggotai oleh agensi bukan kerajaan contohnya pihak pengusaha bas ekspress sendiri dan persatuan pengguna," katanya lagi.

Meskipun tidak menolak faktor pemandu memainkan peranan penting, namun ategas mahfuz, kerajaan juga harus mengkaji faktor lain terutamanya tahap keselamatan lebuhraya samaada menepati piawaian keselamatan antarabangsa atau tidak.

"Saya tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh pihak polis berasaskan kepada pengakuan pemandu bahawa dia terlelap ketika memandu.Kita tak boleh nafikan faktor manusia dari sudut pemandu itu tapi faktor lain dari sudut pembinaan infranstruktur lebuh raya harus dilihat secara menyeluruh.Adakah pembinaan lebuhraya utara selatan ini menepati piawaian keselamatan antarabangsa," tegasnya.

Mahfuz juga tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai.

Hal ini katanya akan memberikan implikasi yang negatif kepada banyak pihak termasuk menjejaskan pendapatan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

"saya tidak bersetuju untuk gantung permit semua bas ekpress Sani sebab (tindakan) ini akan beri implikasi yang lain.Melainkan permit bas itu digantung kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.Selagi ia mengikut peraturan, permit tidak harus digantung.

"Bila permit digantung,syarikat tidak ada sumber kewangan untuk membayar gaji pekerja-pekerja di semua bahagian. Ini sudah tentu menjejaskan pendapatan pekerja. Bagaimana mereka hendak menampung perbelanjaan keluarga, persekolahan anak-anak," ujarnya.

Apatah lagi katanya, bas yang mengalami kemalangan itu tidak mempunyai rekod buruk sebelum ini.

Beliau dalam pada itu menyambut baik tindakan syarikat Sani ekpress yang menyediakan pampasan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersbut bagi meringankan beban mereka.

"Saya setuju Syarikat Sani Ekspress bagi pampasan kepada keluarga mangsa. Bagi dilihat mereka bertangungjawab di atas kemalangan yang berlaku, syarikat berkenaan juga seharusnya membiayai kos pengebumian setiap mangsa itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali menyarankan syarikat-syarikat bas ekspress supaya lebih bertanggungjawab di atas kesediaan dan kebajikan pemandu-pemandu.

"Ini bagi memastikan mereka memandu dalam keadaan yang peka dan penuh tanggungjawab terhadap berpuluh-puluh nyawa pemumpang di tangan mereka," katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Harakahdaily.

Dalam kejadian pukul 1 pagi semalam, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah utara.

Sani Express Boleh Beroperasi Seperti Biasa - LPKP

Oleh AU YEONG HOW


PETALING JAYA: Lesen operasi bas Sani Express yang terlibat di dalam kemalangan maut dekat Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi tadi mengorbankan 10 orang tidak akan digantung buat masa ini.

Sebaliknya, nasib syarikat itu hanya akan ditentukan sehingga Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa inkuiri tentang kemalangan maut selewat-lewatnya bulan depan.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya menyediakan laporan berhubung kemalangan tersebut untuk dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Katanya, jawatankuasa inkuiri yang melibatkan pelbagai agensi teknikal itu juga akan menyediakan laporan siasatan masing-masing.

Tambahnya, antara agensi tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan penasihat undang-undang.

"Saya akan memanggil mesyuarat jawatankuasa inkuiri secepat mungkin sekembalinya saya daripada bercuti sekarang," katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau yang bercuti di luar negara diminta mengulas cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya LPKP menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai.

Menurut Halimah, LPKP akan membuat keputusan bergantung kepada laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai agensi teknikal terbabit.

"Terserah kepada laporan akhir jawatan inkuiri kelak, LPKP akan membuat keputusan sama ada menggantung atau mengambil apa-apa tindakan lain terhadap operasi bas Sani Express," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, bas dua tingkat terbabit yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.

Sementara itu Pengarah LPKP Datin Naimah Ramli berkata, pihaknya telah mengarahkan syarikat bas terbabit meningkatkan tahap keselamatan penumpang.

"Mungkin susah sikit untuk meminta syarikat menggantung operasi (bas-bas) mereka berikutan musim cuti pada ketika ini dengan para penumpang telah pun membeli tiket-tiket mereka.

"Bagaimanapun saya telah pun bercakap dengan pemilik syarikat dan mengarahkan beliau supaya meningkatkan tahap keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya," katanya kepada Bernama.

PAS Selangor Didesak Keluar Pakatan Rakyat

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


SHAH ALAM: Sekumpulan lelaki yang menggelarkan diri mereka penyokong dan pengundi PAS Selangor hari ini mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri itu kerana didakwa gagal memperjuangkan Islam serta nasib kaum Melayu.

Kira-kira 20 orang yang berhimpun secara aman itu berarak sejauh 500 meter ke perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri yang terletak di Pusat Perniagaan Worldwide di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dan sepanduk tertera ‘Kami Tidak Rela PAS Jadi Boneka DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kami Desak PAS Keluar Pakatan Rakyat, Jangan Musnahkan Amanah Yang Diberikan Rakyat dan Jangan Jadi Kuda Tunggangan Anwar.

Jurucakap kumpulan itu, Wan Hilman Wan Abd Rahim berkata, bantahan tersebut dibuat kerana mereka mahu PAS bangkit daripada mengikut telunjuk DAP dan PKR yang didakwa membelakangi parti itu dalam banyak isu pentadbiran di negeri itu.

“PAS boleh bergerak sendiri, selama ini keputusan yang dibuat tidak sampai dan kita banyak ikut telunjuk mereka (DAP dan PKR).

“Kami tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam isu yang melibatkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

“Kita ahli PAS Selangor mahu PAS bangkit kerana kita lihat semua perkara sudah jadi kacau-bilau jadi kita cuba bangkitkan semua ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hilman yang mendakwa ahli PAS Bahagian Gombak turut menafikan dakwaan kononnya kumpulan itu dibiayai oleh Umno atau Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak ada. Kita tidak didalangi Umno, Anwar atau mana-mana pihak. Kita biayai sendiri dan apa yang kita buat hari ini datang daripada hati kita sendiri, tidak ada sokongan daripada mana-mana pihak,”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyampaikan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali esok pagi.

“Insya-Allah kita akan cuba hantar esok dan kita akan tengok masa yang sesuai nanti,” ujarnya.

Harga minimum rokok RM6.40 Jumaat ini

BERNAMA


Mulai Jumaat ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang
diwartakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, dikira pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di ibunegara hari ini.

Beliau berkata mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata dengan berkuatkuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Katanya semua rokok di pasaran tempatan hendaklah dijual pada harga tidak kurang daripada harga minimum rokok dan notis harga minimum itu hendaklah dipamerkan secara jelas di kaunter jualan tanpa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok yang dijual.

Liow juga berkata penjualan rokok pada harga yang lebih rendah adalah dilarang bagaimanapun syarikat rokok dibenarkan membuat pelarasan harga hanya sebanyak tiga kali setahun dan perbezaan harga tidak boleh melebihi 5 peratus.

Menurutnya peraturan itu juga melarang penjualan rokok yang mempunyai label "diskaun, harga istimewa, tawaran istimewa, promosi, promo, edisi terhad dan tawaran" atau apa-apa perkataan lain yang membawa erti diskaun atau jualan murah berbanding harga jualan runcit pada bungkusan atau label rokok atau tempat jualan rokok tersebut.

Liow berkata tujuan peraturan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja dari terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko menyalahgunaan dadah dan penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya.

Liow berkata banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutamanya di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok 3.8 peratus," katanya.

Najib digesa sambut cabaran Dr Mahathir

MALAYSIA KINI


PKR menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya bebas seperti cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyiasat pendedahan dalam buku tulisan Barry Wain bahawa di bawah pentadbiran mantan perdana menteri itu, lebih RM100 juta lesap akibat rasuah dan pembaziaran.

syed husin book launch 091108 syed husinTimbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, walaupun pihak tidak percaya mantan perdana menteri itu serius, namun PKR mengalu-alukan cabaran beliau itu.

"Sebenarnya Mahathir mencabar pemerintahan Umno-BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suruhanjaya itu hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan perdana menteri itu.

"Bahkan, jika perlu dan sesuai, suruhanjaya ini boleh juga mengkaji segala yang berlaku di bawah mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebgaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir," katanya lagi.

Sesuai dengan cabaran Mahathir itu, katanya, suruhanjaya tersebut hendaklah dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh profesional, termasuk Majlis Peguam.

"Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan suruhanjaya diambil tindakan oleh kerajaan serta pihak berkuasa lain.

"Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan "Pita Lingam"," tegasnya.

PANAS: Anwar 'agen' dunia Islam!!..Anwar 'talibarut' ulamak

Oleh pria_malaya08


"Mungkin itu yg terlintas di fikiran puak gerombolan tatkala melihat situasi dan keadaan ketika ini memihak kepada Anwar Ibrahim..

Jika dahulu, mereka sering melaung2kan Anwar adalah agen barat, Anwar adalah agen Amerika, Anwar talibarut dunia barat, Anwar pengkhianat kerana berhubung dgn tokoh barat (kafir) dan bermacam2 lagi..

Pelbagai pengiktirafan dan penganugerahan tokoh dan dunia barat terhadap Anwar sebelum dan baru2 ini semakin membenarkan telahan mereka..mereka semakin galak mengarang artikel dan berita berkaitan Anwar sebagai agen dan talibarut dunia barat..

Perihal Tokoh Maal Hijrah...

Tiba2, kehadiran tokoh ulamak dunia ke Malaysia baru2 ini telah mengubah segala2nya..

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang diundang sebagai penerima anugerah tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1431 H telah mengeluarkan kenyataan membela Anwar Ibrahim..malah beliau berjanji akan mempertahankan Anwar dengan membawa isu ini ke peringkat antarabangsa (dunia Islam). beliu sendiri akan menggunakan pengaruhnya untuk membela Anwar supaya beliau diadili mengikut hukum syarie...

Dan yang terbaru, seorang lagi tokoh ulamak dan cendekiawan Islam terkenal dunia, Dr. Wahbah as- Zuhaily juga mengeluarkan kenyataan mempertahankan Anwar Ibrahim..beliau menasihati Anwar supaya bersabar dan mencontohi nabi Yusuf yang difitnah oleh sang penguasa..malah beliau turut melahirkan perasaan kurang senang terhadap apa yang terjadi kepada Anwar Ibrahim..

Menariknya, Dr Wahbah as- Zuhaily adalah penerima anugerah tokoh Maal Hijrah pada tahun lepas, 1430 H...ini bermakna, dua orang tokoh Maal Hijrah bagi dua tahun berturut2 telah memberi kepercayaan dan pernghormatan kepada Anwar Ibrahim..

Tokoh berpengaruh dunia

Sebelum itu, Anwar turut tersenarai antara 500 tokoh Islam berpengaruh dunia dalam bidang siyasah kenegaraan..bersama beliau adalah Tok Guru Nik Aziz yang ternarai dlm 50 tokoh Islam yang sangat berpengaruh....ini semestinya suatu diluar jangkaan pengikut gerombolan..apatah lagi, menurut Yusuf Qardawi, beliau akan menyampaikan berita ini kepada para ulamak2 lain..ini bermakna berita mengenai Anwar akan mendapat perhatian tokoh2 Islam dunia yang lain..

Isu ini menjadi 'panas' kerana tokoh ulamak tersebut bukan calang2 orang, mereka adalah tokoh utama dunia yang sangat berpengaruh dan disegani oleh masyarakat muslim..mungkin jika ianya 'ulamak biasa', atau hanya bertaraf 'ulamak negeri', puak gerombolan pasti tidak akan hiraukan..tetapi mereka adalah ulamak besar dunia, yang mereka sendiri memberi pengiktirafan (sebagai tokoh maal hijrah)..ini bermakna tokoh tersebut sangat berpengaruh, berpengetahuan luas, kaya dengan ilmu dan berjasa kepada Islam..

Puak gerombolan mati akal?

Jika diperhati, di hari dan waktu berita mengenainya (Yusuf Qardawi membela Anwar) tersebar, blog2 mereka seolah2 tidak berfungsi, tiada posting terbaru, tiada artikel yang dikeluarkan..berita mengenai tokoh berpengruh dunia itu membuatkan mereka seolah2 tidak ternafas..mereka terkedu, mereka terkasima seketika..

Bagaimana Anwar yang dilabel mereka selama ini sebagai agen dunia barat, talibarut Amerika dan sebagainya akhirnya disegani ulamak dunia Islam..bagaimana Anwar yang dituduh bersetongkol dgn dan bersubahat tokoh barat akhirnya dihormati oleh ulamak terkemuka dunia sendiri..bagaimana istilah 'agen/talibarut barat' yang sifatnya merosak dan menghancukan Islam boleh sebegitu mudah dipercayai dan dihormati tokoh besar dunia Islam..ianya suatu yang diluar jangkaan pengikut gerombolan..ianya tidak masuk akal bagi mereka..

Pandangan negatif terhadap ulamak

Akhirnya selang berapa lama, mereka bersuara..pelbagai pandangan, pelbagai tafsiran..

Ada dikalangan mereka masih tidak percaya kenyataan itu dikeluarkan oleh tokoh besar dunia..mana boleh ini terjadi..dikatanya Anwar mereka2 cerita, didakwanya PR dan PAS memutarbelit kenyataan tokoh Islam itu..mereka tidak boleh menerima hakikat ini sampai lah mereka sendiri melihat dan mendengar dari mulut ulamak itu sendiri..

Ada juga dari kalangan mereka memberi alasan orang luar tidak boleh mencampuri urusan negara malaysia..ulamak luar tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan yg bercanggah dgn perjuangan dan hasrat kerajaan Malaysia..ulamak ini tidak menghormati udang2 negara Malaysia dan pelbagai lagi...maka, hujah dan kata2 ulamak tadi dianggapnya pandangan peribadi yang tidak releven dan tidak perlu dilayan sama sekali..

Dikalangan mereka juga ada yang cuba menuduh Anwar telah 'mempergunakan' ulamak ini..ada yang mendakwa Anwar telah 'menunggang' ulamak ini..ada yang menfitnah ulamak tersebut telah diupah untuk menyokong Anwar, dan pelbagai fitnah dan tohmah terhadap Anwar termasuk ulamak tersebut..tidak kurang yg mengeluarkan kenyataan tidak sopan terhadap ulamak tersebut sebagai 'balasan' tindak tanduk mereka menyokong Anwar...

Boleh lihat contoh di bawah ini..
- Qardawi (upahan) membela anwar
- Saat menjelang 25 Jan - Giliran ulama pula ditunggangi Anwar!

Dan pelbagai lagi artikel dan posting yang menjurus kepada mempersoalkan kewajaran tindakan Yusuf al-Qardawi dan ulamak lain mempertahankan Anwar....

Anwar juga 'agen' kepada dunia Islam?

Persoalannya kini, apakah puak gerombolan akan menggelar Anwar selepas ini sebagai 'agen' dunia islam, 'talibarut' tokoh Islam atau yg sama waktu dengannya kerana Anwar dilihat begitu akrab dgn tokoh dan dunia Islam? ataupun mereka 'menduakan' Anwar Ibrahim sebagai seorang 'talibarut' barat dalam masa yang sama juga 'talibarut' dunia Islam? atau bagaimana..sama-sama kita nantikan karangan jawapan dan alasan dari mereka...

Akhir kalam, penulisan ini bukanlah bertujuan untuk menonjolkan Anwar sebagai seorang tokoh hebat atau lain2, apatah lagi mahu mendewakan Anwar...yang benar tetap benar, yang salah tetap salah...tetapi tujuan sebenar penulis mengeluarkan artikel ini adalah untuk 'menguji' puak gerombolan, apakah jika dahulu Anwar digelar sebagai 'agen' barat disebabkan faktor2 tertantu, apakah perkembangan terbaru ini membolehkan Anwar juga dicop sebagai 'agen' dunia Islam?..

Wakil Rakyat BN Mengkritik Kerajaan Bukti Kemelut Umno Belum Berakhir


http://buletinonline.net/images/stories/berita17/ustmnongsidangdun.JPG

KUALA TERENGGANU
–Tindakan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengkritik kerajaan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini menunjukkan mereka masih tidak yakin terhadap kepimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah Mohd Nor menyifatkan kemelut politik Umno Terengganu masih belum selesai dan percaya ia tidak akan berakhir dengan mudah. (Gambar - Ustaz Mohd Nor - paling kanan, dalam sidang DUN baru-baru ini)

Menurutnya, walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk mewujudkan keyakinan dikalangan ADUN terbabit, namun nampaknya perpecahan dikalangan Umno semakin ketara.

Katanya, kerana berasa kurang yakin itu jugalah menyebabkan Ahmad terpaksa mencari jalan termasuk melafazkan sumpah untuk cuba menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan sumbangannya kepada rakyat.

“Akibat rasa tidak jujur, rasa tidak ikhlas dan tidak yakin dalam kalangan wakil rakyat BN menyebabkan sindrom berkenaan akan terus wujud dalam diri mereka.

“Ketidakyakinan ini bukan hanya tanggapan terhadap pihak pembangkang sahaja, malah kepada pihak kerajaan sendiri apabila Yang Berhormat Batu Rakit (Khazan Che Mat) turut membangkitkan hal keikhlasan dan kejujuran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sumpah yang dilafazkan Ahmad pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-12, kelmarin.

Sumpah tersebut me-ngandungi lafaz ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ bertujuan meyakinkan bahawa tidak wujud penyelewengan dalam pentadbiran beliau sebagai pemimpin utama negeri ini.

Mohd Nor bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung apa yang dilafaz Ahmad, namun yakin apa yang berlaku ketika ini tidak akan sama sekali menyembuhkan luka lama dalam kalangan wakil rakyat BN.

“Yang luka, jika tidak berulang kembali, ia pasti berparut dan keadaan ini sukar untuk disembuhkan,” katanya.

MBSA tawar RM1 bagi setiap tikus ditangkap

BERNAMA


SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan RM1 bagi setiap tikus yang ditangkap di sekitar kawasan pangsapuri di Seksyen 16 di sini sempena Kempen 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan kitar semula di kawasan itu hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani, berkata ganjaran wang tunai itu ditawarkan sebagai galakan supaya penduduk di kawasan sekitar mengambil bahagian dalam kempen itu.

"Kita tawarkan RM1 bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pangsapuri terawal dibina di Shah Alam ini untuk memastikan kempen 3K pada hari ini berjaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen 3K di kawasan itu hari ini.

Katanya, kempen 3K akan diadakan secara berterusan bagi mendidik penduduk supaya sentiasa prihatin dengan kebersihan kawasan tempat tinggal mereka kerana persekitaran yang kotor akan mengundang binatang perosak terutamanya tikus, sekali gus berisiko menyebarkan penyakit berbahaya.

Selain aktiviti gotong royong membersihkan kawasan sekitar dan memusnahkan binatang perosak itu, MBSA juga akan mengadakan aktiviti pembersihan sampah pukal seperti perabot lama, almari, kerusi serta sampah kebun seperti dahan, ranting, daun dan kayu, katanya.

"Kita juga akan menjalankan tindakan penguatkuasaan dari rumah ke rumah bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa bebas dari pembiakan binatang perosak yang mengundang penyakit," katanya.