HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2011

Murid dirotan hingga terkencing

SABAH DAILY

Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu.


Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.

Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan.

"Waktu kejadian, cikgu itu bagi kertas ujian dan selepas saya hantar kertas ujian pada cikgu, saya jenguk kawan saya untuk tengok apa yang dia buat.

"Tiba-tiba cikgu datang terus rotan belakang badan saya. Selepas itu cikgu tanya sakit tak. Belum sempat saya jawab dia rotan saya sekali lagi," katanya ketika dihubungi di sini semalam. -Kosmo

Mungkinkah Kejutan Akan Berlaku Di PRK Tenang?

SABAH DAILY

Sehingga minit-minit akhir kempen pilihan raya kecil Tenang, PAS masih optimis dapat membuat kejutan dalam pembuangan undi hari ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Tenang, Salahudin Ayub berkata, setelah membuat usaha terbaik, beliau telah meminta jenteranya dan semua ahli dan pimpinan PAS berdoa kepada Allah kerana hanya Dia yang berhak untuk menentukan segala-galanya.

Salahudin berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dihubungi menjelang tengah malam 29 Januari iaitu menjelang tempoh kempen tamat sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil pagi ini.

Pembuangan undi bermula jam 8 pagi esok di 12 pusat mengundi yang mempunyai 32 saluran.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyeru penduduk di kawasan pilihan raya kecil Dewan Uundangan Negeri (DUN) Tenang menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelak hujan lebat yang dijangka berlaku petang ini.

"Kita mahu pengundi turun mengundi di sebelah pagi...jangan tangguh-tangguh," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi amanat kepada petugas SPR di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis hari ini.

Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata banjir dikhuatiri berlaku di sebatang jalan sepanjang tiga kilometer menuju ke pusat mengundi Kampung Sawah Baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sawah Baru, kerana terletak di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air.

"Pengundi tidak perlu risau kerana SPR telah mengadakan persiapan yang rapi dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan polis bagi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat berkenaan," katanya.

Kempen jalan lancar

Menurut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, segala perancangan gerak kerja kempen yang dirancang pihaknya berjalan lancar.

"Untuk malam ini, kita akan tingkatkan keselamatan dan nampaknya jentera kita bersiap sedia untuk menjalankan tugas itu dengan yang terbaik," katanya.

Beliau berharap akan membuat kejutan dan untuk itu sentuhan terakhir sedang digerakkan pihaknya.

Jentera BN mensasarkan kemenangan lebih 5,000 undi majoriti namun sebuah badan penyelidikan, Ilham Centre menjangkakan jangkaan BN itu tidak akan berjaya.

Dalam tinjauan Harakahdaily pula, jentera PAS berjaya menembusi generasi kedua Felda dengan baik di samping kawasan pengundi Cina.

Namun begitu, BN masih mendapat sokongan kuat di kalangan peneroka Felda dan pengundi Melayu di kampung tradisional.

Pun begitu, calon PAS, Cikgu Mala berjaya mendapat sokongan kuat di kalangan pengundi wanita dan juga para guru yang ramai di Tenang ini.

"Jika PAS berjaya memikat lebih 60 peratus pengundi wanita, tidak ada sebab untuk PAS tidak menang," kata seorang pemerhati politik yang ditemui.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman dijangka memulakan pagi esok dengan melawat pusat mengundi yang terletak di Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang iaitu di peti undi Kampung Redong.

Beliau dijangka sampai ke sana seawal jam 8. 30 pagi ini. -harakahaily


Jumpa bayi dalam longkang

SINAR HARIAN ONLINE

BATU PAHAT - Mayat bayi lelaki dipercayai berbangsa Melayu ditemui oleh seorang bekerja buruh binaan di dalam takungan air longkang ketika dia sedang mula melakukan kerja hariannya kira-kira jam 8.10 pagi semalam.

Bayi berkenaan dijumpai mati terapung di Taman Mekar, Ayer Hitam dalam keadaan tanpa pakaian selain cukup sifatnya.

Pekerja berkenaan, Hamid Marzuki, seorang warga Indonesia yang juga penduduk tetap negara ini berkata, ketika sampai ke tempat pembinaan berkenaan dan mahu mulakan kerja, dia terkejut melihat seolah-olah ada bayi dalam longkang.

Katanya, apabila menghampiri dan melihatnya dari dekat, ternyata ia mayat bayi yang masih lagi sempurna sifat dan seperti baru dilahirkan dengan keadaan mengiring.

“Setelah melihat yang saya temui itu benar-benar bayi, saya terus sahaja menghubungi pihak polis.

“Bayi berkenaan masih lagi mempunyai tali pusat dan juga urinya dan saya percaya ia dibuang dalam lingkungan waktu malam tadi. Bayi ini dipercayai mati lemas akibat takungan berkenaan dipenuhi air akibat hujan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, beliau mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan pihaknya masih lagi membuat siasatan.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Ibrahim berkata, mayat bayi berkenaan juga dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.

Ibrahim turut mengharapkan orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk menyiasat kes ini dengan selanjutnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini diminta tampil ke hadapan untuk membantu pihak polis melakukan siasatan dan kami mengharap orang ramai dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya,” katanya.

PKR cabar MCA pulang hak milik

SINAR HARIAN ONLINE

MERU RAYA – Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Dr Lee Boon Chye mencabar Ketua Pemuda MCA Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon mengubah sebidang tanah seluas 1.2 hektar di bandar Meru Raya kerana didakwa menjadi tapak MCA sejak 2009.

Beliau memberi tempoh satu minggu kepada Hang Soon berbuat demikian dan meminta UMNO tampil melakukan perkara sama di sebuah lagi tempat yang dijadikan tapak di atas tanah seluas 1.204 hektar berhampiran kawasan berkenaan.

Beliau mendakwa, nilai 0.4 hektar tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga RM2 juta kerana ia berharga antara RM25 hingga RM50 bagi satu kaki persegi.

Sebelum ini, Boon Chye pernah meminta supaya kedudukan tanah itu diubah ke kawasan lain, tetapi selepas melihat pelan perancangan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) minggu lalu tiada sebarang perubahan.

Pihaknya mendakwa projek bandar Meru Raya sebuah projek pembangunan campuran di bawah Perak Corporation Bhd (PCB) iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang memudahkan MCA dan UMNO mendapatkan sebidang tanah.

“Kami kesal apabila melihat pelan pembangunan bandar Meru Raya terbaru yang dibekalkan MBI menunjukkan kedua-dua bidang tanah itu masih dilabelkan sebagai tapak MCA dan UMNO.

“Pada hal dalam Draf Rancangan Tempatan Ipoh 2020 yang dikemukakan Julai tahun lalu, kawasan itu sepatutnya dijadikan tapak untuk membina institusi dan kemudahan awam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penerangan PKR Negeri, Zulkifly Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Lih Kang.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, ia jelas menunjukkan tanah simpanan untuk jabatan kerajaan dan kemudahan awam dalam proses diagihkan kepada kedua-dua parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN).

“Kita desak siasatan penuh dibuat ke atas perkara ini bagi mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab dalam pengagihan tanah berkenaan.

“Di samping itu, perkara yang sama perlu dilakukan di pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri bagi mengelakkan penyelewengan sama berlaku.

“Kami juga minta kedua-dua tapak itu dipulangkan kepada kerajaan negeri untuk kegunaan jabatan kerajaan dan kemudahan awam,” katanya.

Peneroka menang saman

SINAR HARIAN ONLINE

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan injunksi kontraktor yang dilantik Felda dalam kes penebangan pokok getah Felda Raja Alias 2, Serting, Jempol.

Hakim Datuk Rosnaini Saub berkata, permohonan injunksi kontraktor dilantik Felda itu tidak sah berikutan kesemua peneroka terlibat adalah pemilik berkepentingan tanah Felda.

Keputusan hakim itu diputuskan melalui perbicaraan di dalam kamar hakim yang dijalankan secara tertutup.

Kesemua 23 peneroka itu diwakili peguam, T.Kumar dan Surina Suhaimi.

16 Disember lalu, kontraktor Huat Hing Rubberwood Sdn Bhd yang dilantik Felda menfailkan permohonan injunksi untuk menghalang peneroka dan kontraktor dilantik mengurus tanah Felda Raja Alias 2.

Permohonan injunksi itu bertujuan menghalang peneroka menguruskan tanah Felda mereka atau melantik mana-mana kontraktor mewakili mereka dalam urusan penebangan pokok getah.

Tindakan kontraktor memohon injuksi mahkamah itu sekali gus menghalang peneroka menguruskan kebun dan juga tidak membenarkan peneroka menghampiri kawasan masuk kebun sejauh 200 meter.

Sementara itu, di luar mahkamah, Surina berkata, keputusan hakim itu adalah tepat dalam melindungi hak peneroka.

Menurutnya, peneroka menolak kontraktor dilantik Felda berikutan harga jualan hasil dan pokok getah ditawarkan tidak mengikut harga pasaran.

“Bagi setiap tujuh ekar tanah milik seorang peneroka, harga hasil jualan pokok getah hanya RM28,000 sahaja yang ditawarkan kontraktor dilantik Felda, berbanding kontraktor dilantik peneroka sendiri menawarkan RM35,000.

Tenang: Pengundian hari ini, keputusan petanda awal PRU13

TERKINI

LABIS — Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang bermula 8 pagi ini — dengan ramai meramalkan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan tradisnya tetapi fokusnya ialah mengenai majoriti yang bakal diperoleh perikatan tersebut.

Sementara BN meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti iaitu memperoleh kelebihan undi yang direkodkan pada 2004, penganalisis dan firma kajian meramalkan majoriti lebih rendah daripada yang disasarkan mereka.

Sama ada calon BN Mohd Azahar Ibrahim akan membantu mempertahankan kerusi parti itu atau Normala Sudirman yang mewakili PAS-Pakatan Rakyat mampu mencatat sejarah dengan merampas kerusi itu.

Pakatan Rakyat yang diwakili PAS meletakkan dua sasaran — untuk menang dan jika tidakpun sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti BN - langkah penting untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Apapun bakal keputusan hari ini — yang dijangka diketahui 7.30 malam nanti — akan menjadi bayangan awal tarikh pilihan raya umum ke-13. Kedua-dua calon yakin pengundi dalam membuat keputusan bijak bagi memilih wakil rakyat yang boleh membantu menyelesaikan masalah di kawasan itu.

Ketika ditemui The Malaysian Insider semalam, Mohd Azahar, 39, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit berharap agar pengundi dapat membuat keputusan bijak dengan mengekalkan BN.

“Saya rasa seronok ketika berkempen. Walaupun tidak dapat jumpa semua (pengundi) tapi saya berharap dapat menemui seberapa ramai yang boleh,” katanya.

Normala, 38, Ketua Muslimat PAS Labis berkata walaupun menjadi mangsa serangan peribadi sepanjang kempen pilihan raya kecil, namun beliau tetap positif pengundi akan membuat perubahan penting hari ini.

“Harapan saya sentiasa positif, saya yakin pengundi akan membuat pilihan terbaik,” katanya lagi. J

ika melihat dari segi sejarah dan berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, sebahagian besar pengundi kerusi DUN Tenang masih berpihak kepada BN sekali gus kekal sebagai kubu kuat BN.

Bagaimanapun, BN tidak boleh memandang ringan akan kempen yang dibawa Pakatan Rakyat yang kemungkinan besar boleh berlaku satu “kejutan”, yang akan menggagalkan hasrat BN memperoleh kemenangan.

Dalam tempoh berkempen, PAS-Pakatan Rakyat yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub lebih memberikan fokus terhadap isu-isu semasa termasuk kegagalan Mohd Azahar dalam menguruskan tanah di Segamat.

Sementara BN melalui MCA terlebih dahulu menyerang secara peribadi calon PAS-Pakatan Rakyat Normala, Ketua Muslimat PAS Labis atas alasan beliau tidak mahu bersalam dengan kaum lelaki.

Serangan itu terlebih dahulu dibangkitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempersoalkan pendirian Normala itu, serangan itu kemudian diikuti dengan beberapa pemimpin MCA yang lain.

Tindakan pemimpin MCA menyerang peribadi Normala mendapat tentangan daripada pemimpin Pakatan Rakyat.

Ekoran perkembangan tersebut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa parti komponen BN terutamanya MCA tidak mengeksploitasikan pendirian Normala itu.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas. Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12, menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Bercakap soal kemenangan, penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berpendapat isu-isu yang dibawa Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap pengundi.

“Saya rasakan ia kekal kubu kuat BN apatah lagi tradisi Johor perlu dikekalkan, isu-isu yang dibawa pembangkang (Pakatan Rakyat) lebih bersifat nasional yang kurang kena kepada pilihan raya kecil ini,” katanya.

“Saya jangkakan BN menang dengan majoriti lebih besar dari 2008 dan peratusan keluar mengundi bergantung kepada cuaca dan gerakan jentera parti untuk membantu proses keluar mengundi,” katanya.

Membicarakan isu yang sama, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kedua-dua calon bertanding mempunyai kekuatan untuk mencapai kemenangan.

“Kedua-dua calon mempunyai kekuatan dari segi penampilan dan ketokohan sebagai wakil rakyat, isunya di sini sama ada pengundi mengundi calon atau parti.

“Corak politik lebih menjurus kepada parti, isu yang diperjuangkan BN lebih berupa politik pembangunan dan personaliti calon lawan yang amat berkesan terutamanya di tiga kawasan Felda yang majoriti pengundi Melayu.

“Di kawasan bandar yang majoriti penduduk Cina, politik pembangunan kurang berkesan. PAS telah memainkan isu salah tentang urus pentadbiran Felda, isu rasuah, harga barang naik dan personaliti lawan,” katanya.

Beliau menjelaskan peratusan keluar pengundi akan rendah sekiranya hujan dan banjir berlaku di kawasan Tenang.

“Peratus keluar akan rendah, 50 hingga 60 peratus sekiranya hujan dan banjir dan akan tinggi, 70 hingga 80 peratus kalau cuaca cerah.

“Peratus keluar undi rendah akan memberi kelebihan kepada PAS kerana faktor pengundi penentu dari kawasan Felda. “Saya ramalkan BN akan menang dengan undi 1,000 hingga 2,000,” katanya.

Kajian umum menunjukkan BN masih boleh mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang tetapi tidak akan mencapai sasaran majoriti 5,000 yang pernah diperoleh calonnya pada 2004. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi akan mencecah 80 peratus, lebih tinggi berbanding 73 peratus pada 8 Mac 2008.

Sejak lima hari lalu, kempen pilihan raya kecil kawasan itu sedikit terjejas ekoran hujan sepanjang hari yang berlaku selain berlaku banjir kilat di beberapa kawasan petempatan penduduk.

Sekiranya hujan berterusan peratusan keluar mengundi dianggarkan rendah sehingga boleh memberikan kesan dan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta supaya pengundi di DUN Tenang agar menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelakkan hujan lebat yang dijangka berlaku pada sebelah petang.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pagi ini mendung manakala hujan lebat pada sebelah petang. Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Dalam pada itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ada kawasan di mana penduduknya terjejas kerana banjir.

Oleh itu kata beliau, SPR dalam proses untuk meminta bantuan membawa keluar pengundi-pengundi terbabit. Bagaimanapun katanya, pusat- pusat mengundi tidak terjejas.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menegaskan tiasa larangan menggunakan payung selain yang ada simbol SPR.

Katanya hanya payung parti sahaja tidak dibenarkan untuk digunakan. Ekoran itu polis membenarkan pengundi menggunakan payung sendiri di kawasan Paya Merah.

Aziz Yusof juga mengesahkan beliau mengarahkan polis membenarkan pengundi menggunakan payung mereka sendiri.

Hujan lebat boleh jejas peluang BN menang besar, kata TPM

LABIS — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang besar dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini akan terjejas sekiranya peratusan keluar mengundi rendah ekoran cuaca hujan lebat.

Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun yakin BN yang meletakkan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon akan tetap memenangi pilihan raya kecil itu.

“Kalau peratusan (keluar) mengundi rendah ia boleh jejaskan harapan terutama BN untuk raih sokongan besar.

“Kemenangan itu Insya-Allah, harap seberapa banyak pengundi akan keluar kerana ia akan tentukan majoriti kita.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga telah keluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk membawa keluar pengundi (yang terjejas) banjir, jangan bimbang masih ada peluang untuk keluar,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau menjelaskan hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi tadi akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya bagi memilih wakil rakyat baru di kawasan itu.

BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat menurunkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis.

“Peratusan mengundi boleh menjejaskan kelancaran, faktor-faktor ini boleh beri kesan.

“Menurut maklumat yang saya terima, pengundi yang sudah keluar hampir 40 peratus . . . boleh tahan walaupun hujan lebat.

“Ada kesedaran pengundi, walau apa pun terjadi mereka tetap keluar mengundi. Kalau yang sokong BN akan tetap keluar,” kata Muhyiddin.

Mengulas kejadian hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa tempat di DUN Tenang, Menteri Pelajaran itu berkata langkah keselamatan akan diambil untuk membantu penduduk.

“Agar luar biasa, hujan lebat dan banjir. Saya juga saksikan beberapa kampung berpindah dan mereka adalah pengundi.

“Saya juga ada menerima maklumat ada beberapa kawasan yang terputus hubungan, SPR dan pihak berkuasa juga terlibat untuk membantu,” katanya.

Hujan lebat yang berlaku sejak pagi tadi menyebabkan seramai 14,753 menghadapi kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati beberapa kawasan petempatan penduduk dinaiki air, malah jalan keluar dilalui penduduk juga tidak dapat digunakan.

KPG Felda Chempelak antara paling rendah di Malaysia

Sidiqin Omar

LABIS: Peneroka Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang terutama Chempelak Barat antara tanah rancangan yang menerima Kadar Perahan Gred (KPG) paling rendah di negara ini, kata Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said.

“Kadar KPG Felda Chempelak sekitar 16 hingga 17 peratus. Jumlah yang sangat rendah berbanding tanah rancangan lain,” katanya kepada Keadilandaily.com selepas membuat tinjauan di Felda Chempelak, hari ini.

Berbanding dengan Felda Chempelak, Zabidie Abas, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) pula berkata, tanah rancangan kawasannya di Felda Bukit Besar, Kulai menerima KPG sehingga 21 peratus.

“Jauh betul perbezaan KPG antara tempat saya dengan Felda Chempelak iaitu sekitar lima, enam peratus walaupun Felda Chempelak adalah tanah rancangan terawal di Johor,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan peneroka DUN Tenang supaya lebih berani melakukan perubahan, dengan mencontohi keberanian peneroka Felda Bukit Besar yang membuat tuntutan dan desakan melalui kuasa undi.

“Peneroka Felda melalui Anak dan Biro Felda KEADILAN di kawasan kami sejak sekian lama membuat tuntutan kepada pengurusan Felda. Hasilnya, kadar KPG di tempat kami antara paling tinggi di negara ini.

“Jadi, inilah masanya untuk pengundi Felda Chempelak melakukan perubahan. Jika mereka bertindak secara isyarat melalui undi, sudah tentu pengurusan Felda akan memikirkan sesuatu dan membuat tindakan yang menguntungkan peneroka,” katanya.

Pengundi DUN Tenang perlu berani buat perubahan

Sidiqin Omar

LABIS: Pakatan Rakyat yakin dengan kematangan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang untuk membuat keputusan tepat bagi memilih wakil rakyat baru, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


Menegaskan penerangan mengenai peri pentingnya untuk rakyat memenangkan Pakatan sudah disampaikan, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak memandang pilihan raya kecil semata-mata dari konteks tempatan tetapi harus berdasarkan isu semasa dan senario politik di seluruh negara.

“Bukan bermakna semua beban rakyat Malaysia ditanggung pengundi DUN Tenang tetapi itulah hakikatnya. Kebijaksanaan membuat keputusan politik akan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Jika pengundi DUN Tenang yang terletak dalam negeri yang dikatakan kubu kuat Umno Barisan Nasional (BN) berani melakukan perubahan, ia pasti mendorong kerajaan memikirkan semula polisi dan dasar mereka selama ini,” katanya pada ceramah, malam tadi.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, kira-kira 2,000 menghadiri ceramah terakhir kempen pilihan raya kecil itu, sekaligus membuktikan sokongan padu kepada calon PAS, Normala Sudirman.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mengingatkan petugas dan penyokong supaya menjaga imej parti dan mengelakkan dari terbabit dengan sebarang tindakan provokasi pihak lawan.

Beliau bimbang berlaku perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan usaha dan kempen Pakatan Rakyat selepas hampir sebulan bekerja kuat, berkempen dan memberi penerangan kepada rakyat.

Cuaca buruk, peratus keluar mengundi pula tinggi?

Keadilan Daily

LABIS: Cuaca buruk dengan hujan lebat sejak pagi tadi dan banjir kecil menenggelami beberapa tempat menjadi petunjuk peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, dijangka rendah.

Namun apa yang meragukan bilangan keluar mengundi sehingga pukul 1.00 tengahari mencatatkan peratusan sebanyak 55.36 peratus, meskipun pengundi dilihat tidak ramai yang keluar menunaikan kewajipan mereka di beberapa tempat akibat hujan lebat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Zabidie Abas yang kini berada di Pusat pengundian di Pekan Labis berkata, beliau juga hairan dengan jumlah pengundi yang keluar seperti yang dilaporkan media.

Berdasarkan pemerhatiannya sendiri, bilangan yang keluar mengundi sangat sedikit berikutan cuaca buruk tersebut.

“Di sini kehadiran orang ramai agak lengang. Kehadiran orang tak nampak seramai itu lagi, kalau menyeluruh di tempat lain mungkin. Hujan baru sahaja reda kira-kira pukul 1.30 petang.

“Saya menjangkakan peratus keluar mengundi hanya sekitar 75 peratus, jika lebih daripada itu ada sesuatu yang meragukan,” katanya.

Katanya, banjir kecil yang melanda sesetengah tempat, menyukarkan pengundi keluar dari kediaman mereka. Bagaimana pun jentera Pakatan Rakyat berusaha untuk membawa pengundi keluar di kawasan-kawasan kritikal dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Pengundi Dun Tenang mempunyai masa kira-kira tiga jam lagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.