Oleh Arjuna Dharmawijaya

Perubahan
tidak datang mutlak. Perubahan perlukan daya tahan untuk membangun
gagasan yang kuat akarnya, supaya idea sebagai perlawanan dapat mencabar
segenap ruang yang ada. Barangkali, itu yang saya dapat belajar
daripada kehidupan. Memang enak untuk lafazkan kata-kata, tapi saya
percaya ianya tidak semudah itu. Jadi, pertanyaan yang membibir di benak
hati ini – apakah Malaysia sebagai negara, bangsa dan masyarakat sudah
bersedia ke arah perubahan?
Rata-rata, kini semakin galak menyeru kita (sebagai sebuah Malaysia)
perlu menuju perubahan. Dan, apa yang saya tangkap daripada pertanyaan
mereka-mereka ini adalah perubahan yang ditanggapi sebagai ‘peralihan
politik’ daripada A kepada B, daripada Barisan Nasional kepada Pakatan
Rakyat. Ini persepsi paling maklum untuk dibaca. Sejauh mana benar atau
bathilnya persepsi ini, biarlah ia kekal sebagai abstrak dan subjektif.
Saya memetik kata-kata seorang penulis Inggeris George Orwell yang pernah berkata
‘to make lies sound truthful and murder respectable, and to give an appearance of solidity to pure wind.’
Ini kerisauan saya yang paling besar sekiranya perubahan yang
dilaung-laungkan setiap detik masa dan ketika, hanya ditanggapi pada
pemahaman yang paling cetek. Dan, dengan kata lain – ‘ular tetap menjadi
ular, cuma sekadar bersalin kulit’.
Kebudayaan baharu?
Perubahan – pada faham yang paling sebenar setidaknya mengajak kita
untuk bersedia ke arah kebudayaan yang baru. Maka, lanjut daripada
pernyataan ini – kebudayaan apa yang baharu?
Kebudayaan baharu yang mungkin pada pandangan asas dan tohor dalam
cerminan saya adalah kesediaan untuk setiap daripada kita mencuba untuk
mengangkat idealisme pemikiran yang sihat. Manapun, kebudayaan ini
harus menjadi cabaran untuk setiap inci masyarakat mencabar akal mereka
untuk menyelesaikan urusan harian kita mentadbir hidup. Dan, bagi saya
inilah aras perubahan yang sebenar.
Perubahan ke arah kebudayaan baru melengkapi segala hal yang
bersentuhan dengan kita. Maka, perkara yang paling dekat tentulah sahaja
kehidupan berpolitik. Tidak ada di antara kita yang terkecuali daripada
tindakan politik. Malah, dengan menyatakan hasrat untuk tidak
melibatkan diri dalam dunia ‘kehidupan-politik’ adalah suatu tindakan
politik. Jadi, perubahan terdekat untuk kita langkaukan buat masa ini
adalah pemahaman kita pada politik yang sihat, yang mencabar pemikiran
dan bebas untuk mengemukakan pandangan.
Pra-syarat perubahan
Sebelum menuju perubahan, kita wajib menggali pemahaman politik yang
paling subur untuk kita gagaskan. Pada saya – makna politik yang paling
mudah untuk diungkapkan adalah bagaimana kita dapat mengendalikan urusan
harian – seperti membayar bil, membuang sampah dan membeli keperluan
dapur di pasaraya. Itu mungkin maksud yang paling mudah untuk difahami
semua.
Politik jugalah yang menentukan bagaimana urusan-urusan di atas
dikendalikan pada ruang dan struktur yang lebih kompleks. Tetapi,
urusan di atas memerlukan kita (sebagai masyarakat) untuk terlibat
bersama-sama. Bagi saya, itu makna politik di dalam era ‘demokrasi’ ini.
Dan dengan pemahaman sedemikian, setidaknya kita mampu mencerna
kata-kata perubahan ke dalam bentuk tindakan harian kita. Saya beri
contoh mudah. Misalnya, urusan membuang sampah di kawasan perumahan.
Tentu sahaja – ada yang memilih majlis tempatan untuk mengupah lori
swasta untuk mengutip sisa-sisa sampah dan ada pula yang lebih selesa
untuk mengurus sisa sampah mereka sendiri. Jadi, bagaimana misal ini
dapat diterjemahkan sebagai perubahan politik?
Jika sebelum ini, kita (sebagai rakyat dan masyarakat) punya hak
untuk memilih untuk menguruskan sampah sendiri, bagaimana pula sekiranya
ruang pelupusan sampah menjadi semakin terbatas dan kita memerlukan
rancangan strategik untuk menguruskan tapak pelupusan sampah secara
berkesan dan bersama.
Di sinilah, kita memerlukan keputusan politik yang baik. Sekiranya,
kita salah dalam percaturan yang lampau, tentu kita memerlukan
perangkaan yang baharu supaya tidak pula timbul masalah-masalah yang
lain di masa hadapan.
Dan bagi saya, perubahan bermula daripada kesedaran kita di dalam
memerhatikan kehidupan seharian kita secara bertanggungjawab. Dan di
situlah mutlaknya perubahan yang menyenangkan kita semua.
Kesedaran secara menyuluruh
Saya tidak percaya kata-kata perubahan untuk datang sekiranya
kesedaran tidak dapat disebarkan secara menyeluruh. Malah, kata-kata
perubahan tidaklah semudah meratib kata-kata pemimpin di arena
ceramah-ceramah yang penuh dengan bahasa-bahasa mengagumkan tanpa pula
memastikan apakah setiap dari bahagian diri kita semua apakah kita
sebenarnya sudah tampil dengan kesedaran yang baru.
Dan, di antara itu, kita harus saling berusaha menambah keyakinan hari
demi hari bagi memastikan perubahan terus berlabuh dengan jayanya.
Sementara itu, saya kini masih memikirkan – Apakah kita sebagai
rakyat Malaysia masih ada harapan untuk berubah? Maksudnya di sini,
selepas kerajaan baru Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menggantikan
Barisan Nasional, apakah peranan kita sebagai individu serta masyarakat
Malaysia mahu menentukan hala tuju dan masa depan negara kita sendiri?
Atau kita hanya sekadar mahu kerajaan baru berfikir segala-galanya
untuk kita sebagaimana yang telah kita biarkan pemerintah sekarang
berbuat begitu sejak lebih setengah abad? –
Roketkini.com