HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2013

Tahun Melawat Malaysia 2014 tidak akan terjejas dengan perhimpunan haram, kata Mohamed Nazri

THE MALAYSIAN INSIDER


















Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar) yakin Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 tidak akan terjejas dengan perhimpunan haram yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur esok malam.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan pelancong asing telah mengenali budaya negara ini dan mempunyai pandangan serta pemikiran positif terhadap Malaysia.

"Saya tidak fikir akan menjejaskan usaha TMM 2014. Lagi pun pelancong asing yang hendak melawat ke Malaysia tahun hadapan sudah buat 'booking' (tempahan) lebih awal dan antara kelebihan Malaysia adalah kerana rakyatnya fasih berbahasa Inggeris termasuk di kampung-kampung dan kedua, rakyat Malaysia juga dikenali secara semulajadi bersifat mesra.

"Sifat mesra dan suka membantu, tambahan dengan tarikan produk-produk pelancongan kita lagi yang sekali gus semua faktor ini menyebabkan Malaysia terkenal," katanya hari ini.

Sempena TMM 2014, Malaysia menyasarkan kehadiran 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM76 bilion.

Mengulas mengenai penganjuran perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan itu, Mohamed Nazri berkata ia boleh dilabelkan seperti sikap “kebudak-budakan” yang cuba untuk menggugat keharmonian negara ini tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Beliau berkata rakyat negara ini sudah bosan dengan tindakan pakatan pembangkang yang dilihat sentiasa mencari kesalahan kerajaan sedia ada sehingga gemar membuat demonstrasi jalanan.

"Benda ini selalu sangat dah, dan orang pun sudah tidak kisah sangat. Ini perangai 'kebudak-budakan'. Jadi saya rasa rakyat Malaysia pada umum majoritinya sudah bosan dengan perbuatan 'keanak-anakan' ini.

"PRU (pilihan raya umum) pun sudah habis, dah kalah tetap kalah. Dunia lihat keadaan macam mana yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan juga yang terkini di Thailand.

“Saya tidak fikir rakyat negara ini mahu keadaan yang sama berlaku di Malaysia," katanya. – Bernama,

Hentikan ‘maksiat’ tahun baru, berdoa ikut agama masing-masing, kata Mufti Perak

THE MALAYSIAN INSIDER

 

















Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) meminta kerajaan menghentikan sambutan tahun baru yang menjurus ke arah kemaksiatan, dan digantikan dengan acara keagamaan.

Harussani berkata adalah lebih baik kerajaan menyarankan rakyat mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing, seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.

“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baru, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam.

“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baru, ini yang menyedihkan.
Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

Katanya, walaupun sebelum ini kerajaan mengadakan program ceramah agama setiap kali malam tahun baru, namun ia tidak mendapat sambutan.

“Ini masanya kita pupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.

“Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.

“Sekiranya kerajaan serius rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat.

“Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” katanya.

Bekas Ketua Polis Negara yakin himpunan esok aman

THE MALAYSIAN INSIDER


Tan Sri Norian Mai hari ini menyuarakan keyakinan bahawa himpunan membantah kenaikan kos sara hidup yang dijadualkan di Dataran Merdeka esok akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang keganasan.

Bekas Ketua Polis Negara itu itu berkata, beliau percaya dengan kemampuan anggota pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga sikap rasional rakyat Malaysia yang tidak akan mencetuskan keganasan.

"Saya berkeyakinan dengan kemampuan polis untuk kendali situasi begini kalau wujud.

"Kedua, saya yakin dengan masyarakat Malaysia yang rasional.

"Atas dua premis ini, saya yakin perkara ini tak akan berlaku," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Badan bukan kerajaan Turun Kos Sara Hidup (Turun) akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran bersempena sambutan ambang Tahun Baru membantah kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi Turun, Muhammad Azan Safar telah ditahan polis ekoran penganjuran himpunan berkenaan pada 23 Disember lalu atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan.

Kenaikan kos sara hidup telah menjadi tajuk hangat sejak beberapa bulan ekoran penstrukturan semula subsidi, yang mana menyaksikan kenaikan harga minyak, pemansuhan subsidi, kenaikan harga barang dan juga kenaikan tarif elektrik.

GST: Peniaga terpaksa buang perkerja jika mahu kekal harga

Oleh : NAZLI IBRAHIM


PETALING JAYA : Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan diingatkan supaya tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih rendah.

Sebaliknya, pengeluar dan peniaga terpaksa mengambil langkah mengurangkan tenaga pekerja jika berhasrat mengekang kenaikan harga barangan apabila GST dilaksanakan nanti.

rafizi-TI-01

Langkah itu terpaksa diambil bertujuan mengurangkan kos bagi mengimbangi pertambahan pelbagai kos perniagaan seperti petrol, elektrik, bahan mentah lain dan GST yang dikenakan terhadap mereka.

Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata peniaga yang tidak menaikan harga barangan atau perkhidmatan tetapi pada masa sama terpaksa menampung peningkatan kos akan menyebabkan mereka kerugian dan menutup perniagaan.

“Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna kos yang ditanggung peniaga sama ada kos bahan mentah atau kos perniagaan lain juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungan.

“Dalam keadaan ini, peniaga tidak ada pilihan lain kecuali menaikan harga untuk memastikan keuntungan tetap sama apabila GST diperkenalkan atau mengurangkan tenaga kerja,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

ahmad maslan

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan tetapi disebabkan kenaikan harga secara menyeluruh itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaan mereka.

“Ini berpunca daripada pemahaman beliau (Ahmad) kononnya apabila peniaga mengenakan GST, mereka boleh mendapatkan kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan melalui cukai input,” katanya.

Rafizi berkata, Ahmad tidak mengambil kira bahawa peniaga akan membayar harga barang mentah dan kos perniagaan lain yang lebih tinggi ekoran GST dan peningkatan kos pengeluaran yang dikenakan semua pembekal mereka.-NFN-

Selangor tawar pinjaman pertanian, lahir lebih ramai petani muda

Oleh : NORHAYATI UMOR


TANJUNG SEPAT : Rakyat Selangor khususnya golongan muda digalakkan menyertai aktiviti pertanian melalui tawaran pinjaman yang akan diberikan kerejaan negeri, bermula tahun 2014.

Exco Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata rakyat Selangor boleh memulakan aktiviti pertanian secara individu atau berkelompok melalui pinjaman berkenaan.

kelapa-sallehen

Katanya, lebih menarik apabila tawaran pinjaman itu tidak perlu dibayar semula dengan wang tunai tetapi melalui hasil pulangan yang diterima pengusaha.

“Bayaran balik melalui hasil pulangan itu bermaksud pendapatan diterima setiap bulan yang disahkan agensi terbabit.

“Selepas disahkan, pengusaha hanya perlu menunjukkan hasil pendapatannya kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan mereka tidak perlu membayar balik selepas pendapatan setiap bulan itu mencecah nilai pinjaman,” katanya ketika merasmikan Karnival Mesra Rakyat, di Pantai Kampung Batu Laut, di sini, semalam.

Sallehen berkata, pendekatan itu diambil supaya pengusaha bertindak mengusahakan pertanian mereka secara serius dan fokus untuk mendapatkan hasil lumayan seterusnya membantu menjana pendapatan keluarga.

“Pinjaman yang diberikan bukan untuk keuntungan, sebab itu kita tawarkan cara terbabit. Jika dulu, kita tidak berikan pinjaman, contohnya kita berikan mereka enjin bot untuk nelayan, malangnya mereka jual enjin itu.

“Jadi kita tidak mahu perkara itu berulang lagi, kita mahu bentuk sikap peladang atau petani supaya fokus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta UPEN untuk menyediakan draf pinjaman itu kepada yang layak dan perhatian akan diberikan kepada pengusaha berkelompok dan golongan belia.-NFN-

Warga emas disaran lanjut pengajian ke universiti, perkasa potensi diri

Oleh : NAEEM RAFFI






SHAH ALAM: Warga emas khususnya di Selangor disaran meraih peluang menimba ilmu dan memperkasakan potensi diri sejajar dengan tema sambutan Hari Warga Emas tahun ini ‘Ilmu dijunjung, Warga Emas Disanjung’.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman, berkata ilmu, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki setiap warga emas adalah aset paling penting buat negara.

Nik Omar

“Usia tua bukan nokhtah bagi warga emas untuk menyumbang. Ia juga bukan nokhtah untuk kita memanfaatkan golongan warga emas ini,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Selangor, di sini, baru-baru ini.

Beliau turut memuji dan menghargai jasa baik pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh meneroka dan memberi peluang kepada warga emas untuk melanjutkan pelajaran.

“Universiti Terbuka Malaysia (OUM) sudah embuka ruang kepada warga emas untuk melanjutkan pelajaran melalui insentif berbentuk diskaun (75%) membabitkan yuran pengajiannya.

Carom

“Begitu juga dengan Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Mereka mengambil inisiatif menerajui Program Universiti Era Ketiga (U3A) sejak tahun 2007,” katanya.

Selangor Kini difahamkan, sejak program U3A dijalankan bilangan peserta meningkat daripada 84 peserta, pada 2007 kepada 548 peserta pada akhir tahun 2012.-NFN-

Asri: Para menteri perlu bijak


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN  
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN



SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, menyarankan agar menteri berfikir secara rasional  serta kritis tatkala membuat cadangan mahupun ketika memberi pendapat.

Menulis di dalam entri Facebooknya yang terbaru, Asri menjelaskan perkara itu perlu dilakukan agar tidak wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan.

"Satu perkara yang perlu disedari oleh mereka yang menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam negara ini ialah rakyat negara ini sudah jauh lebih berpengetahuan dan bijak menilai dibandingkan dahulu.

"...ini disebabkan banyak faktor termasuk perkembangan teknologi maklumat terutama media sosial, latar pendidikan dan lain-lain.

"... namun hari ini kenyataan 'tidak cerdik' yang selalu dikeluarkan oleh kebanyakan menteri hanya akan  menjatuhkan nilai menteri yang terbabit dan memperlihatkan kerajaan tidak berkualiti kerana memilih mereka tidak ada kualiti untuk memimpin negara terutama di era ini...sekaligus  wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan," katanya.

Asri: Agaknya Malaysia ini siapa yang punya?


Mohd Asri Zainal Abidin  
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin



SHAH ALAM - Kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah mendapat perhatian daripada semua lapisan masyarakat, walaupun bekas Mufti Perlis, Prof Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah pun menyuarakan mengenai perkara itu, hari ini beliau terus menyindir tindakan kerajaan.

Beliau yang juga pendakwah bebas itu turut meluahkan rasa mengenai tindakan kerajaan apabila menerima respons rakyat berhubung perkara tersebut.

Mohd Asri berkata, tindakan rakyat biasa sering disalah tafsir dan dianggap untuk menjatuhkan kerajaan.

"Inilah nasib seorang rakyat biasa... jika bicara soal kenaikan harga, dituduh ingin gulingkan negara.

"Diri diancam undang-undang penderhaka, jika diam menyimpan rasa di dada, dikata pula suka dan reda.

"Naiklah harga semahunya, jika merungut duka dihalau pula keluar dari negara, agak-agak Malaysia ini siapa punya?," tulisnya di laman Twitternya, hari ini.

Pemimpin menjadi beban kepada rakyat, sampai bila?

Semalam lagi seorang pemimpin UMNO, kali ini Ketua Wanita UMNO Kuantan dilapurkan menghalau sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN pergi tinggal di negara lain. Nama Ketua Wanita itu kalau tidak silap ingatan saya ialah Datuk Zaiton Mat. Tidak berapa lama dahulu kita terdengar Zahid Hamidi menghalau yang tidak bersetuju dengan BN tinggalkan negara ini. Beberapa orang lagi telah dilapurkan mengeluarkan kata-kata yang sama.

Menghalau orang dan menyiahkan pandangan ramai sudah menjadi budaya baru dan akan melarat tidak lama lagi. Dalam bulan Ramadan yang lalu seorang lagi Menteri, yang namanya Hasan Malek memberitahu rakyat jika harga ayam mahal, jangan makan ayam. Beberapa minggu lalu seorang lagi Menteri, Wahid Omar, berkata kalau tol mahal gunakan jalan alternatif, jangan guna lebuhraya.

Inilah dia contoh-contoh setara mana nilai dan kualiti Menteri-Menteri sekarang ini. ‘Political language’ mereka tidak langsung melambangkan mereka adalah ‘material’ sebagai seorang pemimpin, yang layak nya duduk di tepi jalan atau dalam hutan sahaja dan bercakap seorang diri jika terlalu gian untuk bercakap.

Sekarang ini apa pula akan dikatakan oleh Hasan Malek dengan rungutan orang ramai yang harga barangan yang menjadi isu Kementeriannya sekarang ini terlalu mahal. Dua hari lepas saya ada terdengar beliau meminta orang ramai jangan merungut dan terima sahaja hakikat yang barang akan naik mengikut masanya.

Saya percaya jika orang ramai masih merungut kerana persediaan anak sekolah terlalu tinggi, mungkin beliau akan meminta mereka itu jangan hantar anak ke sekolah pula. Yang penting bagi pemimpin sekarang jangan bersungut, kerana mereka sangat rimas mendengar rakyat bersungut sebab mereka tidak tahu cara menjawab persoalan rakyat itu.

Sesungguhnya rakyat yang menghalau mereka lari keluar negara kerana mereka tidak tahu memimpin negara. Sebenarnya mereka yang tidak berguna kepada negara, kerana mereka hanya menjadi beban kepada kita semua. Memangnya satu hakikat pimpinan yang lemah itu adalah beban kepada negara. itulah bebanan rakyat sebenarnya.

Ada pula pemimpin itu sudahlah menjadi beban kepada negara, ahli keluarga mereka pun dibawanya bersama untuk membebankan kita rakyat ini. Setengah pemimpin, isterinya menjadi beban kepada negara, ada pemimpin wanita suaminya menjadi beban kepada negara dan yang lain-lain pula anak-anak dan ipar duainya menjadi beban kepada rakyat serta negara.

Sepatutnya pemimpin yang memikul beban untuk menjaga negara dan rakyat, tetapi apa yang berlaku sekarang mereka pula yang membebankan rakyat dan negara. Bukti terpampang di depan mata yang menunjukkan pemimpin-pemimpin membebankan rakyat masih lagi ramai yang tidak faham dan merasakannya.

Malapetaka yang dihadapi oleh rakyat seperti banjir dan bah di Kuantan dan tempat-tempat lain itu adalah hasil dari bebanan yang dihempapkan kepada kita oleh pemimpin yang kita berikan mandat dalam setiap pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Bah dan banjir di Kuantan baru-baru ini adalah disebabkan oleh limpahan air yang sudah tidak tertakung lagi oleh baki dan saki baki hutan dan pokok-pokok balak yang ditebang tanpa had.

Pemimpin-pemimpin kita telah menebang dan membersihkan balak-balak dan hutan yang telah menakung limpahan air. Tuhan telah menjadikan hutan dan rimba serta pokok-pokok dan pohon-pohon dan bukit bukau itu untuk menjadi pasak kepada bumi ini. Apabila ditebang dan dibotakkan hutan belantara itu maka air yang turun melalui hujan atau yang tersedia ada tertakung itu akan mengalir ke tanah rendah, maka banjirlah Kuantan dan tempat-tempat yang lain.

Apabila sampai ketahap ini masih tidak belajar lagi kah yang kesemua bencana ini berlaku adalah disebabkan oleh manusia yang nmempunyai pemimpin. Jika pemimpin dan sesiapa yang berkuasa tidak prihatin dan menebang semua penakung-penakung dan tadahan air ini, maka banjir akan menjadi ‘acara’ tahunan di tempat-tempat yang terlibat.

Maka masalah-masalah yang berkaitan dengan banjir ini adalah disebabkan oleh kerakusan pihak yang berkuasa dan berpengaruh mendapatkan wang ringgit secara mudah dengan banyak melalui penebangan hutan belantara ini. Mereka menggunakan wang mudah melalui hutan dan belantara ini dengan tidak memikirkan apa yang akan mereka wariskan kepada generasi mereka yang akan datang. Wang yang didapati dengan mudah inilah yang dibelanjakan di kasino-kasino besar didunia ini serta berbelanja untuk membeli belah barangan yang mahal-mahal untuk hidup dalam ‘glamour’ itu.

Sesungguhnya rakyat menghadapi masalah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Kini rakyat terpaksa meminta projek tambatan banjir dengan kos yang begitu tinggi merata-rata di negara ini. Selalunya mereka yang akan dapat kontrak-kontrak besar ini adalah dikalangan mereka yang menebang hutan belantara tadi juga. Mereka adalah ‘rent seekers’ yang hampir dengan kuasa.


Pendeknya yang memberi masalah itu adalah pemimpin dan yang menggunakan kesempatan untuk mendapatkan kontrak besar ini juga adalah di kalangan mereka juga.

Pemimpin dan kroni mereka membelasah rakyat dari kiri dan kanan dan dalam proses ini mereka juga yang akan mendapat laba besar darinya.

Itu sebabnya saya selalu berkata rakyat yang lurus dan bersih jiwanya dan di sertai dengan sifat ‘naive’ mereka telah menjadi modal kumpulan pemimpin dan yang berkuasa untuk memperniagakan rakyat yang ramai-ramai ini.

Itulah sebabnya mereka tidak akan melepaskan jawatan-jawatan yang memberikan mereka kemudahan dan keistimewaan untuk memperniagakan rakyat buat selama-lamanya. Rakyat itu adalah modal perniagaan mereka sahaja.

Apabila rakyat sedar dan mahu memberontak kerana kejahilan kepimpinan ini, maka rakyat pula dipersalahkan dan dianggap sebagai petualang kepada negara pula. Hanya rakyat lurus itu sahaja yang bersalah, ‘penyamun’ tidak pernah bersalah di negara ini.

Ada pihak yang berusaha untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan kini, melalui parti yang ditubuhkannya, tetapi kumpulan ini juga adalah dari kumpulan yang sama suatu ketika dahulu. Masakan mereka ini boleh menjadi penyelamat kepada negara dan rakyat ini.

Sesungguhnya semua pemimpin di kedua-dua belah pihak ini memberikan masalah besar dan terus-terusan menjadi beban kepada kehidupan rakyat, empunya negara ini yang hakiki.

Tulislah, demi kemanusiaan!

Muhammad Nazreen

typewriter


TIADA juara dalam dunia penulisan. Ramai beranggapan bahawa seorang penulis itu ketika mana mereka menulis, hanya untuk menjadikan mereka sudah cukup hebat berbanding orang lain.

Maka, ia semacam suatu persaingan untuk menentukan kalah-menang si tukang tulis. Pandangan ini ternyata meleset, jauh sekali daripada kebenaran.

Perseteruan di dalam dunia penulisan – daripada latarnya, kelompoknya dan persekitarannya yang berbeza hanyalah imaginasi sang penulis yang mencuba bermain dengan kata-kata, merangkumi persoalan kecil mengenai kehidupan sehari-hari seorang manusia sehingga menyentuh perbahasan besar lewat idea dan intelektual.

Penulisan itu manifestasi di sebalik kegusaran manusia mencari sesuatu yang ‘hilang’ – dalam kata lain, mencari sebuah ‘kerinduan’.

Yang nyata hilang adalah nilai kemanusiaan. Kita semakin lama terperangkap dengan tuntutan dunia yang asyik mengejar kebendaan mengatasi keperluan ruhani.

Barangkali, persoalan begini tidak akan terjawab hanya dengan membibitkan rasa resah di dalam diri. Ia hanya sekadar ruang buat manusia untuk menggali semula identiti dan kebenaran sebagai seorang manusia, seperti kata sarjana besar kesusasteraan Indonesia, Dr Abdul Hadi WM sebagai ‘kembali ke akar, kembali ke sumber.’

Menulis memberi peluang untuk si penulis melepaskan keinginan sebagai seorang manusia yang gagal diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan. Jadi – di hujung mata penalah, mereka ketawa dan menangis.

Menulis sebenarnya adalah luahan perasaan yang tidak dapat disampaikan secara terus. Maka, ia memerlukan medium untuk dipanjangkan. Jalan penulisan merupakan jalan terbaik.

Kegagalan dalam hidup menjadikan seorang penulis itu agung di mata pembaca-nya. Dengan menulis, orang yang gagal boleh jadi berjaya. Tetapi, orang yang berjaya belum tentu akan gagal selama mereka tidak menulis!

Bukan semua mampu menulis dengan baik, apatah lagi untuk menyebarkan keinginan di dalam masyarakat yang sering berhujah dengan hukum dan bukan dengan kebenaran. Tidak kurang pula bagi mereka yang menulis – merasakan bahawa sekurang-kurangnya tulisan merupakan ‘eskapisme segera’ untuk menakluk dunia.

Kita harus akui hidup ini penuh dengan hipokrasi dan penipuan. Tetapi, mencipta suatu keinginan pula bukanlah dosa yang besar. Menulis adalah peluang untuk mengejar kemahuan yang tidak dapat dicapai di sepanjang hayat ini.

Menulis mencipta imaginasi. Dan, mencipta imaginasi pula bukan tugas yang mudah. Daya ingatan manusia sangat terhad. Kita akan lupa tentang apa yang dibicarakan sepanjang hari. Maka, menulis itu adalah ingatan bukan sahaja untuk mereka yang bergelar penulis, tetapi juga peringatan khusus buat pembaca.

Jadi di sini – saya merasakan bahawa tujuan menulis tidaklah lebih agung daripada menulis untuk kemanusiaan. Ingatan ini pernah sampai ketika pertama kali saya menelaah novel karangan Pramoedya Ananta Toer atau lebih mesra sebagai Bung Pram, dan di dalam ingatan itu – seakan terngiang-ngiang pesan Bung Pram yang menuntut setiap penulis untuk menyebarkan kesedaran terhadap kemanusiaan melalui tulisan.

Pengukuhan unsur kemanusiaan di dalam penulisan telah disentuh dengan cermat oleh intelektual terkemuka, Professor Syed Husin Alatas. Di dalam syarahan perdana, ‘Islam dan Sastera ’ yang diuraikan beliau pada 25 Disember 1978 pada Seminar Kebudayaan Melayu di Singapura, beliau menekankan sastera sebagai alat untuk menghubungkan kemanusiaan. Beliau berhujah bahawa Islam adalah agama yang menyemai nilai asas kemanusiaan seperti kebebasan dan keadilan. Maka, sastera adalah jalan terbaik untuk membina kesedaran.

Seperti kata sasterawan ulung daripada Rusia, Leo Tolstoy menerusi esei ringkas ‘What is Art?’ (1950):

Dalam tiap-tiap zaman dan masyarakat manusia, terdapat suatu kesedaran agama mengenai apa yang baik dan apa yang buruk di kalangan keseluruhan masyarakat itu, dan pandangan agama inilah yang menentukan nilai perasaan yang disalurkan melalui seni

Menerusi pandangan ini – saya dapat merakam pandangan Syed Husin Alatas yang amat mementingkan nilai kemanusiaan (tanpa mengira agama) di dalam penulisan sesuatu karya itu.

Ia seakan-akan sarat dipengaruhi pandangan Leo Tolstoy. Petikan daripada teks tersebut berbunyi:

Sebaliknya juga jika ada sesuatu karya yang dikarang oleh seorang yang bukan Islam, tetapi dalamnya terdapat dibesarkannya dengan nilai-nilai Islam, maka karya ini dapat kita anggap sebagai karya Islam dalam erti karya yang berdasarkan atas nilai-nilai Islam yang meliputi seluruh nilai kemanusiaan dan kejadian alam serta makhluk-makhluk di dalamnya

Pernyataan ini mengingatkan saya akan polemik dua penulis gergasi sekitar 80an – di antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad berkenaan konsep dan gagasan sastera Islam. Debat ini membincangkan bagaimana sesuatu karya itu dapat menyebarkan sastera yang bercirikan Islam. Kassim Ahmad melihat bahawa sebarang unsur kemanusiaan yang sejagat itu tentulah sastera yang membawa ajaran Islam. Namun, pandangan ini disanggah keras Shahnon Ahmad yang menawarkan ‘template’ dunia penulisan harus kukuh dengan unsur didaktik yang sesuai dengan ajaran Islam seperti kalimah syahadah, solat dan puasa.

Polemik ini mengupas kedudukan novel Salina, karya A Samad Said yang ketika itu sarat dengan kontroversi mengenai bagaimana seorang pelacur yang dianggap sebagai kasta sosial terendah di dalam masyarakat dapat diangkat watak protagonis sedangkan tugas melacur sama sekali ditegah oleh agama. Jadi apakah seorang pelacur itu tidak dapat mengajar kita erti kemanusiaan?

Ini mengingatkan saya dengan pesanan Terry Eagleton di dalam buku ‘Marxism and Literary Criticism’ (1976) bahawa kita harus membezakan seni sebagai bentuk (form) dan isi (content).
Sastera sebagai bentuk ‘form’ hanya membincangkan aspek teknikal di dalam kritik sastera. Manakala, sastera sebagai isi ‘content’ pula membincangkan nilai tersirat yang dibincangkan di dalam sesuatu karya sastera.

Secara lumrahnya, penulisan adalah gelanggang di mana seorang penulis sedang berinteraksi secara eksplisit dan implisit dengan pembaca. Jadi, sesuatu pentafsiran terhadap karya penulisan itu adalah proses pemindahan makna daripada penulis kepada pembaca.

Daripada situlah, idea yang dilontarkan penulis disambut oleh pembaca sekaligus memberikan pemaknaan yang berbeza daripada garapan penulis. Proses menyebarkan kesedaran terhadap unsur kemanusiaan itu berlaku apabila pemindahan maklumat itu terjadi.

Kesedaran bermula daripada saat kita meyakini bahawa penulisan boleh mengubah dunia. Kenyataan ini mungkin terlalu naif, tetapi dengan naifnya mendorong untuk kita kekal menulis dan percaya bahawa suatu hari nanti, biar sejarah sendiri yang mengadili nasib mereka yang menulis.

Saya meminjamkan bait-bait lirik daripada lagu ‘Bukan kerana nama’ nyanyian Ramli Sarip:

“Aku Menulis Bukan Kerna Nama,
Kerna Sifat Kasih – Pada sesama insan
Yang menyatakan kasih-sayangku.”
Jadi, Bacalah. Atas nama TuhanMu. Dan, tulislah – demi kemanusiaan!
Buat ZM, sumber inspirasi untuk kekal menulis.-Roketkini.com