KELAB GREENBOC
Kuala
Lumpur: Salah seorang pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, Ishak Surin
mendedahkan selama dua dekad Datuk Mustafa Ali memegang jawatan
Pengerusi Harakah, sudah terlalu banyak pembaziran yang dilakukan
Setiausaha Agong PAS itu.
“Sehinggakan perjuangan dan imej Islam yang dibawa oleh PAS sedikit sebanyak tercemar,” tambah beliau.
Secara terus terang, Ishak memberitahu, malah Mustafa juga menggunakan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk kepentingan dirinya dan keselesaan dirinya sendiri.
“Terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Mustafa, sehingga
melakukan apa yang tidak perlu dilakukan. Mustafa membazirkan wang hasil
jualan akhbar Harakah untuk mengubahsuai biliknya menjadi bilik yang
sangat mewah,” katanya dalam satu forum pendedahan bertajuk Harakah Dalam Bahaya, di Gombak.
Ishak yang merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Batu turut mempersoalkan
apakah kepentingan bilik yang sebegitu mewah di Ibu Pejabat Harakah
kepada pengarah urusan kerana menurutnya, permulaan wang jualan akhbar
Harakah adalah daripada titik peluh rakyat (ahli) khususnya.
Bukan itu sahaja, Ishak turut melahirkan kekesalannya apabila melihat
pihak pengurusan Harakah gagal untuk mengurus wang tersebut dengan baik.
Menurut beliau lagi, jika wang tersebut dikendalikan dengan cara
betul, sudah banyak projek-projek yang boleh dilaksanakan untuk parti
PAS, malangnya perkara tersebut tidak berlaku.
“Sekiranya wang daripada hasil jualan akhbar Harakah itu digunakan dan
diurus secara baik, pastinya Harakah sudah setaraf dengan media rasmi
kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah PAS sendiri juga
pasti mampu untuk memiliki akademi wartawannya sendiri. Tetapi kini apa
yang ada?” ujar beliau.
Selain itu, veteren PAS itu juga turut kesal apabila mendapat tahu kebajikan kakitangan akhbar Harakah tidak dijaga sebaiknya.
“Gaji kakitangan Harakah tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana perkara ini boleh berlaku, kerana
kita sering bercakap soal Islam, tetapi adakah ini gambaran sebuah parti
yang membawa perjuangan Islam?
“Atas perkara itu, saya kini dalam usaha untuk menubuhkan satu kesatuan
sekerja dalam kalangan kakitangan pekerja akhbar Harakah,” ujarnya lagi.
Ishak secara lantang menyuarakan dan mendesak agar Mustafa meletakkan
jawatan sebagai orang nombor satu di dalam akhbar Harakah serta
mengembalikan semula pentadbiran Harakah kepada pentadbiran asal.
“Saya mendesak supaya Mustafa Ali berundur dan saya juga yakin beliau
akan berundur. Malah saya turut mengharapkan pentadbiran secara
korporat dihentikan dan dikembalikan semula cara pentadbiran yang lama
iaitu secara berjemaah.
“Sudah terlalu lama Mustafa berada di dalam Harakah, dan dia ingat akhbar Harakah adalah bapa dia yang punya,” ujar beliau lagi.
Tidak terhenti di situ, Ishak turut menggesa agar kewangan akhbar
Harakah diaudit kerana menurutnya, ia akan membolehkan akar umbi
mengetahui pengaliran wang hasil jualan akhbar tersebut.
“Tetapi sehingga kini, kita tidak mengetahuinya. Macam mana nak tahu,
kewangan Harakah tidak pernah diaudit walaupun perkara ini sering
dibangkitkan dalam muktamar PAS,” tambah beliau.
Menurutnya, walaupun persoalan itu dibangkitkan setiap kali muktamar
berlangsung, ia hanya sampai di peringkat pertanyaan sahaja kerana tidak
pernah terjawab.
Jelas Ishak lagi, beliau akan menegur mana-mana pemimpin PAS yang
disifatkannya sudah lari daripada perjuangan asal PAS iaitu untuk
memartabatkan Islam dan membentuk sebuah negara berkebajikan.
“Kalau Mustafa sanggup menjadi pemimpin, maka dia mesti sanggup kena
tegur. Ini kerana, sebagai ahli PAS, sudah menjadi tanggungjawab kita
untuk menegur pemimpin, “ tegasnya.
Beliau seterusnya mengingatkan ahli PAS mengenai dua perkara yang akan
disoal dan dihitung iaitu sewaktu di dunia dan di akhirat kelak.
“Sewaktu di akhirat kelak, akan ditanya jika ahli-ahli PAS menegur
pemimpinnya dan jika tidak ditegur, mengapakah tidak ditegur. Adakah
takut jawatan akan diturunkan,” tegasnya.
Ishak yang pernah menjadi pengurus Harakah kira-kira dua tahun ketika
akhbar itu mula diterbitkan pada tahun 1986 turut menyifatkan kemelut
dalam pengurusan akhbar Harakah amat mencemaskan dan ia berpunca oleh
perlakuan individu seperti Mustafa.
“Selagi Harakah tidak dibetulkan, kita akan terus menegur kerana kita sayang akhbar Harakah ini,” ujarnya.
Sebelum ini, pihak pengurusan Harakah telah meminta ketua pengarangnya
Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua
pengarang kanannya iaitu Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid. -FMT
Masalah dalaman PAS punca (Jualan) Harakah jatuh
Bekas Pengarang Harakah, Datuk Tarmizi Md Jam mendakwa punca sebenar
kejatuhan jualan akhbar Harakah adalah disebabkan masalah dalaman parti
yang terlalu banyak.
“Masalah merudum penjualan akhbar Harakah bukan disebabkan akhbar
tersebut tidak laku tetapi puncanya adalah disebabkan segelintir
pemimpin PAS yang terlalu banyak krisis sehingga gagal menyelesaikanya,”
katanya pada program ‘Harakah dalam bahaya’ dan pendedahan mengapa
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mesti berundur.
Menurut beliau, dakwaan penjualan Harakah yang merupakan lidah rasmi
parti merudum berpunca daripada kegagalan Ketua Pengaranganya, Ahmad
Lutfi Othman seperti yang didakwa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan pihak
majikan “adalah tidak benar sama sekali malah kami dijadikan kambing
hitam.”
Sebaliknya Tarnizi mendakwa, punca sebenar masalah ialah ramai anak muda yang menolak PAS serta sikap permusuhan parti dengan PKR dan DAP.
“Kalau menguruskan Harakah berdasarkan pada Islam tidak ada masalah,
kita selamat, tetapi apa yang berlaku sekarang walaupaun berada dalam
organisasi Islam kami rasa tidak selamat.
“Malah ada pemimpin PAS yang ingin berbaik dengan UMNO cuba memburukkan
Harakah, ini bukti bahawa mereka busuk hati dan menjadi penyebab
jatuhnya jualan Harakah ,” katanya.
Pada masa sama Tarmizi menjelaskan, apabila berlakukan krisis antara
PAS dengan rakan komponan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang lain menyebab
wartawan Harakah berada dalam tekanan dan dilanda dilemma untuk membuat
laporan.
“Kami dalam editorial berada dalam dilemma untuk menyiarkan berita apa.
Sebagai contoh kalau nak siarkan berita Presiden PAS bantah pilihan raya
pihak berkuasa tempatan (PBT), sedangkan kita tidak berpisah dengan PR
dan bersama dalam misi memperkukuhkan PR.
“Apa kita nak lapor dalam Harakah, kalau salah lapor akan bertentangan dengan dasar PR,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pihak pengurusan Harakah lebih
profesional dan membuat setiap keputusan berdasarkan perjuangan Islam
seperti yang diperjuangkan parti dengan menjaga kebajikan pekerja,
bukannya bertindak sesuka hati.
Tarmizi juga mendesak Mustafa mengundurkan diri sebagai Pengerusi
Harakah agar akhbar tersebut terus maju ke hadapan demi memperkukuhkan
PAS serta menguatkan lagi perjuangan PR.
-FMT


ULASAN GB
Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalanlah... terdedah segala pekung yang tersimpan...
Pom pang pom pang nak debat isu LBT, serang rakan-rakan dalam Pakatan ... kini Allah dedahkan rupadirinya yang sebenar.
GB dah lama tahu tapi tak berapa berani nak mendedahkan. Almaklum GB ni
ahli kerdil. Tak mampu nak lakukan macam Cikgu ishak Surin dan Dato
Tarmizi Mohd Jam lakukan semalam.
GB pernah menulis untuk Harakah sewaktu Harakah berpejabat di Jalan
Pahang lagi. Semasa itu belum wujud Harakahdaily. Sebagai seorang ahli
PAS yang komited yang mahu berita-berita PAS tersebar luas ke seluruh
negara, GB menulis berita-berita untuk membuat liputan aktiiti-aktiviti
PAS di negeri yang GB tinggal. Ada juga berita-berita yang jadi Headline
mukadepan Harakah waktu itu. Semasa itu GB menggunakan mesintaip buruk
yang dibeli sendiri... hantar berita dan tulisan ke Harakah, walaupun
lansung tidak dibayar sesen. Ketika itu GB hanya berbekalkan keyakinan
Allah membantu GB. GB mencari duit dengan cara menjual Harakah dan
kaset-kaset ceramah. Semuanya itu sudah menjadi sejarah.
Apabila dunia berubah dengan kehadiran internet GB beralih menjadi
penulis maya... GB memulakan dengan nama pena "Mahazalim". Masa itu
belum ada haraakahdaily, malaysiakini, Malaysian Insider, FMT dan
sebagainya. Setelah setahun, tiba-tiba GB diuji Allah dengan sakit tenat
yang menyebabkan Laman Reformasi kendalian Mahazalim ketika itu
terpaksa diserahkan kepada orang lain. Pengendali mahazalim selepas GB
berjaya menjadi seorang YB!
Ketua Pengarang harakah Sdra Ahmad Lutfi Othman, ketika itu Ketua Pengarang DETIK ada mewawancara GB melalui email. Boleh baca: Nostalgia : Wawancara DETIK Bersama "mahazalim"
Setelah pulih dari sakit tenat, rahmat Allah s.w.t. luas dan GB dapat
menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dan alhamdulillah kini
GB berblog di sini...
Berbalik kepada cerita Harakah. Jualannya merudum. Malah ranking
Harakahdaily juga turut merudum. Disebarkan kempen "Satu keluarga Satu
Harakah"...namun bagi GB kempen itu akan menjadi sia-sia jika tidak ada
perubahan bkan saja dalam pengurusan Harakah, malah di dalam parti
sendiri. Seperti kata Cikgu ishak, “bukan Harakah sahaja dalam bahaya
malah PAS lebih dalam bahaya”.
Mengurus & memimpin adalah tugas dan kerja orang profesyenal. Bila
tak dipimpin dan tak diurus oleh mereka yang profesyenal, jadilah sepert
Harakah, jadilah seperti kerajaan PAS di Terengganu dan Kedah yang
sempat diperintah cuma sepenggal... Berbeza dengan kerajaan Kelantan
dibawah TGNA, berkeupayaan untuk bertahan berpenggal-penggal, sekalipun
TGNA bukan dari kalangan profesyenal tetapi TGNA sentiasa meyakini dan
bekerjasama dengan golongan profesyenal, tidak angkuh dan sombong
seperti yang ada sekarang. Renung-renungkanlah!
GB ada hujjah yang banyak untuk menyatakan begitu, akan bersambung di kesempatan yang lain.
Tentang Mustapha Ali ni, dah lama GB suruh tukarkan iaitu sejak tahun 2011 lag. Boleh baca ulasan GB di : Tukarkan Mustapha Ali Untuk Perlengkapkan Pimpinan Ke Putrajaya Nanti