HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Isu banglo LGE adalah sandiwara BN – Aziz Bari

 
Serangan BN bertujuan mengaburi mata rakyat dengan menyamakan pimpinan DAP seperti BN iaitu terpalit skandal rasuah.


azi-bari


PETALING JAYA: Isu pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan mainan politik Barisan Nasional (BN).

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr Dr Abdul Aziz Bari, berkata polemik banglo itu sengaja ditimbulkan kerana UMNO dan BN ketandusan idea menyerang pembangkang.

Katanya, isu berkenaan juga ditimbulkan bagi mengaburi mata rakyat kononnya pimpinan DAP sama seperti BN yang terpalit dengan skandal rasuah, sekaligus menutup isu yang berlaku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“(Guan Eng) tidak perlu berehat, saya rasa isu (banglo) itu sudah dipolitikkan, jadi takkan kita buat tindakan untuk masuk perangkap BN.

“Ini hanya agenda dan sandiwara BN, kita tahu baik mahkamah, pihak polis, baik Peguam Negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) susah nak lari daripada pengaruh UMNO, begitu juga Bank Negara, kalau kita terpengaruh dengan desakan mereka tak cerdik la kita.

“Mereka cari peluang dan hendak kata pemimpin politik ini sama, termasuk DAP, mereka hendak kata DAP ini sama dengan UMNO (ada skandal rasuah), jadi orang akan kata Guan Eng juga macam Najib (terlibat rasuah) jadi apa yang hendak bising. Saya kata begitu tidak bermakna saya kata Guan Eng itu malaikat, kita pun cerdik juga,” katanya sewaktu dihubungi FMT, di sini, hari ini.

Bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut membidas Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang didakwa takut untuk membuat pendedahan isu pembelian banglo Guan Eng di khalayak umum, sebaliknya hanya berani berbuat demikian menerusi imuniti Dewan Rakyat.

DAP tak tahu beza isu parti dengan isu peribadi, kata Noh

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: DAP diminta berhenti bersikap 'hipokrit' susulan tindakan parti itu yang mengarahkan wakil rakyatnya 'tutup mulut' dan hanya membenarkan beberapa jurucakap sahaja memberi kenyataan bersabit isu pembelian sebuah rumah banglo milik Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn dan tanah di Taman Manggis.
 
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebaliknya berkata, tindakan tersebut mencerminkan parti dominasi Cina itu tidak dapat membezakan antara isu parti dengan isu peribadi bersabit kontroversi yang sedang membelit Ketua Menteri Pulau Pinang itu.  
 
Justeru, kata Noh, adalah lebih baik DAP meneliti semula isu berkenaan dan meminta supaya pimpinan parti itu tidak mencampuri urusan Guan Eng.
 
"Hipokrit la (DAP), sama ada ini isu DAP atau isu peribadi? Kalau isu peribadi mengapa orang lain hendak tolong jawabkan.
 
"Ini isu peribadi ke isu parti, kalau ada isu peribadi, kalau DAP tengok ini isu parti, mungkin parti bolehlah keluarkan arahan adakah sebelum Guan Eng beli rumah tersebut dia ada bawa dalam mesyuarat DAP? 
 
"DAP perlu tahu beza sama ada ini masalah parti atau pun masalah peribadi? Jadi kalau dia masalah peribadi, bagi saya biarlah Lim Guan Eng seorang sahaja yang jawab, kenapa orang lain mesti campur tangan? Jadi nampaknya DAP pun tidak boleh hendak bezakan di antara isu peribadi dan isu parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Parlimen tadi.
 
Beliau mengulas mengenai pekeliling yang diedarkan oleh pegawai DAP Pulau Pinang yang meminta pemimpin parti untuk tidak mengadakan sebarang sidang media atau mengeluarkan kenyataan berhubung dua isu berkenaan.
 
Menurut pekeliling itu, hanya tiga pemimpin dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan iaitu Guan Eng sendiri, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan penasihat undang-undang parti yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
 
Pekeliling itu juga menyatakan, arahan berkenaan bertujuan untuk mengelakkan lagi kekeliruan keadaan dan bagi menentukan pemimpin mengulas mengenai apa yang patut dan tidak sepatutnya diperkatakan.
 
Menurut pekeliling itu lagi, ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang 'pendedahan maklumat sensitif yang tidak disengajakan' memandangkan isu-isu berkenaan adalah serius. 
 
Pekeliling itu dikeluarkan kepada ahli-ahli Parlimen parti, ADUN, ahli jawatankuasa negeri termasuk pemimpin Wanita dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy).
 
Susulan arahan DAP itu, Noh mempersoalkan tujuan parti itu mengeluarkan pekeliling sedemikian.
 
"Yang kedua kalau ini dianggap sebagai isu parti, sebab apa ada larangan? Adakah di dalam DAP ini dia ada puak-puak? Ada puak yang pro Lim Guan Eng, ada puak memang suka tengok benda ini berlaku, maka sebab itu dihalang daripada mereka membuat apa-apa kenyataan.
 
"Jadi kalau itu berlaku, di mana kebebasan bersuara yang DAP duduk laung-laungkan selama ini? Bila terkena batang hidung dia, kita semua tidak boleh bercakap," katanya.
 
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bagaimanapun menafikan pekeliling itu menyebut arahan 'tutup mulut' dalam emel yang dihantar kepada ahli parti itu.
 
Anthony menegaskan parti tidak pernah mengeluarkan arahan tutup mulut sebaliknya mendakwa ia sekadar nasihat daripada kepimpinan Pulau Pinang, dengan menyatakan bahawa beberapa jurucakap dilantik untuk mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.
 
Jelasnya lagi, nasihat itu hanya untuk wakil Pulau Pinang.
 
 

Khir Toyo dapat pelepasan penjara empat bulan, kata KDN

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Permohonan parol bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Kajang, diluluskan Lembaga Parol Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bersidang semalam.
 
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata Dr Mohamad Khir diparolkan untuk menjalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukumannya pada 29 Mei depan, jika beliau tidak melanggar syarat yang ditetapkan Lembaga Parol.
 
Alwi menjelaskan di bawah sistem penjara Malaysia, seseorang banduan layak mendapat remitan iaitu satu pertiga daripada jumlah hukuman sekiranya Jabatan Penjara berpuas hati dengan tahap pemulihannya semasa menjalani hukuman di penjara.
 
"Dalam konteks Dr Mohamad Khir, beliau mendapat remitan empat bulan iaitu hanya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 29 Mei ini walaupun hukuman 12 bulan penjara yang dijatuhkan terhadapnya yang berkuat kuasa 29 September 2015 sepatutnya berakhir pada 28 Sept tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Menurutnya Dr Mohamad Khir tertakluk kepada Perintah Parol [Subsekyen 46H(3) Akta Penjara 1995 (Akta 537)] yang menggariskan 27 syarat.
 
Dr Mohamad Khir dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Parol Daerah Klang pada masa yang ditentukan dan menetap di alamat sebagaimana yang dinyatakan pada Perintah Parol.
 
Beliau juga perlu mengikuti program pemulihan yang diadakan atau diarahkan serta tidak boleh meninggalkan daerah tanpa kebenaran Pegawai Parol serta tidak boleh meninggalkan Malaysia.
 
Alwi berkata sistem parol dilaksanakan di Malaysia sejak 2008 bagi memberi peluang kepada banduan untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat umum setelah menjalani hukuman, dengan banduan yang layak boleh memohon untuk menjalani baki hukuman di luar penjara.
 
"Pelaksanaan Perintah Parol yang pertama dibuat pada 26 Julai 2008 membabitkan 64 banduan. Sejak sistem parol dilaksanakan sehingga 14 Mac 2016, seramai 12,550 banduan telah dibenarkan menjalani parol di luar penjara," katanya.
 
Beliau menjelaskan semua kesalahan membabitkan hukuman minimum satu tahun penjara layak memohon untuk diparolkan kecuali kesalahan-kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara 1995 (Akta 537) seperti berperang atau cubaan berperang dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau yang Dipertua Negeri.
 
Kesalahan lain yang tidak layak memohon parol ialah memberi atau mereka keterangan palsu dengan niat hendak menyebabkan seseorang disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman mati; menyebabkan kematian; merogol dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, katanya.
 
 

"Sains tak pandai, bahasa Inggeris pun ke laut," keluh ahli akademik

ARIF ATAN


Ir Dr Wan Ramli Wan Daud ketika berucap dalam Himpunan Bantah DLP petang tadi.Ir Dr Wan Ramli Wan Daud ketika berucap dalam Himpunan Bantah DLP petang tadi.


Langkah kerajaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003 melahirkan generasi pelajar yang ramai tidak menguasai bahasa dan ilmu dalam bidang berkaitan.

Ahli akademik, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan selama sembilan tahun itu mengakibatkan majoriti penuntut keliru kerana penguasaan ilmu sains dan bahasa adalah dua perkara yang jauh berbeza.

"Pengalaman saya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (di Universiti Kebangsaan Malaysia) mendapati bukan sedikit pelajar kita mengalami krisis penguasaan ilmu.

"Mereka yang melalui PPSMI, ramai yang Sains tidak pandai, bahasa Inggeris pun ke laut - tak pandai. Mereka tak tahu konsep sains sama ada dalam bahasa Melayu apa lagi dalam bahasa Inggeris. Ini amat merugikan anak bangsa kita," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline sempena Himpunan Bantah Program Dwi Bahasa (DLP) di LRT Masjid Jamek, petang tadi.

Mengulas projek rintis DLP di 300 sekolah mulai tahun ini, beliau berkata, pemilihan sekolah terbabit dibimbangi mengandungi agenda tersembunyi.

"Kenapa saya berkata begitu? Sebabnya Pemandu yang pilih sekolah itu bukannya Kementerian Pendidikan. Ini menghairankan sebab kalau betul projek rintis pemilihan mesti secara rawak oleh kementerian sendiri bukan pihak lain," jelasnya.

Menurutnya, pemilihan tidak adil tanpa mengambil kira pelbagai faktor termasuk lokasi dan demografi penduduk bagi tujuan projek rintis DLP itu dilihat hanya untuk menghalalkan pelaksanaan program itu ke seluruh sekolah.

"Padahal keberkesanan pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris itu sendiri tidak pula pihak Pemandu ambil kira.

"Sibuk kacau yang lain dengan alasan mahu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Ini pakai teori mana?" tegas bekas pensyarah selama 36 tahun ini.
Paling tidak dapat diterima, tambahnya, apabila DLP secara tidak langsung menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi hampir kesemua mata pelajaran di sekolah.
"DLP lagi teruk daripada PPSMI yang sudah diumumkan mansuh mulai tahun 2012 lalu.

Kalau PPSMI 'kacau' dua mata pelajaran saja (Sains dan Matematik), DLP bermula dengan empat subjek termasuk Rekabentuk dan Teknologi Maklumat.

"Akibatnya, di peringkat menengah nanti, hanya tinggal beberapa kerat saja subjek di sekolah diajar dalam bahasa Melayu.

"Inilah saya katakan agenda tersembunyi di sebalik DLP. Kalau benar bagus matlamatnya kenapa tak dilaksana di SKJC (Sekolah Kebangsaan Jenis Cina)," bidasnya lagi.

Husam gesa PAS berubah, sertai arus kebangkitan rakyat

 BORHAN AHMAD



Penceramah di Pentas Selamatkan MalaysiaPenceramah di Pentas Selamatkan Malaysia


Datuk Husam Musa menggesa PAS agar segera membuat keputusan untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat menolak kemungkaran yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya nasihatkan parti saya supaya cepat-cepat bersama dengan kebangkitan rakyat ini dengan menolak kemungkaran Najib dengan mempunyai pendirian yang tegas dan selari dengan rakyat," kata bekas naib presiden PAS itu di Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia di Pandan Jaya malam tadi.
Husam Musa di Pentas Selamatkan MalaysiaHusam Musa di Pentas Selamatkan Malaysia
Husam yang juga Adun Salor, Kelantan hairan dengan pendirian presiden dan mursyidul am parti itu yang tidak tegas dalam membuat pendirian dalam sesuatu perkara.

"Cara presiden saya dan mursyidul am saya bercakap tonggang-langgang. Mereka kata Najib kena kekal sampai pilihan raya kerana takut huru-hara berlaku (jika Najib turun).

"Tun Mahathir dan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) berhenti tiada huru-hara pun, takkan Najib lebih hebat dari Mahathir dan Pak Lah sehingga kalau dia berhenti Malaysia mesti huru-hara," kata Husam di majlis itu yang turut disertai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali.

Bagi Husam, kalau dibiarkan kemungkaran yang dilakukan oleh Najib ini ia bertentangan dengan prinsip Islam.

"Kita akan bercanggah dengan prinsip Islam iaitu tidak tegur kemungkaran yang dibuat. Mudarat kepada negara, pecah amanah dan salah laku ini kita biar kerana semata-mata ada sedikit sebanyak perkara yang saya tak tahu apa dia, yang saya yakin bukan kerana dedak.

"Saya harap parti saya tak makan dedak," kata Husam yang disambut tepukan gemuruh kira-kira 5,000 yang hadir.

Husam menegaskan, dia membuat teguran terbuka ini kerana mahu pemimpin dan ahli PAS turut bersama dalam arus perdana politik negara ini.

"Ahli dan pemimpin saya perlu bersama dan jangan ragu-ragu untuk menyertai kebangkitan ini kerana ia disokong oleh semua rakyat," kata Husam.

Beliau juga berdoa agar Mahathir yang sudah berumur 92 tahun itu panjang umur untuk melihat perubahan ini.

"Saya berdoa agar Tun Mahathir panjang umur supaya boleh melihat perubahan itu dan boleh bangga melihatnya nanti," kata Husam.

Bagi beliau,  semua rakyat sudah bosan dan jemu dengan apa yang berlaku dalam negara ini dan "kita perlu satu jalan keluar dengan satu formula baru untuk selamatkan negara di masa depan."

Tabung Mat Sabu: Tidak perlu derma seorang Arab, ribuan rakyat hulur wang

ARIF ATAN


Faiz FadzilFaiz FadzilMencatat sejarah tersendiri, kempen kutipan tabung khas untuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu ekoran kes saman isu “Projek IC Sabah”, telah mencecah RM200,000 hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata, pencapaian membanggakan hasil kerja keras sekumpulan gerakan awam dikenali #SahabatMatSabu itu jelas mendapat perhatian dan sokongan orang ramai.

"Alhamdulillah. Syukur dan tahniah kepada urusetia Tabung Mat Sabu yang berusaha keras untuk mencukupkan jumlah sasaran RM 200,000 dalam tempoh sebulan lebih.

"Ternyata usaha kecil yang dilakukan oleh aktivis rakyat dan anak muda yang cintakan keadilan di negara ini tidak sia-sia dan mendapat sokongan orang ramai," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas kutipan bagi membolehkan Mohamad menjelaskan bayaran kepada bekas Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar itu, beliau berkata, rakyat sebenarnya cukup prihatin dalam melawan kezaliman dan penindasan.

"Ternyata ramai di sana yang menyokong usaha menegakkan keadilan di negara ini dan merubah sistem pentadbiran yang dicemari dengan korupsi dan penyelewengan termasuk sistem pilihan raya.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia dan para pejuang ini tidak memerlukan derma yang banyak daripada seorang Arab tetapi derma yang kecil daripada ribuan rakyat adalah lebih suci dan berintegriti.

"Terima kasih kepada semua rakyat yang menyumbang. Anda adalah rakyat yang berani," tambah Faiz lagi yang juga peguam.

Terdahulu penyelaras #SahabatMatSabu, Hishamuddin Rais berkata, pihaknya akan mengumumkan hari penyerahan hasil kutipan tersebut kepada pihak peguam Mat Sabu.

Ujarnya, dalam satu kenyataan bersama Adam Adli dan Mandeep Karpall, jumlah rasmi kempen sumbangan RM10 itu akan diberitahu dalam jangka masa terdekat selepas akaun berkenaan diaudit.

Perintah mahkamah terhadap Mat Sabu itu ekoran temubual akhbar Harakah bersama beliau yang disiarkan di akhbar itu edisi Jumaat, 1-3 Februari 2013. Mat Sabu merupakan Timbalan Presiden Pas ketika itu.

Four Corners: Tun M guna media barat desak Najib letak jawatan, kata Salleh

BERNAMA

Datuk Seri Dr Salleh Said KeruakDatuk Seri Dr Salleh Said KeruakBekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada pilihan lagi, kecuali mengeksploitasi saluran lain misalnya media Barat, selepas gagal dalam percubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Umno dan Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, program Four Corners oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) adalah satu lagi usaha Dr Mahathir untuk menggunakan media Barat sebagai sebahagian daripada Kempen Anti-Najib beliau.

"Dr Mahathir tidak ada lagi pilihan melainkan mengeksploitasi saluran lain seperti media Barat, yang beliau cerca semasa beliau berkuasa, dan berganding tenaga dengan seteru politik seperti Lim Kit Siang, yang dipenjarakannya semasa beliau berkuasa.

"Dengan menggabung jalin beberapa peristiwa, mereka (ABC) mewawancara hanya  Dr Mahathir dan peserta lain dalam Kempen Anti-Najib beliau, yang secara terbuka mengesahkan niat mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Tiada usaha untuk mengimbangi, dan tiada bukti yang dikemukakan untuk mewajarkan tuduhan liar ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salleh berkata polis, pendakwa raya dan mahkamah telahpun mengesahkan bahawa kematian penuh tragik masing-masing membabitkan pengasas Arab-Malaysian Development Bank (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais dan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu tidak mempunyai kaitan langsung dengan perdana menteri.

"Memandangkan pembunuhan ini telahpun melalui siasatan polis dan proses mahkamah yang menyeluruh, tuduhan berniat jahat ini adalah suatu penghinaan bukan sahaja kepada perdana menteri, tetapi juga kepada polis, badan kehakiman dan sistem keadilan jenayah Malaysia secara keseluruhan," kata Salleh.

Beliau berkata selama bertahun-tahun, Dr Mahathir dan Kempen Anti-Najib berusaha untuk menyerang perdana menteri (Najib) dalam perkara ini, bagaimanapun tiada bukti sama sekali terhadap sebarang salah laku, dan bukti itu tidak akan ada disebabkan tuduhan ini semata-mata untuk memburuk-burukkan Najib dengan didorong oleh kepentingan politik.

Katanya Hussain tidak mempunyai sebarang peranan dalam AmBank sejak 1980-an dan akaun perdana menteri pula dibuka pada 2011.

"Hussain bukanlah sebahagian daripada Ambank selama hampir 30 tahun, dan sama sekali tidak terbabit dalam akaun itu, polis telahpun mengesahkan bahawa Hussain tidak pernah membuat apa-apa laporan berkaitan akaun perdana menteri semasa beliau masih hidup," katanya.

Mengenai kes Kevin Morais, Salleh berkata peguam negara mengesahkan bahawa Morais tidak pernah terbabit dalam sebarang siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau perdana menteri.

"Morais ditukarkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014, setahun sebelum siasatan ke atas 1MDB dimulakan.

"Oleh itu, adalah mustahil untuk Morais sendiri yang menulis apa jua kertas pertuduhan berkaitan 1MDB," kata Salleh.

Mengenai kes pembunuhan Altantuya, Salleh berkata perdana menteri telahpun memperjelaskan bahawa beliau tidak mengenali, tidak pernah berjumpa, tidak pernah berkomunikasi dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan wanita itu.

Salleh berkata proses perundangan yang menyeluruh telah dilaksanakan, termasuk siasatan polis dan perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.

"Tidak ada di peringkat mana pun dalam kes perundangan ini yang mengaitkan perdana menteri, walaupun secara tidak langsung," katanya.

Salleh berkata dua pihak disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman. Mereka bukanlah pengawal peribadi perdana menteri -- ini adalah dakwaan mengelirukan yang sengaja dibuat untuk mewujudkan teori konspirasi palsu.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki berkenaan adalah anggota unit polis yang menyediakan kawalan keselamatan secara bergilir-gilir kepada pegawai kerajaan serta kenamaan yang sedang melawat dan Najib tidak tahu menahu tentang perbuatan mereka sehinggalah kedua-duanya ditangkap.

Kediaman polis dalam keadaan tidak kondusif?

 
Ini berikutan keadaan kediaman itu dilihat amat menyedihkan dengan kemudahan infrastruktur yang teruk. 


polis


PETALING JAYA: Satu laporan dalam akhbar tempatan mempersoal keadaan sesetengah Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar ibu kota yang digambarkan berada dalam keadaan uzur.

Memetik laporan Utusan Malaysia, berdasarkan tinjauan yang dibuat di dua lokasi berbeza perumahan PDRM iaitu Flat Sri Wilayah, Jalan Sentul Manis dan Menara Sri Kemboja, Setiawangsa, keadaannya kediaman mereka sangat menyedihkan dengan cat yang luntur dan jeriji besi balkoni berkarat.

Lebih teruk, kediaman pihak berkuasa yang terletak berhampiran dengan pusat bandar itu juga berhadapan pelbagai masalah infrastruktur, misalnya di Flat Sri Wilayah apabila satu lif sahaja berfungsi di setiap blok iaitu A dan B.

“Kerosakan lif sejak lapan bulan yang lepas sangat menyusahkan penduduk terutamanya golongan tua, kanak-kanak serta wanita hamil. Bagaimana sekiranya terdapat kecemasan?” petik laporan itu.

Ekoran hanya satu lif yang berfungsi, kerja-kerja mengangkut tong sampah juga terpaksa mengunakan lif yang sama dan situasi tersebut dikatakan pasti tidak menyenangkan penduduk di rumah pangsa 15 tingkat itu.

Ada pula aduan bahawa sesetengah palang di tangga patah dan tidak selamat, dikhuatiri akan mencederakan kira-kira 1,400 penduduk perumahan terbabit.

Penduduk juga mendakwa, saluran paip yang tersumbat menyebabkan air melimpah keluar hingga ke tangga dan juga koridor rumah ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, laporan itu juga tidak menafikan bukan semua perumahan PDRM menghadapi masalah dengan mengambil contoh Kuarters Polis Sungai Besi yang boleh dijadikan contoh terbaik.

Bangunan yang tanpa cela itu pasti memberi keselesaan kepada penduduknya serta menunjukkan PDRM sentiasa mengutamakan institusi kekeluargaan.

SKMM tahan jurutera muat naik komen hina PM

BERNAMA


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia MalaysiaSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan seorang jurutera kerana memuatnaik komen bersifat jelik dan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook baru-baru ini.

SKMM dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook hari ini berkata jurutera berumur 26 tahun itu ditahan dalam operasi SKMM bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Berdasarkan aduan yang diterima, suspek telah memberikan komen sedemikian sebagai reaksi kepada artikel yang dimuatnaik oleh portal Malaysiakini di laman Facebook portal tersebut pada 25 Mac 2016 yang lalu.

Dalam siasatan yang dijalankan, rakaman kenyataan suspek telah diambil di pejabat SKMM di Cyberjaya, Isnin lepas (28 Mac).

Telefon bimbit jenama Asus dan kad sim milik suspek juga disita untuk membantu siasatan.

SKMM akan memanggil beberapa lagi individu yang dikenal pasti dalam waktu terdekat untuk membantu siasatan.

'Derma' RM2.6 bilion kini meningkat ke RM4.2 bilion, PM kena beri penjelasan

 BORHAN AHMAD


Najib RazakNajib Razak



'Wang derma' yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini dilaporkan meningkat kepada RM4.2 bilion daripada RM2.6 bilion yang heboh diperkatakan selama ini.

Ekoran pendedahan terbaru media antarabangsa itu, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri tidak lagi berdolak-dalik dan segera tampil menjawab pendedahan terbaru itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut meminta supaya isu berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahas pada dua hari terakhir persidangan, iaitu pada Rabu dan Khamis minggu depan.

"Sejak awal tahun ini, Najib sering mengatakan bahawa skandal mega berkembar, 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang melibatkan dirinya bukan lagi isu kerana semuanya telah selesai.

"Tetapi skandal RM2.6 bilion Najib kini sudah menjadi sejarah, dan sekarang kita perlu membincangkan mengenai skandal derma RM4.2 billion!

“Justeru Najib harus mengambil keputusan berani dengan memberi laporan penuh kepada Parlimen berhubung skandal mega berkembar berkenaan yang kini menghantui negara untuk sejak dua tahun dahulu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Isnin lalu, dokumentari bertajuk "State of Fear: Murder and Money in Malaysia" terbitan ABC News Australia mendakwa terdapat aktiviti pindahan wang bernilai RM4.2 bilion dari pelbagai sumber ke akaun peribadi Najib.
Rakaman dokumentari itu boleh ditonton rakyat Malaysia melalui YouTube.

Sebelum ini Wall Street Journal dari Amerika Syarikat juga melaporkan dakwaan tentang Najib menerima sehingga USD1 bilion, iaitu lebih besar jumlahnya daripada yang dilaporkan sebelum ini pada nilai USD681 juta.