HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Februari 2018

Najib mula panik, fikir secara serius kemenangan PH, kata PKR



Najib mula panik, fikir secara serius kemenangan PH, kata PKR



PKR berpandangan Datuk Seri Mohd Najib Razak kini semakin panik dengan kebimbangannya sekira Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata, perdana menteri itu, perlu memberi lebih fokus terhadap usaha menjawab pelbagai isu yang telah dibangkit pembangkang hingga kini.

“Kenyataan beliau ini lucu dan sebenarnya cuba mengalih pandangan umum dari pelbagai masalah negara termasuk gejala najis rasuah dan skandal-skandal besar seperti 1MDB yang sedang disiasat di pelbagai negara termasuk oleh DOJ di Amerika Syarikat.

“Kenyataan tersebut juga menunjukkan bahawa DS Najib memilih untuk menyerang pimpinan utama Pakatan Harapan, termasuk Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah, secara peribadi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai sebuah artikel yang dimuat naik Najib di dalam blognya pada 23 Februari lalu.





Najib telah mengeluarkan satu kenyataan di blog beliau yang menyentuh dua senario yang konon akan berlaku jika atau bila Pakatan Harapan memenangi PRU14.

Menurut Fahmi lagi, apakah dengan memegang kuasa hanya untuk menggondol kekayaan peribadi dan bertindak zalim terhadap musuh-musuh politik?

Oleh itu, ujarnya, pendirian PKR berkenaan isu calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan adalah jelas, di mana PKR memegang teguh kepada persetujuan dan pengumuman Pakatan Harapan 7 Januari 2018 lalu.

Ini jelas dengan mengangkat Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

“Dr Wan Azizah akan memikul tanggungjawab sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sedaya upaya sehingga satu waktu di mana Datuk Seri Anwar bersedia dan boleh memasuki semula arena politik negara,” terangnya.

230 Orang Asli sertai DAP

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GUA MUSANG: Seramai 230 masyarakat Orang Asli menyertai DAP dalam program ramah mesra pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) di Kampung Parik, Kuala Betis, semalam.
 
Program ini turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
 
Wakil PH Orang Asli, Nasir Dolah berkata, bukan sahaja penyertaan ahli DAP, malah selebihnya Orang Asli mungkin memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan PKR.
 
"Majoriti Orang Asli sedia membuat perubahan kerajaan setelah memikirkan pemerintahan sedia ada gagal memenuhi kehendak Orang Asli.
 
"Walaupun majoriti Orang Asli menyokong BN, namun pemimpin anak muda seperti kami sudah sedar dengan isu-isu nasional yang membuktikan kelemahan pemerintahan," katanya dipetik Sinar Harian

Ibu lima anak didenda RM8,000 sebabkan kematian penunggang basikal

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang ibu lima anak didenda RM8,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu keretanya tanpa pertimbangan dan melanggar seorang penunggang basikal sehingga maut, tahun lalu.
 
Majistret Farah Adlini Mohd. Din menjatuhkan hukuman itu ke atas Mariyana Anthoniammah Abdullah, 60, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya itu.
 
Tertuduh didakwa memandu kereta jenis Mitsubishi tanpa cermat sehingga menyebabkan kematian terhadap penunggang basikal, Abdul Rahman Sulaiman, 56, di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) menghala ke Jalan Kuching, dekat sini pada pukul 9.45 pagi, 8 Julai 2017.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara 12 bulan.
 
 

Guru PASTI bakal jadi tenaga penting PRU14

MOHAMAD RAMLAN PANDI

 
 
SANDAKAN: PASTI Zon Sandakan yang telah mengadakan Tamrin dan Ijtimak Pilihan Raya  bertempat di PASTI Zaid Harithah, dekat sini sejak Jumaat lalu dan berakhir kelmarin.
 
Program tarbiyah melibatkan para guru PASTI merangkumi Kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid.
 
Program yang turut dihadiri Timbalan Pengarah PASTI Sabah, Heryanto Ladatih itu bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada Guru PASTI berkenaan gerak kerja yang perlu dilakukan sewaktu pilihan raya nanti.
 
Selain itu, ia juga bagi memantapkan tarbiyah ruhiyah para guru yang berhadapan dengan banyak ujian dan kerenah dalam mendidik murid-murid PASTI.
 
Sepanjang program ini, peserta telah melalui sembilan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh pimpinan-pimpinan PAS di kawasan ini.
 
Disamping itu turut diadakan ialah latihan dalam kumpulan sebagai praktikal untuk menguji kefahaman peserta terhadap kertas kerja yang disampaikan. -HARAKAHDAILY
 
 

Hasutan: Mahkamah kekalkan penjara lapan bulan Naib Ketua Pemuda Amanah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar atas kesalahan menghasut.
 
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd. Fakhrulrazi, 40, yang tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2016.
 
Tertuduh menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu siri protes jalanan, tiga tahun lalu.
 
Mahkamah turut menolak rayuan silang berkaitan hukuman yang difailkan oleh pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir.
 
Beliau dalam penghakimannya berkata, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terdahulu adalah selamat dikekalkan dan hukuman yang dijatuhkan adalah memadai dan tidak terlampau berat.
 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd. Fakhrulrazi, yang juga penceramah bebas sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai dan mengekalkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
 
Fakhrulrazi dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, berhubung ucapannya di perhimpunan #KitaLawan pada 2015, di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada pukul 4.30 petang.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
 
Selain beliau, 8 aktivis lain termasuk Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan pengurusnya Mandeep Singh turut didakwa berkait perhimpunan sama.
 
 

Malaysia-China akan terus kerjasama untungkan dua negara - PM

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan terus bekerjasama dengan melaksanakan pelbagai projek yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerjasama dua hala selama ini membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, jumlah dagangan Malaysia dan China kekal kukuh tahun lalu dengan berjumlah AS$96.3 bilion (RM376.4 bilion) meskipun berdepan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Katanya, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia berkeluasan 7.87 kilometer persegi hampir siap dan menarik 90 pelabur strategik utama membabitkan pelaburan 90 bilion renminbi (RM55.7 bilion).

Walaupun kadar penyertaan pelabur China lebih tinggi, jelasnya, sebanyak 49 peratus daripada penguasaan pembangunan utama taman berkenaan dipegang oleh konsortium Malaysia, yang dimiliki secara bersama oleh Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Bhd.

"Saya dengan sukacitanya mengingatkan bahawa pengurusan taman berkenaan mewujudkan Kluster Malaysia dengan keluasan lima kilometer persegi untuk memenuhi keperluan khusus usahawan Malaysia, yang menyediakan insentif menarik dan kemudahan sokongan yang baik.

"Begitu juga,  Taman Perindusrian Kuantan Malaysia-China juga sudah berkembang dari kawasan awalnya pada pelancaran dan kini berjumlah kira-kira 1,200 hektar.

"Saya gembira untuk mengatakan bahawa salah satu peserta pertama, Alliance Steel, akan mula beroperasi pada suku kedua tahun ini, dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion dan menyediakan 4,000 pekerjaan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada Makan Tengah Hari Tahun Baru Lunar Kerjasama Dua Hala Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) di sini, hari ini.

Antara kerjasama yang berjaya dicapai Malaysia dan China adalah, mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), perkongsian PROTON Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely), pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Isnin, 26 Februari 2018

‘Macam pelarian berebut beli ikan lelong’



Tindakan Irmohizam membuat lelongan ikan dikecam orang ramai hari ini.


Rata-rata pengguna Facebook mengecam tindakan Ahli Parlimen BN Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim membuat lelongan harga ikan hari ini di Kompleks Umno kawasan itu.

Kritikan netizen dapat dilihat pada sejumlah komentar di Facebook rasmi Berita Harian Online yang turut menyertakan rakaman video aksi lelongan dengan paparan golongan wanita berebut untuk mendapatkan ikan jenahak.

Antaranya, Zila Asmida yang merasa kasihan melihat kaum ibu itu seolah-olah seperti pelarian lantaran sanggup berebut untuk mendapatkan bekalan ikan dengan harga murah.

Beliau berpendapat reaksi kumpulan wanita terbabit tidak harus dibanggakan sebaliknya bukti rakyat pada masa ini hidup dalam kesusahan.

Bagi Syedferdaus Syed Mohammad, bukan kerja kerajaan untuk melelong ikan sebaliknya menjadi contoh kebodohan sebuah parti pemerintah yang tidak tahu untuk menggunakan kuasa menentukan harga ikan mengikut kemampuan rakyat.

Rasa simpati turut dirasakan Harun Mohammad apabila melihat realiti rakyat bawahan yang terpaksa saling berebut demi kelangsungan hidup akibat kenaikan kos sara hidup.

“Orang atasan lakukan demi mendapat balasan undi. Jika benar kamu berkhidmat membantu rakyat, buat saja jualan murah sebaik sahaja kamu angkat sumpah menjadi YB (Yang Berhormat),” kata Harun lagi.

Sementara itu, Abdullah Ishak berpendapat barangan keperluan tidak harus dilelong apatah lagi golongan wanita warga emas sepatutnya menghabiskan masa pencen dengan anak dan cucu bukannya beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan.

Tidak kurang juga komentar netizen yang mengaitkan aksi lelongan itu sebagai cara BN berkempen memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

“Aku tak fahamlah dengan sesetengah ahli parlimen ni. Kalau nak berkempen, janganlah sampai memperbodohkan rakyat bangsa sendiri.

“Apalah salahnya buat jualan murah. Kenapa mesti nak lelong? Bangga bila dapat tengok kaum-kaum wanita terpekik terlolong minta ikan.

“Sekali tengok dah macam dekat (pelarian) Somalia dah, menadah tangan beramai-ramai,” tulis Eyzan Tasnim.

Kecaman Eyzan itu juga senada dengan Nor Asikin Yusoff yang menyifatkan semua orang boleh membeli ikan tersebut jika diadakan jualan murah.

“Ini namanya (lelongan ikan) membodoh-bodohkan rakyat.

“Kalau betul-betul nak tolong, jual saja ikan tu dengan harga yang murah. Semua org boleh beli. Tak payah nak lelong-lelong,” kata Nor Asikin.

Berita Harian melaporkan Irmohizam membuat lelongan harga ikan sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat & Jualan Ikan Segar LKIM Parlimen Kuala Selangor di Kompleks UMNO Kuala Selangor hari ini.

Video Muhammad Sulaiman berdurasi 30 saat itu menerima lebih 800 komentar dan hampir 180 perkongsian hanya dalam tempoh enam jam dimuat naik di FB Berita Harian Online.

Semakan Malaysia Dateline pula mendapati Irmohizam yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terlibat dengan aktiviti melelong ikan sejak tahun lalu dengan kehadiran ahli parlimen BN di kawasan terlibat.

Antaranya, di Bagan Datuk pada 19 November 2017 yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap ahli parlimen kawasan itu.

Tahun ini pula, senario sama menyaksikan penduduk setempat yang berpendapatan rendah turut berebut membeli ikan yang dilelong di Sabak Bernam pada 6 Januari lalu dengan kehadiran Ahli Parlimen BN, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Jelajah Pakatan Harapan bermula di Melaka





Tun Mahathir dan para pemimpin PH bersama melancarkan jentera pilihan raya PH Melaka.



Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan besar kemungkinan calon-calon Pakatan Harapan (PH) terpaksa menggunakan logo parti masing-masing dalam pilihan raya umum (PRU) tahun ini kerana Pendaftar Pertubuhan belum lagi meluluskan pendaftaran gabungan parti politik itu.

Malah sehingga kini, ujar beliau belum ada sebarang maklum balas diberikan terhadap permohonan yang telah dibuat PH sebelum ini.

Tun Mahathir berucap di Majlis Jelajah Harapan Melaka 2018 di Alor Gajah semalam.

Ribuan rakyat Melaka dari semua lapisan masyarakat hadir pada majlis jelajah PH itu.

Ini adalah program pertama Jelajah PH yang bakal diadakan di seluruh negara sehingga pembubaran parlimen.

“Najib (Perdana Menteri Malaysia) sedang membuat berbagai tindakan untuk mengalahkan PH,
umpamanya sehingga sekarang PH tidak didaftarkan oleh RoS (Pendaftar Pertubuhan).

“Mereka bukan sahaja tidak daftarkan, tetapi tidak jawab surat permohonan dari kita,” tambahnya.


Orang ramai membanjiri tapak majlis ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Alor Gajah, Melaka.

Beliau yakin pendaftaran PH sengaja dilewatkan bagi menghalang parti-parti gabungan PH menggunakan lambang yang sama dan terpaksa menggunakan simbol parti masing-masing dalam PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun Tun Mahathir yakin walaupun pentadbiran Najib ‘takut’ untuk mendaftarkan PH, rakyat tetap mengetahui bahwwa AMANAH, PKR, DAP dan Bersatu adalah parti-parti gabungan PH.

Beliau mengambil contoh dalam PRU ke-13 lalu, Pakatan Rakyat yang dianggotai tiga parti (PKR, DAP dan Pas) tetap mendapat sokongan majoriti rayat dan hampir mengalahkan BN.

Tun Mahathir turut menyentuh pelbagai kaedah yang dilakukan BN untuk mengalahkan PH seperti mengubah persempadanan kawasan pilihan raya dan memperluaskan undi pos.

“Kita berharap pilihan raya yang akan datang ini adalah pilihan raya yang bersih, tidak ada penipuan oleh mana-mana pihak. Saya yakin jika pilihan raya ini bersih, PH akan dapat mencapai kemenangan,” ujarnya.

Justeru itu, Tun Mahathir menyeru rakyat supaya mengundi calon dari komponen PH dan menolak calon-calon yang menggunakan simbol dacing (BN) dan bulan (Pas).

Turut berucap pada majlis yang sama Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke dan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.

Satu persembahan montaj yang menarik dari Media Oren turut dipersembahkan di majlis tersebut.

Sebelum itu, di sebelah petang para pemimpin PH telah menghadiri program-program berasingan anataranya Sesi Teh Tarik bersama Tun Mahathir di Krubong, program Bonda Aspirasi Harapan di Ayer Molek yang dihadiri Dr Wan Azizah, program Minum Petang menampilkan Mohamad Sabu di Merlimau Pasir dan rumah terbuka Tahun Baru Cina dihadiri Anthony Loke di bandar Melaka.


Kategori pengundi pos diperbanyak kalahkan Pakatan Harapan






Tindakan SPR menambah kategori pengundi pos dibimbangi menjejaskan kemenangan Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membenarkan 12 kategori penjawat awam sebagai pengundi pos dibimbangi menjejaskan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pengalaman pilihan raya lalu menyaksikan pihak pembangkang di kerusi tertentu tewas disebabkan pengundi pos dan pengundi awal.

“Walaupun kita tegur dan kritik kepincangan sistem (pilihan raya), dia guna pula institusi SPR ini.
“Ini lebih dahsyat sebab ada 400,000 undi pos dan undi awal pun di beberapa kawasaan strategik sudah cukup mengalahkan kita.

“Keputusan undi pos dan undi awal itu seolah-olah mereka tidak terkesan dengan isu harga barang naik, anak-anak mereka tiada kerja,” katanya ketika berucap sempena majlis Makan Malam PH Kuala Nerus, kelmarin.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, jelasnya, jururawat di hospital kerajaan, warden jabatan penjara, pegawai jabatan maritim dan polis bantuan turut boleh memohon menjadi pengundi pos.

“Syaratnya, cuma majikan mesti mengesahkan. Cukup. Itu saja dan SPR mensasarkan sejuta pengundi pos.

“Kita sudah lawan (sistem tidak adil SPR) sebelum ini tapi kali ini dia (SPR) banyakkan lagi kategori pengundi pos.

“Sedangkan kita tidak tahu jururawat itu kerja atau tidak pada hari mengundi itu,” ujar Saifuddin lagi yang berpendapat tindakan SPR itu di luar kawalan PH.

Untuk rekod, SPR telah membuka permohonan untuk warga Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori Pengundi Pos Dalam Negara untuk memohon undi pos mulai 19 Februari lalu.

Turut tersenarai sebagai pengundi pos adalah polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, petugas media dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga boleh menjadi pengundi pos.

Dalam perkembangan berkaitan, PH sebelum ini telah mengesan sejumlah anggota tentera dipindahkan ke kem-kem tentera yang belum siap dibina di beberapa kawasan pilihan raya yang dimenangi secara tipis oleh BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Anggota-anggota tentera yang dipindahkan itu sekali gus layak mengundi sebagai pengundi pos di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditempatkan.

Ular sawa 20 kaki gemparkan penduduk kampung

THE MALAYSIAN TIMES
 


JOHOR BAHRU: “Ingatkan batu jatuh, rupanya ular,” kata remaja yang menemukan seekor ular sawa sepanjang 20 kaki di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Penderam, Pasir Gudang, dekat sini, petang Ahad.

Mohd Noor Irfan Mohd Faizal, 15, berkata dia dan ayahnya, Mohd Faizal Othman, 50, sedang mengangkat kelapa sawit bersama ayahnya dan kemudiannya terdengar bunyi kocakan air di sebuah perigi lama berhampiran tempat mereka bekerja.

“Masa tu dalam pukul 5 petang, saya tengah teman tolak kelapa dengan ayah sebelum terdengar bunyi air macam ada benda besar jatuh dalam perigi. Ingatkan batu jatuh tetapi bila tengok dekat, baru nampak ular besar tengah melingkar.

“Mula tengok tu memang ada rasa takut, kemudian ayah pun panggil kawan-kawan dan penduduk kampung untuk angkat dan tarik ular tu keluar,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu.

Salah seorang penduduk, Syahrul Karim, 22, berkata ular berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dijerut dan ditarik seramai tujuh orang penduduk kampung.

“Memang berat tapi sebab ramai yang tarik, jadi masa nak keluarkan ular tu dari dalam perigi itu tak lama,” katanya lagi.

Menurutnya, kawasan berkenaan dipercayai sarang reptilia berkenaan dan seringkali dilihat meninggalkan jejak.

“Itu memang kawasan dia sebab makanan dia semua dia tarik masuk dalam perigi. Cuma kali ini baru pertama kali dapat nampak dan terus dapat tangkap. Ini pun bukan kali pertama penduduk kampung nampak ular ni,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Sharol Suboh, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai lima anggota telah digerakkan dengan sebuah lori dan tiba di lokasi 15 minit kemudian. Apabila sampai, benar ada seekor ular sawa yang berjaya ditangkap oleh penduduk kampung,” kata beliau.

Menurut Sharol, berat ular sawa berkenaan dianggarkan lebih 80 kilogram.

Pihaknya telahpun menghubungi Jabatan Perhilitan dan Zoo Negeri Johor bagi menempatkan haiwan berkenaan.— Bernama