Menteri Kerja Raya, Baru Bian, mahu siasatan rapi dilakukan segera
sekiranya laporan terhadap setiausaha politiknya berhubung dakwaan salah
guna kuasa, berasas.
Beliau berkata tindakan itu perlu kerana ia membabitkan nama baik kementerian berkenaan.
“Bagi saya kalau benar seperti yang dilaporkan, saya sama sekali
tidak akan bertolak ansur. Tindakan undang-undang mesti diambil,”
katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Ab
Razab, semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha
politik di sebuah kementerian.
Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai
RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin
tempatan pada 1 September lalu di mana individu berkenaan bertanding
untuk jawatan ketua cabang serta merebut jawatan dalam kepimpinan pusat.
Baru berkata beliau baharu sahaja pulang dari lawatan rasmi di luar negara apabila dikejutkan dengan laporan Ahmad Syukri itu.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui wujud
individu berkuasa menawarkan kontrak bagi mendapat sokongan dalam
pemilihan parti itu.
Anwar menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini menolak penjelasan exco
Johor dan anggota dewan undangan negeri DAP berhubung isu surat rasmi
dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris oleh seorang Ahli Majlis Bandaraya
Iskandar Puteri (MBIP).
Presidennya, Dr Salleh Rahamad berkata, tidak wujud keperluan untuk
menggunakan bahasa Cina sebagai terjemahan salinan surat asal kerana
kesemua ahli majlis adalah rakyat Malaysia dan sewajibnya memahami
bahasa kebangsaan.
"Sekarang ini surat ditujukan kepada ahli-ahli majlis, jadi tidak
timbul keperluan untuk mengadakan terjemahan (salinan) kerana ahli
majlis semuanya rakyat malaysia," katanya.
Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor
Tang Hong Pin mempertahankan tindakan ahli MBIP itu dengan berkata
bahawa surat dalam bahasa Cina itu bertujuan memberi kefahaman kepada
penduduk yang tidak fasih bahasa Melayu.
Bagaimanapun, Salleh menganggap tindakan tersebut umpama cubaan menyamaratakan bahasa lain dengan bahasa kebangsaan.
"Tidak boleh diterima (penjelasan), itu sekadar untuk dia nak menyelamatkan diri setelah diserang.
"Itu sahaja sedangkan dia tahu perkara itu salah tetapi dia buat juga," tambah Salleh lagi.
Terdahulu, tindakan Ahli MBIP Chan Wei Khjan menggunakan tulisan Cina
bersama bahasa Inggeris dalam surat rasminya dikritik beberapa pihak.
ADUN DAP Cheo Yee How kemudian tampil menjelaskan bahawa surat asal
mengenai pemakluman itu menggunakan bahasa Melayu dan surat yang tular
terbabit hanyalah surat lampiran yang disebarkan untuk menjemput
penduduk bukan Melayu.
Hal itu juga turut mendapat perhatian Sutan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan beberapa badan politik yang lain.
Selepas sembilan jam, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah
Mansor masih berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia di Putrajaya untuk diambil keterangan.
Rosmah yang hadir memberi keterangan bagi kali kedua dalam tempoh
tiga bulan ditemani peguamnya K Kumaraendran tiba di bangunan SPRM
seawal 9.50 pagi.
Memakai baju kurung berwarna hijau, Rosmah dilihat tenang. Seorang pembantunya turut dilihat hadir.
Rosmah sempat tersenyum dan berbual dengan pegawai SPRM ketika menghampiri lobi bangunan suruhanjaya itu.
Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di
perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes
itu.
Spekulasi mengatakan bahawa beliau mungkin ditahan hari ini dan didakwa esok.
Ditanya tentang perkara ini, Kumaraendran berkata dia tidak mengetahui sama ada Rosmah akan ditahan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun menafikan spekulasi itu.
"Tidak benar," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, pada 5 Jun, Rosmah disoal siasat selama lima jam
berhubung siasatan SPRM ke atas syarikat subsidiari 1MDB, SRC
International Sdn Bhd.
Semalam, pegawai SPRM ke rumah Rosmah di Taman Duta, Jalan Langgak
Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk dipanggil ambil keterangan
kes sama.
Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20
pertuduhan jenayah,
WAWANCARA | Menganggap Johor
mampu ditawan Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada BN bukanlah pilihan
popular buat ramai orang sebelum 9 Mei lalu.
Johor tempat lahirnya sebuah parti bernama Umno. Bagi penyokong
HARAPAN melihat Johor mampu dikuasai tentulah suatu impian namun – untuk
mengelakkan kekecewaan – mereka enggan terlalu berharap.
Namun takdirnya Johor menjadi antara negeri yang terawal diumum jatuh
ke tangan HARAPAN.
Malah Datuk Seri Khaled Nordin yang menjadi menteri
besar sejak selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 juga gagal memenangi
dua kerusi yang ditandinginya.
Kemudian tertubuhlah kerajaan HARAPAN dengan Datuk Osman Sapian dilantik sebagai menteri besar ke-16 Johor.
Beliau bukanlah orang baru atau asing dalam politik di negeri
berkenaan. Sebelum ini Osman, 66, ialah wakil rakyat bagi kawasan dewan
undangan negeri Kempas sejak 1999.
Bagaimanapun nama beliau digugurkan daripada senarai calon pada PRU 2013.
Dalam temu bual eksklusif bersama Khaled di Kuala Lumpur kelmarin, beliau ditanya mengenai prestasi kerajaan HARAPAN di Johor.
Mengaku secara tak langsung
Jawapan spontan, segera dan diiringi ketawa Khaled sangat mudah: "Ada kerajaan ke?"
Apabila ketawa reda, Khaled menyambung bahawa pada umumnya kerajaan
di Johor dikendalikan dari Putrajaya dan rakyat negeri itu berada dalam
keadaan tertanya-tanya.
Keadaan itu katanya amat malang kerana sebagai sebuah negeri yang
mempunyai potensi besar, tanpa fokus yang betul ia akan berubah menjadi
negeri "yang biasa-biasa".
"Dulu matlamat BN ialah menjadikan Johor negeri nombor satu di
Malaysia. Kami ada pelan khusus dan cara untuk melaksanakannya," kata
Khaled.
Namun beliau bersikap realistik kerana HARAPAN masih baru di Johor.
"Kita bagilah masa..." katanya.
Selepas itu, kata Khaled, Umno akan membiarkan rakyat sendiri menghakimi prestasi kerajaan pimpinan Osman di Johor.
Ditanya mengenai isu pembangunan Forest City, Khaled berkata, ketika
ini Osman sendiri mempertahankan projek berkenaan walaupun sebelum PRU
ke-14 lalu ia menjadi satu daripada sasaran kritikan HARAPAN.
Langkah Osman sekarang kata Khaled secara tidak langsung menunjukkan
tuduhan-tuduhan dilemparkan HARAPAN terhadap BN sebelum ini sekadar
bersifat politik.
"Ia tidak bersandarkan kepada fakta," katanya.
Untuk rekod isu pemilikan hartanah di Forest City pernah menimbulkan
kekeliruan apabila Osman dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.
Mengapa nak ke Perlis
Pada 27 Ogos perdana menteri berjanji untuk menghalang orang asing daripada membeli hartanah di projek berkenaan.
"Satu hal yang pasti, bandar yang sedang dibina itu tidak akan dijual
kepada orang asing. Kerajaan tidak akan memberikan visa untuk orang
datang dan tinggal di sana," katanya.
Bagaimanapun pemaju projek itu mendakwa kenyataan Dr Mahathir itu
bercanggah dengan pendiriannya ketika bertemu pengasas dan pengerusi
syarikat pemaju hartanah China, Country Garden Holdings, Yeung Kwok
Keung.
"Mereka mengadakan pertemuan tertutup pada 16 Ogos 2018.
"Ketika itu, Dr Mahathir menegaskan beliau mengalu-alukan pelaburan asing
yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan, mempromosikan pemindahan
teknologi dan inovasi dan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
negara," kata kenyataan dikeluarkan syarikat terbabit.
Osman kemudian berkata ada kemungkinan Dr Mahahir tidak memahami dasar kerajaan Johor berhubung projek berkenaan dan tidak mendapat maklum balas yang jelas.
Kata Khaled kerajaan BN dulu sentiasa memastikan kepentingan rakyat Johor terpelihara walaupun Forest City dibangunkan.
Misalnya kata Khaled cukai yang dipungut dari projek itu boleh
dibelanjakan di kerajaan tempatan lain di seluruh negeri terbabit.
Namun kata Khaled isu itu dikelirukan oleh HARAPAN.
Khaled juga ditanya pandangannya mengenai Ketua Perhubungan Umno
Johor Datuk Hasni Mohammad yang dilantik menggantikan beliau baru-baru
ini.
Khaled pula 'diutus' Datuk Seri Dr Ahmad Zahid jauh ke negeri paling
utara semenanjung untuk menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis.
"Saya rasa Hasni melakukannya dengan baik, sangat fokus, serius dan bertanggungjawab.
"Saya gembira dengan apa yang beliau lakukan," katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau akan terus menjadikan Johor -
terutama Pasir Gudang - sebagai tapaknya dalam politik, Khaled tidak
teragak-agak mengeyakannya.
"Mengapa kamu nak halau saya ke Perlis?
"Saya bukan datang dari Perlis. Pasir Gudang ialah bahagian saya," katanya.
EKSKLUSIF | Tukang emas yang
berpusat di Dubai menuntut agar barang kemas berjumlah lebih AS$5 juta
yang dikatakan sebelum ini diserahkan kepada bekas isteri perdana
menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dipulangkan.
Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, barang kemas yang belum
dibayar itu diserahkan kepada Rosmah di Kuala Lumpur pada Mac tahun ini.
Barang kemas daripada Adi Hasan AlFardan Jewellery (AlFardan) itu
termasuk seutas rantai mengandungi 56 berlian kuning berbentuk hati
dengan satu batu terbesar seberat 10.7 karat.
Rantai berkenaan juga dikatakan mengandungi 78 berlian berwarna yang bersaiz lebih kecil.
Dengan kos pengubahsuaian yang didakwa diminta oleh Rosmah, rantas berkenaan didakwa bernilai AS$2.248 juta.
Selain daripada itu, tukang kemas itu juga mendakwa menghantar seutas
rantai dan set subang yang juga mengandungi berlian kuning, bernilai
AS$3 juta.
Rantai berkenaan dikatakan diperbuat daripada berlian “cushion cut" berjumlah 112.94 karat manakala subang itu yang juga dibuat dengan teknik tempaan sama, seberat 17.84 karat.
Menurut Institut Geomologikal Amerika (GIA), berlian kuning sangat
berharga dan sukar diperoleh. Ia dikatakan hanya boleh didapati di
lombong Zimmi di Sierra Leone.
Pada Julai lalu, tukang emas berkenaan, melalui firma guaman
Malaysia, Kandiah Partnership, telah menghantar surat kepada Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh bagi
menuntut pemulangan barang kemas berkenaan.
Surat itu, yang dilihat Malaysiakini menyatakan Rosmah telah
menjelaskan kepada pemilik Alfardan bahawa barangan berkenaan telah
disita oleh pihak berkuasa ketika serbuan di beberapa kediaman yang
dikaitkan dengan Najib.
"Pada 20 Jun, anak guam kami (AlFardan) telah datang ke Malaysia dan berjumpa dengan Rosmah di kediamannya di Kuala Lumpur.
"Dalam perjumpaan itu, Rosmah memaklumkan Adi (AlFardan) bahawa tiga
barang kemas berkenaan antara barangan yang disita polis dan Rosmah kini
tidak boleh membayar barang kemas itu.
"[....] Kami (peguam) telah diberi arahan untuk membantu anak guam
kami menuntut semula barangan itu daripada polis, sekiranya ia telah
disita. Jika ia tidak disita, anak guam kami akan mempertimbangkan untuk
mengambil tindakan undang-undang ke atas Rosmah," kata surat berkenaan.
Surat itu meminta agar Amar mengesahkan pihak polis menyimpan barang kemas yang dimaksudkan.
"Anak guam kami sedia memberi kerjasama dengan polis untuk
mendapatkan semula barang kemas itu yang belum dibayar oleh Rosmah,"
tambah surat itu.
Apabila dihubungi, peguam K Ashok dari Kandiah Partnership mengesahkan surat berkenaan.
"Saya boleh mengesahkan kewujudan surat itu yang dikeluarkan firma
guaman saya. Dan kami kini dalam proses untuk mengambil arahan anak guam
kami untuk tindakan selanjutnya atau prosiding undang-undang terhadap
Rosmah," katanya kepada Malaysiakini.
Peguam itu juga mendedahkan bahawa polis telah merespons, namun tidak menyentuh berhubung perkara yang dibangkitkan mereka.
Malaysiakini sudah menghubungi Amar untuk mendapatkan ulasan.
Sementara itu, surat berkenaan juga mendakwa Adi AlFardan, dalam
empat kunjungannya ke Malaysia bagi menyerahkan barang kemas kepada
Rosmah, selain untuk menuntut bayaran, sering tidak perlu melalui
pemeriksaan kastam dan imigresen.
"Kebanyakan ketibaannya di Kuala Lumpur, individu yang mengaku
sebagai pegawai khas daripada Pejabat Perdana Menteri menunggunya di
balai ketibaan dan mengiringinya melepasi pusat pemeriksaan kastam dan
imigresen," kata surat itu.
Pada Jun lalu, Global Royalty Trading yang berpusat di Lubnan
memfailkan saman ke atas Rosmah berhubung 44 barang kemas yang terdiri
daripada tiara, rantai berlian, cincin, gelang dan subang yang
diserahkan kepada Rosmah.
Global Royalty mendakwa Rosmah maklum dengan resit konsainan bertulis, barang kemas itu tidak lagi dalam simpanannya.
CYBERJAYA:
Usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan daripada 16 tahun kepada
18 tahun perlu disokong bagi melindungi hak kanak-kanak di negara ini,
kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya hujah bagi mengelakkan remaja terlibat dengan zina tidak
sepatutnya dijadikan alasan untuk membenarkan perkahwinan bawah umur
apatah lagi untuk menurunkan had umur tersebut kepada 14 tahun.
“Pendirian saya adalah jelas iaitu had usia minimum perkahwinan
sepatutnya18 tahun. Mengikut undang-undang pun, 18 tahun adalah umur
kematangan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Pembudayaan
dan Pemerkasaan Keusahawanan Muda, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap
kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang
mencadangkan had usia minimum perkahwinan bagi remaja perempuan dan
lelaki diturunkan masing-masing kepada 14 dan 16 tahun.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail berkata kertas kerja bagi menaikkan had usia minimum perkahwinan
daripada 16 kepada 18 tahun akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua
Menteri bagi mendapatkan sokongan.– Bernama
KUALA LUMPUR:
Bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar
mengesahkan telah menghantar borang keanggotaan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) selepas beliau keluar dari UMNO.
Syed Hamid yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu
menghantar borang keanggotaannya kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk
Seri Mukhriz Mahathir.
“Selepas menghantar borang keanggotaan tersebut, saya turut berjumpa
dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Saya kini sudah menjadi anggota Bersatu, “ katanya dalam sidang
media selepas program bersama Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai
Kemanusiaan di sini semalam.
Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid Albar keluar UMNO dan menyatakan bahawa
alasannya meninggalkan UMNO adalah kerana parti berkenaan sudah lari
daripada perjuangan asal dan hanya mengutamakan kelangsungan peribadi
pemimpin berbanding mengambil berat hal rakyat.
Mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bagi
Pilihanraya Kecil (PRK) di Port Dickson Syed Hamid berkata itu adalah
keputusan yang wajar dilakukan.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat
UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bahawa UMNO masih belum bersedia
dan tidak bermotivasi untuk bertanding di PRK Port Dickson.
“Saya fikir eloklah dia (UMNO) tidak bertanding…saya rasa mereka
bukan boikot, boikot ini seolah kita tidak puas hati. PRK kalau mereka
parti bukan kerajaan dan belum bersedia untuk bertanding, buang duit
sahaja..tidak berbaloi kalau tidak bermotivasi dan tidak ada hala tuju,”
kata Syed Hamid.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan
bahawa BN akan memboikot PRK Port Dickson dimana mereka tidak akan
meletakkan calon mewakili parti komponen tersebut.
Mengenai pencalonan Anwar di Port Dickson sebagai usaha menjadi
Perdana Menteri kelapan, Syed Hamid berkata ia adalah hak Anwar untuk
bertanding dan telah mendapat persetujuan parti komponen Pakatan
Harapan.
Sementara itu, Syed Hamid yang juga Penasihat Eksekutif ASEAN
Rohingnya Centre berkata pihaknya mencadangkan kerajaan agar
melaksanakan satu dasar yang khusus terhadap pelarian Rohingya di
Malaysia.
Pihaknya turut menubuhkan sebuah badan Jawatankuasa Khas Malaysia
Mengenai Kemanusiaan untuk melihat permasalahan pelarian khususnya
Rohingnya secara lebih mendalam tahun ini.
“Ia adalah sejajar dengan hasrat Pakatan Harapan untuk menyokong
‘Meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951’ bagi membantu pelarian Rohingnya
di Malaysia khususnya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan latihan
vokasional serta pekerjaan,” katanya
Syed Hamid berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh
kalangan individu yang terlibat secara langsung dalam isu kemanusiaan
khususnya krisis yang melanda kaum Rohingnya.
KUALA LUMPUR:
Empat lagi kematian akibat keracunan metanol dilaporkan, dengan tiga
dari Selangor dan satu di Kuala Lumpur, menjadikan jumlah terkini
kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat
kepada 37 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
daripada jumlah kematian yang dilaporkan KKM sehingga 12 tengah hari
Selasa, 23 kes direkodkan di Selangor, 11 di Kuala Lumpur dan tiga di
Perak.
Berdasarkan kewarganegaraan, kematian melibatkan 10 warga tempatan,
Bangladesh (dua), India (dua), Myanmar (11) dan Nepal (lapan), manakala
empat lagi tidak diketahui kewarganegaraan.
Beliau berkata KKM menerima 93 notifikasi kes keracunan metanol
daripada kemudahan kesihatannya sejak 15 September hingga 12 tengah hari
tadi.
“Dengan pertambahan ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di
Kuala Lumpur adalah 17 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada dua kes
manakala Selangor dan Perak kekal pada 62 dan 12 kes masing-masing,”
katanya dalam satu kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah pesakit yang dicatatkan
menerima rawatan di hospital, lapan didapati stabil dan dibenarkan
pulang.
Sebanyak 23 pesakit masih lagi menerima rawatan di 12 hospital sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, daripada 23 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital, lapan daripadanya adalah kes kritikal.
Orang ramai diseru untuk membawa segera ahli keluarga atau
rakan-rakan yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut,
loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima hari
pengambilan minuman beralkohol ke mana-mana klinik atau hospital
terdekat untuk menerima rawatan.
“KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah
pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini,” katanya.—Bernama
PUTRAJAYA:
Proses mengambil keterangan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri
Rosmah Mansor bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) Bhd dipercayai masih berjalan selepas lebih tiga jam beliau
tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di
sini.
Rosmah, berbaju kurung bercorak bunga dan bertudung hijau, tiba
dengan kereta Proton Perdana warna hitam pada 9.50 pagi tadi tetapi
masih belum keluar dari perkarangan bangunan berkenaan setakat 1 tengah
hari ini.
Seorang pegawai SPRM yang ditemui Bernama mengesahkan Rosmah masih
berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan
berhubung kes itu.
Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di
perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes
itu.
Semalam, pegawai SPRM ke rumah Rosmah di Taman Duta, Jalan Langgak
Duta bagi memberi notis kepada Rosmah untuk dipanggil ambil keterangan
kes itu.
Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20
pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.
Pada Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk
Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan
didakwa dalam masa terdekat.—Bernama
Susulan
tindakan beberapa pemimpin meninggalkan UMNO, Nazri menyifatkan
ahli-ahli di peringkat akar umbi lebih setia. - Gambar fail
JERANTUT: UMNO perlu mencontohi kepimpinan Pas Kelantan yang kekal berjuang hingga berjaya kekal mentadbir negeri itu sehingga kini.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, kepimpinan
parti tersebut juga turut berjaya menarik sokongan pelbagai kaum lain.
"Ini dapat dilihat ketika kita sama-sama berkempen pada tiga PRK
sebelum ini sehingga mampu kurangkan majoriti pengundi biarpun
kemenangan masih berpihak kepada PH," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Cabaran Senaman Kecergasan
Dua Jam Tanpa Henti, program anjuran Puteri UMNO Jerantut dan Aerostyle
Fit Studio, di sini baru-baru ini.
Sementara itu mengulas
tindakan beberapa pemimpin UMNO meninggalkan parti tersebut, Nazri
menyifatkan ahli-ahli di peringkat akar umbi lebih setia.
Ujarnya, tindakan keluar parti itu seolah-olah perjuangan mereka sebelum ini hanya untuk kepentingan peribadi sahaja.
"Semasa mereka dalam kerajaan BN, mereka bertungkus lumus buat kerja,
tetapi mereka lari apabila kita tewas kepada PH," katanya.
Menurutnya lagi, beliau telah menasihati kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian agar terus setia bersama parti itu