HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Kematian Adib kini sudah jadi kes jenayah, Zuraida serah polis ambil tindakan

Manzaidi Mohd Amin
MGF27092019_Keputusan-Inkues-Adib_11
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas mendengar keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

SHAH ALAM – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendakwa kementerian telah menggunakan segala saluran untuk mendapatkan keadilan bagi pihak Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata, selepas Koroner Ropiah Mohamad membaca keputusan dan rumusannya, pihaknya bersyukur dan berpuas hati dengan perjalanan inkues yang bermula sejak Januari lalu.

“Kita telah mendengar ulasan Koroner dan juga rumusannya. Saya bagi pihak KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengucapkan syukur kerana kes Muhammad Adib telah dapat keputusan.

“Saya puas hati kerana kami telah menggunakan segala saluran yang boleh kita gunakan termasuk meminta agar inkues diadakan untuk menyiasat punca kematian Muhammad Adib.

“Selama 41 hari kes ini berjalan, dan hari ini kita dapat keputusannya,” katanya dalam sidang media di luar Kompleks Mahkamah Shah Alah di sini, hari ini.

Sebelum itu, sidang media tidak dapat dimulakan akibat gangguan sekumpulan aktivis NGO yang melaungkan “undur Zuraida”, “Tommy letak jawatan”, dan “undur Mahathir”.

Walaupun pihak media meminta kumpulan terbabit tidak mengganggu sesi sidang media itu, namun mereka tetap melaung dan menjerit ke arah Zuraida.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri, sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

Menurut Zuraida, beliau selepas ini menyerahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya kerana ia sudah menjadi kes jenayah.

“Saya ucapkan terima kasih semoga keluarga Muhammad Adib rasa terbela kerana kes ini disiasat dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Maszlee menitiskan air mata, bimbang pegawai tidak sehaluan bangunkan MBK

MalaysiaGazette
MGF27092019_MASZLEE-TUTUP-SIDANG-PENDIDIKAN-KHAS03
Reaksi sugul sewaktu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di Hotel Marriott, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL


“Tolong rakan sekerja saya dan kawan-kawan saya di Kementerian Pendidikan, sila jangan sia-siakan anak-anak kita Murid Berkeperluan Khas (MBK). Jangan pernah sia-siakan negara kita.

“Sila letakkan kepentingan negara kita sebelum kepentingan peribadi kita,” katanya dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di sini hari ini.

Menurut Maszlee, segala perancangan yang direncana tidak akan dicapai sekiranya hanya beliau dan timbalannya, Teo Nie Ching sahaja yang beriya-iya untuk melaksanakan aspirasi pendidikan kepada MBK di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedangkan ia tidak disambut baik oleh pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan.

“Saya rasa waktu yang diberikan kepada kami terhad, dalam tempoh lima tahun ini kita perlu laksanakan, persoalannya adakah mampu kita laksanakan.

“Kita sediakan pelbagai polisi sebagainya tapi di penghujung adalah pelaksanaan itu sendiri. Kalau hanya saya dan Timbalan Menteri dan kerajaan PH yang mempunyai impian kami tapi di peringkat pelaksanaan tidak berkongsi impian serupa, kita akan lihat kegagalan di peringkat pelaksanaan,” katanya lagi.
MGF27092019_MASZLEE-TUTUP-SIDANG-PENDIDIKAN-KHAS01
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis 
Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di Hotel 
Marriott, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
Dalam pada itu, Maszlee turut melahirkan kebimbangannya tidak dapat meninggalkan apa-apa jasa kepada masyarakat kerana masih banyak lagi perkara yang belum dijayakan beliau sejak memegang jawatan menteri sejak Mei tahun lalu.

“Saya bimbang saya tidak boleh meninggalkan sesuatu untuk mereka (MBK) dan untuk negara semasa saya masih berkhidmat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tun M janji letak jawatan sebelum PRU15

fazleen safina 

 

Tugas sekarang berat, terpaksa kerja 18 jam sehari: PM

NEW YORK – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.



Perdana Menteri Malaysia yang berusia 94 tahun itu berkuasa untuk kali kedua selepas kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14, Mei 2018.



“Saya berjanji bahawa saya akan meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun,” katanya dalam satu dialog yang diadakan di Majlis Hubungan Luar Negeri, di sini, semalam.



Sepanjang tiga tahun itu, Dr Mahathir berkata, beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara.Beliau berada di sini untuk menghadiri Sidang ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Perdana Menteri berkata, tugasnya sekarang amat berat dan beliau kini bekerja 18 jam sehari.

“Ini kerana saya tidak mempunyai banyak masa,” katanya. -Bernama


Rabu, 25 September 2019

PRU-14 lagi pengundi BN Tanjung Piai mahu calon Melayu

Wartawan MalaysiaGazette
iqbal_bio-300x237
Iqbal Hakim Abdul Razak
KUALA LUMPUR – Pengundi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjung Piai semasa PRU-14 sebenarnya mahu calon Melayu.

Itu rumusan Ketua Pemuda BERJASA, Iqbal Hakim Abdul Razak.

Mengimbau kembali PRU-14, signal itu sudah ada semasa beliau turun padang dan berkempen untuk calon partinya menggunakan logo Pas.

Jika diperhatikan keputusan PRU-14, PH melalui PPBM

memenangi kerusi Tanjung Piai hanya dengan undi majoriti 500 lebih sahaja. Dikaitkan pula dengan demografi penduduk di situ, kurang lebih 55 peratus Melayu, 44 peratus Cina dan satu peratus India dan lain-lain boleh dikatakan sangat sedikit undi orang Melayu kepada PH pada ketika itu.

“Namun, mengenang kembali situasi di Tg Piai ketika PRU-14, ada cakap-cakap politik daripada kem BN. Katanya di akar umbi, ada kegusaran ahli mereka yang mahukan calon lain daripada BN.

“Mereka mahukan orang Melayu yang memimpin mereka memandangkan majoriti penduduk di situ adalah orang Melayu. Maka tidak hairan bagi saya andai ada kumpulan akar umbi yang menyampaikan mesej protes mereka dengan tidak mengundi BN pada PRU-14, maka mereka secara senyap-senyap mengundi calon Melayu daripada pihak lawan.

“Boleh saya katakan, majoriti akar umbi yang membuat protes tersebut ramainya memilih untuk mengundi GS-BERJASA berbanding PH pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Iqbal Hakim, perkara itu perlu dinilai sebaik-baiknya oleh pucuk pimpinan parti pembangkang dalam memilih calon PRK Tanjung Piai yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Faktor calon itu sangat penting kerana berdasarkan beberapa PRK yang lepas di Semenanjung Malaysia, sentimen itu berperanan besar dalam menentukan kemenangan.

Suara akar umbi mestilah didengari dan diambilkira. Jangan kerana kepentingan politik sesetengah pihak semata-mata maka sewenang-wenangnya sahaja diletakkan calon yang bakal bertanding di situ, katanya.

“Muafakat Nasional punya agenda besar. Pada ketika inilah kita diuji, para rakan komponen kita diuji, sejauh mana kita benar- benar menghayati dan menjunjung semangat Muafakat
Nasional seperti yang telah dimeterai 14 September yang lalu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette


Orang Asli mati demam campak bukan keracunan

Kumara Sabapatty
MGF25092019_MenteriKesihatan03
Reaksi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad selepas mesyuarat pada sidang media berkenaan laporan kematian orang asli di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

PUTRAJAYA- Hasil keputusan forensik Jabatan Kimia membuat kesimpulan kematian seramai 12 Orang Asli suku Batek Kuala Koh, Gua Musang Kelantan baru-baru ini disebabkan demam campak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menegaskan, melalui rumusan sekaligus menolak dakwaan awal kematian kontroversi sekumpulan Orang Asli itu berpunca daripada keracunan akibat pencemaran sungai.

Katanya, laporan forensik itu dijalankan oleh makmal kimia dalam negara dan tidak melibatkan penglibatan makmal luar Malaysia.

“Sebelum ini dikatakan sedikit lewat disebabkan kesukaran kerana kekurangan sampel tisu fizikal mayat yang ditanam mengikut tradisi suku masyarakat itu yang telah digali semula untuk ujian forensik menyukarkan dan melewatkan proses bedah siasat dengan memakan sedikit masa.

“Daripada 12 kematian Orang Asli yang dilaporkan kepada polis, lapan kematian disebabkan demam campak manakala empat lagi kematian tidak dapat ditentukan puncanya kerana tahap pereputan teruk.

“Maka berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan kimia forensik itu disimpulkan kematian tidak berpunca daripada keracunan logam berat dalam air sungai.

“Beberapa sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan (ikan kering) telah diuji kehadiran logam berat, mikro organisma dan racun perosak,” katanya dalam sidang media petang ini.

Tambah Dzulkefly, hasil pemeriksaan ujian itu juga mendapati sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak.

Namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik, katanya.

Menurutnya,ujian dijalankan bagi menentukan kehadiran logam berat dalam air tetapi ia tak sampai peringkat yang boleh membawa kepada maut.

Justeru, ujarnya analisa mikrobiologi sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal satu kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji iaitu miliodisis dan leptospirosis.

“Analisa yang dijalankan terhadap ikan kering juga mendapati tiada logam berat, histamin dan mikroorganisma sebaliknya faktor yang menyumbang kepada berlakunya wabak dan kematian demam campak adalah imunisasi dan tahap nutrisi rendah, cara hidup berpindah randah dalam kalangan kanak kanak Orang Asli dan adat memasuki hutan akibat sakit atau kematian menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan sehingga penyebaran terus berlaku.

“Sebagai rumusan wabak penyakit saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli suku Batek Kuala Koh, Gua Musang Kelantan yang berlaku 10 September 2019 adalah berpunca dari wabak demam campak,” ujarnya lagi.

Beliau juga memaklumkan sehingga 10 September lalu, sebanyak 213 kes gejala penyakit saluran pernafasan seperti demam, batuk dan selesema dilaporkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 123 kes termasuk empat kematian disahkan kes demam campak melalui ujian makmal iaitu sebanyak 75 kes demam campak dengan satu kematian di Terengganu dan empat di Pahang namun tiada kematian direkodkan.- MalaysiaGazette

Tanjung Piai: PH perlu 40 peratus undi Melayu, 70 peratus undi Cina

MalaysiaGazette
MGF010319_SEMAKAN-PERALATAN-UNDI04-1
Penurunan sokongan pengundi Cina daripada 90 peratus kepada 70 peratus dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai mungkin menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerusi Parlimen itu.


PONTIAN – Penurunan sokongan pengundi Cina daripada 90 peratus kepada 70 peratus dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai mungkin menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerusi Parlimen itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, PH perlu memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Melayu dan sekitar 70 peratus pengundi Cina jika mahu mengekalkan kemenangan di Tanjung Piai.

Dalam Pilihan Raya Umum 2018, 57.12 peratus pengundi di Tanjung Piai ialah keturunan Melayu, 41.74 peratus Cina dan 1.03 peratus India. Peratus pengundi Melayu dianggarkan sudah meningkat dalam senarai pengundi terkini.

Tung Siong berkata kepada Sinchew Daily, tidak kira apa jua keputusannya, PH perlu mengakui bahawa parti itu mempunyai kekurangan dan perlu mencerminkan kelemahan diri jika ditewaskan.

Katanya, jika PH kalah di Tanjung Piai, ia mungkin kerana parti itu gagal mencapai standard yang dikehendaki rakyat, dan bukanya menyalahkan faktor agama dan kaum jika ditumpaskan.

Tambahnya, jika UMNO menang di Tanjung Piai, ia juga tidak harus disalah erti sebag
ai kejayaan pakatan UMNO-Pas.

Tung Siong berkata, beliau cenderung mahu melihat Bersatu melawan MCA sekali lagi di Tanjung Piai bagi mengelakkan “salah erti” yang mungkin timbul.

“Jika DAP menggantikan Bersatu di Tanjung Piai, ia akan disalah erti sebagai penguasaan DAP dalam PH.

“Jika UMNO menang di Tanjung Piai pula, ia akan disalah erti sebagai pakatan UMNO dan Pas mendapat sokongan termasuk daripada kaum Cina,” katanya sambil menegaskan “salah erti” itu akan memberi impak mendalam terhadap politik negara.

Dalam itu, ADUN Kukup, Datuk Md. Othman Yusof berkata, UMNO harus bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai untuk menambah peluang kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Suasana politik sudah berubah dengan pakatan UMNO dan Pas. Pengundi bukan sahaja melihat parti, tetapi juga calonnya,” katanya.

Berhubung cadangan supaya bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng bertanding sebagai calon bebas, Md. Othman berkata, UMNO tetap yakin boleh menang walaupun bertanding secara tiga penjuru. – MalaysiaGazette


Saya nampak dia (Jho Low) di mana, saya tahu dia di mana – Abdul Hamid

Nizam Zain
MGF25092019_BICARA-MINDA-KITALAH-MALAYSIA_01
Ketua Polis Negara, Tan Sri AbdulHamid Bador bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar pada Bicara Minda bertajuk 'Kitalah Malaysia' di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

SHAH ALAM – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengulangi penegasannya bahawa pihaknya tahu di mana ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low berada dan berharap rundingan membawa balik orang yang dikehendaki itu ke Malaysia dapat diselesaikan akhir tahun ini.

“Saya nampak dia di mana, saya tahu dia di mana,” katanya semasa menjadi tetamu Bicara Minda di Dewan Karangkraf Shah Alam hari ini.

Menurut Abdul Hamid, Malaysia juga telah memberi pandangan yang tegas kepada pihak yang melindungi Jho Low.

“Dia bukan soal politik tiada kaitan dengan politik sama ada di negara ini atau di luar negara tapi soal jenayah terbesar di dunia,” katanya.

Sambil menyifatkan Jho Low sebagai seorang licik dan mempunyai agenda jahat, Abdul Hamid menegaskan buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan negara mana yang memberi perlindungan kepada ahli perniagaan dalam buruan itu.

“Dia sedang mendapat perlindungan daripada satu pihak untuk dia terus bersembunyi di sebuah negara.

“Maklumat yang saya terima dia bebas bergerak ke sana ke mari dan seolah-olah dia menjalankan perniagaannya tanpa apa-apa sekatan. Begitu juga dengan beberapa orang kuncu-kuncu dia tadi 4 – 5 orang,” katanya.

“Saya tak boleh menyebutkan negara tersebut sebab masih dalam rundingan dan negara itu ada perjanjian ektradisi dengan kita,” katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa usaha membawa Jho Low pulang ke Malaysai untuk diadili bukan kerana kepentingan politik tertentu, sebaliknya lebih kepada jenayah komersil malah terbesar di dunia.

“Soal Jho Low dan rakan-rakannya adalah soal jenayah. Jenayah sebagaimana orang tahu bahawa jenayah komersil, yang terbesar di dalam dunia.

“Kalau mengikut Amerika Syarikat. Ia tiada kaitan langsung dengan politik, baik di negara ini ataupun di negara yang dia mendapat perlindungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bermula 11 Nov

THE MALAYSIAN TIMES
 


IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan lima hari bermula 11 Nov ini untuk perbicaraan kes membabitkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, Julai lepas.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu semasa sebutan semula kes itu di sini, hari ini.

Yong yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Yong diwakili peguam bela Ram Karpal Singh dan disertai Farhan Sapian, ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Ram Karpal ketika prosiding sebutan semula memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan semula sebelum perbicaraan kerana pihaknya baru menerima 47 dokumen forensik dan saintifik serta berkemungkinan mendapatkan pakar sendiri untuk mengkaji semua dokumen itu.

Norashima kemudian menetapkan 22 Okt ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Azhar memberitahu seramai 24 saksi akan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Yong yang berkemeja putih dan sut biru gelap tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dan kira-kira 200 penyokongnya hadir ke mahkamah melaungkan kata-kata sokongan kepada beliau.

Dalam pada itu, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Gabriel Susayan berkata pihaknya akan meminta keluarga pembantu rumah terbabit yang mendakwa terdapat pengaruh politik dalam kes berkenaan, supaya membuat laporan polis.

“Saya telah menemui ibu mangsa Jumaat lepas dan akan menemui mangsa dalam masa terdekat.
Terdapat beberapa peguam hendak menemui mangsa tetapi tidak dibenarkan. Sebagai peguam pemerhati, kami perlu melindungi dan menjaga kebajikannya,” katanya kepada pemberita di luar kamar mahkamah.

Wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Sabda Tian berkata keluarga pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu berharap kebenaran dapat ditegakkan dengan adil.

“Kami mengharapkan semoga keputusan yang terbaik semasa tempoh perbicaraan dan yakin pemerintah Malaysia serius terhadap kes melibatkan korban (mangsa) demi keamanan buat semua pihak,” katanya.

Proton lancar logo, slogan baharu

THE MALAYSIAN TIMES
 


SUBANG JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd hari ini melancarkan logo dan slogan baharu ‘Inspiring Connections’ dalam usaha menyuntik nafas baharu terhadap penjenamaan serta menggariskan wawasan untuk muncul sebagai satu jenama automotif global dan moden.

Sentuhan ciri logo baharu itu antara lainnya memaparkan reka bentuk kepala harimau yang diangkat lebih tinggi, sekali gus menjadi simbol Proton ibarat kepala anak panah yang dihalakan untuk memacu dan mencapai kejayaan di masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata logo baharu itu akan digunakan oleh model unit komponen terurai X70 dan disusuli dengan pelancaran model lain.

Malah, katanya, kesemua cawangan syarikat itu akan memaparkan logo baharu itu secara berperingkat.

“Semua pusat kami akan ditukar dengan logo baharu itu secara berperingkat dan ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini membabitkan pelan perniagaan syarikat itu selepas memulakan langkah transformasi lebih setahun lepas.

Li berkata penjenamaan baharu itu dipacu oleh tiga nilai teras – teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa, seiring dengan cita-cita Proton untuk muncul sebagai satu jenama global sebenar dan antara tiga pengeluar automotif utama di ASEAN.

“Bagi mencapai cita-cita itu, Proton mengambil kira pandangan global untuk berjaya sebagai pengeluar automotif moden dan seiring dengan perkembangan aliran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, Proton akan turut bekerjasama dengan rakan global, memanfaatkan keupayaan rantaian bekalan, menarik pekerja global dan menerapkan teknologi dunia untuk menjadi jenama automotif global yang kompetitif.

“Etos baharu kami merangkumi nilai teras syarikat ini iaitu sentiasa memanfaatkan teknologi inovatif, komitmen kami terhadap kebolehpercayaan serta mengguna pakai pandangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata logo baharu itu menandakan lembaran baharu dalam perjalanan pengeluar automotif tersebut.

“Industri automotif moden, sebagaimana industri lainnya, perlu menerima pemikiran global.

“Proton akan terus mengeluarkan kereta terbaik yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, namun ini akan dilakukan atas dasar sebuah syarikat yang kompetitif di arena global,” katanya.

Mengulas pengembangan syarikat itu di peringkat luar negara, Syed Faisal berkata pihaknya itu sedang meneliti pasaran lain secara mendalam sebelum membuat keputusan memasuki negara tersebut.

“Penelitian itu bukan sahaja dari segi penerimaan (sama ada) produk kita wajar dibeli tetapi juga sama ada dasar automotif negara itu turut menepati strategi kami.

“Aspek itu (pengembangan di peringkat luar negara) bukan hanya mengenai soal penjualan kereta, tetapi (bagaimana dapat) mewujudkan kehadiran dan kedudukan,” katanya.

Dalam pada itu, merujuk kenderaan cekap tenaga (EEV), Li berkata penyertaan syarikat itu dalam ruang hibrid dan EEV akan bergantung kepada dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Kami akan memberi makluman berdasarkan polisiti tu,” katanya. –Bernama 

47 pelajar Malaysia selamat tiba dari Riau

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Seramai 47 pelajar Malaysia di Riau selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tengah hari tadi.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kumpulan pertama pelajar itu dibawa pulang melalui penerbangan dari Pekanbaru ekoran pengumuman darurat jerebu di daerah berkenaan dua hari lepas (23 Sept).

Ketibaan kumpulan pelajar itu disambut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Sementara, kumpulan kedua seramai 31 lagi pelajar Malaysia dijangka tiba di klia2 pada 6.10 petang ini.

Dalam pada itu, Kementerian Luar dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta.

Menurut kenyataan itu, pemindahan pelajar tersebut dibantu perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil agensi kedua-dua perwakilan berkenaan.


Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Riau.
“Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di wilayah Riau dan Jambi, Indonesia,” kata kenyataan itu. –Bernama