HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 April 2020

Menteri agama digesa guna pengaruh hentikan kempen kebencian terhadap Rohingya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri
 
PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi manusia menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghentikan kempen kebencian terhadap komuniti pelarian Rohingya di Malaysia, selepas satu klip video menunjukkan seorang lelaki tempatan berulang kali menghina seorang pemotong rumput Rohingya.

Afiq M Noor yang bersama kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty, berkata Zulkifli yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan perlu tampil dengan pendirian tegas terhadap Rohingya.

Katanya, gangguan terhadap anggota komuniti Rohingya bertentangan semangat Islam.

“Apa yang berlaku kepada kita pada bulan Ramadan ini? Ini adalah kesan negatif daripada naratif kebencian di media sosial yang menjadi realiti.
“Kebanyakan orang berpendapat kita tidak menandatangi triti mengenai pelarian, oleh itu kita tiada kewajipan untuk menerima dan melayan mereka dengan bermaruah serta berperikemanusiaan.

“Mungkin mereka lupa Perlembagaan Persekutuan memberi perlindungan kepada semua orang. Perkara 8 jelas menyatakan setiap orang tidak kira warganegara atau tidak, perlu dilayan secara sama rata,” katanya kepada FMT.

Afiq berkata, Malaysia mengiktiraf Deklarasi Kaherah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang antara lain menggesa negara anggota melindungi pelarian.
Tangkap layar satu klip video yang dimuat naik ke Facebook 
menunjukkan pemotong rumput Rohingya ini dipaksa menjawab 
soalan daripada seorang lelaki tempatan.
Semalam, FMT melaporkan seorang pemotong rumput Rohingya diganggu seorang lelaki tempatan dalam satu rakaman video di Facebook.

Klip video selama 4 minit yang dimuat naik ke Facebook itu menunjukkan lelaki tempatan itu memarahi etnik Rohingya terbabit kerana tidak memahami permintaan untuk mengucap dua kalimah syahadah bagi membuktikan beliau beragama Islam.

Ia menyusul komen xenofobia yang semakin memuncak terhadap komuniti Rohingya baru-baru ini dengan pemimpin agama dan aktivis hak asasi menggesa semua pihak bertenang, selepas berita palsu mendakwa pelarian Rohingya di Malaysia menuntut kerakyatan dan tindakan pihak berkuasa menghalang kemasukan bot membawa ratusan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bimbang dengan kejadian terbaru itu.

“Sikap ini sangat melampau dan saya rasa ini akibat daripada sentimen xenofobia yang menganggap semua pelarian Rohingya tidak dapat diterima walaupun dia Islam.

“Ini menunjukkan sentimen xenofobia sudah cukup merebak dan kemungkinan tak terkawal,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada FMT.

Beliau memberi amaran serangan sama mungkin berlaku kepada komuniti pelarian lain, jika trend itu berterusan.

Dalam klip video itu, pemotong rumput terbabit yang dalam perjalanan ke tempat kerja turut dimarahi kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Afiq berkata, lelaki dalam video itu mungkin perlu bekerja ketika PKP hanya untuk meneruskan hidupnya.

Beliau tertanya-tanya jika “Musa’adah Covid-19”, tabung khas yang dilancarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu pihak terjejas akibat PKP, akan turut digunakan untuk membantu komuniti pelarian.

“Hakikatnya ramai di antara mereka yang masih bergelut dan perlu bekerja sepanjang tempoh PKP.
“Dengan naratif negatif menyasarkan mereka, anda sangka pelarian akan beratur dan meminta bantuan?” soal Afiq.

Afiq sebelum ini mengingatkan umat Islam yang membantah kehadiran Rohingya di Malaysia, dengan berkata umat Islam awal pada zaman Nabi Muhammad terpaksa menjadi pelarian.

“Mereka lari dari kampung halaman mereka ke negeri yang dipimpin oleh seorang Kristian untuk mendapatkan perlindungan bukan sekali, tapi 2 kali,” tulis Afiq di Twitternya baru-baru ini.

Beliau memberi amaran jika ada pelarian di Malaysia yang mati kelaparan, “darah mereka akan berada di tangan kita”.

Mansuh sama sekali UPSR, PT3, syor ahli akademik

Pembatalan UPSR dan PT3 memberi peluang mewujudkan 
penilaian berasaskan sekolah, yang memudahkan lagi mengesah 
kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran. (Gambar 
Bernama)
 
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menyambut baik pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga kerana ia peluang untuk mewujudkan penilaian berasaskan sekolah (SBA) untuk sistem pendidikan.

Zuwati Hasim dari Universiti Malaya berkata, kerajaan membuat keputusan bijak membatalkan peperiksaan tahun ini berikutan wabak Covid-19.

Malah, beliau berkata lebih baik jika ia dilakukan secara kekal.

“Saya menyokong penilaian berasaskan sekolah di mana pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai proses perkembangan dan bukan untuk menghasilkan individu yang boleh mendapat A tetapi tidak dapat menerapkan pengetahuan yang dipelajari,” kata Zuwati dari Fakulti Pendidikan UM kepada FMT.

“Sistem kita sangat berorientasikan peperiksaan sehingga kebanyakan masanya pelajar menghafal dan mencurahkan jawapan daripada memahami konsep yang seharusnya mereka pelajari.”

Oleh kerana SBA memerlukan peranan aktif guru dan pelajar, beliau berkata, akan lebih mudah untuk mengesan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dan menyediakan intervensi awal.

“SBA boleh digunakan untuk mendiagnosis masalah pembelajaran. Oleh itu, tidak akan ada isu pelajar ketingggalan.”

Menteri Pendidikan Radzi Jidin, ketika mengumumkan pembatalan itu, berkata kementerian akan memperkenalkan kaedah alternatif untuk menilai pelajar yang seharusnya menduduki peperiksaan untuk masuk ke sekolah berasrama.
Zuwati Hasim
Zuwati berkata pemansuhan UPSR dan PT3 dan beralih kepada SBA tidak akan menjadi masalah untuk masuk ke sekolah berasrama.

“Mereka yang berminat masuk ke sekolah berasrama boleh menduduki ujian kemasukan selain memenuhi syarat masuk lain yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.”

Beliau berkata ketiadaan penilaian berorientasikan peperiksaan akan membebaskan pelajar daripada bergantung pada tuisyen selepas sekolah.

“Ibu bapa tidak perlu risau untuk menghantar anak mereka ke tuisyen lagi apabila pembelajaran berkesan berlaku di sekolah. Penilaian berasaskan sekolah boleh merangkumi kuiz, ujian, tugasan, kerja projek, pembentangan dan portfolio sebagai kaedah penilaian alternatif.”

Aktivis pendidikan Noor Azimah Rahim dari Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan bersetuju lebih baik untuk pelajar tanpa tekanan peperiksaan.

Beliau juga berkata ibu bapa yang berhubungan dengan beliau menyokong keputusan untuk membatalkan UPSR dan PT3.

“Ibu bapa lebih suka memastikan anak-anak selamat dan sihat di rumah sehingga mereka yakin sekolah selamat,” tambahnya.

Penumpang bas Kuching-Bintulu diminta tampil buat ujian Covid-19

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini


Penumpang bas ekspres Bintang Jaya dari Kuching ke Bintulu pada 14 Mac lalu diminta tampil untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.

Laman Facebook Sarawak Disaster Information memaklumkan, pihak berkuasa mengenal pasti bas itu bernombor pendaftaran SAB 6829B, yang bertolak pada pukul 8.30 pagi dari Kuching.

“Anda perlu membuat temujanji saringan Covid-19 dan mendapatkan arahan selanjutnya dengan menghubungi 086-315235,” kata hantaran itu.

Sejak 28 April, Sarawak telah merekodkan sejumlah 276 kes aktif Covid-19.
 Sementara itu, satu hantaran berlainan laman itu memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan keputusan kerajaan persekutuan membenarkan sejumlah sektor beroperasi sepenuhnya ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan setuju untuk membenarkan sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa 1, 2 dan 3, untuk meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan tanpa had masa.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat tersebut harus mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing.

PKP mula dikuatkuasakan di Malaysia pada 18 Mac dan setakat ini telah dilanjutkan sebanyak empat kali, dengan fasa empat dijadual berakhir pada 12 Mei.

Ibu tunggal langgar PKP didenda RM1,000 ganti penjara 30 hari



Ibu tunggal B Lisa Christina diiringi polis keluar dari Mahkamah 
Tinggi Shah Alam selepas prosiding kesnya selesai hari ini.
 
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menggantikan hukuman penjara dengan denda ke atas seorang ibu tunggal yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Kehakiman, Norsharidah Awang mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap B Lisa Christina, yang hadir di mahkamah untuk semakan hukuman penjara 30 hari yang dijatuhkan majistret pada 21 April lalu.

“Saya telah mengambil kira anda ialah pesalah kali pertama dan anda dipenjarakan selama 8 hari.

“Tetapi, saya tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman penghindar jika anda ditahan melanggar PKP semula. Saya harap tempoh anda dipenjara itu menjadi pengajaran kepada anda,” kata hakim.
Individu yang melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) boleh didenda maksimum RM1,000, penjara hingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Lisa, 30, membayar denda itu sebelum beliau menaiki teksi untuk bersama ibunya di Seremban.

Cinta Rohingya: Mahar puluhan ribu ringgit tak apa, asal bahagia



Walaupun hidup sebagai pelarian dan terpaksa menyerah nasib dengan menumpang di negara orang, namun ia bukan alasan untuk gadis warga Rohingya untuk tidak memilih bahagia.

Mempunyai suami penyayang dan bertanggungjawab serta anak-anak sebagai penyeri rumah tangga tetap menjadi idaman mereka, sama seperti insan lain.

Umumnya mereka memang berdepan dengan ketidaktentuan nasib sejak dari dalam rahim ibu masing-masing lagi. Apabila semakin membesar, kadang-kadang berserah kepada takdir di tengah laut.

Dapat menjejakkan kaki di tanah orang - seperti Malaysia - kemudiannya adalah sinar harapan baru. Ia tentu akan bertambah indah jika dapat mendampingi pasangan hidup bergelar suami.

Menariknya, apabila selamat tiba di Malaysia, seseorang gadis etnik Rohingya secara langsung mempunyai 'nilai tinggi' dan mahal di mata lelaki senasib mereka di negara ini.

Justeru, bukanlah aneh untuk seorang lelaki Rohingya di Malaysia sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengahwini gadis terbabit sebagai pilihan pendamping hidup walaupun berstatus pelarian.

Untuk bergelar suami isteri, mas kahwin yang perlu dilunaskan lelaki Rohingya dalam bentuk wang tunai atau barangan kemas boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Ada beberapa faktor yang diambil kira bagi menentukan kadar mas kahwin berkenaan. Misalnya, kos dan cabaran kedatangan gadis Rohingya terbabit ke Malaysia, umur, kebolehan dan paras rupa.

Nisbah lelaki, perempuan berbeza

Malah, bagi sesetengah kes, mahar perkahwinan ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak jauh lebih awal, iaitu sebelum si gadis tiba di Malaysia lagi.

Ia dibuat melalui perjanjian lisan di antara wakil keluarga gadis itu dengan bakal suaminya.

Malaysiakini berkesempatan menyelami cabaran lelaki Rohingya untuk berkeluarga di sebalik kehidupan dalam pelarian mereka khususnya di Kelantan.

Bagi Martullah Abu Bakar Siddik, 30-an, dia menerima hakikat bahawa memang lumrah dalam kalangan pemuda Rohingya untuk bekerja keras dan gigih menabung untuk mendanai perkahwinan masing-masing.

Katanya, walaupun dalam berdepan pelbagai kegetiran dan bersusah-payah mereka tetap sanggup menyediakan mahar yang tinggi demi memiliki seorang suri hidup.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mas kahwin perlu ditanggung oleh pihak lelaki kebiasaannya mencecah RM10,000. Ini nilai biasa, tapi ada juga hingga mencecah RM15,000 atau RM20,000, malah RM25,000," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Tambah Martullah, antara faktor yang menyebabkan mahar itu tinggi ialah, realiti bahawa tidak ada ramai gadis Rohingya di sini dan jumlahnya sangat tidak seimbang dengan lelaki.
Gambar hiasan
Katanya, dalam keadaan tertentu akan ada seseorang gadis dibawa khas dari Myanmar untuk dikahwinkan dengan lelaki yang sudah lama tinggal di sini.

"Misalnya adik ipar saya baru berkahwin pada awal Mac lalu dengan mas kahwin RM15,000.

"Isterinya itu tiba di Malaysia kira-kira dua minggu sebelum perkahwinan mereka," katanya.

Bagi pasangan Shah Alam Goni Mia, 19, dan Yasmin Abdul Kader, 18, (gambar atas) perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang mungkin menjejaskan pencarian rezeki mereka.

Namun pada masa yang sama PKP juga memberi ruang kepada mereka 'berbulan madu' dengan cara tersendiri. Mereka baru saja diijabkabulkan seminggu apabila PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Nilai mas kahwin dipersetujui

Shah Alam berkata, dia bekerja sebagai pencari dan penjual besi buruk. Pendapatannya itu ditabung sejak lima tahu lalu untuk menyiapkan diri berkahwin.

"Alhamdulillah akhirnya saya dapat mengahwini Yasmin. Kawan-kawan dan kakak ada tolong juga. Saya tak cukup duit RM15,000 jadi mereka bagi pinjam.

"Sebelum Yasmin datang ke Malaysia, saya sudah berjanji untuk beri mas kahwin RM15,000. Lepas dia sampai sini, tidak lama kami pun berkahwin," katanya.

Sebagai rekod, apabila pasangan Rohingya berkahwin mereka akan diberikan sijil pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.

Selain Shah Alam, adik perempuannya juga sedang bersiap-siap dinikahkan. Kini berusia 14 tahun, adik Shah Alam bakal bergelar isteri pemuda senegara mereka apabila PKP ditamatkan nanti.
Untuk adik Shah Alam itu, mas kahwin dudah dipersetujui kedua-dua pihak, iaitu RM20,000, dan katanya ia bukanlah sesuatu yang asing untuk seorang gadis muda Rohingya di Malaysia.

Kata Shah Alam, walaupun masih muda, adiknya itu sudah bersedia untuk berkahwin dan belajar untuk menguruskan rumah tangga.

"Walaupun masih muda, dia sudah pandai memasak, sudah belajar fardu ain dan hal-hal berkaitan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Memandangkan usianya masih muda itulah maka mahar yang ditetapkan untuknya lebih tinggi dan ia sudah dibincangkan serta dipersetujui bakal suaminya," jelasnya.
Bagi Mohamad Jubair Mohamad Muzar (gambar) pula, dia boleh dikatakan sedang menghitung hari menanti detik diijabkabulkan dengan gadis Rohingya apabila keadaan mengizinkan, iaitu selepas PKP ditamatkan.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, bakal isteri saya baru tiba di Malaysia, iaitu sebelum PKP mula dikuatkuasakan dulu.

"Dia ada di Ipoh, Perak dan tak sempat sampai ke Kota Bharu. Saya harap masalah Covid-19 di sini cepat selesai dan saya boleh berkahwin dan bekerja seperti biasa.

"Saya berjanji untuk memberi mahar RM15,000 kepada bakal isteri, insya-Allah saya sudah kumpul sejak lima tahun lepas dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan," katanya.

'Persefahaman Bersatu dan Umno perlu diterjemah dalam agihan jawatan'



Malaysiakini


Persefahaman antara pemimpin Bersatu dan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja dari segi menghormati sesama sendiri tetapi dilihat perlu diterjemahkan dalam bentuk material seperti jawatan dan kedudukan.

Mengulas mengenai isu yang berlaku di peringkat negeri antara kedua-dua parti itu, salah seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan mendedahkan identitinya berkata jawatan-jawatan sedia ada dalam negeri itu sepatutnya diagihkan sama rata.

“Kita menghormati sesama sendiri tapi walaupun dalam keadaan begitu, kita harus ingat-mengingati.

“Bukan sekadar mengingat tapi kita mesti menterjemahkan persefahaman kita ni dalam bentuk sesuatu yang material, yang boleh dilihat contohnya (dari segi) jawatan di GLC (syarikat berkaitan kerajaan), kedudukan-kedudukan.

“Ini tak boleh dielakkan.. kita bila ada kuasa, ada tempat-tempat yang perlu kita terjemahkan kuasa kita melalui jawatan perlu diagih bersama dan sama rata,” katanya yang hanya mahu dipetik sebagai sumber, ketika dihubungi Malaysiakini. 

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri semalam yang meminta parti lain dalam PN agar tidak memandang rendah keberadaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.

Solihan yang merupakan Adun Tenang itu dalam kenyataannya semalam turut berkata penyertaan Bersatu dalam GLC dan lantikan politik yang lain perlulah dijadikan sebagai "rukun kesepaduan" dalam PN.

Pada masa sama, sumber tersebut berkata dia sudah sedia maklum apabila individu yang mempunyai jawatan paling tinggi akan mempunyai kuasa untuk mengagihkan jawatan kepada orang bawahannya.
Dia berkata demikian apabila ditanya sama ada penentuan kedudukan tersebut dipengaruhi oleh kuasa menteri besar negeri itu yang merupakan dari parti Umno.

Sumber tersebut menambah, terdapat juga kesulitan antara pengerusi parti Umno dan Bersatu negeri apabila kata sepakat tidak dapat dicapai dengan lancar ketika Pakatan Harapan berkuasa di Johor.

“Kadang-kadang macam pihak ketua kita YB Mazlan (Bujang) susah juga nak komunikasi dengan MB (Hasni Mohammad).

“Kadang-kadang part (bahagian) tu pun menyebabkan tidak smooth (lancar). Bukan susah dicapai kata sepakat tu, tapi ada ketika tu tak selancar seperti dulu.

“Mungkin kita baru lagi (gabungan PN), belum sempat apa-apa lepas tu (sibuk dengan isu) Covid-19 ni. Jadi hubungan kita belum betul-betul mesra,” katanya.

Menurutnya lagi, penerimaan akar umbi dalam Bersatu juga berbeza apabila masih terdapat unsur-unsur tidak bersetuju dengan gabungan tersebut serta timbul kekhuatiran parti itu dipinggirkan.

“Jadi proses tu mungkin mengambil masa dan kena ada satu force yang menyatukan kita juga,” katanya.

Umno gunakan Bersatu untuk kuatkan kedudukan

Isu pelantikan jawatan antara kedua-dua parti itu turut diakui oleh bekas menteri besar Johor, Osman Sapian yang berkata ia bukan sahaja berlaku di peringkat negeri, malah persekutuan.

“Ia timbul bukan sebab isu menentang tapi isu kerana pihak Umno sendiri, dah macam nak monopoli kuasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Di peringkat negeri, beliau turut memberikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan pemimpin Bersatu dipinggirkan oleh pemimpin Umno dalam pelantikan dalam agensi kerajaan negeri.

“Macam Datuk Latif (Ahmad - Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ahli parlimen Mersing), dia orang Bersatu tapi (bekas) Umnolah kan, yang melompat masuk kepada Bersatu - dia buang ahli lembaga pengarah daripada Bersatu tanpa ada sebab,” katanya.

Tambahnya, perkara yang sama berlaku apabila Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sewaktu pentadbirannya akhirnya dipecat begitu sahaja tanpa sebarang notis.

“Kalau Bersatu tak ada dalam ni (PN), kita takkan jadi kerajaan walaupun kita minoriti, dia (Umno) bergantung pada kita,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pelantikan ketua bahagian Umno Pasir Gudang, Khaled Nordin
sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang, dengan mempertikaikan mengapa wakil rakyat di kawasan situ seperti Che Zakaria yang merupakan Adun di bawah Pasir Gudang tidak dilantik.

Untuk rekod, pada PRU ke-14, Khaled yang ketika itu merupakan menteri besar kalah bertanding di Pasir Gudang menentang Hassan Abdul Karim dari PKR (61,615).

“Khaled ni siapa? Bukannya ahli parlimen atau Adun. Dia nobody (bukan siapa-siapa).

“Benda (isu) macam ni kita nampak dia (Umno) mengenepikan dan gunakan kita (Bersatu) untuk jadi kerajaan tapi sebaliknya untuk menguatkan kedudukan Umno di tempat yang kalah. Maka timbullah perasaan tak puas hati,” kata Osman.

Malaysiakini sudah menghubungi pemimpin Umno untuk mendapatkan ulasan.

PKP: 37 pelajar dari UUM pulang ke Zon Tengah

PKP: 37 pelajar dari UUM pulang ke Zon Tengah
Pelajar menjaga jarakan sosial sambil menunggu untuk menaiki bas pulang ke kampung halaman masing-masing. Foto UUMTV
 
 
SINTOK: Seramai 37 orang pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini dihantar pulang ke kediaman keluarga masing-masing yang berada di Zon Tengah, dengan menaiki lima buah bas yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kira kira jam 10.45 malam tadi.

Kesemua mereka adalah pelajar yang terkandas di inapan siswa (INASIS) masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Mereka termasuk empat orang pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali, kesemua pelajar terbabit merupakan kumpulan pertama dari UUM yang dihantar pulang menerusi penghantaran kedua, selepas penghantaran pelajar dari Zon Tengah ke Zon Utara dilaksanakan pada Isnin.

Katanya, bas-bas tersebut akan bergerak ke beberapa destinasi di Zon Tengah yang berada dalam kawasan "hijau", melibatkan Kuala Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Sabak Bernam.

"Pada malam ini, kita saksikan kumpulan pertama pelajar-pelajar dari Zon Utara, khususnya dari UUM, ke Zon Tengah 1, melibatkan lima buah bas. Pelajar-pelajar akan bergerak ke destinasi seperti Hulu Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan juga Gombak.

"Untuk pergerakan kali ini, kita gunakan konsep perkongsian pintar, yang mana pelajar kita menaiki bas yang disediakan oleh rakan institusi pengajian tinggi (IPT) lain dari Zon Tengah.

"Jadi, pergerakan Zon Tengah sampai pagi tadi. Sekarang ini, pelajar kita tumpang bas Zon Tengah untuk balik ke sana," katanya.

Pelajar digalakkan menggunakan cecair pembasmi kuman bagi mengekang penularan COVID-19. Foto UUMTV
Pelajar digalakkan menggunakan cecair pembasmi kuman bagi mengekang penularan COVID-19. Foto UUMTV

BACA: PKP: 53,000 pelajar IPT mula pulang pada Isnin - Ismail Sabri

BACA: Proses penghantaran pulang pelajar menaiki pesawat bermula 1 Mei ini - Ismail Sabri

Sementara itu, bagi pelajar Nurul Suhaizah Fazilah yang berasal dari Sabak Bernam, dia menzahirkan perasaan gembira memandangkan saat yang dinantikan sejak sekian lama, khususnya untuk bertemu dengan keluarga tercinta dalam menyambut kehadiran Ramadan, dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, dia turut berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan lain yang tidak dapat pulang atas sebab tertentu memandangkan kebanyakan daripada mereka banyak memberikan bantuan secara fizikal dan mental terhadap satu sama lain, khususnya ketika mengharungi tempoh PKP.

"Mestilah gembira, sebab sudah lama tak jumpa keluarga. Keluarga juga sangat gembira sebab saya sudah sebulan lebih di sini. Saya rasa syukur dapat balik," kata penuntut UUM itu.

Suhu badan pelajar diambil sebelum memulakan perjalanan balik kampung. Foto UUMTV
Suhu badan pelajar diambil sebelum memulakan perjalanan balik kampung. Foto UUMTV

VIDEO: Pelajar IPT di Zon Tengah mula bergerak malam Isnin

BACA: PKP: 863 pelajar IPT mula pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini

Seorang lagi penuntut, Saiful Hadi Jamal Suhaily, menyatakan dia amat berterima kasih khasnya kepada pihak kerajaan atas keputusan yang dibuat dalam membenarkan pelajar pulang, selain pihak UUM yang sentiasa memastikan kebajikan pelajar terjaga.

"Terima kasih kepada pihak UUM sebab jaga pelajar dari aspek keselesaan, dengan makanan percuma, tak perlu keluar duit banyak dalam tempoh PKP, makan cukup, Alhamdulillah, malah rasanya lebih, sebab sentiasa ada makanan.

"Terima kasih kepada pihak kerajaan jugak sebab beri alternatif untuk pelajar balik, walaupun sepatutnya tak boleh, sebab PKP masih diteruskan dan hari-hari ada kes. Tetapi Alhamdulillah kerajaan tetap benarkan pelajar balik untuk bersama keluarga tercinta," katanya.

Penjarakan sosial diamalkan di dalam bas. Foto UUMTV
Penjarakan sosial diamalkan di dalam bas. Foto UUMTV

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 88 pelajar dari empat universiti di Zon Utara akan bergerak pulang ke Zon Tengah pada malam tadi, merangkumi pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Sains Malaysia (USM); dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok dan Pulau Pinang.

Sementara itu, lebih 4,878 pelajar lain pula akan bergerak pulang ke rumah masing-masing malam ini.

COVID-19: Angka korban seluruh dunia melepasi 216,000

Astro Awani, Agensi
COVID-19: Angka korban seluruh dunia melepasi 216,000
AS kekal sebagai negara yang mencatatkan angka korban tertinggi dan satu-satunya negara yang melebihi 50,000 kematian. -BERNAMA
 
 
ANGKA kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia mencatatkan peningkatan 6,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan yang maut akibat wabak itu kini mencecah 216,808.

Menurut statistik Johns Hopkins University, sebanyak lima negara mempunyai kes maut melebihi 20,000.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara yang mencatatkan angka korban tertinggi dan satu-satunya negara yang melebihi 50,000 kematian.

Itali mencatatkan pertambahan 382 kematian dengan jumlah korban kini merekodkan 27,359.



Sementara itu, Sepanyol dan Perancis masing-masing mencatatkan pertambahan kematian dengan keseluruhan kedua negara merekodkan kematian melebihi 47,483.

United Kingdom (UK) menjadi negara kelima tertinggi merekodkan jumlah kematian dengan 21,678 iaitu pertambahan 586 kes.

Negara lain masih mempunyai angka kematian di bawah 7,000.

Selasa, 28 April 2020

DPPM sokong kerajaan tolak kemasukan pelarian Rohingya

Khairil Nizam Khirudin


SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyokong tindakan kerajaan yang bertegas menolak kemasukan pelarian baharu Rohingya bagi mencegah ancaman kluster baharu penyebaran Covid-19.

Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan sumber serta anggota keselamatan bagi tujuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara.

"DPPM memandang serius isu pelarian Rohingya yang kembali menimbulkan perdebatan masyarakat Malaysia.

"Langkah terbaik yang boleh diambil ialah mengimbangi antara pertimbangan kemanusiaan dengan pencegahan ancaman keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairil Nizam, isu itu kembali hangat kerana kempen serangan berterusan kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya di Arakan termasuk serangan udara yang dikecam hebat pemerhati PBB hingga mencetuskan gelombang pelarian yang baharu.

Katanya, ia juga kembali hangat berikutan kenyataan kontroversi beberapa wakil pertubuhan Rohingya di Malaysia yang menuntut hak tertentu yang dianggap tidak sesuai dengan status mereka sebagai pelarian, bukannya warganegara Malaysia.

Jelasnya, ia juga susulan tindakan kerajaan Malaysia yang berpendirian menolak kemasukan baharu bot pelarian Rohingya atas pertimbangan mencegah mudarat yang jauh lebih besar bukan sahaja melibatkan isu Covid-19 tetapi pencegahan kemungkinan berlaku sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika kerajaan mengambil pendirian mencegah ancaman keselamatan, rakyat tidak perlu mengecam etnik itu kerana tidak semua bersikap ‘ibarat cacing naik ke mata’ atau ‘kacang lupakan kulit’.

Tambahnya, kerajaan Myanmar perlu mengembalikan kerakyatan kepada etnik berkenaan mematuhi keputusan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dan membenarkan mereka kembali ke kampung dengan aman.

Khairil Nizam berkata, DPPM juga mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tanggungjawab ke atas pelarian Rohingya yang tidak diterima masuk ke negara ini untuk ditempatkan di kem-kem pelarian seperti yang telah disediakan di Bangladesh.

"Pemimpin Rohingya di Malaysia perlu menggunakan saluran yang betul dan bertindak secara diplomatik bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan warga Rohingya di Malaysia. Amat malang jika segala bantuan dari rakyat dan kerajaan Malaysia kepada nasib Rohingya selama ini tidak dihargai dengan sewajarnya.

"DPPM juga mengajak rakyat menghentikan penyebaran kebencian kepada mereka berasaskan fakta yang salah, berita palsu dan kenyataan yang ditokok tambah. Ada agenda terancang di sebalik semua ini," katanya.

Cari siapa tali barut PATI...

Zuliaty Zulkiffli
 
 Zainuddin. FOTO Arkib NSTP
 

POLIS meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti tali barut warga tempatan yang menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun barangan di sempadan negara.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mengenal pasti banyak lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand selain Langkawi, Kubang Pasu dan Alor Setar.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan orang ramai terutama masyarakat sekeliling dapat menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan terutama PATI bagi mengekang aktiviti itu.

"Saya minta orang awam berhenti jadi tali barut dan beri maklumat kepada kami dalam usaha untuk mengekang kemasukan mereka (PATI) ke negara ini.

"Sama ada membabitkan pendaratan di perairan atau jalan darat. Kita minta semua pihak membantu menangani masalah ini daripada terus berlarutan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, selepas tangkapan membabitkan etnik Rohingya pada awal bulan ini di perairan Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempertingkatkan kawalan di perairan negara bagi mengekang kemasukan PATI.

Menurutnya, setakat ini pihak berkuasa berjaya menyekat kapal yang membawa etnik Rohingya berkenaan mendarat di Langkawi.

"Justeru, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemasukan PATI yang cuba masuk ke negara ini supaya melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil dengan segera.

"Saya percaya mereka yang duduk di kawasan perairan, pintu masuk negara dan berhampiran lubang tikus ada maklumat berkaitan kegiatan ini dalam usaha mengekang kemasukan mereka ke negara ini," katanya.

Dalam kejadian 5 April lalu, seramai 202 PATI yang terdiri etnik Rohingya ditahan APMM berhampiran penginapan Kampung Teluk Nibung, Langkawi kerana memasuki negara ini secara