HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2020

Menang di Slim, bukan bermakna menang mudah di Sabah, kata Annuar Musa

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, kekalahan BN 
pada pilihan raya umum ke-14 harus dijadikan pengajaran 
walaupun menang dalam PRK sebelum itu.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mengingatkan diri dan parti untuk tidak terlalu yakin akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sabah selepas menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim semalam.

Beliau sebaliknya berkata, kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) harus dijadikan pengajaran walaupun menang dalam PRK sebelum itu.

“Bila kita terlalu yakin, kita masuk dalam zon bahaya.

“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan rakan parti, kita menang semalam bukan bermakna menang mudah di Sabah. Kita tak ambil mudah.

“Jadi sementara kita berterima kasih, hati bersyukur, kita menang majoriti semalam, jangan ia melalaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perarakan pasukan berkuda perkhidmatan awam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam PRK yang diadakan dengan majoriti 5 kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi yang diperolehi pada PRU14 lepas.

Gabungan itu yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan 2 calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) maupun Muafakat Nasional (MN) dan BN perlu mengambil serius dan memandang penting perkara itu dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

“Kita kena buang sikap anggap senang. Kerja keras, kerja dengan bijak dan jangan ambil mudah,” katanya.

Pilihan raya negeri Sabah bakal diadakan pada 26 September ini.

Umno Sabah bersama-sama MCA dan PBRS berada dalam BN, manakala PN terdiri daripada PPBM, STAR SAPP serta PBS dan PAS

Kritik Muhyiddin tindakan salah, Annuar bidas Nur Jazlan

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Naisonal (BN), Annuar Musa membidas kritikan Timbalan Pengerusi BN Johor, Nur Jazlan Mohamed terhadap Muhyiddin Yassin yang meminta perdana menteri berhenti “berdagang” bagi mendapatkan sokongan supaya Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa.

Beliau berkata, Nur Jazlan tidak perlu dengan mudah membuat kenyataan seperti itu.

“Sebagai parti politik, PPBM ada rancangan mereka, tetapi tidak boleh membuat kenyataan perdana menteri cuba melakukan sesuatu yang negatif.

“Nasihat saya, saya mungkin tikam kawan dalam parti sendiri. (tetapi), sebagai setiausaha agung saya nasihatkan kita semua mesti amalkan politik yang lebih murni.

“Saya harap semua orang jangan keluarkan kenyataan negatif, supaya wujudkan keadaan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perarakan pasukan berkuda perkhidmatan awam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan Nur Jazlan menasihatkan Muhyiddin supaya berhenti ‘berdagang’ bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebelum pembentangan belanjawan kerajaan Oktober ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini Muhyiddin “sibuk membuat dagangan” supaya parti dipimpin beliau dan PN dapat terus mengekalkan kuasa sehingga tamat tempoh penggal 2 tahun lagi.

Nur Jazlan berkata, Muhyiddin perlu menerima kenyataan bahawa PPBM dan PN berada dalam keadaan yang amat rapuh.

Dalam pada itu Annuar berkata, kritikan Nur Jazlan itu tidak tepat kerana baru-baru ini Muhyiddin; Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berbincang mengenai kerjasama 3 parti itu jika pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

Dalam perkembangan lain, Annuar menasihatkan media supaya mendapatkan ulasan mengenai dasar parti daripada pimpinan atasan bukannya pimpinan bawah.

“Media harus ambil kenyataan dan lihat jawatan orang itu. Kalau ambil komen, ahli biasa tak terlibat dengan perbincangan dengan pimpinan di atas, ia akan beri gambaran kurang tepat.

“Kalau media nak tanya mengenai dasar, saya harap dapat rujuk kepada penjawat yang sesuai,” katanya.

Semalam Muhyiddin berada di Sabah untuk bertemu dengan pemimpin PPBM negeri berhubung pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (JPM), selain pertemuan dengan pemimpin PPBM Sabah, beliau juga bertemu penjawat awam dan pemimpin masyarakat di negeri itu.

Sertai PN satu beban berat, kata presiden SAPP

Yong Teck Lee (kanan) menyerahkan borang permohonan SAPP 
menyertai PN kepada Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu 
semalam. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Presiden SAPP, Yong Teck Lee menyifatkan penyertaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) ialah beban berat selepas 12 tahun mereka menentang kerajaan.

Katanya, kini mereka perlu cuba menyelesaikan apa yang disuarakan ketika menentang kerajaan dahulu.

“Kami belum berada dalam kerajaan, kami hanya menyertai gabungan pemerintah, iaitu PN dan bagi saya ini satu beban berat selepas 12 tahun menentang kerajaan.

“Sebelum ini, kami hanya ‘melihat’ kerajaan dari luar, menentang mereka, namun banyak benda yang kami telah pelajari.

“Sepanjang berada di luar daripada kerajaan dulu, kami merasai kesusahan rakyat, kami mendengar rintihan mereka dan suarakan kepada kerajaan, ia satu pengalaman baik yang kami akan manfaatkan dalam PN,” katanya selepas penyerahan borang permohonan SAPP menyertai PN kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, SAPP menyertai PN disebabkan keadaan politik semasa, khasnya dalam usaha menentang kerajaan Sabah yang diterajui Warisan.

“Kami melihat kepada situasi politik yang mana bagi saya, ia situasi baru, seperti mana juga kata PM, norma baru. Jadi, kami memutuskan untuk berada dalam PN, ia satu gabungan yang bukan BN dan bukan juga PH (Pakatan Harapan).”

Mengenai jumlah kerusi yang akan ditandatangani SAPP pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan, Yong berkata, ia masih dalam perbincangan.

Beliau mengesahkan parti itu akan bertanding menggunakan lambang PN.

Sebelum ini, SAPP ialah parti komponen BN sebelum ia meninggalkan gabungan itu pada 2008.

Parti itu kemudiannya menjadi pembangkang di Sabah dan pernah bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang lain untuk menentang kerajaan BN.

Bagaimanapun, SAPP dilihat gagal memperluaskan pengaruh mereka di Sabah dan tidak memenangi kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Kemenangan di Slim bukti MN semakin dapat sambutan, kata penganalisis

Petugas SPR membawa masuk peti undi ke pusat penjumlahan 
undi PRK Slim malam tadi. Calon BN Mohd Zaidi Aziz menang 
dengan majoriti besar 10,945 undi mengalahkan 2 calon Bebas.

PETALING JAYA: Penganalisis politik melihat keputuan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam sebagai pengesahan kekuatan Muafakat Nasional (MN) yang merupakan gabungan 3 parti politik Melayu terbesar.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa kerjasama antara Umno, PAS dan PPBM berkesan.

“Ia menunjukkan MN semakin mendapat tempat dan berada di kedudukan lebih baik sekarang. Sokongan akar umbi juga bertambah kuat,” katanya.

Berdasarkan keputusan dari pusat daerah mengundi, undi protes terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas mungkin telah kembali kepada gabungan politik itu, katanya.

“Peratus keluar mengundi yang rendah menunjukkan mereka yang tidak keluar mungkin merupakan penyokong Pakatan Harapan (PH). Kita tidak lihat tokoh utama PH datang berkempen untuk Pejuang,” katanya.

Parti Pejuang Tanah Air adalah parti baru yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sekutu beliau .

Sivamurugan berkata, parti baru itu tidak memiliki jentera pilihan raya yang kuat.

“Saya fikir Dr Mahathir memang menjangkakan keputusan itu, tetapi beliau memerlukan platform bagi menunjukkan bahawa Pejuang juga mempunyai tempat. Ini bukan titik hujung beliau.”

Pakar sains politik Chandra Muzaffar berkata, kerjasama antara Umno, PAS dan PPBM bakal menyaksikan gabungan itu menguasai sepenuhnya undi orang Melayu di luar bandar.

Beliau berkata, keputusan itu juga menunjukkan bahawa Mahathir kehilangan sebahagian daripada sokongan luar bandar beliau.

“Beliau merupakan perdana menteri selama 24 tahun sebanyak 2 kali, ramai yang percaya calon yang disokongnya sepatutnya meraih keputusan lebih baik,” katanya.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Pejuang mempunyai peluang lebih baik jika calonnya bertanding menggunakan lambang parti itu sendiri, bukannya sebagai calon Bebas.

“Pejuang perlu bekerja lebih gigih. Ia tidak mecapai keputusan yang baik kerana mereka tidak mempunyai infrastruktur parti, selain terpaksa menggunakan bendera Bebas,” katanya kepada FMT.

Amanah seperti dewan himpunan penyokong DAP – Abdul Hadi

Manzaidi Mohd Amin
MGF22112019_TOK-HADI-POLITIK-SEJAHTERA06-681x454
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya seperti dewan perhimpunan penyokong DAP semata-mata.

Beliau berkata, parti itu tidak mempunyai matlamat dan hala tuju perjuangan sendiri, melainkan menjadi penyokong tegar kepada parti cauvinis itu.

“PAN (Amanah) terpaksa mencari talian hayat dengan membuat kenyataan yang tidak mempunyai makna dan maksud.

“Mereka hanyalah seumpama Dewan Himpunan Penyokong DAP,” katanya ringkas kepada media di Terengganu, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Amanah hanyalah untuk menyatakan mereka masih wujud.

“Kalau tidak ada kenyataan yang hendak dihalakan kepada Pas, maka mereka ini seperti tidak wujud di mata orang ramai,” katanya.

Beliau turut menyatakan, pengikut Pas masih setia kepada perjuangan parti, manakala Amanah hanya mendapat undi sokongan dari DAP saja.

Ujar Abdul Hadi, parti itu hidup pun dengan dokongan DAP. – MalaysiaGazette

Parti baharu Tun M ditolak rakyat – Najib

Mohammad Arif Nizam
MGF29082020_KEPUTUSAN-PRK-SLIM14-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap 
kepada media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya 
Kecil (PRK) N.58 Slim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, 
Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. 
foto AFFAN FAUZI

TANJUNG MALIM – Kemenangan besar calon Barisan Nasional bagi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditolak rakyat.

Malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu juga menunjukkan rakyat sudah muak dengan strategi menggunakan serangan peribadi ke atas diri beliau.

“Strategi parti baru Dr Mahathir, Pejuang yang guna lambang Pokok ketika kempen, apa yang mereka lakukan ditolak balik oleh rakyat, orang sudah meluat dengar kalau dilihat kempen kali ini kerana hendak balas dendam atau soal peribadi.

“Rakyat dengar cerita dan mereka telah tolak, mereka nak pemimpin yang boleh bela mereka, boleh jaga kebajikan rakyat.

“Balik-balik sebut nama saya (ketika kempen), rakyat sudah benci dengar isu (serangan peribadi ketas saya),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri pengumuman keputusan PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini malam ini.

Najib berkata, bukti penolakan rakyat kepada parti Mahathir itu cukup jelas.

Ini kerana kawasan yang bekas perdana menteri itu berkempen di Felda Besaout 2 dua hari sebelum hari mengundi, calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi telah kalah teruk.

“Tempat Dr Mahathir pergi di Besout 2, mereka kalah teruk, calon kita menang majoriti jauh lebih besar.

“Ini petanda rakyat semakin sedar kegagalan kepimpinan beliau (Mahathir) selama 22 bulan.

“Jelas mereka beri sokongan kepada BN dan tolak calon parti baru,” katanya.

Tambah bekas Presiden UMNO itu, kemenangan besar BN di Slim juga menunjukkan logo BN masih diterima rakyat di samping dibantu rakan parti lain termasuk Pas dan Bersatu.

“Ini bukti logo BN masih dekat di hati rakyat, malah melalui Muafakat Nasional (MN) maknanya kerjasama dengan Pas, parti-parti lain dalam BN, MCA, MIC, Bersatu ada sumbangan.

“UMNO dan Pas teras kepada MN. Ini merupakan pilihan ramuan politik pilihan utama masyarata khususnya dalam PRK Slim,” katanya.

Najib yang juga bekas Pengerusi BN berkata, menerusi PRK ini, sokongan bukan Melayu kepada BN turut kembali meningkat.

“Undi Cina dan India nampak semakin meningkat ke arah BN dan ini satu petanda sangat positif dan terima kasih di atas perubahan sikap mereka,” katanya yang merujuk kepada semua 13 Pusat mengundi dimenangi BN.

BN berjaya mempertahankan kerusi Slim dalam PRK ini dengan majoriti lima kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

BN yang diwakili Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon bebas, Amir Khusyairi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi. – MalaysiaGazette

Kejayaan BN di DUN Slim akan di bawa ke PRN Sabah

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF29082020_KEPUTUSAN-3-681x453
Setiausaha Agung Barisan Nasionall, Tan Seri Annuar Musa 
selepas mengikuti perjalanan penjumlahan undi secara langsung 
dari Pusat Penjumlahan Undi SPR di Pejabat Daerah Tanjung 
Malim sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim ketika 
di Command Centre, Felda Trolak, Perak. foto MOHD 
ADZLAN

SLIM RIVER – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berharap aura kemenangan parti itu di Slim pada hari ini dapat dibawa ke Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Beliau ketika ditemui media selepas mengikuti perkembangan penjumlahan undi di Bilik Gerakan Utama BN di sini berkata, sokongan akar umbi kepada parti itu akan dibawa ke negeri di bawah bayu menerusi PRN tersebut.

“Barisan Nasional akan menghadapi cabaran yang lebih besar di Sabah untuk membela dan memajukan Sabah.

“Sabah telah lama menjadi mangsa kepada percaturan politk Parti Warisan yang diterajui oleh Datuk Seri Shafie Apdal,” katanya.

Dalam pada itu Anuar mengucapkan setinggi-tinggi taniah kepada jentera Barisan Nasional kerana berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Slim apabila mendapat majoriti lebih tinggi berbanding pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Calon Mohd Zaidi Aziz 43, memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Slim pada kali ini.

Kerusi DUN Slim sebelum ini kosong berikutan kematian Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang merupakan ADUN empat penggal di DUN tersebut.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004. – MalaysiaGazette

Sabtu, 29 Ogos 2020

Barisan Nasional (BN) menyapu bersih 13 Pusat Daerah Mengundi

Mohammad Arif Nizam
MGF29082020_PUSAT-PENJUMLAHAN-UNDI-PRK-SLIM_12-1-681x454
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz melambai 
ke arah petugas media selepas menang Pilihan Raya Kecil 
(PRK) N.58 Slim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan 
Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto 
FAREEZ FADZIL

SLIM RIVER – Barisan Nasional (BN) berjaya menyapu bersih ke semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini menyaksikan BN kembali menebus kehampaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas tewas di enam PDM.

Ketika itu, BN kalah kerana bertembung pertandingan tiga penjuru menentang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada PRU14, allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Khusairi mendapat, 8,327 undi, calon Bersatu, Mohd. Amran (6,144 undi), dan Muhammad Zulfadli mendapat 4,103 undi.

Namun BN tewas di PDM seperti Kampung Kuala Slim, Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang Sungkai.

Bagaimanpun menerusi kerjasama sekarang dalam Muafakat Nasional, hanya BN yang bertanding berdepan dua calon bebas.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan itu enam PDM itu membuktikan sokongan kuat pengundi kepada BN, MN dan Kerajaan Perikatan Nasional.

MGF29082020_KEPUTUSAN-PRK-SLIM06-1024x683
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad 
Hasan bercakap kepada media selepas pengumuman keputusan 
Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Pusat Penjumlahan 
Rasmi Undi, Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung 
Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI,

Jelas beliau, ia juga menggambarkan keresahan rakyat yang masih merasai keperitan di zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Saya juga boleh simpulkan juga bahawa penolakan pengundi ke atas Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) walaupun tidak meletak calon. ramai pemimpin PH yang turun kepada calon bebas,” katanya kepada media selepas pengumuman PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini malam ini.

BN berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar calonnya, Mohd. Zaidi Aziz selepas menang selesa dengan majoriti 10,945 undi apabila memperoleh 13,060 undi manakala dua pencabarnya dari bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, yang turut hilang wang deposit.

Mengulas lanjut, Mohamad turut berharap pola pengundi akan berterusan pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan ini kerana akan beri impak kepada PRU pada akan datang.

Sementara itu, PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43; dan dua calon bebas iaitu S. Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38; mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang dalam proses didaftarkan.

Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim ini.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Mohd Khusairi yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai. – MalaysiaGazette

MN diterima rakyat, faktor menang PRK Slim

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang meraih kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim sebagaimana pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebentar tadi.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan tersebut adalah bukti kukuh bahawa Muafakat Nasional (MN) melibatkan PAS dan Umno diterima oleh rakyat di mana akan dimantapkan dengan penyertaan BERSATU nanti.

“Saya baru menerima call dari Presiden Umno (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) dan seluruh kepimpinan dan jentera parti (PAS) yang bertungkus lumus menjayakan kemenangan kali ini.

“Terima kasih kepada petugas yang sedia melaksanakan arahan parti. Saya yakin gelombang kebangkitan Muafakat Nasional akan lebih mantap dengan penyertaan BERSATU dalam gabungan ini. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Senada dengan itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman juga menyifatkan kemenangan ini mengambarkan bahawa Muafakat Nasional benar-benar telah menyentuh hati rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini juga mengambarkan petanda baik untuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dalam PRU nanti. PAS sentiasa istiqamah dan akan mempertahankan gabungan ini demi agama, bangsa dan negara.

“Rakyat sudah mula melihat dan merasai gabungan ini sebagai wadah terbaik untuk kebaikan semua. Pastikan hanya pertandingan dua penjuru dan kita akan menang besar, Insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berharap semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk semua jentera parti bagi menghadapi PRU15 yang dijangka bakal berlaku tidak lama nanti.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga menyifatkan kemenangan tersebut lantaran kepercayaan tinggi pengundi-pengundi di DUN Slim kepada calon yang mewakili Muafakat Nasional.

Malah katanya, PRK kali ini menampakkan kesediaan daripada pengundi kaum Cina untuk turut memberi undi kepada kerjasama Perikatan Nasional yang membawa kepentingan untuk membina perpaduan antara kaum itu.

Beliau merakamkan syukur dan tahniah di atas kemenangan tersebut serta penghargaan terima kasih kepada seluruh pengundi atas kepercayaan yang diberi serta petugas parti-parti. – HARAKAHDAILY

Tepati ramalan, rakyat teruja politik baharu MN

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim oleh calon BN, Mohd Zaidi Aziz secara umumnya menepati ramalan dan kecenderungan sokongan yang boleh dirasai daripada reaksi balas positif rata-rata penduduk di situ.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau merasa bersyukur dengan keputusan tersebut dan telah menyaksikan sendiri keterujaan penduduk kepada politik baharu Muafakat Nasional khususnya.

Menurut Amzad, beliau sendiri turut mendapatkan reaksi akar umbi masyarakat di situ ketika berkempen di mana penduduk meyakini janji kestabilan, perpaduan dan khidmat lebih baik yang akan diberikan Muafakat Nasional.

“Prestasi Kerajaan Perikatan Nasional diperingkat Persekutuan yang dilihat sangat prihatin kepada rakyat dan mengenepikan isu remeh temeh politik dengan mengutamakan kebajikan rakyat ternyata memberi keyakinan baru kepada rakyat.

“Saya yakin kemenangan dengan majoriti di DUN Slim ini adalah isyarat jelas penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional dan penolakan total terhadap Pakatan Harapan.

“Ia juga adalah tanda aras baru penggemblengan jentera pilihan raya semua parti politik dalam Muafakat Nasional. Pemimpin PAS dan jentera PAS telah sepenuh hati bekerja membantu kemenangan calon dari Umno.

“Saya sendiri turut berceramah, ziarah dari rumah ke rumah di Slim membantu Saudara Zaidi,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi gembira ketika diminta mengulas keputusan diumumkan malam ini. – HARAKAHDAILY