HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

PRN Melaka: Sayap UMNO kemuka nama calon, tapi Rauf akan pilih

AGENDA DAILY

Walaupun tiga sayap UMNO Melaka telah mengemukakan senarai nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini, tetapi ia akan ditapis dan kata putus terletak kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ini kerana Rauf – bakal Ketua Menteri (KM) Melaka jika UMNO menang besar – juga akan turut bertanding di salah satu kerusi selamat dalam PRN itu nanti.

Lagi pula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Rauf mempunyai pengaruh yang besar dalam perbincangan dengan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi memilih calon berkelayakan.

Rauf juga belum membuat keputusan terhadap senarai nama yang dikemukakan ketiga-tiga sayap UMNO itu.

Terdahulu, ketiga-tiga sayap parti itu mengesahkan telah mengemukakan 16 nama pemimpin masing-masing untuk diketengahkan sebagai calon PRN Melaka.

Wanita UMNO negeri dilaporkan telah menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon dengan mengambil kira tiga kriteria utama digariskan parti, iaitu kebolehmenangan (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai atau disenangi (likeable) pengundi.

Ketuanya, Datuk Latipah Omar berkata pemilihan nama calon dibuat ketua Wanita di enam bahagian pihaknya berharap 30 peratus wanita diberikan peluang menjadi calon PRN Melaka.

Bernama pula melaporkan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan pula berkata, pihaknya telah menyerahkan tujuh nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN Melaka.

“Kami tidak ambil calon paracut (payung terjun), sebaliknya calon yang dipilih adalah berdasarkan penilaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) dan mereka diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tempat tinggal mereka.

“Calon berkenaan juga terdiri daripada ikon atau pemimpin masyarakat setempat yang berkelayakan dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Ketua Puteri UMNO negeri, Nurashiqin Alias pula berkata, sayap itu tidak ketinggalan mengemukakan tiga nama untuk dipilih sebagai calon yang mempunyai kriteria digariskan parti pada PRN Melaka.

“Puteri mempunyai calon berkelayakan dan mampu berkhidmat dengan baik walaupun masih baharu dalam politik. Kami mempunyai ahli bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan pedalaman juga.

“Kalau UMNO hendak maju ke hadapan, kita perlukan orang muda untuk terus bersama dengan UMNO dan BN. Jadi, berilah peluang kepada calon muda agar kita dapat melahirkan kepimpinan muda yang lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi wanita.

PRN Melaka: 3 sayap Umno Melaka kemuka 16 nama calon berpotensi

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 
495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki 
dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita. (Gambar Bernama)

MELAKA: Tiga sayap Umno Melaka telah mengemukakan 16 nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi Umno sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 Nov ini.

Ketua Wanita Umno Melaka Latipah Omar berkata sayap itu mengemukakan enam nama untuk diketengahkan dengan mengambil kira tiga kriteria utama digariskan parti iaitu kebolehmenangan (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai atau disenangi (likeable) pengundi.

“Pemilihan nama calon dibuat Ketua Wanita di enam bahagian di negeri ini dan kami amat berharap 30% wanita diberikan peluang menjadi calon PRN Melaka. Bagaimanapun ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Melaka berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemilihan calon muka baharu pada PRN berkenaan.

Ahmad Zahid pada pelancaran Jentera BN PRN Melaka pada Rabu lepas dipetik sebagai berkata BN bersedia mempertaruhkan calon muka baharu termasuk dari MCA dan MIC bagi bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Ketua Pemuda Umno Melaka Fairul Nizam Roslan pula berkata sayap itu telah menyerahkan tujuh nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN Melaka.

“Kami tidak ambil calon paracut (payung terjun) sebaliknya calon yang dipilih adalah berdasarkan penilaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) dan mereka diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tempat tinggal mereka.

“Calon berkenaan juga terdiri daripada ikon atau pemimpin masyarakat setempat yang berkelayakan dan dekat dengan masyarakat,” katanya yang juga Exco Pemuda Umno pusat.

Ketua Puteri Umno Melaka Nurashiqin Alias pula berkata sayap itu tidak ketinggalan mengemukakan tiga nama untuk dipilih sebagai calon yang mempunyai kriteria digariskan parti pada PRN Melaka.

“Puteri mempunyai calon yang berkelayakan dan mampu berkhidmat dengan baik walaupun Puteri masih baharu dalam politik. Kami mempunyai ahli bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan pedalaman juga.

“Kalau Umno hendak maju ke hadapan, kita perlukan orang muda untuk terus bersama dengan Umno dan BN. Jadi, berilah peluang kepada calon muda agar kita dapat melahirkan kepimpinan muda yang lebih baik di masa hadapan,” katanya yang juga Exco Puteri Umno pusat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita.

Tak terkejut Mohamaddin keluar parti, bukan mudah jadi wakil rakyat jujur, kata pemimpin Warisan

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin mendakwa Mohamaddin Ketapi, 
mengabaikan parti dan rakyat yang telah memberinya mandat.

KOTA KINABALU: Warisan sudah menjangka tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi keluar daripada parti itu, sambil menyatakan bukan mudah untuk beliau menjadi wakil rakyat jujur.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin, berkata selain itu bukan tugas mudah bagi wakil rakyat untuk setia kepada mandat rakyat, sekali gus mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa Sabah.

Katanya, memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat sudah diberikan dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah tidak wajar diterima semua pihak.

“Mohamaddin lari dari perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan. Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik. Apa-apa pun rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti.

“Apa-apa pun kita ucapkan selamat maju jaya kepada Mohamaddin Ketapi. Kami yang masih dalam Warisan tetap akan bersama-sama kepimpinan Warisan yang diterajui Presiden Mohd Shafie Afdal,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, hari ini, mengumumkan keluar Warisan.

Mohamaddin, 64, berkata beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama, yang menurutnya tiada kemajuan sampai ke kawasan berkenaan.

Azhar yang juga ADUN Darau, berkata setakat ini beliau yakin rakan-rakan ADUN lain tetap fokus membantu rakyat terkesan dengan penularan Covid-19, sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat diwakili.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Azhar berkata, tiada keperluan bagi ADUN untuk melompat parti dengan memberi alasan fokus berkhidmat di kawasan diwakili, berikutan kerajaan negeri sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan, di kawasan diwakili mereka.

“Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi ADUN untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.

Ku Nan bebas kerana wang RM2 juta terbukti sumbangan politik, kata mahkamah

Mahkamah berkata, Chai Kin Kong yang mendermakan wang itu kepada Tengku 
Adnan Mansor jelas maklum bahawa wang itu adalah untuk digunakan Umno 
dalam dua pilihan raya kecil. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Wang RM2 juta diberikan kepada Tengku Adnan Mansor oleh seorang ahli perniagaan terbukti oleh pembelaan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK), seterusnya membawa kepada pembebasannya, kata penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmad Nasfy Yasin berkata, pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa perayu yang lebih mesra digelar Ku Nan, telah menerima wang itu untuk dirinya sendiri daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Chai Kin Kong.

Katanya, salah satu intipati penting yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan adalah bahawa wang itu telah dibayar kepada Ku Nan dan bukan orang atau entiti lain.

“Kami mendapati kesimpulan Hakim (Mahkamah Tinggi) bahawa intipati itu telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah tidak dapat bertahan,” katanya dalam penghakiman sepanjang 41 muka surat yang dikeluarkan semalam.

Pada 16 Julai, Nasfy dan Suraya Othman yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan rayuan itu dan membatalkan sabitan terhadap Ku Nan. Hakim Abu Bakar Jais bagaimanapun memberi penghakiman bertentangan.

Pendakwaan telah mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu, dan dijangka memfailkan petisyen rayuan dalam masa terdekat memandangkan sudah ada penghakiman bertulis.

Nasfy dalam penghakimannya berkata, keputusan majoriti bersetuju dengan hujah peguam bela Tan Hock Chuan bahawa hakim perbicaraan, Mohamad Zaini Mazlan, telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta.

Tan telah berhujah bahawa mahkamah perbicaraan gagal mempertimbangkan bukti dikemukakan empat saksi pendakwaan termasuk Chai, yang menyokong kes pembelaan bahawa wang itu sumbangan politik kepada Umno untuk PRK Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Nasfy berkata, hakim perbicaraan juga tidak mempertimbangkan kegagalan pihak pendakwaan menyoal semula Chai berhubung wang berkenaan.

“Tidak dipertikaikan bahawa Chai adalah saksi utama pendakwaan, dan keseluruhan versi kes itu dibuat berdasarkan keterangannya,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan tidak menyatakan Chai adalah saksi tidak jujur atau tidak benar. Tiada juga usaha untuk mencabar kewibawaannya atau melayannya sebagai saksi belot.

Sementara itu, dalam penghakiman bertentangan, Abu Bakar berkata pendakwaan berjaya membuktikan semua intipati tuduhan dan Zaini bertindak sebetulnya apabila mensabitkan Ku Nan.

Katanya, Ku Nan mengambil wang itu untuk dirinya sendiri malah ia tidak pernah menjadi sumbangan politik. Tambahnya, tiada bukti wang itu dibelanjakan untuk PRK berkenaan.

“Wang itu dihantar kepadanya dan dimasukkan ke akaun bank Tadmansori Holdings Bhd, yang tertuduh mempunyai kepentingan,” katanya.

Pada 21 Dis tahun lalu, Zaini mensabitkan Ku Nan bersalah menerima wang itu daripada Chai, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, yang diterajui Ku Nan pada masa berkenaan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Syarat kepada PAS guna lambang sendiri, apa sebenar niat UMNO?


Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepatutnya memuktamadkan keputusan berhubung kerjasama dengan PAS dan Bersatu, tetapi sebaliknya yang berlaku mereka meletak syarat berbentuk satu ugutan kepada parti Islam tersebut supaya menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan UMNO pada Khamis lalu sebenarnya memberi isyarat pendirian Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah ditolak pemimpin atasan dan menunjukkan suaranya tidak lagi relevan dalam menentukan hala tuju parti tersebut.

Walaupun pada awalnya Zahid dilihat berkeras dan seperti sudah tidak akan berpatah balik dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, tetapi UMNO tiba-tiba mengambil langkah cuba bertolak-ansur tetapi hanya dengan PAS atas alasan persefahaman Muafakat Nasional (MN).

Keputusan UMNO yang meletak syarat tersebut menimbulkan persoalan mengapa sokongan PAS sangat penting walhal mereka gagal memenangi sebarang kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Melaka sebelum ini, bahkan UMNO juga tidak pernah mengadakan rundingan kerusi antara kedua-dua parti.

Lebih tidak masuk akal, syarat UMNO itu diletak ketika pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) yang PAS juga salah seorang anggotanya sudah hampir selesai.

Untuk rekod, MN tidak pernah didaftarkan sebagai sebuah gabungan rasmi seperti PN, jadi bagaimana pula UMNO mahu meletak syarat tersebut memandangkan kerjasama tersebut hanya sekadar tidak lebih kepada Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua parti.

Jika UMNO serius untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, sepatutnya selain syarat menggunakan lambang sendiri itu diletakkan mereka juga sebenarnya perlu mengumumkan jumlah kerusi yang akan diberikan kepada PAS untuk bertanding dalam PRN Melaka. Bagaimanapun UMNO tidak pula memperincikan jumlah kerusi yang akan dirunding dengan PAS, sekadar syarat melibatkan lambang sahaja.

Namun, keputusan yang diumumkan UMNO pada Khamis malam lalu sebenarnya tidak lebih kepada satu strategi politik yang cuba memerangkap PAS dan menurut sumber ia bagi menguji sejauh mana kesetiaan dalam MN.

Sumber UMNO memberitahu Agenda Daily, majoriti ahli MT tidak sependapat dengan pendirian awal Zahid yang tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan mereka hanya bersetuju ditamatkan kerjasama dengan Bersatu sahaja selari dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang lalu.

“Ada Ahli-ahli MT yang masih berkeras untuk meneruskan kerjasama dengan PAS tetapi mengetahui kedudukan PAS yang bersama dalam PN ia menyukarkan sebarang rundingan.

“Bagaimanapun, langkah yang diumumkan ini akan menjerat PAS dalam sebarang keputusan yang diputuskan mereka nanti,” kata sumber dalaman UMNO.

Jika secara solo bergerak atas tiket Barisan Nasional (BN), sumber memberitahu terdapat Ahli MT bimbang tanpa kerjasama dengan PAS mereka bakal menerima kekalahan teruk di Melaka dan Pakatan Harapan (PH) akan kembali memerintah.

Sentimen pengundi di Melaka kini sudah semakin marah dengan UMNO ekoran perebutan kuasa sesama sendiri sehingga menjadi punca PRN terpaksa diadakan.

Berbanding dengan PAS yang tidak mempunyai sebarang kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan tiada penglibatan dalam kejatuhan kerajaan negeri baru-baru ini, imej mereka lebih baik dan bersih berbanding UMNO yang sudah dianggap sebagai sebuah parti yang tamak kuasa.

Pengundi di Melaka khususnya kaum Melayu sudah melihat wajah sebenar UMNO yang berebut kuasa sesama mereka sehingga sanggup menumbangkan kerajaan yang diterajui parti sendiri.

Dalam senario politik Melaka, krisis yang berlaku disebabkan oleh pergaduhan sesama pemimpin UMNO menjadi punca kepada PRN terpaksa diadakan dan lebih malang lagi ia berlaku ketika pandemik Covid-19 baharu hendak pulih. Rakyat masih trauma dengan episod penularan Covid-19 selepas PRN Sabah tahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan mereka seharian.

Risiko untuk rakyat menolak UMNO sangat tinggi berbanding penolakkan terhadap PAS dan Bersatu, jadi UMNO sangat berharap dapat mengurangkan peluang untuk mereka kalah di Melaka.

Bagi menghidupkan peluang tersebut, tidak salahnya UMNO membuat satu syarat kepada PAS dan pada masa sama dapat memerangkap mereka. Keputusan balas PAS terhadap syarat yang diletak UMNO akan menjadi penentu hala tuju kerjasama kedua-dua parti.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT      

Pulau Pinang tidak perlu campur tangan – Sanusi

 Oleh MOHD RAFIE AZIMI

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

ALOR SETAR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak perlu campur tangan terhadap tuntutan Kedah bagi mendapatkan royalti pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tuntutan tersebut juga bukanlah urusan Kon Yeow yang merupakan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

“Saya tak perlu komen banyak berkenaan kenyataan Kon Yeow. Permohonan Kedah ini bukan urusan beliau.

“Selama ini, bayaran royalti RM10,000 dan sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun kepada Kedah sejak 2018 itu pun kerajaan Persekutuan yang bayar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi mendedahkan kerajaan negeri ini memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya royalti pajakan Pulau Pinang dinaikkan kepada RM100 juta.

Menurut Muhammad Sanusi, permohonan itu telah dinyatakan kepada Kementerian Kewangan supaya perkara tersebut dimasukkan ke dalam Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan Persekutuan, hari ini.

Dalam reaksinya berhubung permintaan Kedah itu, Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membuat sebarang bayaran pajakan kepada Kedah.

Malah menurut Kon Yeow, kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan apa-apa tuntutan yang luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada, sejak sekian lama. -UTUSAN ONLINE

Pemuda UMNO kecewa pengeluaran KWSP tiada dalam Bajet 2022

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ASYRAF WAJDI DUSUKI

PETALING JAYA: Pemuda UMNO kecewa kerana beberapa tuntutan pihaknya sebelum ini termasuk pengeluaran simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara one-off tidak dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun telah berulang kali perkara itu dibangkitkan menerusi siri pertemuan bersama pemimpin tertinggi negara dan pengurusan KWSP, namun cadangan berkenaan tidak dimasukkan dalam belanjawan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Sejujurnya saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa apabila ada beberapa tuntutan rakyat yang kami perjuangkan tidak dipenuhi walaupun tidak dinafikan terdapat beberapa yang kami perjuangkan, telah ditunaikan kerajaan seperti moratorium tanpa faedah.

“Namun antara menjadi harapan besar majoriti rakyat adalah pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh kerajaan dalam belanjawan. Apakan daya walaupun berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin tertinggi negara dan pengurusan tertinggi KWSP,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan belanjawan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM332.1 bilion bagi 2022.

Walaupun beliau mengumumkan beberapa inisiatif pembaharuan termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) namun tidak menyentuh pengeluaran KWSP seperti dikemukakan beberapa pihak termasuk Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan ‘lepas tangan’ dengan dokumen-dokumen Bajet 2022 dan Laporan Ekonomi serta teks ucapan Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh pihaknya secara bersama.

“Banyak cabaran dan kekangan akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah pemerintah untuk menjayakan belanjawan ini. Andaian ekonomi dan pengenalan cukai serta duti eksais baharu untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.

“Oleh demikian, pandangan, kritikan dan cadangan untuk penambahbaikan Bajet 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli Parlimen. Kami mahu manfaat sebenar daripada belanjawan akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” jelas Asyraf Wajdi.

Ronnie Liu patut fahami hal berkaitan arak dan Islam

MUHAMMAD ZAIM AL-PERAQI
 

POSTING berkaitan arak yang dibangkitkan oleh YB Ronnie Liu (ADUN Selangor) melalui akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew telah menunjukkan salah faham yang fatal terhadap hal ehwal umat Islam. Kami, Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Johor Bahru senada dengan kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bahawa hal ehwal Islam yang melibatkan hukum-hakam biarlah umat Islam yang menguruskannya.

Semakan kami di media sosial mendapati posting ini masih tidak diturunkan dan tidak ada lagi kenyataan maaf daripada YB Ronnie Liu berkaitan isu ini. Beliau seharusnya bertanggungjawab selepas menyebarkan kenyataan yang telah dibaca oleh masyarakat umum dan boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sebagai makluman, larangan arak kepada umat Islam telah dinyatakan dengan jelas melalui ayat al-Quran dari Surah Al-Maidah ayat 90 yang membawa maksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Bahkan hal ini disebutkan dalam Hadis Rasulullah S.A.W bahawa yang bermaksud “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.

Ketegasan Islam dalam melarang umatnya mendekati arak bukan hanya pada aktiviti meminum arak, bahkan semua hal yang berkaitan arak. Ini seperti yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah S.A.W Riwayat At-Tirmizi, “Rasulullah S.A.W melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.”

Larangan yang diberikan ini merupakan perintah Allah dan wajib dipatuhi oleh umat Islam seluruhnya. Justeru, kenyataan YB Ronnie Liu ini dilihat biadab kerana mencampuri urusan umat Islam.

DPPK Johor Bahru menyeru kepada penganut bukan-Islam agar tidak cuba mengambil urusan agama Islam mengikut kaca mata dan pendapat peribadi kerana hal ehwal umat Islam wajib dikendalikan oleh penganut agama Islam sendiri berdasarkan al-Quran dan Hadis serta diuruskan oleh mereka yang ahli mengenainya.

Kami menggesa dan mendesak agar ADUN terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka agar tindakan beliau itu tidak menjadi ikutan kepada penganut bukan-Islam yang lain. Kami juga bersedia membuat laporan polis sekiranya ADUN berkenaan tidak membuat permohonan maaf secara terbuka agar menjadi pengajaran buat sesiapa yang cuba mengambil urusan hal ehwal agama Islam selepas ini. 

(*) MUHAMMAD ZAIM AL-PERAQI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Johor Bahru – HARAKAHDAILY

Saya tahu rakyat merindui kerajaan BN, undilah kami di Melaka: Zahid


Tidak dinafikan rakyat semakin merindui kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perkara itu diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta mereka menyokong gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Zahid yang juga Pengerusi BN berkata langkah pertama untuk mengubati kerinduan rakyat kepada BN perlu ditunjukkan dalam PRN Melaka nanti dengan memilih mereka sebagai kerajaan negeri baharu walaupun pemimpin UMNO sendiri menjatuhkan kerajaan negeri itu sebelum ini.

“Majoriti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama merindui pentadbiran kerajaan BN.

“Maka PRN Melaka langkah pertama untuk mengembalikan apa yang pernah negara kehilangan,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran Facebook malam ini.

Jelas Zahid, walaupun ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu mereka tidak pernah merajuk, sebaliknya meneruskan perjuangan suci murni demi membela rakyat.

“Jelas keburukan yang diilustrasikan lawan semasa PRU-14 semata-mata permainan persepsi merebut kuasa. Malaysia tidak menuju negara bankrup, polisi dan dasar ekonomi BN terus diperakui, tiada masyarakat tersisih.

“Alhamdulillah BN tidak pernah merajuk dan berpaling daripada usaha mengembalikan kebenaran,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.