HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Disember 2007

Rakyat perlu buat anjakan besar dalam pilihan raya kelak - Haron Din
Bashir Ishak - Harakahdaily

Islam Hadahri yang diperkenalkan tidak membawa sebarang perubahan dalam amalan di dalam negara ini melainkan ke arah yang lebih memudaratkan, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Menurutnya, beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara yang ditunjukkan hatta pada era Islam Hadhari mahupun sebelumnya lagi.

"Saya tak nampak apa perubahan pun yang boleh menyentuh jiwa kita. Yang nyata perubahan ke arah yang lebih teruk ada, dengan hiburannya, siaran televisyen dan juga hubungan kemanusiaan semakin teruk.

"Lihat saja hari ini, pelbagai bentuk kerosakan berlaku. Pembunuhan, pencabulan dan pecah amanah berlaku saban hari dan seolah menjadi satu kemestian dalam laporan media," katanya.

Justeru beliau menegaskan bahawa dalam sistem pemerintahan berbentuk demokrasi di dalam negara ini perlunya pembangkang yang kuat sama ada di parlimen atau dewan undangan negeri untuk membawa suara dan memperbetulkan keadaan.

"Perlu wujudnya keseimbangan atau disebut "check and balance" dalam sisitem pentadbiran," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, perasaan takut untuk berubah ada di dalam masyarakat sekarang khususnya di kalangan bangsa Melayu.

"Orang Melayu seperti sudah terjajah mindanya, banyak makan budi. Seolah-olah telah tertanam di fikiran bahawa Melayu akan terus dalam keadaan susah dan perlu terus dibantu.

"Anak-anak kita masuk Unversiti dikongkong oleh AUKU, pegawai-pegawai dan pensyarah juga dikongkong oleh AUKU dan kakitangan awam pula dikenakan Akujanji, ini merencatan kemahuan mereka untuk berubah," jelasnya.

Katanya lagi, Umno yang menerajui tampuk pemerintahan negara seperti tidak ada kuasa untuk membela nasib orang Melayu-Islam di negara ini.

Ujarnya, kerajaan Melayu-Islam yang ada inilah yang sepatutnya memberi penumpuan ke arah memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini, namun sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi.

"Sepatutnya pemimpin perlu menjadi orang yang terakhir kenyang, tapi sekarang ni rakyat yang lapar dahulu dan rakyatlah yang kenyang kemudian,"sindirnya.

Dr Haron menjelaskan bahawa seorang yang beriman adalah seorang yang berupaya melakukan perubahan ke arah kebaikan dan pada zaman ini jika seseorang itu tidak mahu melibatkan diri untuk mengembalikan maruah Islam maka baginya tidak ada iman pun walaupun sebesar biji benih.

"Medan terbaik untuk kita ialah Pilihan raya umum akan datang. Jadikannya sebagai satu anjakan besar untuk kita melakukan perubahan," katanya di suatu majlis yang dianjurkan oleh PAS Perlis baru-baru ini.

Tiada ulasan: