HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Februari 2008

Petugas Umno guna parang halang petugas PAS
Awang Harun


DUNGUN (Hrkh) - Para petugas Umno telah mula menunjukkan sikap ganas dengan menggunakan senjata ketika berhadapan dengan petugas PAS semasa memasang bendera parti.

Walaupun kempen pilihan raya umum ke-12 belum bermula lagi, seorang petugas Umno menggunakan parang dalam satu kejadian yang berlaku di hadapan Markas PAS Pulau Serai, dekat sini, Sabtu lalu.

Menurut seorang petugas PAS, Ahmad Puad Muda, 45, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.00 malam di kawasan markas berkenaan.

Katanya, ketika itu, seramai enam orang lelaki Melayu ingin memasang bendera Umno di kawasan markas itu tetapi dilarang oleh salah seorang petugas PAS yang berada di situ.

“Kemudian berlaku pertengkaran mulut dan selepas itu salah seorang daripada mereka yang ingin memasang bendera Umno itu mengeluarkan sebilah parang dan menghayun ke arah para petugas PAS,” ujarnya.

Tambahnya, mereka juga mengeluarkan kata-kata ugutan kepada para petugas PAS.
Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Dungun pada jam 11.17 malam berkenaan.

Sebelum ini, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Che Mat Jusoh dilaporkan menggunakan senapang patah bagi menghalang para petugas PAS memasang bendera parti di atas tanah rezab jalan di hadapan rumahnya di Kampung Nibong, Kuala Terengganu.

Ekoran itu, lima petugas PAS membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu. - mns

Tiada ulasan: