KUALA LUMPUR: Diseblik tekanan yang diterima Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) ekoran peganjuran program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim, '40 tahun: Dari UM ke Penjara' malam ini, mereka pada masa sama turut menerima sokongan bertalu-talu dari banyak pihak.
Antara yang menyatakan sokongan terhadap penganjuran program itu termasuk Alumni UM yang menyifatkan kehadiran Anwar malam ini sebagai 'sireh pulang ke gagang'.
Selain itu, turut menyatakan sokongan secara terbuka termasuk kumpulan Pro Mahasiswa UTHM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), We Unite For Islam (WUFI) UIAM, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Gabungan Mahasiswa UKM.
PMUM selaku penganjur program yang menjemput Anwar selaku ketua pembangkang yang juga anggota alumni kampus itu, didakwa menerima tekanan hebat menjenjelang program itu pada jam 8.30 malam ini di Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC).
Ia termasuk cubaan menghalang kelangsungan program itu melalui penyebaran notis amaran palsu kepada pelajar kononnya dari pihak pentadbiran yang melarang mahasiswa hadir ke program tersebut.
Penganjuran program ini juga, menyebabkan suasana persekitaran Universiti Malaya hari ini sedikit panas, apabila Bahagian Keselamatan Universiti Malaya (UM) hari ini membuat kawalan ketat di laluan masuk ke kampus itu.
Tindakan itu menyebabkan berlaku kesesakan teruk di pintu masuk utama khususnya di pintu masuk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Pengarah Keselamatan Yusof Harun dalam emel kepada kakitangan universiti berkata, pihaknya mendapat arahan pihak pengurusan universiti supaya hanya kenderaan yang berpelekat UM sahaja dibenarkan masuk kawasan kampus hari ini.
Ekoran itu juga, Pejabat Keselamatan telah menutup Gate Jalan Elmu, Gate Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Gate Damansara mulai jam 10.30 pagi.
Selain itu, beberapa papan iklan dengan contengan mesej anti-Anwar turut terdapat di pintu-pintu masuk ke kampus itu sejak pagi ini.
Bincang dengan VC, TNC
Dalam pada itu, PMUM memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof. Datuk Dr. Mohd Amin Jalaludin dan Timbalan Naib Canselor Profesor Datuk Dr Rohana Yusof untuk berbincang dan memurnikan kekeruhan yang berlaku.
Bercakap pada satu sidang media hari ini, Presiden PMUM Fahmi Zainol berkata, pertemuan itu dijangka diadakan petang ini.
Menurut Fahmi, pihaknya juga telah menghubungi kedua-dua pihak terbabit bagi tujuan pertemuan tersebut.
Fahmi juga berkata, acara malam ini tidak dianjurkan hanya bagi menyokong Anwar, tetapi juga menyuarakan mesej yang pelajar kini muak dengan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas kebebasan akademik.
"Kami jelak dan bosan mendengar semua prosedur rumit yang sentiasa dibangkitkan sebagai alasan mengekang kebebasan mahasiswa," kata Fahmi.
Walau apa pun kata Fahmi, pihaknya akan tetap meneruskan program itu malam ini seperti dirancangkan.
Fahmi turut memberi jaminan bahawa program malam ini akan berlangsung aman, dan tindakan melabel program ini sebagai ancaman adalah tidak tepat.
Katanya, program malam ini sekadar memberi ruang kepada Anwar bagi menjelaskan isu pertuduhan ke atasnya kepada masyarakat khususnya mahasiswa UM.
Pro-M kerah ahli
Sementara itu, kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) akan mengerah hali mereka dari seluruh kampus untuk hadirr ke program malam ini sebagai sokongan terhadap PMUM.
Pengerusi Pro-M Nasional, Abdul Muqit Muhammad berkata, pihaknya menjangkakan program malam ini akan berjalan lancar seperti dirancang.
"Kita ada buat kerahan agar mahasiswa turun pada malam ini.
"Kita harap semuanya akan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.-HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan