HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Oktober 2014

Pidato Anwar: PMUKM fahami kondisi PMUM

HARAKAHDAILY



 


KUALA LUMPUR: Berhubung dengan sekatan pelaksanaan program pidato umum anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada hari ini, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) melihat tragedi yang berlaku semasa Majlis Makan Malam GMUKM bakal berulang.

Naib Yang Dipertua PMUKM, Muhammad Sallehudin Khalid berkata, pola peristiwanya dilihat hampir sama dengan kejadian yang sudah berlaku di UKM pada bulan lepas.

Menurutnya, bermula daripada amaran TNC HEPA sehingga kepada turunnya Special Branch (SB) semasa program dijalankan pastinya menjadi bukti kepada kerasnya cara pentadbiran menghalang mahasiswa berprogram.

"PMUKM melihat bahawa universiti seharusnya menjadi medan perbincangan ilmu yang luas serta menyediakan ruang yang terbuka bagi mahasiswa mencambahkan idea mereka," katanya.

Beliau berkata, program Pidato Umum itu yang menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berkongsi pengalamannya sebagai alumni Universiti Malaya dilihat amat menarik untuk dilaksanakan.

Justeru, katanya PMUKM yakin pidato yang ingin disampaikan mempunyai intipati  yang amat berguna kepada seluruh hadirin dalam menongkah arus sebagai anak muda bakal pemimpin negara kelak.

tambahnya, PMUKM berpendapat walaupun  kehadiran Anwar menjadi ancaman kepada pihak universiti, namun niat baiknya untuk berkongsi ilmu serta pengalaman bersama mahasiswa tidak perlu dihalang.

"Kami mencadangkan kepada pihak universiti untuk menganjurkan acara yang serupa tetapi dijalankan bersama wakil tokoh ilmuan lain yang dirasakan lebih sesuai dengan citarasa mereka," ujarnya lagi.

Dengan ini, kata beliau program ilmu tersebut dapat dijalankan dengan aman serta perbincangan idealisme yang lebih baik boleh dilaksanakan.

Baginya, alasan yang sama diberikan oleh pihak pentadbiran untuk membatalkan niat pimpinan mahasiswa menganjurkan program sebegini dilihat tidak relevan.

Beliau menambah, dengan alasan bahawa program ini tidak mendapat kelulusan dilihat tidak sepadan dengan usaha yang dilakukan penganjurnya.

Solusi mudahnya, kata beliau untuk program sebegini dilaksanakan dengan aman ialah dengan memberi kelulusan.

Sehubungan itu, katanya PMUKM berharap agar program-program berbentuk perbincangan idealisme diperingkat mahasiswa diberikan kebebasan sebaiknya.

Beliau berkata, mahasiswa memerlukan perbincangan secara berterusan untuk mencambahkan idea mereka dalam usaha menjadi pendukung negara pada masa depan dan berharap program tersebut dapat berlangsung dengan baik. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: