HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Oktober 2014

UM perketat keselamatan menjelang pidato Anwar

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kawalan keselamatan di kampus Universiti Malaya dipertingkatkan menjelang ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu malam ini.

Dalam kenyataannya, Pengarah Pejabat Keselamatan UM Yusof Harun berkata hanya kenderaan yang mempunyai pelekat universiti dibenar memasuki kampus perdana itu.

Menurutnya lagi, langkah tersebut dilakukan atas arahan pengurusan universiti.

"Pejabat Keselamatan diminta oleh pengurusan Universiti Malaya untuk meningkatkan kawalan keluar masuk kenderaan di pintu-pintu utama Universiti Malaya.

"Hanya kenderaan yang berpelekat UM sahaja dibenarkan memasuki kawasan kampus pada hari ini," katanya.

Pintu pagar di Jalan Elmu, Fakulti Bahasa dan Linguistik serta pintu pagar arah Damansara ditutup bermula jam 10.30 pagi ini.

"Bagaimanapun anggota keselamatan masih bertugas di pintu pagar berkenaan bagi membantu warga kampus yang ingin keluar dari Universiti Malaya.

"Warga kampus digalakkan untuk merancang pergerakan keluar masuk kampus pada hari ini untuk mengelakkan kesesakan pada waktu puncak," kata Yusof.

Sementara itu, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa UM agar akur dengan titah Canselornya, Sultan Nazrin Shah.

Cubaan UM untuk menghentikan pidato Anwar hari ini, kata SAMM, "bertentangan" dengan titah baginda sebelum ini.

"Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui.

"Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif.

"Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Canselornya sendiri," kata Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM Ahmad Anwar Asyraf dalam satu kenyataan.

Ketegangan sedang memuncak di sekitar kampus universiti di Kuala Lumpur kerana pelajar cuba Berkeras untuk meneruskan ceramah.

Tinjauan Malaysiakini mendapati papan iklan diconteng dengan mesej anti-Anwar pagi ini, dalam usaha Anwar untuk menyampaikan pidato di universiti yang beliau pernah tuntut sebelum pergi ke mahkamah esok untuk merayu sabitan liwatnya.
 

Tiada ulasan: