KUALA LUMPUR: Tidak ada satu perkataan pun menyebutkan usaha-usaha anti rasuah dalam ucapan Bajet 2015 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.
"Bolehkah beliau menjelaskan mengapa Malaysia ketinggalan begitu teruk berbanding Indonesia dan China dalam usaha dan hasil kempen anti-rasuah?" tanya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, ini kerana tiada seekor pun 'jerung' diheret ke penjara setakat ini sama ada di bawah Perdana Menteri sekarang atau dua Perdana Menteri sebelumnya, selama 33 tahun sejak tahun 1981 sedangkan penangkapan, pendakwaan dan penahanan 'jerung' telah menjadi sangat biasa di Indonesia dan China.
Beliau juga mempersoalkan bagaimanakah rekod rasuah Malaysia yang begitu berleluasa dan usaha-usaha anti rasuah yang begitu lemah menepati komitmen Malaysia terhadap agenda wasatiyyah atau kesederhanaan.
Katanya, dengan kaji selidik terbaru oleh Ernst & Young bahawa Malaysia menduduki tempat sebagai salah satu daripada negara-negara yang paling korup dan disenaraikan sebagai sebuah negara yang paling mungkin untuk mengambil jalan pintas bagi mencapai sasaran apabila keadaan ekonomi tidak begitu kukuh, rakyat Malaysia berhak untuk bertanya: Mengapa SPRM hanya menangkap 'lalat', di mana pula para 'harimau'.
"Atau menggunakan istilah Malaysia, di mana para 'jerung', memandangkan SPRM dan pendahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mampu untuk menghantar walau seekor pun 'jerung' ke penjara selama 33 tahun yang lalu di bawah tiga Perdana Menteri - Najib, Abdullah dan Mahathir - sedangkan penjara di kedua-dua Indonesia dan China penuh dengan 'jerung' atau 'harimau dan lalat'," ujarnya lagi.
Lim juga bertanya bagaimana Malaysia boleh mendakwa ia sebuah negara yang sederhana apabila terus mempunyai kedudukan begitu rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) (CPI) dalam dua dekad yang lalu, bahkan kalah dengan Indonesia dan China dari aspek anti-rasuah.
Menurutnya, dalam CPI yang pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tempat ke-23 daripada 41 negara dengan skor CPI sebanyak 5.28. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan