MALAYSIAKINI
Polis menembak mati seorang penjenayah warga Indonesia yang merompak
sebuah kafe siber di Taman Fedeson, Kepong, di ibunegara kira-kira pukul
2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata sebelum kejadian itu,
dua anggota detektifnya sedang membuat rondaan di kawasan itu dan
ternampak seorang lelaki lingkungan 20-an yang menunggang motosikal
dalam keadaan mencurigakan.
Lelaki yang menaiki motosikal jenis Suzuki RG tanpa nombor pendaftaran
dan berpakaian gelap serta memakai topi keledar muka penuh warna hitam
itu, kemudian memasuki sebuah kafe siber.
"Polis kemudiannya mengekori suspek memasuki kedai berkenaan dan
mendapati lelaki terbabit telah mengacukan sepucuk pistol kepada seorang
wanita penjaga kedai itu dan merompak wang dari kaunter.
"Melihat keadaan itu, anggota saya memberi amaran kepada suspek tetapi
lelaki terbabit pula terus mengacukan senjata api kepada polis yang
menyebabkan salah seorang anggota terpaksa melepaskan tembakan dan
terkena bahagian dada suspek," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati di dalam beg sandangnya
mengandungi wang tunai yang disamun dan jumlahnya masih disiasat, selain
pasport milik suspek.
"Ini merupakan kejadian kali kedua kawasan di sekitar itu disamun sejak bulan lalu tetapi kali ini melibatkan premis internet.
"Ekoran daripada kes samun pertama yang lalu, saya sentiasa kerapkan
rondaan di sekitar Taman Fedeson," katanya sambil menambah mayat suspek
dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Sementara itu, dua wanita bukan sahaja kerugian ribuan ringgit malah
trauma bila perompak mengugut akan menembak mereka jika melawan dalam
kejadian di Taman Sejahtera, Alma di Bukit Mertaham Jumaat lepas.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 7.30 petang itu, mangsa
berusia 31 tahun bersama rakannya berumur 25 tahun pergi ke sebuah kedai
di taman tersebut untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbit.
"Semasa mereka hendak masuk ke dalam kereta jenis Proton Satria Neo
milik salah seorang mangsa, sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berhenti
di belakang kereta mangsa dan seorang lelaki yang duduk di tempat
penumpang hadapan meluru ke kereta berkenaan.
"Lelaki itu mengeluarkan pistol dan menutupnya dengan kain sebelum
mengacukannya kepada dua wanita berkenaan serta mengarahkan mereka
menyerahkan wang tunai dan barangan berharga," kata jurucakap itu
semalam.
Katanya, mangsa yang bimbang mereka ditembak menyerahkan telefon bimbit,
cincin dan wang tunai sebanyak RM1,200 dan lelaki itu kemudiannya
merampas beg tangan rakan mangsa yang mengandungi telefon bimbit, kad
pengenalan, lesen memandu, kad bank serta wang tunai RM700.
Jurucakap itu berkata sebaik memperolehi wang tunai dan pelbagai
barangan berkenaan, lelaki terbabit menyertai semula rakannya yang
sedang menunggu dalamkereta.
Mereka lantas melarikan diri ke arah Bukit Mertajam.
"Mangsa juga diarahkan untuk menunggu di dalam kereta sehingga suspek
beredar dari kawasan berkenaan jika tidak mahu dicederakan.
"Dua wanita itu kemudiannya membuat laporan polis," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah meminta
kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu
agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu
siasatan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan