KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad membidas penganjuran program 'Bedah: Inside Story Buku Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah' di Ampang malam ini.
Dalam satu kenyataan, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan menegaskan, program tersebut tiada kena mengena dengan PAS Selangor atau PAS Kawasan Pandan.
Exco Kerajaan Negeri Selangor itu juga berkata adalah tidak perlu membawa isu luar ke negeri ini yang tentunya akan mengelirukan rakyat negeri ini yang baharu sahaja diredakan dengan isu perlantikan menteri besar sebelum ini.
"Kami di Selangor baru sahaja selesai melalui krisis Menteri Besar dan sekarang ini memandang ke hadapan berusaha untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat yang telah sedikit sebanyak terhakis akibat dari krisis tersebut.
"Maka janganlah pula ada yang menjadi pengacau kepada usaha-usaha untuk memperkukuhkan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di negeri Selangor.
"Kami di Selangor tidak perlu disibukkan dengan perkara tersebut," katanya.
Program malam ini dijadual berlangsung di Auditorium MPAJ Pandang Indah, Ampang bermula jam 8 hingga 11 malam.
Difahamkan, program malam ini bakal mempertemukan penulis buku kontroversi itu, Mohd Sayuti Omar dengan RazakM. Sanusi Md Nor iaitu mantan Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Selain mereka, bekas pegawai khas kepada menteri besar, Musodak Ahmad turut akan menjadi pengulas.
Buku Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah tulisan Mohd Sayuti atau lebih dikenali sebagai MSO, mengundang kritikan dari pihak yang dekat dengan Allahyarham Ustaz Azizan semasa pentadbiran beliau.
Ianya termasuk beberapa fakta yang didakwa tidak tepat dan diperoleh dari sumber yang lemah.
Forum malam ini bagaimanapun dijangka akan membahas beberapa pertikaian yang timbul itu. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan