HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

Pakatan Rakyat tanpa Anwar



Oleh LIM HONG SIANG


SAAT-SAAT penentu semakin hampir. Semua perbincangan mengenai kes liwat II, yang membabitkan Anwar Ibrahim tiada kena-mengena dengan persoalan apakah benar beliau melakukannya. Sudah 16 tahun isu yang sama diperbincangkan.

Anwar dituduh, dibicara dan dibela - namun ia bukan proses pengadilan kerana keputusannya seolah-olah ditentukan suhu politik.

Maka rakyat mula menghitung hari-hari terakhir Ketua Pembangkang Parlimen ini disumbat semula ke dalam penjara. Kenyataan rasmi ditulis dalam nada sarkastik, dengan tujuan untuk memprovok agar masyarakat massa turun ke jalan raya. Penganalis politik pula meramalkan sejauh manakah gelombang Reformasi 2.0 yang mampu dicetuskan oleh susuk tubuh berusia 67 tahun ini. Hujah lapuk diulangi - “Kita tidak memperjuangkan nasib seseorang individu” - bergantunglah bagaimana kenyataan ini ditafsirkan.

Namun kita semua sedar bahawa ia bukan perjuangan untuk seseorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Persoalannya sama ada kita menerima politik dubur yang busuk lagi membusukkan ini? Persoalannya sama ada kita reda apabila kebangkitan rakyat untuk memperjuangkan  keadilan, hak asasi, demokrasi dan kebebasan, dipatahkan hanya menggunakan politik dubur? Persoalannya sekiranya rejim yang korup ini berjaya menyelamatkan diri dengan satu dubur untuk 16 tahun lalu dan kini, apakah ia tidak berulang untuk 16 tahun akan datang?

Sememangnya kita tidak mahu perjuangan demokrasi Malaysia ditumpukan pada susuk tubuh seseorang individu semata-mata. Risikonya tinggi apabila kita bergantung kepada personaliti pemimpin. Perlu kita sedar bahawa politik adalah permainan kuasa. Betapa suci dan murni sekalipun seseorang pemimpin tidak terdaya untuk menahan serangan fitnah.

Persoalannya siapa yang menguasai jentera negara untuk mengulangi pembohongan sebanyak 1,000 kali sebelum ia dijadikan kebenaran? Dan apakah tertuduh mempunyai peluang yang setimpal untuk membela diri dalam permainan ini?

Ini persoalan yang sebenarnya, yang menjurus ke arah perbincangan kepimpinan jemaah dan pembinaan mekanisme semak-imbang yang berkesan dalam sesebuah sistem. Untuk sekian lama kita menegaskan bahawa perjuangan Reformasi 2.0 bukan untuk mengangkat Anwar semata-mata, tetapi kita tetap tertanya-tanya apakah nasib Pakatan Rakyat tanpa Anwar. Untuk sekian lama kita menekankan bahawa “kuasa yang mutlak menjurus kepada korup yang tidak terbatas” - namun ada sahaja suarasuara yang sangsi dan runsing seandainya “kerajaan Melayu- Muslim yang lemah dibuli oleh bukan Melayu dan bukan Islam.”

Untuk saya, penubuhan Pakatan Rakyat antara jasa terbesar Anwar kepada perjuangan demokrasi Malaysia - sudah tentu ia bukan jasa perseorangan semata-mata, juga pimpinan tertinggi PAS dan DAP, dan tidak lupa kebangkitan rakyat dalam PRU12 pada 8 Mac 2008. Pembentukan Pakatan Rakyat padahalnya telah menyediakan perjuangan ini untuk berdepan dengan zaman tanpa Anwar.

Untuk satu ketika saya begitu optimis bahawa gandingan parti politik ini mampu berkembang dengan matang dan mantap. Saya masih ingat Anwar hampirhampir disumbatkan ke dalam penjara pada awal tahun 2012.

Saya menanti-nantikan manamana pemimpin Pakatan Rakyat untuk melontarkan kenyataan bahawa “usah mencari calon Perdana Menteri di luar Pakatan Rakyat. DAP boleh menerima Hadi Awang dan PAS boleh menerima Lim Kit Siang. Gandingan ini boleh memimpin Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjuangan rakyat.”

Ini kerana Tuan Guru Hadi Awang dan saudara Lim Kit Siang telah bersama dalam perjuangan rakyat untuk sekian lama. Diuji dan teruji. Apa salahnya DAP menerima Hadi Awang dan PAS menerima Kit Siang sebagai pimpinan tertinggi?

Tetapi ia tidak berlaku. Sebaliknya ada ura-ura mencadangkan calon PM di luar Pakatan Rakyat, tatkala Anwar masih berhempas-pulas untuk menggembleng kuasa rakyat di seluruh pelosok negara.

Bayangkan bagaimana rakyat menilai “kesetiakawanan” dalam Pakatan Rakyat. Individu di sebelah sana yang hidup mewah, tidak pernah mengambil risiko untuk bersama perjuangan rakyat, diangkat lebih tinggi daripada pemimpin Pakatan Rakyat sendiri yang bergelut dalam gas pemedih mata di jalan raya, berdepan dengan risiko ke penjara?

Itu pun kisah sebelum PRU13. Pasca PRU13 pula mendedahkan betapa tidak matangnya politik dan politikus kita. Kalau politik kita didorong sentimen, maka pemimpin politik kita dipandu emosi. Pemimpin kita seolaholah tidak erti untuk mematuhi muafakat yang tercapai apabila bergerak dalam gandingan.

Kita terus dihantui mentaliti untuk tunjuk kekuasaan - semua berebut-rebut untuk menunjuk “kejantanan”, kononnya. Seolaholah kita lebih berkuasa jikalau boleh menolak keputusan yang telah disepakati sebelumnya. Ini kerana semua bercita-cita besar untuk mendominasi Pakatan Rakyat, tetapi realitinya kita semua didominasi Umno-Barisan Nasional.

Justeru, perbincangan “Pakatan Rakyat tanpa Anwar” tidak bermakna, seandainya pemimpin kita tetap dengan gelagat yang tidak matang ini. Pemimpin kita gagal meyakinkan kebanyakan rakyat bahawa mandat yang diamanahkan oleh mereka tidak akan dikhianati. Tepuk dada tanya selera, sejauh manakah usaha pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, menampilkan kepada rakyat bahawa gandingan politik ini akan kekal mantap, dengan adanya ataupun tiadanya susuk tubuh Anwar?

Persoalannya, apabila kita membincangkan perjuangan bukan hanya untuk dan oleh seseorang individu, apakah kita telah cukup matang untuk berpolitik secara berjemaah, dan bertahaluf? Sejauh mana pula usaha kita dalam membina mekanisme semak-imbang yang berkesan, jikalau politik kita untuk menentang keangkuhan kuasa?

Tiada ulasan: