MALAYSIAKINI
"Kita menjangkakan awal Disember ini akan berlaku hujan lebat dan disertai air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.
Tujuh ratus pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat negeri Terengganu
kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi gelombang
banjir kedua yang berkemungkinan berlaku pada awal hingga pertengahan
Disember.
Pengarahnya Md Salleh Sarbini berkata kesemua anggota itu ditempatkan di
335 lokasi di seluruh negeri sebagai langkah berjaga-jaga bagi
menghadapi sebarang kemungkinan dalam musim tengkujuh.
"Kita menjangkakan awal Disember ini akan berlaku hujan lebat dan disertai air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir.
"Bencana banjir pada pertengahan November ini memberi kita pengajaran
agar kita melakukan persediaan rapi menghadapinya buat kali kedua dan
seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, selain memperkemaskan kekuatan tenaga, pihaknya turut
memberi penekanan dalam aspek memastikan peralatan serta kelengkapan
menyelamat sentiasa berfungsi dalam menghadapi fenomena monsun timur
laut yang melanda persisiran Pantai Timur.
"Malah persediaan ini bukan sahaja untuk bencana banjir, malahan
meliputi kejadian tanah runtuh, ombak besar, kemalangan di laut dan
darat," katanya.
Md Salleh berkata sekiranya kekuatan anggotanya tidak mencukupi bagi
menghadapi bencana ini, pihaknya akan meminta bantuan dari negeri jiran
terdekat.
"Seperti banjir yang berlaku 17 Nov lalu, kita turut mendapat bantuan
peralatan bot dan pacuan empat roda dari negeri jiran yang tidak dilanda
bencana itu bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa
banjir," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan
persekitaran dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa
sekiranya berlaku banjir.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan