Jakim
 
 
 
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan pengusaha-pengusaha tempatan agar tidak menggunakan pihak ketika dalam proses permohonan Sijil Halal Malaysia bagi mengelakkan ditipu.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusof berkata, para pengusaha digalakkan untuk mendapatkan khidmat bimbingan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk membantu dalam proses permohonan sijil tersebut.

“Jakim menyeru kepada para pengusaha agar mendapatkan khidmat bimbingan daripada HDC bagi membantu dalam proses prapermohonan pensijilan halal atau membuat permohonan pensijilan halal terus kepada Jakim/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melalui my-ehalal di www.halal.gov.my.

“Jakim turut menasihatkan pengusaha-pengusaha agar tidak menggunakan pihak ketiga dalam permohonan pensijilan halal bagi mengelakkan pengusaha ditipu dengan kos yang tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jakim perlu mudahkan permohonan pengusaha PKS]

Sementara itu, sebagai maklum balas terhadap laporan Sinar Harian semalam dalam artikel ‘Jakim perlu mudahkan permohonan pengusaha PKS’, Hakimah memberitahu, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pihak industri dalam hal berkenaan.

“Untuk makluman pengguna, Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan pihak industri dalam membantu mempermudah permohonan pensijilan halal di kalangan Industri Kecil (IK) dan Perusahaan Industri Kecil (PKS) termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi pembimbing yang lain seperti Mara, Felda, Fama, Mardi dan sebagainya.

“Merujuk kepada statistik pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi lima tahun kebelakangan ini, peningkatan permohonan di kalangan IKS dan PKS didapati meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, Hakimah menekankan bahawa Jakim hanya mengenakan fi serendah RM100 setahun bagi kategori IK dan RM400 setahun bagi PKS.

“Jumlah tersebut adalah berpatutan dan tidak membebankan pihak industri,” katanya.

Semalam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta Jakim mempermudah proses memohon sijil halal untuk menarik lebih ramai pengusaha PKS mendapatkan sijil tersebut.