HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Disember 2014

Kes transgender: MB puas hati hujah rayuan

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai Seksyen 66, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pada Jumaat.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau berpuas hati dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh penasihat undang-undang negeri untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Terdapat banyak hujah untuk kita buat rayuan dan batalkan keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti. Apa yang penting sekali ialah keputusan Mahkamah Rayuan telah pun membatalkan Seksyen 66 kita.

"Kita tidak begitu marah dan kecewa jika melepaskan tiga individu itu tetapi pada masa yang sama, pembatalan Seksyan 66 itu merupakan sesuatu yang amat berbahaya.

"Jika terlepas pandang, ia akan membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang memang mahu melihat ajaran atau fahaman pluralisme, liberalisme dan lain-lain membiak di negara ini," katanya semasa menutup Konvesyen Akidah Antarabangsa 2014 di sini, pada Khamis.

Jika keadaan itu berlaku, beliau berkata ia boleh membawa kehancuran kepada Malaysia.

Oleh itu, beliau menyarankan semua pihak berganding bahu untuk memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman damai.

Mahkamah Rayuan pada 7 Nov lepas membenarkan rayuan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30; untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman difailkan ketiga-tiga lelaki Islam itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender dari segi perubatan.

Menurut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, Seksyen 66: Lelaki berlagak seperti perempuan, menyatakan mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, Mohamad berkata umat Islam perlu memantapkan akidah mereka supaya tidak mudah dipengaruhi dengan fahaman yang boleh membawa kebinasaan.

Mohamad yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata langkah itu perlu susulan pergolakan dan persengketaan di negara-negara Islam yang menyaksikan kehancuran dalam kalangan penduduknya.

Dalam usaha memantapkan akidah mereka, katanya kerajaan negeri menubuhkan sekolah-sekolah agama sesi petang supaya anak-anak dapat ditarbiyyahkan seawal mungkin.

Konvensyen dua hari itu dianjurkan MAINS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Kumpulan Pendidikan Sofa. - Bernama
 

Tiada ulasan: