MALAYSIAKINI
Pihak sekolah di Sabah tidak pernah menghalang atau melarang pelajarnya
memakai rantai tanda keagamaan masing-masing semasa berada di kawasan
sekolah, kata Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip.
Beliau berkata ibu bapa pelajar hanya perlu mengisi borang yang
disediakan pihak sekolah untuk memohon kebenaran memakai rantai tanda
keagamaan.
"Pihak sekolah akan mengeluarkan kad kebenaran sebagai bukti makluman
dan tidak akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak," katanya dalam sidang
media di Kota Kinabalu semalam.
Jame berkata pelaksanaan kad itu adalah kerana pemakaian aksesori di
kalangan pelajar menyukarkan pihak sekolah untuk membezakan rantai
keagamaan atau sekadar perhiasan semata-mata.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan
yang mendakwa Sekolah Menengah Ken Hwa, Keningau melarang pelajar
beragama Kristian memakai rantai tanda keagamaan di kawasan sekolah.
Katanya dakwaan bahawa pelajar yang tidak memohon kad kebenaran memakai
rantai itu akan dirotan dan gantung sekolah adalah tidak benar.
"Pihak sekolah juga tidak mahu murid yang memakai rantai tanda keagamaan
yang berfesyen, bersaiz besar dan tidak bersesuaian yang boleh
menimbulkan salah faham kepada pelajar yang lain," katanya.
Selain itu, Jame turut meminta supaya pengetua dan guru besar sekolah
mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
sebelum melaksanakan sesuatu dasar dan merujuk kepada peraturan serta
pekeliling yang disediakan Kementerian Pendidikan bagi mengelak
percanggahan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan