HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Jun 2015

AMK jangan buat-buat lupa hina Hadi - Perwakilan Pulau Pinang

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar, Nur Shakira Buang & Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
GOMBAK: Perwakilan Dewan Ulama Pulau Pinang hari ini mempersoal keikhlasan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang sehingga kini tidak memohon maaf selepas dikatakan menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Mohd Hanif Harun berkata, selepas hampir sebulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh berlalu, sayap kanan PKR itu seolah-olah 'melupakan' apa yang terjadi sepanjang tempoh berkempen itu.
 
"AMK kutuk Hadi tetapi sehingga sekarang mereka tidak lagi menarik kenyataan dan buat permohonan maaf kepada Presiden. Apakah mereka perlu berdiam? Sedangkan selama ini kita tidak pernah sentuh batang tubuh pemimpin mereka.
 
"Mereka kata buat sidang media, tapi buat (minta maaf) di belakang. Tak aci, tak boleh begitu. Mereka boleh memalukan orang di khalayak ramai tetapi minta maaf menyorok belakang orang," katanya ketika berucap di sesi perbahasan Muktamar Ulama PAS Pusat di Taman Melewar, Gombak, hari ini.
 
Untuk rekod, sepanjang kempen PRK Permatang Pauh berlangsung, PAS-PKR-DAP dilihat saling bertegang-urat dan tuduh-menuduh dalam beberapa isu yang menimbulkan percanggahan di dalam Pakatan Rakyat.
 
AMK dengan lantangnya meminta Hadi meninggalkan PAS kerana dilihat menjadi liabiliti kepada usaha mengukuhkan pakatan pembangkang menerusi gerak tubuhnya yang 'mesra-Umno'.
 
Sementara itu, perwakilan PAS Kelantan, Nor Azaria Mohd Alawi menggesa Ketua Pemuda PAS, Shuhaizan Kaiat menarik balik kenyataan beliau yang menyamakan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri Najib Razak.
 
Berucap di hadapan lebih 600 perwakilan, Nor Azaria berkata kenyataan Suhaizan ketika ucaptamanya semalam menimbulkan rasa kekecewaan di kalangan akar umbi Pemuda khususnya kenyataan yang melibatkan Abdul Hadi.
 
“Jangan sesekali samakan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dengan Najib Tun Razak.
 
"Kita menyokong Tok Guru Abdul Hadi kerana firman Allah SWT.
 
"Kelantan agak terkilan apabila Ketua Pemuda yang menyatakan sikit-sikit sokong Presiden, saya harap Ketua Pemuda (Suhaizan Kaiat) perbetulkan balik kenyataanya," tegasnya.
 
Selain itu, Nor Azaria juga turut mempersoalkan tindakan sekutu Pakatan Rakyat, DAP yang terus menerus menyerang PAS, khusuusnya berkaitan isu hudud.
 
“Dalam melaksanakan Hudud, kita bukan sahaja menghadapi masalah dengan Umno tetapi kita juga menghadapi masalah dengan rakan Pakatan Rakyat kita yang dilihat terlalu memandang serong dengan niat ikhlas kita.
 
"Padahal bukan kita tak penggil mereka (sesi pembentangan)... yang kita tak faham dia (DAP) sayang kita tapi mengapa mereka terlalu memandang serong dengan kita,” ujarnya.
 
DAP juga menuduh Hadi sebagai tidak amanah dan memutuskan hubungan langsung dengan Ahli Parlimen Marang itu, selepas pemimpin itu bertindak secara bersendirian menghantar notis pembentangan rang undang-undang (RUU) persendirian berkenaan hudud ke Dewan Rakyat.
 
Hadi dalam reaksi balasnya meminta DAP dan PKR agar menghormati hak demokrasi PAS untuk meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan, yang menjadi perjuangan mereka sejak sekian lama.
 
 

Tiada ulasan: