Oleh Shahbudin Husin
Kedudukan Pakatan Rakyat atau PR masih menjadi tanda tanya ramai. Sementara DAP mengatakan gabungan itu tidak wujud lagi dan PKR pula menganggapnya sudah mati, Pas sebaliknya melihat PR masih wujud atau setidak-tidaknya hanya pengsan saja.
Semua keadaan yang melanda PR ini adalah berikutan ketegangan yang berpanjangan sejak sekian lama antara Pas dengan DAP di mana kemuncaknya ialah usul Dewan Ulama dalam Muktamar Pas baru-baru ini yang memutuskan hubungan parti itu dengan DAP
Ia ada susulan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Hadi Awang tetapi kekal bersama Pas yang dibuat sebelum ini.
Walaupun ada tafsiran yang mengatakan usul Dewan Ulama itu sebenarnya belum berkuatkuasa lagi kerana ia hanya cadangan saja dan terserah kepada Majlis Syura untuk memutuskan sama ada mahu dilaksanakan atau sebaliknya, yang lain pula mentafsirkan oleh kerana usul tersebut diterima tanpa bahas dalam muktamar, badan pembuat keputusan paling tunggi sekali, maka tidak mungkin Majlis Syura membuat keputusan yang berbeza dengannya.
Lantaran itu, bagi DAP ia bermakna PR tidak wujud lagi dengan adanya usul memutuskan hubungan tersebut. PKR juga bersetuju bahawa PR secara formalnya sudah tiada lagi berikutan putusnya kasih antara Pas dengan DAP itu.
Pas bagaimanapun bertegas mengatakan PR masih wujud di sebalik parti itu tidak mahu berkawan lagi dengan DAP. Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang berkata, pengumuman DAP mengena kedudukan PR dianggap tidak sah kerana dua parti lain iaitu Pas dan PKR tidak bersama dengan keputusan itu.
Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali pula berkata, PR sebenarnya belum lagi berkubur, sebaliknya hanya pengsan saja.
Apa pun gambaran atau tafsiran mengenainya, kedudukan PR di mata rakyat tidaklah sama seperti dulu, terutama ketika mereka memberikan sokongan undi popular 52 peratus dalam pilihanraya umum lalu. Ketika itu, harapan rakyat terhadap perubahan amat tinggi dan mereka menyandarkan kepecayaan itu kepada PR bagi mengakhiri dominasi BN selama ini.
Dengan kemelut yang melanda ini, meskipun keyakinan terhadap perubahan itu tetap ada, khususnya kerana begitu banyak isu dan masalah berterusan berlaku dalam kerajaan yang dipimpin oleh BN, ditambah dengan serangan bertali arus oleh Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak, perasaan rakyat mungkin tidak sama lagi dan sudah berbelah bagi jadinya.
Ramai yang kecewa dan patah hati dengan apa yang berlaku dalam PR ini. Dengan sudah memberikan sokongan sebanyak 52 peratus, walaupun tidak berjaya memenangi jumlah kerusi dalam pilihanraya lalu, mereka mengharapkan mampu merealisasikan perubahan itu dalam PRU 14 nanti.
Sejumlah besar berkata, di ketika BN sudah hampir nak mati, kenapa tiba-tiba PR sendiri mencari lubang kubur sendiri untuk kematian mereka?
Kenapa tidak bersikap dewasa dan masing-masing menyejukkan kepala berbanding berbalah secara terbuka dengan fikiran yang selalu menyinga?
Apakah PR sebenarnya tidak mahu kepada kuasa dan enggan memenuhi hasrat rakyat yang mahukan perubahan itu?
Bagaimanapun, yang baiknya ketika ini ialah tidak ada parti yang mengumumkan keluar daripada PR. DAP hanya mengatakan PR tidak lagi wujud berikutan putusnya hubungan dengan Pas manakala PKR yang mengatakan PR sudah mati juga tidak meninggalkan gabungan itu. Pas yang memutuskan hubungan dengan DAP pula mengatakan mereka masih bersama PR.
Secara langsung ia bermakna ketiga-tiganya masih perlukan PR bagi meneruskan perjuangan. Tetapi dengan kemelut yang berlaku dalam Pas sekarang di mana berlaku pengasingan antara kumpulan ulama dan profesional, penubuhan parti Islam baru yang progresif yang tidak semata-mata menjaja hudud sebagai bahan meraih sokongan tetapi juga prihatin dengan semua isu semasa melibatkan rakyat, mungkin tidak dapat dielakkan lagi penubuhannya.
Kumpulan profesional Pas yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini sebaiknya berjuang melalui parti baru ini kerana mereka inilah yang mendekatkan Pas dengan DAP dan pengundi bukan Melayu selama ini.
Sebaliknya Pas yang dikuasai ulama sepenuhnya boleh menumpukan perjuangan di Kelantan dan Terengganu saja.
Sudah sampai masanya PR dianggotai oleh empat parti berbanding tiga parti saja selama ini. Yang penting PR harus mara ke hadapan dan tidak membiarkan rakyat tiada pilihan dalam pilihanraya akan datang.
Apa yang berlaku sekarang barangkali hanya ujian untuk saling mematangkan sebelum bertukar menjadi kerajaan.
Di ketika BN sudah hampir nak mati, apa manfaatnya PR dengan sengaja mahu "membunuh diri" lebih awal daripada itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan