HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Jun 2015

Dewan Ulama tiada niat pengaruh undian perwakilan

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
GOMBAK: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan tindakan dewan itu menamakan senarai nama kepimpinan baru PAS di laman Facebooknya, bukan untuk mempengaruhi pengundian perwakilan yang akan membuang undi esok.
 
Sebaliknya ia sekadar untuk menonjolkan beberapa nama pemimpin PAS yang berpotensi besar untuk meneruskan aspirasi kepimpinan parti itu.
 
"Mereka yang boleh meneruskan perjuangan PAS, adalah sesuai untuk dikedepankan bagi memimpin parti. Itu adalah sebahagian penjelasan kita kepada ahli-ahli parti, dan bukan untuk mempengaruhi," tegasnya di sidang media bersama kepimpinan Dewan Ulama PAS, di Muktamar PAS Pusat kali ke-61 di Taman Melewar, Gombak, tengah hari tadi.
 
Khairuddin merujuk kepada posting di laman Facebook Dewan Ulama PAS Pusat pagi tadi yang memberi cadangan nama kepimpinan baharu untuk PAS, yang rata-ratanya daripada golongan ulama.
 
Masih mengekalkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presidennya, cadangan itu menyenaraikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan Timbalan Presiden manakala bagi jawatan Naib Presiden menamakan Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai calonnya.
 
Begitu juga senarai bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, antara nama yang dicadangkan adalah Nasruddin Hassan Tantawi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, Datuk Nik Zawawi Salleh dan Dr Zuhdi Marzuki.
 
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Nasruddin Hassan Tantawi turut menyokong pendirian itu dengan menegaskan cadangan berkenaan juga tidak bermakna menutup hak pihak lain yang turut bertanding.
 
"Kita nyatakan bahawa cadangan kepada sesuatu perkara sahaja, bukan hendak menafikan hak orang lain. Adab dalam semua perkara. Contoh dalam kempen sabun Breeze pun, mereka tak boleh memburukkan sabun-sabun lain seperti Fab atau Trojan.
 
"Kita cadangkan senarai nama bagi pihak Dewan Ulama PAS namun ia terserah kepada perwakilan untuk buat keputusan," katanya.
 
Pemilihan jawatan tertinggi PAS dijadualkan berlangsung esok di Stadium Tertutup Kuala Selangor.
 
Sementara pemilihan sayap-sayap kanannya (Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat) berlangsung hari ini.

Tiada ulasan: