Roketkini.com
KLANG: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa seluruh kontinjen polis di Perlis digantung tugas sehingga isu pemerdagangan manusia di Wang Kelian dan Padang Besar selesai dibuat.
Dalam kenyataannya hari ini Charles berkata, tidak masuk akal apabila polis menyatakan hanya dua anggota yang terlibat dalam jaringan penyeludupan manusia tersebut.
“Ini tak masuk akal. Ribuan ditahan dalam keadaan yang teruk. Ada yang diseksa dan dirogol. Ramai yang dibunuh.
“Penduduk tempatan sendiri turut melapor dan menyerahkan mereka kepada pihak polis,” kata Charles.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bahawa ‘semua orang tahu tentang aktiviti penyeludupan’ di Wang Kelian dan Padang Besar.
Namun, beliau kemudiannya mengubah nada dengan menyatakan hanya dua anggota polis Malaysia terlibat dalam rangkaian penyeludupan manusia.
“Mereka (polis) memberi akses kepada pemberita ke tapak kem. Namun apabila ditanya soalan-soalan sukar, tiada jawapan diberikan,” ujar Charles.
Tenaganita, sebuah NGO yang mengendalikan isu pelarian dan migran sebelum telah melaporkan kepada polis semenjak 2008 mengenai aktiviti pemerdagangan manusia di kawasan tersebut.
“Sudah tentu orang akan berfikir bahawa polis membuat susulan dengan siasatan, namun tidak ada laporan mengenai perkara ini,” kata Charles.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen berkata, perkara tersebut di luar pengetahuan polis, lebih-lebih lagi kem tersebut berada di lokasi yang sukar.
Dilihat cuba berundur dari melibatkan polis dan pihak berkuasa lain, menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya hanya memainkan peranan kecil.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim pula memalukan dirinya sendiri apabila menyatakan bahawa anggota polis yang ditangkap itu didorong sogokan wang, sehingga tidak menyedari pembunuhan dan penyiksaan di kem tersebut.
“Rakyat Malaysia tidak bodoh. Pihak polis mesti menyatakan kebenaran. Kami mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku, hanya akibat ketamakan dan wang.
“Sehingga siasatan selesai, seluruh pasukan polis di Perlis patut ‘digantung’, ujar Charles. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan