MALAYSIAKINI
Bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak sepatutnya mencabar para anggota Kabinetnya untuk
bersikap lebih agresif dengan melancarkan serangan balas pada Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Para menteri berkenaan tidak boleh membiarkan Najib hanya disokong oleh golongan sampah, kata Zainuddin.
Golongan sampah itu ditakrifkannya sebagai “orang yang sudah hilang
kewibawaan dan integriti” dan “menyeleweng dari parti asal atau dari
parti yang sudah bengkrap”.
Malah, golongan tersebut juga bukan sahaja tidak terima oleh masyarakat umum tetapi juga dari kalangan Umno sendiri, katanya.
“Jika hanya sampah-sampah yang jelas menyokong maka akhirnya Najib akan tenggelam dalam timbunan sampah.
“Maka itu eloklah dari meletak jawatan yang akan memecahkan belahkan
parti dan kerajaan maka seorang demi seorang menteri Kabinet muncul di
TV3 menyerang balas Tun Dr Mahathir,” katanya.
Zainuddin berkata, beliau hanya melihat pengerusi Majlis Penyokong BN
(BNBBC), Datuk Seri Shahrir Samad dan presiden persatuan wakil rakyat
BN, Abdul Aziz Abdul Rahman yang banyak menyerang balas Mahathir.
Hanya Hishammuddin sahut cabaran
"Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, timbalan presiden Umno Muhyiddin
Yasin, naib presiden Umno (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan (Datuk
Seri) Shafie Afadal sepatutnya mendahului Sharir Samad dalam berbuat
demikian.
“Dengan itu tidaklah Najib berada dalam krisis keyakinan diri yang amat
runcing,” kata bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu lagi.
Zainuddin menyatakan gesaan itu susulan cabaran Najib kepada para anggota Kabinet pada hari Jumaat lalu.
Najib dilaporkan meminta anggota jemaah menteri tersebut meletak jawatan jika tidak lagi menyokong beliau.
Najib dilaporkan berbuat demikian selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada
kabinet.
Satu-satunya menteri yang menyambut cabaran itu setakat ini ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang memberikan persetujuan bersyarat.
Melalui Twitter, Hishammuddin berkata, agensi tajaan kerajaan itu mesti
menjalani proses rasionalisasi dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab
atas sebarang salah laku mesti diambil tindakan.
Hishammuddin berkata, proses rasionalisasi berkenaan mesti dilakukan secara telus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan