THE RAKYAT POST
Mohamad Hanafi bakal
mensasarkan kawasan `panas' yang menjadi tumpuan ramai sepanjang Ramadan
bagi membanteras kegiatan pengemis.
KOTA BHARU- Setiap pegawai kebajikan masyarakat jajahan di negeri ini diarahkan supaya lebih kerap melakukan operasi bagi mengekang pengemis yang berkeliaran khususnya pada bulan Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) Kelantan, Mohamad Hanafi Maulud berkata, arahan terbabit
sebenarnya sudah dikuatkuasakan sejak dua minggu lepas agar mana-mana
pihak termasuk sindiket yang membawa golongan peminta sedekah ini sedar
dan akur sekiranya ditahan ketika mengemis.
Beliau berkata, beberapa kawasan `panas’
khususnya di bandar ini akan dipantau kerana menjadi medan pengemis
meminta sedekah seperti di kawasan masjid, pasar Ramadan dan pusat beli
belah.
Katanya, hasil maklumat yang diperolehi
hanya sebilangan kecil pengemis membabitkan penduduk tempatan dan hanya
muncul setiap kali Ramadan berbanding majoriti dikatakan warga asing
seperti Thailand dan Kemboja.
“Kita
dapati ada dua kategori pengemis di sini iaitu mereka yang mengemis
kerana terdesak dan satu lagi sebagai punca pendapatan. Bagaimanapun
golongan ini biasanya tidak ramai dan terdiri daripada golongan berusia
atau OKU.
“Berlainan dengan pengemis warga asing
seperti Thailand, Myanmar dan Kemboja mereka didapati mengambil
kesempatan terhadap sikap murah hati penduduk tempatan untuk melakukan
`kerja mengemis’,” katanya kepada The Rakyat Post hari ini.
Mohamad Hanafi berkata, sepanjang bulan
puasa ini JKM akan membuat Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen,
pihak berkuasa tempatan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan
(MAIK) serta polis bagi membasmi kegiatan mengemis ini.
Katanya, selain operasi bersepadu, operasi secara mengejut juga akan dilakukan di lokasi-lokasi yang dilaporkan.
Ini berikutan timbul aduan mengenai
kehadiran kumpulan pengemis itu mengganggu ketenteraman dan mencemarkan
imej sesebuah tempat.
“Operasi Bersepadu juga dilakukan
sebagai memberi penerangan kepada orang ramai bahawa tugas membasmi
pengemis bukannya tanggungjawab JKM semata-mata tetapi turut membabitkan
banyak pihak.
“Sebagai contoh, sekiranya pengemis itu warga asing mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Begitu juga sekiranya mereka ini menggunakan surat kebenaran meminta sumbangan yang akan dikendalikan oleh MAIK,” katanya.
Mengulas mengenai gelandangan di negeri
ini, Mohamad Hanafi berkata, kumpulan itu biasanya membabitkan mereka
yang tidak berkerja ataupun penagih dadah.
Katanya, ini berbeza berbanding `trend’
pengemis di bandaraya besar yang membabitkan golongan berkerja tetapi
terpaksa merempat dan menjadi gelandangan disebabkan taraf hidup tinggi.
“Dalam kes seperti ini mereka yang
ditahan membabitkan usia 60 tahun ke atas biasanya akan dihantar ke
pusat jagaan di Mersing, Johor manakala warga emas melebihi usia 60
tahun akan ditempatkan di rumah orang-orang tua,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan