MALAYSIAKINI
Penduduk di sekitar daerah Ranau sekali lagi berdepan detik mencemaskan
apabila berlaku tiga gempa bumi susulan dengan yang kedua berukuran 4.3
pada skala Richter.
Gempa bumi pertama berukuran 3.5 pada skala Richter berlaku pada pukul
10.45 pagi, sehingga menyebabkan kerosakan siling perpustakaan di
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali, dekat Ranau.
Ia diikuti gegaran kedua pada pukul 5.33 petang dan yang ketiga pada pukul 6.26 petang.
Menceritakan detik cemas semasa gegaran itu, Gordon Juanis, 24, pekerja
sebuah hotel di pekan Ranau berkata, beliau sangat terkejut dan
bertindak melarikan diri ke luar hotel berkenaan kerana bimbang hotel
berkenaan runtuh.
"Ketika gegaran itu saya sedang duduk di kaunter hotel ini. Gegaran itu
kuat berbanding gegaran pagi tadi. Saya rasa gegaran itu kira-kira empat
hingga lima saat," katanya ketika ditemui Bernama di hotel berkenaan
petang ini.
Sementara itu, seorang pengusaha restoran di Poring, Mohammad Abdullah,
54, berkata ketika kejadian beliau sedang memasak di restorannya.
"Semasa kejadian itu saya dan isteri cepat-cepat keluar dari restoran
itu dan pada masa yang sama saya melihat ada jiran yang berlari keluar
rumah sambil berteriak.
"Saya rasa gegaran itu sangat kuat dan menakutkan. Namun saya bersyukur
restoran saya tidak mengalami sebarang kerosakan," katanya ketika
dihubungi.
Tinjauan Bernama di pekan Ranau semasa kejadian menyaksikan orang ramai
yang berada di dalam premis sama ada kedai atau restoran bertindak
keluar dari premis berkenaan.
Namun setelah beberapa minit kemudian, orang ramai memasuki semula premis-premis berkenaan dan melakukan aktiviti seperti biasa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagon
ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima pangilan
kecemasan berhubung kejadian gempa bumi itu.
"Ketika ini kita hanya bersiap sedia di balai dan apabila ada panggilan
kecemasan kita akan bergerak melakukan operasi," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan