shahbudindotcom
Kewujudan
sebuah parti baru yang bakal diterajui oleh kumpulan progresif Pas yang
kalah dalam pemilihan baru-baru ini nampaknya semakin hampir menjadi
kenyataan.
Tidak
saja PasMa dengan penuh yakin mengumumkan penubuhan parti baru itu akan
direalisasikan tidak lama lagi bersama beberapa NGO dan bakal menjadi
pengganti kepada Pas dalam Pakatan Rakyat, bahkan kumpulan progresif itu
sendiri sudah ada jenamanya sendiri yang dinamakan G18 yang sekaligus
menggambarkan iltizam untuk terus mara ke hadapan dengan wadah baru dan
tidak mahu lagi menoleh ke belakang bersama kenangan silam.
Kumpulan
G18 ini turut mempunyai jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh
Mohamad Sabu manakala timbalannya pula ialah Salahuddin Ayub yang
ditawarkan oleh Pas menduduki kerusi Ahli Jawatankuasa lantikan bersama
Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani, dua hari lalu.
Maka, tidak syak lagi tawaran yang dibuat kepada Salahuddin itu ada maksudnya yang terselindung.
Dalam
perkembangan yang sama, PasMa akan terus kekal sebagai NGO yang
bersama-sama mendukung perjuangan Pakatan Rakyat bagi mencapai hasrat
mengambil alih pentadbiran negara ini daripada BN.
Sumber
yang dekat dengan kumpulan progresif juga memberitahu, parti baru itu
sebenarnya sudah pun ada melalui pengambilalihan sebuah parti yang sudah
lama ditubuhkan tetapi selama ini tidak aktif. Ia hanya menunggu masa
untuk diumumkan saja lagi.
Kemungkinan
juga parti yang diambil alih itu akan menjalani proses pertukaran nama
bagi menyesuaikannya dengan perjuangan Islam yang progresif, moden dan
inklusif yang mahu dibawanya nanti.
Bagi
kumpulan progresif ini, penubuhan sebuah parti baru tidak dapat
dielakkan lagi berikutan Pas pro ulama sekarang lebih condong untuk
mempertahankan Najib Razak serta mempunyai kecenderungan mahu
bekerjasama dengan UMNO berbanding menumbangkan BN.
Beberapa
kenyataan Presiden Pas, Haji Hadi Awang seperti Najib wajar terus
dikekalkan sehingga habis tempohnya kerana telah dipilih melalui sistem
yang sah dan "UMNO tidaklah seburuk Firaun", jelas menggambarkan
pendirian berbeza parti itu ketika ini.
Demi
meneruskan perjuangan menukar kerajaan BN bersama Pakatan Rakyat,
kumpulan progresif tidak melihat ada pilihan lain selain mencari wadah
baru, tambahan pula keseluruhan mereka sudah "disapu licin" daripada
menduduki kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.
Sesetengah
yang lain seperti bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan bekas
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman, mereka juga sudah "ditanam"
ketika pemilihan di peringkat kawasan lagi.
Serentak
dengan keyakinan yang membuak-buak daripada kumpulan progresif terhadap
parti baru itu sehingga anak bekas Presiden Pas, Faiz Fadzil juga
mengatakan jika arwah ayahnya, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor masih hidup
ketika ini, pasti beliau turut menyokong penubuhannya, Haji Hadi
Awang secara tiba-tiba mengeluarkan surat terbuka mengingatkan agar
jangan sesiapa meninggalkan Pas.
Beliau
seterusnya memberi ingatan bahawa berdasarkan sejarah, sudah ramai
pemimpin tertingginya yang meninggalkan Pas untuk menyertai parti atau
pertubuhan lain, akhirnya akan tenggelam begitu saja.
Tanpa
menyebut nama atau ditujukan kepada sesiapa tetapi tentulah difahami ia
ditujukan khusus kepada kumpulan progresif G18 dan PasMa, beliau juga
menyeru mereka yang terbabit supaya istiqamah dalam perjuangan dengan
mengambil contoh apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dahulu.
Soalnya,
kenapa Haji Hadi berasa sangat perlu mengeluarkan surat terbuka dan
mengingatkan tentang timbul dan tenggelam kepada kumpulan progresif itu?
Bukankah mereka sudah ditenggelamkan oleh kumpulan ulama dalam pemilihan baru-baru ini?
Dan
mereka menubuhkan parti Islam baru yang sesuai dengan kehendak rakyat
serta bersandarkan aspirasi berbilang kaum masyarakat di negara ini
adalah untuk menjadikan diri mereka terus timbul dalam persada politik
negara ini.
Memilih
untuk timbul bersama Pakatan Rakyat adalah pilihan yang jauh lebih baik
daripada tenggelam dalam mempertahankan Najib dan UMNO.
Haji
Hadi juga tidak harus selama-lamanya bersandar kepada sejarah dalam
menghukum sesuatu yang belum berlaku kerana sejarah sentiasa mencipta
perkara-perkara yang baru dan bukannya statik mengikut acuan sebelumnya.
Mana
tahu sejarah kali ini mencatitkan bahawa mereka yang meninggalkan Pas
akan terus timbul dan hidup, manakala yang kekal bersamanya pula akan
tenggelam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan